Selasa, 28 September 2021

GEMERESIK SUARA MERDEKA

 


Kenangan bersama warga pendidik seluruh Perak diabadikan di dalam Gemeresik Suara Merdeka. 

Suara hati sahabat semua dapat dibaca menerusi buku ini yang dilancarkan pada 16 September 2021. Warga pendidik yang berbakat terserlah dengan bahasa puisinya. Makna merdeka dalam pelbagai pengertian, dalam luah rasa yang tersendiri dimuatkan di dalam buku ini. 

Tidak dapat dinafikan ada hati yang berbunga, ada jiwa yang digigit resah, ada sejarah yang diungkap dan ada kata-kata yang menyengat rasa!  

Pasu kaca dihias lukisan,
    Warna cerah cantik dipandang;
Jemput baca tuan dan puan,
    Pelbagai kisah telah dihidang.




KTB7 Lekiyour 28092021



Ahad, 26 September 2021

KAU TERBANG JAUH

 

Alhamdulillah, kakimu telah mendarat di bumi bertuah itu.  Terima kasih Ya Allah kerana telah mengizinkan anakanda yang seorang ini melanjutkan pelajarannya jauh di seberang.

Bumi bertuah Malaysia telah kautinggalkan pagi semalam berbekalkan doa kudus bonda dan sanak saudara.  Bakal bermulalah tiga tahun dalam kehidupan baharu.  Jauh dari bonda, adinda-adinda serta nendamu.

Kami dari kejauhan ini mendoakan yang terbaik buatmu, Mardhiyyah. Rezekimu bagi menyambung ijazah di Queen's University Belfast.  Lokasinya di Ireland Utara. Begitulah yang dikhabarkan. Tahniah dari kami yang mengenalimu.

Setakat ini kaulah satu-satunya cucu opah yang melangkah jauh mengutip ilmu demi mencapai cita-cita yang terpendam di lubuk hatimu.  Kau merupakan anak sulung daripada lima beradik, menjadi contoh kepada adik-adikmu.

Betapa besar pengorbanan ibumu membesarkanmu dan adik-adik.  Seorang ibu tunggal yang berjuang seorang diri setelah suami tercinta pergi menghadap Ilahi. Seorang pendidik yang berjiwa kental dan punya kekuatan memberi sepenuh kasih sayang dan segala keperluan seiring zaman yang serba mencabar.

Kenangkan semua itu ya anakanda Mardhiyyah...

Cukuplah sekadar ini dahulu.  Jaga diri baik-baik, jaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan rakan-rakan, dengan pensyarah malah dengan masyarakat di sana.  Bertemanlah dengan kalamullah.  Amal ibadah yang menjadi kebiasaanmu, teruskanlah.

Pohon pauh tinggi merendang,
    Hinggap singgah burung nuri;
Pergi jauh nun di seberang,
    Pandai-pandailah menjaga diri.

Seri pagi bunga telang,
    Tampak cantik seri bertamu;
Selamat pergi aduhai sayang,
    Baik-baik menuntut ilmu.


Salam dari Mak Lang,
26 Sept 2021, 5.58 pagi minggu.
ktb7 lekiyour

Selasa, 21 September 2021

KAU PERGI JUA


 Hari ini baru berkesempatan aku menulis tentang kita. Kelewatan ini disebabkan sedikit sibuk.  Hanya kini baru berpeluang untuk kuungkap sejarah kita suatu waktu dahulu.

Mengenalimu sebagai anak kedua Mak Long, yang semasa kecilnya kelihatan seperti pelakon hindustan.  Memang tidak dapat dinafikan. Usiamu muda setahun daripadaku.

Kembali mengingati kisah masa lalu, kenangan di rumah atuk itu mungkin sukar dipadam. Di situlah kita bersama-sama bertemu tika tibanya musim cuti sekolah dan juga musim buah-buahan. 

