Isnin, 16 Disember 2019

SEMALAM DI PLP, LEKIR


 

Semalam yang berlalu membawa seribu kenangan terindah.  Pada persahabatan yang baru berputik.  Pada ilmu yang baru berbunga.  Pada cinta mula memekar.......terbina.

Terima kasih semua...
pada yang tua
yang sebaya
yang muda
yang sudi hadir
yang sudi menghantar
yang sudi berkongsi cerita

Terima kasih buat orang hebat ini.......
pada Cekli Zali
pada En Hashim Osman
pada Pn Hayati Md Desa
pada Pn Norehan Muhammad
pada Dr. Mohd Nazri bin Zainuddin
....mohon halalkan ilmu yang kami kecapi

Terima kasih juga......
 'team' sahabat dengan usaha jitu
 'staf ' PLP yang sedia membantu
 'CMK' bersama 'special menu' 

.....bakal menjadi kenangan abadi
.....terpahat dalam memori



ida a.z.
ktb7 lekiyour
16122019





Rabu, 11 Disember 2019

SENYUMMU TETAP SEPERTI DULU

lewat petang tadi.....
lukisan wajahnya terhidang depan mata
dan menjadi hidangan kami semua

sore tadi juga.....
terungkap garis-garis duka dan hampa
kecewa bersama angin resah
yang menyelinap di segenap rongga
telah lama menyimpan luka 
penuh parut berserakan

namun senyum itu tetap seperti dulu...
mencerminkan riang seorang insan
anugerah dari Tuhan
buat bonda yang penuh kesabaran
dan ayahanda yang penuh ketabahan
meniti musim-musim mendatang
tanpa putus berharap dari kasih-Mu 
disulam syukur dengan ujian yang bertamu

senyumanmu masih seperti dulu...
sesekali bertenggek jua sayu itu


10122019
pondokpolislekir



Khamis, 5 Disember 2019

KHAYRA...

Bersabarlah duhai sahabat.......

Tatkala menatap bait-bait bahasamu di status fb, sebak menguasai diri.  Naluri keibuanku tergugat sama.  Tak tahan membaca runtunan rasamu tika itu.  Air mataku meluncur perlahan menuruni pipi.  Kuseka dengan telapak tanganku.

Nurin........ sesungguhnya pemergian Khayra ujian besar buatmu.  Ramai yang turut merasai kehilangannya......walaupun tidak sehebat apa yang kau rasa.  Redholah dengan ketentuan-Nya.........engkau kuat Nurin.....

Perjalanan hidup kita berbeda, namun tujuannya tetap sama.  Yang akhirnya kita sama-sama akan menuju ke negeri yang abadi.  Dalam usia semuda itu, dia pergi meninggalkanmu.  

Dan kita ini Nurin....... sama-sama merasa saat-saat duka untuk melepaskan insan kesayangan.  Cuma barangkali berbeza tingkat usianya.  Berbeda pulalah beban perasaan yang ditanggung.  Pemergian ibu.....ayah....suami.... anak............namun ia tetap sama.  Menerima kehadirannya dengan bahagia yang tak terungkap.  Nikmat yang diberi-Nya sama-sama kita syukuri.

Dan saat-saat Dia ingin mengambilnya semula..... izinkanlah juga dengan rasa penuh ikhlas.  Yakinlah ada hikmah di sebaliknya.  Semuanya pinjaman belaka.  Tidak ada satupun milik kita.  Semua yang ada.... Allah yang punya.

Dan kenangan bersamanya mungkin sukar untuk dilupakan.  Andaikata kesedihan melanda........mengadulah pada-Nya.  Berpautlah pada kasih-Nya.  Carilah ketenangan dalam kalam-Nya.

Moga Khayra......permata hati bondamu Nuridatul Fitri........bahagia menanti di sana.



  





Isnin, 2 Disember 2019

HARI YANG MURAM

Dua tiga group whatsapp membicarakan kes ini.  Bertalu-talu kami berbalas info.  Kesedihan mula bertenggek di ruang hati.......

Walaupun mereka yang menjadi mangsa tidak kukenali, hati terpanggil untuk mendapatkan penjelasan.  Ini adalah kerana salah seorang mangsa merupakan warga sekampung tempat tinggalku.  Sama lorongnya........Beringin 6........

