Isnin, 30 Mei 2016

ADUH KASIHAN

Usai berdoa, kami memulakan pelajaran.  Tiga orang saja yang hadir hari ini.  Hatta kalau hanya seorang pun yang hadir, in shaa Allah aku akan teruskan juga.

Jadual kelas bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah hari.  Dua subjek sekaligus dalam tempoh 3 jam itu.  Agak sukar mengajar subjek Matematik berbanding dengan Bahasa Melayu.

Mengajar mereka bertiga dalam suasana santai, saling membantu dan memperbetulkan kesilapan kawan.  Teknik rakan sebaya kusemaikan kepada mereka.  Agar mereka tahu bahawa ilmu yang ada perlu dikongsi bersama.  Seterusnya manfaatnya juga diperoleh bersama.

Selesai kelas tambahan, aku menghantar Aishah pulang.  Semasa Aishah mahu menjejak kaki ke keretaku, Rizqan sempat bertanya perlahan kepadanya...... "Cikgu ni mak Aishah ke?".  Soalan itu jelas kudengar.

Walaupun tidak berbalas, Rizqan tetap tersenyum sambil mengunyah pisang goreng yang dibekalkan oleh ibunya.  Dia menunggu kakaknya yang bakal menjemputnya pulang.

Dan lewat petang tadi, ketika aku menemani anak bongsuku mencari barang keperluan asramanya di bandar.........  aku terpandang pakaian raya yang bergantungan.  Cantik-cantik belaka.  Walaupun Ramadhan belum menjelang.... keperluan hari raya sudah mewarnai pusat pakaian dan beli belah. 

Tiba-tiba aku teringat pada Aishah dan Rizqan....... lebih-lebih lagi pada Rizqan....  Semasa di kelas tadi tak habis-habis dia memuji kasut yang dipakai oleh Umar.......

 

MENU RAMADHAN

KEK PISANG SENANG SANGAT!!
by : zlaila hashim
1 1/2 cwn tepung
1 sk sodium bikarbonat
1sk baking powder.
1 cwn pisang
1 cwn minyak
1 bijik telor
1 cwn gula halus
CARA - CARA
-blend telor & gula smp kembang.
-masukkan minyak ngan pisang.
-masukkan tepung
-gaul sehingga sebati
-kukus selama 45minit..
Taraaa...
Siapp..





Bagi yang rajin memasak barangkali ingin mencuba ....

Tapi yang ini lagi best!
Antara menu makanan rohani sepanjang Ramadhan yang mulia....
  • Tilawah Al Quran sejuzuk sehari paling kurang.
  • Solat tarawih minima 8 rakaat setiap mlm
  • Solat witir minima 3 rakaat semalam
  • Beri makan org berbuka puasa walaupun dgn sebiji tamar setiap hari
  • Solat fardu 5 waktu berjemaah setiap hari
  • Sunat dhuha setiap pagi
  • Sedekah setiap hari minima seringgit
  • Pastikan sahur setiap hari
  • Iktikaf di masjid setiap hari walaupun 10 minit
  • Tadarus Al Quran sambil usaha memahami maksudnya
  • Ziarah org yg kurang bernasib baik
  • Kurangkan ziarah ke bazar-bazar Ramadhan
  • Pilih makanan sunnah sbg menu harian
  • Elakkan membeli makanan dari tangan-tangan org yg fasik
  • Jauhkan aktiviti yg lagho
  • Zikir harian, banyakkan berdoa
  • Lazimi bibir beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali dlm sehari
  • Ajari diri dgn sifat rendah hari kerana Allah
  • Mudah memohon maaf dan memberi maaf
  • Menjaga dan menghubung silaturrahim
  • Menjaga dan menutup aurat dgn sempurna
  • Menjaga lisan, pandangan, pendengaran, dan hati dari perkara yg dilarang
  • Tdk berlebih2an mahupun membazir dgn makanan terutama juadah berbuka
Kredit buat rakan whatsapp yg berkongsi info ini....

Jumaat, 27 Mei 2016

RAGAM SEBELUM CUTI

Aishah kelihatan terkebil-kebil sendirian.  Memerah otak membina ayat mudah.  Lama kujeling.  Memerhati gelagatnya.  Sementara menyudahkan semakan terakhir hasil tulisan Rizqan, aku terdengar ...... "Ni macam mana, cikgu....." merayu bunyi suaranya.
  