Riuh-rendahnya suasana di rumah atuk dengan kehadiran kami dari BG dan keluarga Iza dari KL. Bertemu kita di bawah bumbung yang sama.  Engkau berempat beradik bersama ibumu tinggal serumah dengan atuk. Di situlah tempat kita bertemu.

Waktu itu kita semua seramai lapan orang.  Kitalah yang menghidupkan suasana ceria di rumah atuk. Balik kampung merupakan saat yang ditunggu-tunggu. Emak kita adik-beradik. Kemudian barulah Ayah Yang mendirikan rumah tangga yang akhirnya menjadikan keluarga kita makin besar.

Semakin menjejak ke usia dewasa, kita makin terpisah. Masing-masing membawa haluan sendiri. Engkau merantau bersama adik-beradikmu yang lain. Mencari peluang pekerjaan di kota raya.

Sedikit sebanyak berita kami peroleh jua tentang pemergian adik bongsumu,Dedy. Kemudiannya abangmu Nain juga telah pergi beberapa tahun yang lalu, meninggalkan isteri dan dua orang anak. Namun aku sempat berkenalan dengan isterinya.

Kini engkau pula pergi mendahului kami dalam situasi covid-19 yang mengganas.  Mudah-mudahan engkau termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman. Kenangan zaman kita kanak-kanak dulu makin jelas terbayang di ruang mata.

Kini adik-beradikmu yang tinggal hanyalah Memi. Memi bersama keluarganya yang belum pernah kutemui.  Namun aku dapat menjejaknya di muka buku, tanpa pengetahuannya.

Kamal Ariffin.....moga engkau tenang berehat di taman barzakh. Kami yang tinggal ini bakal menyusulmu. Kenangan kita di Gunung Mesah Hilir Gopeng itu terpahat kukuh di ingatan. 

Selasa, 14 September 2021

SALAM TAKZIAH AISY

 Salam takziah Aisy daripada cikgu sekeluarga atas pemergian ayahanda tercinta.

Bersama-sama kita hadiahkan bacaan Fatihah
buat saudara Fadir bin Abu Bakar

Tahun ini kita bersama bersemuka tidaklah lama. Cikgu pun baru ditempatkan di SKGL. Baru nak mengenali seluruh warganya.  Penghujung bulan Februari kita bersama di dalam PdPR.  Kemudian bersemuka dalam tempoh tidak lama, siap dengan pematuhan SOP. 

Kemudian kita berada di dalam PKP, PKPD dan 'lockdown'. Dalam tempoh tersebut kita kembali menjalani PdPR. Agak lama juga kita tidak bersemuka. Talian hayat kita hanya menerusi aplikasi 'whatsapp' atau 'telegram'.

Mengenalimu sebagai murid yang kerap tidak hadir ke sekolah, dengan alasan yang boleh kami terima.  Dalam sebulan pasti sahaja ada kehadiran bertanda '0'.  Memang guru-guru sedia maklum bahawa ayahmu menghidap leukemia (kanser darah). Kekerapan untuk beliau berurusan di hospital menyebabkan engkau terpaksa ikut sama 'bercuti'.  

Engkau akan berada bersama ibu yang menguruskan segalanya ataupun terpaksa dijaga oleh nenek atau saudara-mara lain. Betapa besar pengorbanan ibumu dalam menguruskan semua itu.  Alhamdulillah kerana ibumu boleh memandu.  Maka urusan berulang alik ke hospital sedikit mudah, namun agak memakan masa juga. 

Justeru, bagaimanalah agaknya pengurusan masa bagi ibumu.  Cikgu tidak dapat membayangkan betapa beratnya ujian yang terpaksa ditempuh.  Menguruskan dua orang anak kecil yang baru mengenal alam persekolahan, dan terpaksa belajar dalam norma baharu. Di samping suami yang sakit dan seorang lagi anak bongsu. 