Hati kian berteka teki..........meneka dalam kesamaran.....
Namun akhirnya terjawab jua persoalan dengan maklumat yang diperoleh daripada sahabatku Dayah yang bertugas di HSM.  Juga melalui rakan sekerjaku, Syikin.....yang amat mengenali mangsa yang merupakan jirannya.  Kedengaran sebak suara Syikin di hujung talian tika memaklumkan duduk perkara sebenar.  Kami berbicara seketika.  

Berita yang sahih menjelaskan bahawa seorang meninggal, manakala dua lagi cedera. Salah seorang yang cedera itulah anak jiranku, Kak Ros.

Foto yang dirakam dari pelbagai sudut memenuhi ruang whatsapp........ Dan dari celahan gambar kiriman itu, wajah mangsa yang disahkan meninggal turut diselitkan.  Memang aku tak mengenalinya.  Cantik orangnya. 

Ada beberapa orang dalam kalangan rakan sekerjaku mengenali mangsa.  Pandai menjahit tudung kata mereka.... malah memang ada yang pernah menempah tudung padanya.  

Sejurus kemudian berita terpampang jelas di  myMetro.  Kubaca dengan sedikit getar di jiwa.  Kepiluan meraja di hati........ kerjaya yang sama seperti kami.  Mereka adalah guru.  Dalam perjalanan ke tempat kursus, sedangkan di kala itu anak-anak murid bercuti.  Pemergianmu di pagi itu mengundang kedukaan.  Suasana tampak muram.

Kehilangan sebutir permata.........bersemadilah dikau di taman barzakh.......moga syurga menantimu....

Kepada sahabat-sahabatmu, didoakan agar segera sembuh....

Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat buatmu......

Moga dikurniakan kesabaran dan ketabahan buat
suami tercinta dan permata hati bonda




Isnin, 18 November 2019

Perginya seorang sahabat......

Kesibukan melanda amat ketara di penghujung musim  ini.  Banyak khabar-khabar mendukacitakan turut menerjah ruang hati.   Terlalu lama juga aku tidak menulis di ruang ini......

........Kak Fazilah Yahya........

Mendapat khabar tentangmu melalui whatsapp rakan setugas petang itu, membuat aku terkedu.  Sementelahan pula begitu banyak sahabatku bernama sedemikian

......Ustazah Fadzilah ....rakan setugas

......Ustazah Nor Fadzilah......juga rakan setugas

......Cikgu Fadzilah Alias, isteri YB

......Cikgu Fazilah Othman (sahabat sekampung)

........dan Fazilah Yahaya (sahabat yang pernah sama bertugas di sekolah ACS)

Ternyata......otakku berputar ligat mengingat nama itu.  Tika kami sama-sama dalam kumpulan kursus eTEMs suatu ketika dahulu.

Dan dalam kumpulan itu Kak Fadzilah yang paling tua di antara kami berempat.  Watak keibuan jelas  kelihatan di wajahnya.  Seorang kakak yang penyabar dan tenang........lepasan MCE!!!!!  Barangkali Bahasa Inggerisnya cukup bagus berbanding kami yang lepasan SPM....

Sentiasa tampak tenang sepanjang masa berkursus........ dan menjadi rujukan kami bertiga.  Entah ada atau tidak lagi fail kursus yang kami bina bersama......ada foto kami berempat di dalamnya......Kak Fazilah, Ramlah Musa, Jamalina Samsuddin dan aku......

Dan aku sempat mengaplikasikan apa yang kuperoleh menerusi kursus itu kepada anak-anak murid selama 2 minggu sahaja!!!  Kerana aku kemudiannya ditukarkan ke sekolah tempat aku mengajar sekarang.........bukan aku mohon bertukar.  Sebenarnya aku ditukarkan.

Bermula dari detik itu........kita terpisah.

15 Januari 2005, aku tinggalkan SK Methodist ACS,  Sitiawan yang lebih dikenali sebagai ACS, Kg Koh.  Sekolah lama.  Banyak perabot dan bangunan tua di situ........sesekali nampak sunyi dan agak  menyeramkan.  Tambahan pula kami  sama-sama mengajar di sesi petang.  Bangunan-bangunan kosong kelihatan sedikit menggerunkan.....

Terputus hubungan sebagai warga ACS, namun ada kalanya kita bersua sesekali cuma.