Fathul di sebelah kiri juga memerlukan bantuan.  Dia kelihatan gelisah sambil bangun menyandar di dinding dengan wajah agak mencuka.  Di hadapanku Aishah yang duduk di baris yang kedua.  Memanggilku sedari tadi.  Mengharapkan pertolongan.  

Walaupun tidak ramai dalam kelas itu, agak sukar mengajar mereka tambahan pada aras pencapaian yang berbeza. Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan kemahiran baru yang diketengahkan.  Benar-benar menguji kesabaran.

Rizqan bangga bergaya.  Orang pertama berjaya menyudahkan tugas yang diamanahkan. Umar Khalid jarang nak bertanya, ikut suka hati membuat kerja sendiri-sendiri.  Boleh membaca, tapi bila membuat kerja-kerja bertulis...... dialah yang paling lambat, ditambah lagi dengan tulisan yang paling menyeksa mata bila melihatnya.

Faziatul Hana yang duduk di hadapanku sering tidak hadir.  Namun cepat dapat apa yang diajar.  Tulisan pun boleh tahan kemasnya.  Manakala Najmi kuberikan kerja yang jauh lebih mudah memandangkan banyak lagi huruf yang belum dikenalinya.

Usai membantu Fathul, aku mendekati Aishah.  Membantunya serba ringkas.  Selebihnya atas usahanya sendiri.  Dan akhirnya...... siap juga kerja yang diberi.  Seorang demi seorang meninggalkan kelas setelah tamat waktu Bahasa Melayu.  Dan peserta akhir keluar dari kelasku ialah Umar.  Puas hati sangat mengajar hari ini.

Malangnya Faris tidak hadir.  Dalam minggu ini sahaja rasanya dua kali dia tidak hadir ke sekolah.  Sepanjang yang aku ingat setiap minggu pasti tak penuh lima hari.  Apalah pula masalah yang dihadapi yang seorang ini......anak yang dipelihara oleh ibu dan bapa saudara.......

Soalan cepu emas untukku hari ini ialah..... "Esok cuti ke cikgu?" dan " Pukul berapa kelas tambahan, cikgu? ".   Tiada pula yang minta kerja sekolah nampaknya hari ini.

Khamis, 26 Mei 2016

SEMOGA CEPAT SEMBUH

Lewat petang tadi aku dan suami sempat menziarahi sahabat seperjuangan kami, mesra dipanggil Cekli...  dimasukkan ke wad 3 katil 11.

Sebelum menziarahi beliau, kami menjengah jiran yang ditempatkan di wad 4 akibat lelah.  Acapkalinya begitu..... tujuan datang nak ziarah yang berkenaan..... pasti terserempak dengan kenalan yang lain....

Cekli..... kukenal sejak 2005.  Tika itu anak kami sebaya dan belajar di dalam kelas yang sama.  Bukan setakat aktif menjadi ahli PIBG sekolah, malah aktif juga dalam konteks bermasyarakat.

Beliau turut aktif di bidang politik, juga di bidang penulisan.... petah berbicara dengan hujah yang bernas.  Amat mengambil berat dalam aktiviti kemasyarakatan, biasanya akan turun padang tanpa mengira latar belakang mereka yang memerlukan khidmatnya.

Beliau bukan orang besar...... tapi tindakannya amat profesional.  Bijak membuat timbangtara sebelum memutuskan sesuatu kenyataan atau membuat satu-satu keputusan.  Punya pandangan yang jauh ke hadapan ....

Bukan aku hendak memuji, itu adalah kenyataan.  Beliau turut disenangi pelbagai lapisan masyarakat.  Namun mungkin ada yang kurang senang dengannya, maklumlah manusia itu berbeda pandangannya.  Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain.

Sebagai seorang sahabat 'facebook' dan rakan penulis, kebersamaan kami mungkin dalam mendaulatkan kebesaran Tuhan, menegakkan keadilan dan menentang kezaliman...

Semoga Cekli cepat sembuh, dan dapat terus berjuang.  Sesungguhnya di sebalik musibah yang menimpa, in shaa Allah terkandung hikmah yang tidak kita diketahui.   


Rabu, 25 Mei 2016

KASIH YANG HILANG

Dia sama sahaja seperti kanak-kanak lain.  Riang dalam dunianya sendiri.  Penuh dengan jerit pekik dan hilai tawa.  Sesekali pergaduhan kecil antaranya dan rakan-rakan mewarnai kehidupannya.  Pendek kata, dia sama seperti orang lain yang seusia dengannya.