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Pada permulaannya, PdPR tetap dihadiri. Namun lama-kelamaan tidak ada suaramu di cecelah suara ramai anak-anak tahun satu itu.  Ada ketikanya ibumu memaklumkan keberadaan dirimu.  Rutinnya mengurus suami yang sakit dan jadual janjitemu yang makin kerap dengan pihak hospital.  Kekuatan yang entahkan pasti ada atau tidak dalam diri orang lain.

Sudahnya cikgu cuma sesekali bertanya khabarmu dan ayahmu sahaja.  Cikgu sedia maklum akan kepayahan yang ditanggung oleh ibumu.  Sekadar doa yang mampu cikgu kirimkan, agar Allah memberi kekuatan buat ibumu dan kesembuhan buat ayahmu.

Namun khabar semalam adalah penamat bagi segalanya.  Cikgu doakan agar ayahmu tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman, dan engkau sekeluarga tabah menerima ketentuan itu.  Dalam usia begitu muda engkau telah bergelar anak yatim.  Kehilangan kasih seorang ayah yang telah kembali menemui penciptanya. 

Sesungguhnya ada hikmah di sebalik semua ini.  Hanya Dia sahaja yang maha mengetahui.  Bersabarlah duhai anak. 

Rabu, 1 September 2021

MERDEKA YANG DUKA

Merdeka yang disambut tahun ini               

Nur Aida Basir

terperosok dalam lembah hati nan duka

kepiluan bertapak di ruang rasa 

telah tercatatnya sebuah kehilangan

perpisahan di dunia.


Gugurnya serikandi adinda kami

dalam pertarungan sengit dengan musuh tak terlihat dek mata

telah lama tertulis engkau insan pilihan Tuhan 

tidak ada kemampuan untuk kami menghalang

sebak nan meluka tak terungkap dengan bait-bait kata

kesedihan mewarnai tanggal keramat 31 Ogos ini 

hanya ungkapan doa dan Fatihah sebagai hadiah 

mengiringi noktah terakhirmu


Kekuatan telah kauadun dan canai penuh semangat itu

membakar jiwa menghidupkan nyala rasa

tinta-tinta bernilai yang kautinggalkan 

kami jadikan ibrah dalam meneruskan perjalanan berbaki

sesungguhnya kami bakal menyusul

dalam ketidak tahuan tarikh rasminya


Berehatlah adinda di taman barzakh...

bertemankan bekalan yang kaubawa






ida a.z.

01092021 lekiyour

DUKA DI PENGHUJUNG OGOS (2021)

 Awal pagi 31 Ogos aku tersentak menerima khabar duka tentang sepupuku yang ditidurkan.  Iza memaklumkan tentang perkara tersebut.  

Sudah lama sangat aku tidak menerima berita mengenainya.  Paling tidak pun beberapa tahun lalu, itupun semasa emak dan ayah masih ada... abang ada menceritakan tentang Kamal yang ditemuinya secara kebetulan di Ipoh. Menurut abang, Kamal telah mendirikan rumah tangga.

Selepas itu, senyap begitu sahaja.  Sehinggalah ke hari ulang tahun merdeka kali ini... tiba-tiba khabar pilu mengisi group whatsapp kampung kami. Bertalu-talu pula pertanyaan masuk.  Masing-masing sudah hampir lupa bagaimana raut wajahnya dan nama penuhnya.

Ya, aku cukup pasti bahawa namanya Kamal Arifin.  Anak kedua Mak Long, iaitu kakak ibuku. Kenangan tika kami bersama-sama berada di rumah atuk (panggilan kami kepada opah) ketika musim cuti sekolah, tiba-tiba memenuhi ruang mindaku. Kisah lebih empat dekad yang lalu.

Kamal empat beradik tinggal bersama ibu dan atuk. Iza dan adiknya datang bersama ibu mereka dari KL, manakala kami pula dari Batu Gajah. Di rumah atuklah tempat kami berhimpun. Rumah kampung bertiang tinggi dan bertangga.