Dan tahun ini ....setelah sekian lama tiada khabar berita........tiba-tiba lamunanku terhenti bila mana tersebar khabar duka itu.  Engkau terdampar di ICU, Hospital Manjung.  Dan aku mengambil kesempatan bersama kak Uda mengunjungimu.  Menautkan kembali persahabatan yang terhenti.  Berbicara bersama Farah, yang kukenal dulu.  Dengan ayah dan adiknya.  Dan turut mengambil peluang menjengukmu yang terbaring lesu.

Kukirim secangkir doa, menghimpun kata-kata yang tersekat di kerongkongan cuma.......sambil menatap wajahmu.......masih seperti dulu.  Cumanya pernafasanmu dibantu.  Allahuakbar.....  Kakak yang dulunya ceria, dan sering bercerita........terbaring kaku.

Hanya harapanku ........mengharapkan agar kau dapat kembali seperti dulu.......

Selang beberapa hari, aku menjenguk bapa bekas anak muridku yang kemalangan.  Juga ditempatkan di ICU itu juga.  Selang beberapa buah katil daripada katil Kak Fazilah.   Ketika melangkah pergi, aku sempat mengerling ke arah katilnya.  Ada suami dan anakanda yang dicintai di sisi.

Di hati masih berharap, jua turut mendoakan yang terbaik buatnya.




.........dan akhirnya engkau pergi jua .........
Sesungguhnya itu penentuan Yang Maha Esa.
Semoga kakak yang kukenal ini tergolong dalam kalangan insan-insan yang beriman.
Mudah-mudahan taman barzakh itu menjadi tempat istirehat buatnya, menuju negeri yang abadi.
Perginya seorang sahabat yang baru sahaja bersara daripada tugas sebagai seorang pendidik.
Berbahagialah engkau di sana.   






Ahad, 8 September 2019

AWANIS SAMUDERA

Awanis Samudera.........

Tiba-tiba jer nama ini dipersetujui sebulat suara.  Sedia menyahut cabaran walaupun tidak tahu bakal meredah samudera yang barangkali perit untuk dilalui....

Manisnya nama semanis ukhuwwah yang tercipta!

Walau dalam latihan singkat cuma, namun jalinan tautan mantap  terasa.  

Punya status yang berbeza, ia langsung tidak membataskan persahabatan yang  tercipta.

Ye.......siapa sangka.....dan silap sangka....terjebak dalam pertandingan ini. Namun tabik spring untuk semua.  Pada Puan Pengarah: Kak Fadz,  Puan Pengurus: Puan Siti,  Pengurus Baju: Puan Yati  & Pengurus Group: Cik Dayah.

Seterusnya semua pemain......Umi, Tipah, Eda, Hasimah (center tetap), Najwa @ KakUde, Hafizah,  Siti Zaharah, Aisyah, Nisa dan .................

Dalam sesi latihan yang penuh suka duka...... mengharap penggantian pemain...... semua berjaya diatasi dalam kadar segera.  Betapa pemurahnya DIA.  Menyusun atur segala.   Ingatan pada Laila, dengan bib orennya.  Pada Puan Pengarah......ehsan prasarana sekolah lamanya.......juga ilmu daripada sahabatnya, Cikgu K dan perkongsian bersama anak-anak didiknya.

Dan tak lupa pada Su @ Ita dan Kak Nor @ Kak Nik yang mengalami  sedikit kecederaan sewaktu sesi latihan.  Juga 'adik' yang mencukupkan pemain.  Khas buat Nana yang rajin mengutip ilmu bola jaring yang terlalu asing baginya........ dan menjadi jurukamera kami akhirnya.
.
Betapa besarnya pengorbanan seorang Pengurus yang kecil molek....... mengusahakan segalanya hingga berjaya. Ya......siapa sangka AWANIS bisa  meredah SAMUDERA dan tidak berhenti separuh jalan. Memperoleh pengalaman berharga hingga ke perlawanan terakhir........

Akhir kalam...... terima kasih juga buat yang hadir memberi  sokongan sama ada di dalam dewan mahupun dalam group whatsapp!!!!!


Rabu, 29 Mei 2019

Ramadan hadir kembali

Untuk tahun yang  ke 3 aku turut turun padang bersama i-bantu Ikram Manjung....
menyampaikan sumbangan orang ramai yang telah kami kumpulkan bersama-sama
di pasar raya.  Hatiku memang mudah terpaut dengan kerja-kerja amal. Namun kekangan masa
dan tugas sering menjadi penghalang.