Tapi entah di mana silapnya........  kesabaran guru-guru sering tercalar dek sikapnya yang satu itu.  Acapkali kisah yang sama akan diungkit oleh guru yang berbeza.  Dan kesimpulannya, tidak kira dengan guru manapun yang menjejak kaki ke kelasnya.....  sikap dan tingkah lakunya tetap sama. 

"Dia bukan tak boleh membaca..... cuma malas nak menulis jer.  Entah apa kenanya entah...... tak tahu nak mengatakannya," begitulah penerangan Cikgu Juriah sekiranya ada orang bertanya tentang Ikram.  "Orang lain siap semuanya.  Kalau ada yang lambat pun, daripada lapan ayat yang diberi...... err..... empat atau lima ayat siap juga.  Tapi yang sorang ni..... "  dahi Cikgu Juriah berkerut.  Sesekali dia menggeleng-gelengkan kepala.

"Sampai ke sudah satu perkataan saja yang siap.  Mana tidaknya, tulis satu... lepas tu menung.  Menung sana menung sini.  Sekali kita sergah..... sepatah ditulisnya.  Habis masa sejam dalam kelas macam tu saja.  Malas sangat nak menulis.  Tak tahu macam mana nak membetulkannya,"  rungut Cikgu Juriah.  "Bukunya tak pernah dihantar, kerjanya semedangnya tak siap......" ujarnya lagi.

Minggu lepas begitu juga.   "Ya Allah, susahnya nak mengajar yang sorang ni.  Bertuah betul budak ni.......  Langsung tak nak menulis.  Cuba tulis ya, Ikram........" kedengaran butir kata-kata yang keluar dari ulas bibir Ustazah Yati yang terkenal dengan kesabarannya.  Kekadang kelihatan kepala anak kecil itu diusapnya perlahan.  

Lembut nada suara ustazah muda itu.  "Dia memang malas, ustazah!!!" jerit Firdaus dari belakang.  "Malas tu sahabat syaitan!!!" tambah Lokman pula.  Kelas jadi sedikit hingar.  "Cukup, cukup..... tak baik kata kawan malas.  Sama-sama kita doakan dia ya," lembut nadanya memujuk. 

"Alah....maknya pun sama.  Pemalas jugak!" pintas Fariz.

"Hish, tak baik cakap macam tu Fariz, berdosa tu mengata orang.  Kamu kena minta maaf dengan mak kawan kamu tu.  Jangan buat macam tu lagi,"  tersusun  bicara Ustazah Yati menyelinap masuk ke telinga seluruh penghuni kelas itu.  "Jangan mengumpat, tak baik."  Kelas jadi sunyi bak dilanggar garuda.  Fariz kelihatan terkedu.  Senyap-senyap dia bangun melangkah mendekati Ustazah Yati.  Lengan baju kurung hijau bunga-bunga ustazah itu ditariknya perlahan.

"Eh, kenapa ni Fariz?"soal Ustazah Yati.   Raut wajah Fariz direnungnya dalam-dalam.  Seketika mata mereka bertentang.  Manik-manik jernih mula menuruni pipi Fariz.  Anak itu diburu rasa bersalah yang amat sangat.

"Kenapa ni sayang......"  ulang Ustazah Yati lembut.

"Saya berdosa, ustazah...... ta.....tadi saya kata emak Ikram malas.... Sa...saya berdosa ustazah....." sendunya jelas kedengaran.   "Sa.....saya ........ saya malu......... nak minta ampun ........ pa.......pada mak dia......."  air mata kian deras menuruni pipi mongel itu.  Hati Ustazah Yati turut sebak.   Dia terkebil-kebil menahan air matanya daripada melimpahi tebing.  Segera dipeluknya Fariz yang teresak-esak.

"Sudah sayang..........  sudah.....  Cukuplah tu......." belakang Fariz digosoknya perlahan bagi meredakan hiba hati anak kecil itu.  Fariz didakapnya erat.  Sebaik-baik tangisan reda, Fariz dilepasnya perlahan-lahan.  Dikeluarkannya tisu dari beg tangannya untuk mengesat pipi Fariz yang basah.

"Ummi kata berdosa kalau kita mengata orang, Abi pun kata macam tu juga."  Fariz bersuara perlahan.  "Ummi dan Abi pesan jangan mengumpat....." meluncur laju kata-kata itu keluar dari ulas bibir Fariz.  "Kalau buat dosa, kita akan masuk neraka.  Nanti tak cium bau syurga...." petah bicaranya.  Ustazah Yati memandang sekeliling sambil anak matanya meliar mencari Ikram.