Bahagian atas ialah anjung rumah. Tangga di hadapan jarang kami gunakan. Di situ ada ruang santai dan tempat tidur. Seterusnya untuk turun ke dapur ada satu lagi tangga. 

Seringkali kalau atuk, Mak Long, Acu dan emak memasak, mereka akan menggunakan dapur kayu. Asapnya akan naik di bawa angin hingga menyebabkan sesiapa yang duduk di atas sedikit kelemasan.

Aku masih ingat akan keriuhan rumah atuk pada waktu itu. Keseronokan menunggu durian luruh dan menangguk udang di sebatang sungai tepi masjid bagai terbayang-bayang di ruang mata.  Kemudian kami bersama-sama menapak ke rumah atuk bongsu yang letaknya di belakang sedikit dan lokasi rumahnya di tanah yang lebih tinggi. 

Kami terpaksa mendaki semata-mata untuk menonton televisyen cerita P.Ramlee.  Rumah atuk di lembah tidak ada televisyen.  Tidak ada perasaan takut semasa berjalan di dalam kegelapan malam, sekadar bertemankan sedikit suluhan cahaya daripada lampu rumah atuk bongsu.

Rumah atuk letaknya di tepi jalan raya.  Di selekoh pula. Apabila kenderaan lalu di selekoh tersebut pada waktu malam, suluhan lampunya akan tepat menghala ke rumah atuk. Sukar sedikit aku melelapkan mata kerana bunyi kenderaan agak mengganggu lenaku di samping cahaya yang masuk di celahan ruang angin yang ada akan jatuh ke dinding serta bergerak mengikut kelajuan kenderaan tersebut.

Abang yang merupakan cucu sulung atuk, suka benar bercerita pasal hantu hinggakan sepupu-sepupu kami ada ketikanya menjerit-jerit. Bukanlah dek kerana seram atau ketakutan. Lebih kepada terperanjat sahaja.  Melihat keadaan itu, rasa kelakar juga. 

Akhirnya bertahun kami terpisah, setelah mereka adik-beradik berhijrah ke Kuala Lumpur. Peluang pekerjaan terbuka di sana. Sesekali berita tentang mereka sampai juga ke pengetahuan kami.

Dari jauh, kami mendoakan mudah-mudahan Kamal Ariffin sentiasa berada dalam kasih dan rahmat Allah. Dipermudahkan urusan dan segera sembuh. 

                                   

                                     **************


Menjelang jam 12.33 tengah hari, satu mesej duka masuk pula ke group whatsapp LA6.  Tatkala aku membaca satu demi satu  ayatnya, terasa dada berombak.  Sebak mula bertenggek di segenap ruang rasa bila mana namanya disebut-sebut.

Allahuakbar...

Di group whatsapp Projek Penulisan Islamik dan group whatsapp Peserta APR SAW juga berita ini  dihidu dengan pantas. Ramai yang mengenali adinda Nur Aida Basir.

Aku cuba mengintai di muka buku.   Beberapa orang rakan memuat naik tentang pemergiannya, malah kami menyebut kumpulan kami adalah adik-beradik besar di dalam projek Legasi Abah.

Seorang demi seorang meninggalkan kami bermula dengan pemergian Tn Haji Md Isa bin Md Yusuf dari LA 5. Diikuti dengan Dr Reduan Buyung (LA 9).  Masing-masing pergi dalam keadaan belum lagi memeluk buku LA yang dinanti.

Tatkala menyaksikan karya 20 Jun (Citra Pengkarya @ TV UnIKH) yang bertajuk 'Bagaimana Saya Bermula?' oleh Aida, aku tidak dapat menahan air mata.  Sebak menguasai diri.

Pengalamannya menjadi ibrah buat kami. Di dunia kita bersama, mudah-mudahan di sana nanti kita bersua kembali. Insya-Allah.