Usaha yang sedikit ini mudah-mudahan Allah terima.  Hanya itu yang diharapkan.
Berziarah sambil menyampaikan sumbangan di bulan barokah ini.......sambil meninjau keadaan mereka yang yang tergolong dalam asnaf yang lapan.  Barangkali mungkin sedikit sebanyak
dapat memberi keceriaan di wajah mereka.  Dalam masa yang sama dapat menyelami bagaimana
kehidupan rakyat  marhaen di luar sana.



Kesedihan ada kalanya bertamu di teratak hati, lebih-lebih lagi tatkala ada di antara yang kami
santuni itu hanya menumpang rumah tuan tanah atas dasar ehsan.  Rumah sekadar dapat menjadi
tempat teduh......dan lebih malang lagi sedang dimakan anai-anai.

Ditambah lagi dengan terpaksa berhenti sekolah, barangkali tidak cukup wang belanja.  Kehidupan
yang dhaif sangat...... Menelusuri kehidupan sebahagian daripada mereka yang memerlukan, menjadikan aku sedar bahawa kita jangan hanya duduk dalam zon selesa hinggakan tidak sedar
bahawa ada saudara kita begitu sukar untuk mendapatkan sesuap nasi.......

Belajarlah berkongsi apa yang kita  ada......
Belajarlah bersyukur...........
Belajarlah memberi............




Ahad, 10 Februari 2019

pesan ayah

pesan ayah......
bergiatlah dalam politik
tapi jangan pegang jawatan penting

pesan ayah.....
boleh jer berpolitik
tapi jangan ke depan sangat

pesan ayah......
masuklah gelanggang politik
tapi jangan aktif sangat

dan kini tiada lagi pesan dari ayah.....
sebab ayah telah pergi buat selama-lamanya

pesanan ayah itu
tetap  terpahat di nubariku

dan ayah menyimpan sejarah silam
dengan sepak terajang politik
disekat dicantas dinafikan
..........

turut beralih arah bertukar angin
dari biru ke hijau
dari hijau ke oren
demi mencari keadilan dan menegakkan yang hak

YB oh YB............

YB............
digunakan di akhir surat
bermaksudYang Benar...

YB...........
ringkas kata kepadaYangBerhormat
misalnya YB Menteri Besar
YB Dato Seri si polan si polan
YB Ahli Parlimen
YB Adun

YB............
bagi yang bekerja
membawa erti Yang Berusaha
yang sentiasa bekerja dan berusaha

Akhir kalam.......YB
Membawa istilahYang Bersara

Dan aku masih menunggu saat itu
.......bilalah aku nak bersara.......




Rabu, 6 Februari 2019

TUDUNG KEMBALI ......

Keris terselit di pinggang bendahara,
Ucapan berseni santun berangkai;
Dipusing dibelit pelbagai cara,
Fesyen terkini tudung dipakai.

Pokok rerama bawa ke Melaka,
Tanam di kampung juga di pekan;
Pelbagai jenama menarik belaka,
Peniaga tudung bagai cendawan.

Di tengah padang pergi memikat,
Sirap selasih jadi bekalan;
Tudung dipandang hati terpikat,
Lama memilih bila berkenan.


Kulit kerang diambil disimpan,
Merata bertebar si kulit siput;
Tudung sekarang amboi boleh tahan,
Asalnya lebar.... dipintal seciput!

Jam berzaman jadi tinggalan,
Tulisan roman menghias muka;
Tudung ultraman jelas kelihatan,
Terpampang 'diamond' di tengah dada.

Menjelang Syawal hari lebaran,
Gurau senda dengan meriahnya;
Tudung bawal jadi pilihan,
Wanita muda ramai memakainya.





Jumaat, 1 Februari 2019

salam ayahbonda

2018 berlalu pergi
membawa episodnya tersendiri

November yang baru berlalu
membawa kenangan menyentuh kalbu
ayahanda yang pergi dulu
disusuli bondaku
hati pun meruntun sayu
sebak nan memilu

Hilanglah doanya kini
sepi meniti hari
terkadang tumpah jua air mata ini
merindu yang telah pergi

Terima kasih Ya Rabbi
menganugerahkan sifat lupa
hingga hati tidak selamanya hiba
mengulit sendu selamanya

Sampaikan buat mereka berdua...
Fatihah yang terungkap
Yaasin yang terlafaz
Ayat-ayat cinta yang kusedekah
......moga yang dikirim sampai jua
......kasih buatmu terpahat selamanya