Rabu, 29 Mac 2023

CATATAN SEMALAM

    KAMI habisi tadarus semalam dengan sedikit perkenalan. Keceriaan jelas terbayang pada raut wajah sahabat baru kami. Usik-mengusik membawa bahagia... benar kenyataan itu!

    Keseriusan dalam bertadarus, menyemak bacaan ahli sambil mengenali hukum tajwid serta memperbetulkan bacaan sudah sinonim dengan aktiviti kami. Mata menjelajah huruf-huruf yang tercatat dalam kalam Allah.

    Selesai tadarus, kami mendengar tadabbur yang disampaikan. Asyik sungguh dengan penceritaan dan perkhabaran yang terkandung di dalamnya. Sesungguhnya Al Quran itu sesuai sepanjang zaman. Relevan untuk semua keadaan. Kandungannya menjadi rujukan dan panduan dalam kehidupan kita. 

    Ya Allah ampunilah kami, berkatilah hidup kami, dan jadikan kami sentiasa berpegang kepada Al Quran sebagai panduan hidup. Jangan Kau bolak balikkan hati kami setelah Engkau berikan hidayah kepada kami. Kasihilah kami, Ya Allah. Mudah-mudahan ukhuwah ini berkekalan. Kau temukan kami di dunia, moga-moga kami dapat bersama juga di akhirat sana. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

    

    
 

Isnin, 27 Mac 2023

indra shahrir _ aladdin (1975)

Rindunya nak dengar lagu ni.

kredit kepada pemilik youtube ini, terima kasih tuan.


SATU-SATUNYA buku yang istimewa bagiku ialah Memori dan Lagu. Buku terbitan ULUL ALBAB PUBLICATION ini menampilkan kelainan. Kita boleh membaca sambil mendengar lagu pilihan penulisnya menerusi QR Code yang disediakan.

    Terima kasih kepada editor penyelaras, iaitu Tuan Basri Zakaria dan Dr Noor Farahi Kamaruddin. Kebanyakan lagu merupakan lagu lama dan ada sejarah atau pengalaman penulis di sebalik lagu-lagu tersebut.

    Aku memilih lagu Srikandi Cintaku, nasyid Di Pondok Kecil dan lagu Aladdin dengan Lampu Ajaib. Ada kenangan indah di sebalik lagu-lagu tersebut. Jika kisah itu tidak ditulis, mungkin akan hilang ditelan zaman. Mungkin aku juga akan terlupa dengan perjalanan hidup yang telah dilalui.

    Lagu Aladdin tersebut aku dan rakan nyanyikan di pentas semasa hari penyampaian hadiah sekitar tahun 70-an. Lagu Di Pondok Kecil pula disampaikan oleh anak didikku semasa sekolah mengadakan hari anugerah pad tahun 80-an. Manakala Srikandi Cintaku pula menjadi lagu 'berhantu' semasa aku dan rakan-rakan serumah menjalani LM di Trolak.

    Kisah rakan penulis yang lain tidak kurang hebatnya, asyik benar aku membaca pengalaman mereka yang digarap dengan baik. Tahniah sahabat. Teruslah menulis, pasti ada yang membacanya. Insya-Allah.

Khamis, 23 Mac 2023

PERTEMUAN TANPA DIJANGKA

    USAI ke pasar malam ataupun Pekan Rabu petang semalam, aku dan suami singgah minum petang di sebuah kedai makan di tepi jalan. Sebaik-baik duduk di kerusi, kelihatan kelibat jiranku sedang duduk makan di satu sudut dalam kedai yang sama. Makanan yang kupesan kelihatan panas berasap. Terpaksa mengambil masa pula untuk membiarkan ia suam sedikit. Lambat-lambat aku menyuap ke mulut.

    Sendirian nampaknya beliau di meja makan. Menurutnya beliau terpaksa menunggu giliran 'servis' kereta yang terletak di sebelah kedai makan tersebut. Kelihatan beratur kereta di situ. Penat pulang dari kerja dan menanti agak lama, maka beliau memilih utuk makan di situ.

    Dalam pada itu, mataku terpandang sahabat lama yang datang untuk membuat pesanan. Sempat aku menegurnya, lantas dia menghampiri dan duduk di sebelahku sambil menunggu pesanannya siap. Suaminya menanti di dalam kereta. Berita kelahiran cucu keduanya dan masalah kesihatan yang dijelaskan kepada kami sedikit meresahkan. Doaku dalam hati agar Allah permudahkan segala urusan bayi tersebut.

