Sahabat yang diingati, Rahmah Ismail.....
Mudah-mudahan Allah mengampunimu dan dirimu termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin Ya Robb. Tenanglah engkau di taman barzakh.
Salam takziah buat seluruh keluarga yang ditinggalkan. Maaf kerana tidak mengenali kalian. Namun Rahmah Ismail bukan asing bagiku. Satu nama yang kukenali sejak di bangku sekolah rendah. Kami sama-sama belajar di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah di tahun 70-an lalu. Walaupun tidak sama kelas, namun kami sebaya.
Kami pernah berada dalam team tarian SKBG. Kami bawakan tarian lilin di dalam pertandingan di Sekolah Convent, Batu Gajah. Jenuh juga sama-sama berlatih di bawah bimbingan Cikgu Din. Aku, Liza, Rahmah, Sarina @ Imah dan Jurina memakai baju merah berkilat dipadankan dengan kain songket merah hati. Team kedua pula dianggotai oleh Dilah, Zawiyah, Nora, Fauzina, Azhar, Rosdy, Rahim, Syazwan, Mahathir dan Selvan.
Begitu kisahnya di sekolah rendah. Semua acara aku masuk, kecuali acara sukan. Aku tidak menyerlah di bidang sukan, kecuali badminton.
Di sekolah menengah, team tarian itu masih bersekolah sama denganku. Cuma Liza telah bertukar ke sekolah convent. Walaupun kami berpisah, kami bertemu juga di kelas tuisyen matematik di Sekolah Royal di pekan lama Batu Gajah. Di SMR, aku bertemu ramai murid India yang datang dari Sekolah Tamil di estet atau ladang getah. Rakan Cina pula ada yang datang dari Pusing.
Aku bersama Rahmah bersekolah di SYS dalam tingkatan empat dan lima, kami berada di kelas sains. Walaupun kelas kami berbeza, kami saling bertemu mata. Selepas SPM, aku kehilangan ramai rakan yang dulu. Aku ditempatkan di kelas tingkatan enam di sekolah yang sama. Aku kembali bertemu Liza, namun kelas kami berlainan. Pada waktu itu hanya SYS sahaja ada kelas tingkatan enam.
Kelas aku majoritinya murid Cina yang datang dari SMJK Yuk Kwan. Rakan lelaki Melayu kebanyakannya memang asalnya dari SYS. SYS rendah hanya untuk murid lelaki, begitu juga untuk tingkatan satu hingga tiga. Tingkatan empat barulah ada murid perempuan yang datang masuk dari SMR Batu Gajah.
Perjalanan kami menambah ilmu akhirnya berpisah jauh. Aku ke MPSI Tanjung Malim, Dilah ke MP Hulu Kinta manakala Liza ke MP Batu Rakit. Seorang lagi rakan sekelasku, Laila telah mendapat tempat lebih awal di MP Kinta. Tiba-tiba Rahmah muncul di maktabku, sebagai junior. Tanpa diduga kami bertemu kembali di maktab bersejarah itu. Kecilnya dunia. Namun kelas yang berbeza dan kesibukan kuliah serta GERKO tidak mengizinkan kami bersua.
Aku berkhidmat di daerah Manjung, manakala Liza dan Rahmah amat beruntung kerana dapat berbakti di kampung sendiri. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kerap juga aku pulang ke kampung semenjak PKP berakhir tanpa menjejak kalian. Akhirnya setelah bertahun-tahun tidak bersua, aku mendapat khabar tentangmu Rahmah, daripada Liza. Engkau sakit rupa-rupanya. Tina yang merupakan jiranku dahulu turut mengirim khabar tentangmu.
Rakan yang pernah sama tempat bertugas denganku dahulu iaitu Maziah, turut mengenalimu. Jiran belakang dapur rumahku rupa-rupanya sama batch denganmu juga. Oh.....ramai juga kenalanku yang mengenali dirimu. Dilah yang merupakan jiranku dulu turut mendapat khabar tentangmu. Terkilan rasa hati kerana kami tidak dapat menziarahimu dalam saat-saat terakhir itu.
Buat sahabat kami Rahmah Ismail yang pernah sama-sama menuntut ilmu di SKBG, SMR BG, SYS BG.... Pemergianmu merupakan sebuah kehilangan. Kenangan kita bersama suatu ketika dahulu masih terpahat di sanubari. Insya-Allah kami bakal menyusul. Moga Allah pertemukan kita di sana nanti.