"Ha..... tu dia.  Ikram, mari sini!" laung Ustazah Yati.  Ikram menunduk sambil melangkah perlahan menuju suara yang memanggilnya.  Dia akur. 

"Emmm.......Ikram, Fariz nak minta maaf ni.  Boleh ya Ikram maafkan......" pujukan ustazah mampu mencairkan hatinya yang keras.  Mulut Ikram terkunci tiba-tiba.  Sepatah perkataan pun tidak mampu dilontarkannya padahal sejak tadi dia berkira-kira mahu menyumpah seranah Fariz.  Geram benar dia dengan mulut celupar Fariz mengata emaknya 'pemalas'.  Kalau diikutkan hati mahu rasanya melepaskan penumbuk sulungnya ke muka mongel Fariz.  Biar lebam jadinya.  Biar padan muka Fariz.  Itu agaknya balasan setimpal yang bakal Fariz terima di atas dosanya tadi.

"Dengar tak Ikram...........Fariz nak minta maaf ni,  dengar tak?" ulang Ustazah Yati.   Ikram terasa bahunya dipegang.  Fariz menghulur kedua tangannya menanti reaksi Ikram.  Tangan itu disambut Ikram hambar. 

Petang itu Ikram dihantui rasa tidak keruan.  Sebaik-baik dia menghempas diri di katilnya, sepantas kilat wajah Ustazah Yati terbayang di hadapannya.  Ustazah muda itu berjaya mengambil tempat di hatinya.  Sikap Ustazah Yati cukup disenanginya.  Ustazah Yati melayan kerenah anak-anak muridnya sama rata.  Dia tidak pernah membezakan setiap anak muridnya.  Malah tidak pernah berungut semasa mengajar.  Senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.   "Alangkah bahagianya jika mak bersikap begitu...." hatinya berkata-kata.

Kalau dia tiada pensel untuk menulis, Ustazah Yati akan meminjamkannya.  Kalau bukunya tertinggal di rumah, Ustazah Yati tidak akan membebel marahkannya.  Malah Ustazah akan menghulurkan sebuah buku khas yang biasanya ada bersamanya.  Seringkali Ustazah Yati menegur tulisannya yang kurang cantik.  Ustazah Yati tidak lokek dengan nasihat.  Berkali-kali akan terdengar nasihat yang sama sekiranya Ikram melakukan kesalahan dan kesilapan yang serupa.  Sikapnya ketara berbeza dengan guru lain yang ditemui di sekolahnya.

Ikram rajin ke sekolah walaupun apa yang dipelajarinya di kelas dirasanya membosankan kecuali waktu kelas Ustazah Yati.  Kehadiran wanita itu memang ditunggu-tunggu.  Kalau Ustazah Yati tidak hadir disebabkan berkursus atau cuti sakit, terasa sepi dunianya di sekolah pada hari berkenaan.  Entah kenapa wanita itu begitu diminatinya malah terasa paling disayangi di sekolahnya.

"Ikram, tolong pergi kedai kejap!" laung ibu di dapur.  Ingatan Ikram pada ustazah yang disayanginya itu terpadam tiba-tiba.  Dia bergegas menyarung kemeja T yang tergantung di dinding ke badannya.

"Ada apa, mak?" soalnya penuh hormat.

"Belikan mak gula sekilo, kelapa parut sebiji.  Err........ nah ni duitnya.  Cepat sikit ya!" perintah ibunya.  Ikram mencapai basikal, mengayuhnya dengan berhati-hati menuju kedai Pak Razak.  Permintaan ibunya tak pernah dibantah atau ditangguh.  Apa sahaja yang diperintah ibunya, segera ditunaikan.  Begitu taatnya Ikram pada ibunya.  Dia tahu melawan ibu hukumnya berdosa.  Dia tak mahu menjadi anak derhaka.  Itu jugalah pesanan yang sering Ustazah Yati ingatkan kepadanya dan kawan-kawan.

Malam itu Ikram sekeluarga makan nasi dengan sayur lemak pucuk ubi dan goreng ikan masin.    Berselera sekali Ikram makan.  Emak hanya sesekali memasak di dapur.  Kebiasaannya emak beli sahaja lauk dari kedai makan berhampiran.  Ikram sentiasa berbaik sangka dengan sikap ibunya.  Mungkin ibu penat bekerja mencari rezeki hinggakan jarang memasak sendiri.  Memang Ikram menunggu-nunggu saat merasa nikmat makan hasil daripada air tangan ibunya sendiri.