    Sedang asyik bercerita, datang pula sahabat suamiku mendekati meja kami. Kami saling mengenali. 'Orang Kuat' kampung... rasa-rasanya ramai yang mengenali beliau. Ditambah lagi dengan kekuatan suaranya yang tidak dinafikan, tidak perlu pembesar suara jika ada majlis di sekolah atau di kampung. Anak-anakku turut mengenali beliau. 

    Tiba-tiba tempikan suaranya memecah suasana. Rupa-rupanaya dari dalam kedai makan, beliau memanggil sahabat baiknya yang sedang bermotosikal. Agak laju, namun sempat memperlahankan motor dan membelok untuk singgah. Kenalan kami juga, seorang guru yang bakal pencen tidak lama lagi. 

    Setelah mendapat pesanan dan membuat bayaran, sahabatku memohon diri untuk pulang. Sempat pula suamiku melambai suaminya yang masih setia menunggu di kereta. Kalau bersemuka, pasti kian rancak jadinya. Sementelah mereka ada hubungan persaudaraan. Aku melangsaikan bayaran di kaunter sebaik-baik selesai makan manakala suami beredar ke meja 'Orang Kuat' kampung. Entah apa yang dibicarakan, tidak kuketahui.

    Sebelum meninggalkan kedai makan tersebut, kami bertemu pula sepasang suami isteri yang tingal di kejiranan yang sama. Kelihatan juga ibu bapa bekas murid di sekolah lamaku dahulu turut ada di situ. Masih menanti pesanan. Ramai sungguh kenalan kemi yang ditemui di hari terakhir Syaaban. Semoga semuanya dapat menjalani ibadah puasa di Ramadan Mubarak nan mulia.

    


Isnin, 20 Mac 2023

SEPANJANG JALAN KENANGAN

 SESEKALI bersama kalian... perjalanan sangat mengasyikkan.

    Seawal pagi setelah menunaikan kewajipan terhadap Yang Maha Esa, kami berkereta menuju bandar raya. Suasana agak kelam menandakan subuh masih ada lagi. Kedinginan menyelimuti. Bukannya dingin suasana di luar, ia hanya sekadar dingin ekon. 

    Sesekali aku meninjau-ninjau telefon bimbitku. Membaca khabar yang masuk dan membalas whatsapp mana yang perlu. Kedengaran betapa rancaknya dua orang sahabat di hadapan berbual. Aku memilih duduk di bahagian belakang atas alasan memberi laluan untuk sahabat yang lebih berusia duduk di sisi pemandu. 

    Sebaik-baik aku mengangkat kepala melihat suasana kiri dan kanan jalan... ah sudah, berlainan benar kurasakan. Terasa bagaikan berada di Johor pula. Kiri kanan dipenuhi dengan kelapa sawit. Eh, betul ke jalan ni? Gerak hatiku sedikit debar.

    "Kenapa jauh sangat, tak sampai-sampai" gerutu orang di hadapanku. Rupa-rupanya kami telah terlepas susur keluar tadi. Allahu robbi! Setelah keluar dari lebuh raya, kami berhenti di ruang bawah jejambat sebelum meneruskan perjalanan mengikut jalan lama. Suasana kelam mungkin menjadi asbab kami tidak perasan susur yang perlu kami masuk.

    Sedikit kesal bertenggek di hati... kenapalah aku tidak perhati betul-betul tadi. Semakin jauhlah perjalanan nampaknya. Terasa bersalah pula. Namun aku cuba membantu mengecam jalan lama tersebut agar kami tidak tersasar kali kedua. Keadaan jalan agak berbelok-belok. Aku mengurangkan perhatianku terhadap skrin telefon. Bimbang pula pening kepalaku nanti. Pemandu begitu berhati-hati memandu. Tabik hormat kepada beliau. 

    Akhirnya kami tiba juga di destinasi. Walaupun kelewatan, namun acara utama masih belum bermula. Alhamdulillah, segalanya Allah permudahkan. Kami terlepas acara berjalan kaki sejauh 3.5 km. Walaupun kami sempat mengikuti aktiviti Terapi Ketawa, aku tidak melakukannya dengan sepenuh hati. Risau semput atau asmaku menjadi pula. Aku bukanlah seperti mereka, aku belajar untuk menyedari siapa diriku.