"Adik kata Ikram selalu pergi jumpa Ustazah Yati.  Betul ke?" tiba-tiba ibunya bersuara usai mereka makan malam bersama.  Ketika itu Ikram membantu ibunya mengemas meja makan.  Sisa-sisa makanan yang tumpah dikutip dan meja dilapnya bersih. Ikram sudah biasa melakukan kerja-kerja itu.

"Betul mak," jawabnya.

"Ikram buat apa jumpa ustazah tu?" ibunya inginkan kepastian.

"Err........belajar solat....." lembut nada suaranya.  "Best ustazah tu ajar, mak.  Senang nak faham.  Ustazah kata bila kita mati nanti, soalan utama yang Allah akan tanya ialah tentang solat.  Kalau kita tak solat, apalah kita nak jawab depan Allah nanti........"  nada suaranya mengendur.  Ada getaran di hujungnya.

"Kita tak boleh tinggal solat.  Macam mana susah dan sakit sekalipun kena solat jugak.  Wajib kata ustazah.  Tak boleh solat berdiri, kita duduk.  Kalau tak, boleh baring.  Dengan mata pun boleh.......  Kalau tertidur atau terlupa, baru kena ganti.  Tak boleh suka-suka nak tinggal macam tu saja.  Solat tak macam puasa, boleh diganti-ganti."

"Baguslah kalau Ikram faham,"  getus ibunya.

"Tapi kan mak...... ustazah kata kalau solat berjemaah lagi banyak pahalanya.  Dua puluh tujuh kali ganda!  Ikram teringin sangat nak solat dgn mak dan ayah......"  ucapnya perlahan.  Mata mereka bertentang.  Ibunya hanya menguntum senyum.  "Senang-senang nanti..... kita solat sama ya mak.  Ikram teringin nak solat berjemaah dengan mak atau ayah.  Boleh ya, mak...."  Ibunya hanya memandang ke wajahnya dengan mata yang redup.

Ikram ditinggal sendirian menyelesaikan tugasnya mengemas ruang makan itu..  Walaupun ruang itu kecil tapi cukup menempatkan mereka makan seisi keluarga.  Tugasnya dilakukan teliti dengan penuh berhati-hati.  Nampak kemas bak kerja seorang ibu atau suri rumah.  Sikap Ikram ini cukup disenangi ibunya.  Dari jauh ibunya hanya memerhati gelagat anak kecil itu.  Sayu hatinya tiba-tiba.  Entah kenapa setitis dua air matanya jatuh tanpa diminta.

Fikirannya jauh menerawang sejarah yang ditinggalkan beberapa tahun yang lampau.  Tatkala bergelar anak seorang Imam kampung yang dididik penuh didikan agama.  Tak pernah tinggal puasa, tak pernah tinggal solat.  Berbaju kurung sentiasa, sekali sekala berseluar panjang dengan kemeja T longgar.  Hidupnya penuh kasih sayang. Teratur dan terkawal segalanya.

Tapi itu dulu........ Dan setelah berumahtangga, segalanya bertukar.  Salahkah dia membuat pilihan?  Tersilapkah dirinya membuat perhitungan?  Dan suami yang dianugerahkan itu adalah suami yang dipilih atas pilihannya sendiri, serta mendapat restu ayah ibu.  Tapi di mana silapnya sehinggakan mereka seisi keluarga kian jauh dari landasan yang benar.

"Mak....... dah siap dah.  Semua dah beres.  Nak rehat dululah ....."  Ikram menguatkan sedikit suaranya dari arah dapur agar didengar jelas oleh ibunya.

"Baiklah, nak.  Terima kasih Ikram,"  Sepantas kilat dia mengesat air mata yang mengalir lesu menuruni kedua belah pipinya. Hiba mencengkam seluruh jiwa raga.  Mindanya berputar ligat mencari-cari sesuatu yang kian hilang sinarnya.  Pandangannya kosong.

  .................................................................................................................................................



"Kenapa sejak kebelakangan ni abang tengok Siti banyak menung jer?"  lontaran suara Razali memecah keheningan petang itu.  Wajah Siti direnungnya dalam-dlam.  Sepasang mata yang ditatapnya itu tiba-tiba berkaca,

"Kenapa Ti.......  bagi tahulah abang kalau Ti ada masalah,"   Sepi menguasai suasana.  Razali masih menanti-nanti biji butir yang diharapnya bakal keluar dari ulas bibir isteri kesayangannya itu.  Kian lama dinanti, kelihatan butir-butir jernih air mata kian laju menuruni kedua belah pipi isterinya itu.