    Acara kemuncak kami hayati bersama-sama. Agak menarik dan mengesankan. Pengalaman seorang bekas guru yang kini bergelar seorang MB begitu menjentik hatiku. Disampaikan  pula secara santai. Aku mengikutinya dengan sepenuh hati, barangkali boleh dijadikan iktibar. Selepas itu beberapa orang wanita tampil ke pentas untuk menerima penghargaan atas pencapaian masing-masing. Sekalung tahniah buat mereka.

    Kami akhiri program Pelancaran Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak tahun 2023 dengan menunggu pemandu mengambil gambar-gambar kenangan dan mendapatkan info berkaitan. Cekapnya insan berbadan kecil ini, mudah-mudahan sentiasa sihat wal'afiat. Kami sebagai penumpang ini sekadar menjadi peneman.

    Dalam perjalanan pulang, sekali lagi tersalah laluan. Alhamdulillah ianya dibetulkan segera. Maknanya kami terpaksa masuk semula ke laluan sebenar sebelum meneruskan perjalanan. Kesilapan siapakah itu? Emm...wallahu'alam. Walau apapun terjadi, kami tetap bersama. Saling membantu dan menenangkan.

    Keasyikan bercerita mengenai resipi dan masakan dalam suasana perut yang berkeroncong, menjadikan suasana menyegarkan. Celik mata kami. Tanpa sedar stering terlepas dari tangan kerana teruja menunjukkan gaya memasak. Amboi, hebatnya chef kita! Dialah pemandu, dialah chef. 

    Kami sempat singgah makan ikan bakar cicah air asam disamping nasi putih dan sayur kampung. Begitu menyelerakan. Alhamdulillah. Rasa kantuk pemandu kami hiasi dengan bercerita dan mengajaknya berbicara. Hendak bertukar pemandu, seolah-olah tidak diberi kepercayaan sepenuhnya. Maka kami tetap menjadi penumpang sepenuh masa.

    Terima kasih cikgu dan teacher... menimba pengalaman dan ilmu di bandar raya walaupun tersilap jalan terlajak laluan. Mudah-mudahan perjuangan tetap kita teruskan berbekalkan ilmu dan pengalaman. Insya-Allah.



Jumaat, 3 Mac 2023

KERUSI KOSONG ITU

    ANDAIKATA ada sedikit ruang untuk berkongsi rasa, aku ingin duduk-duduk di kerusi kosong ini  dengan Kak Wan sambil mendengar kisah perjuangan dan pengalamannya selama ini.

   Ingin kumenelusuri betapa hebatnya ujian yang beliau hadapi. Walau dugaan menerpa dalam hidupnya, ia dijadikan sebagai batu loncatan untuk lebih kental dan penuh bersemangat demi sosok seorang lelaki.

    Ingin kumendengar tulus dari hati dan naluri keibuannya bagaimana hebatnya tohmahan dan mehnah dilalui saban waktu tanpa hero di sisi. Tidak lupa juga bagaimana beliau meletakkan Allah sebagai tempat bergantungnya selama ini. Apa perasaannya dan apa harapannya untuk negara tercinta ini juga ingin kuketahui. 

    Sesungguhnya tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Ada rahsia Kak Wan yang mungkin boleh dijadikan iktibar buatku untuk terus kuat dan tabah meniti hari-hari mendatang. 


11.26 malam, 3 Mac 2023
ktb7 Lekiyour


 

Khamis, 2 Mac 2023

WAJAH TUA ITU

Kurenung wajah tua itu
Tangannya kusalami
Rupa-rupanya daya fikirnya tampak pudar
Kerana aku tidak dikenali

Namun seleranya kelihatan tetap baik
Sepinggan nasi berlauk itu mampu dikunyah dan ditelan
Malahan bertambah pula
Masih berbaki deria rasanya
Syukur alhamdulillah

Dalam duduk dalam baringnya
Mulut tidak henti bercerita dalam bahasa tersendiri
Terkadang jelas kadang butirnya kabur
Diulang-ulang bicara
Ingat-ingat lupa

Begitu rupanya wajah tua itu
Kian dimamah usia
Tingkahnya masih seperti dahulu
Berkisah saban waktu
Namun doaku tetap mengiringinya selalu


11.56 malam
2 Mac 2023
KTB7 Lekiyour