"Jom kita ke bilik.... malu kalau nampak dek anak-anak " bisik Razali perlahan sambil memimpin tangan Siti.  Siti melangkah longlai, seakan upayanya kian berakhir.  Di dalam bilik kecil itu Siti meluahkan segala  yang terbuku di hati kecilnya.  Bahunya hinggut turun naik menahan sendu yang meraja di hatinya.  Seakan sesak nafasnya...... bersimpang siur entah ke mana.  Dan Razali mendengar dengan penuh empati.  Seketika dia berasa seakan  berada di awang-awangan.  Menekuni kisah silam yang masih belum berbalam.  Menjadikan hatinya bertambah kelam.  Tambah resah dan menggelisahkan.

"Ti takut bang..........  banyak yang Ti dah tinggalkan.   Pesanan ayah Ti tak buat.......  Amanah Allah Ti sia-siakan..... Berdosa Ti, bang......"  air matanya merembes kembali.  Siti dipeluknya penuh kasih.  Setitik dua air mata lelakinya tumpah jua akhirnya.  Sudah jauh benar tanggungjawab tidak dipikul dengan baik.  Kian lari dari matlamat asal.  Janji yang dimeteri semasa ijab dan qabul mula membayangi diri.  Terasa amanah yang berat itu mahu menghempap dirinya yang hanya pandai melafazkan sahaja.  Dan terasa besar hutangnya yang belum tertunai.

Dia tercari-cari kejernihan yang dulu.  Terasa diri diselimuti dengan keladak yang menghanyirkan.  Kian lama kian hitam pekat menyelubungi.  Mampukah dia berhadapan dengan Allah nanti......  ke mana di halakan anak dan isteri dan di laluan mana arah yang bakal dituju sebagai pemandu mereka?  Mampukan dirinya menjawab nanti?  Peluh takut mula memercik.  Terasa lemah benar dirinya kini.  Lutut terasa goyah, pandangannya tiba-tiba berpinar.  Dia terduduk di birai katil.  Lamunannya terhenti.

"Ya Allah....... bagaimanakan kumula........."  persoalan yang mengharap jawapan.  Jawapan yang memerlukan pengorbanan.  Pengorbanan jujur ikhlas.  Kesilapan semalam jangan diulang lagi.  Kealpaan yang terbina jangan dibiar menebal dan membelenggu diri. Kehidupan bukan berakhir setakat di dunia ini sahaja.  Di dunia sana diri bakal bertarung .  Mampukah diri?  Sesungguhnya janji Allah itu pasti.

..............................................................................................................................................

"Mana milik kita.......
 Tidak ada milik kita.....
 Semua yang ada...
 Allah yang punya..."

Alunan nasyid kumpulan Rabbani itu dihayati sepenuh hati.  Menjadikan hatinya kian dihimpit pedih.  Makan, pakai dan tempat tinggal semua cukup walaupun tidak semewah orang lain.  Cuma makanan rohani masih dalam pencarian.

Tiba-tiba Ikram muncul di hadapannya.  "Jomlah malam ni ayah....  Kita pergi sama-sama,"

" Ke mana Ikram?" soal ayahnya.

"Ustazah Yati kata ada ceramah kat masjid malam ni.....  Jom kita pergi.....  Jomlah ayah......" rayu Ikram.  Lama dia menunggu jawapan.  Wajah ayahnya direnung dalam-dalam.

" Emm......  ok ok...."  jawapan ringkas keluar dari bibirnya.

"Bukan ok ayah,  ustazah kata in shaa Allah..... " senyum tersungging di bibirnya.  Mata tak berkedip memandang ayahnya.

" Ayah janji....... in shaa Allah kita pergi malam ni dengan emak dan adik-adik....."

" Okey........sayang ayah....... " sebuah kucupan singgah di pipi ayahnya.  Sejurus kemudian sepantas kilat Ikram berlari kegembiraan mencari emak dan adik-adiknya.   Razali mula mencari semula kasih yang hilang.


                                                   ****************************











Selasa, 24 Mei 2016

AMBULANS LAGI.....

Tatkala aku sedang menyemak buku muridku pagi tadi, kedengaran siren ambulans.  Dari tepi tingkap dapat kulihat ambulans bergerak laju sebaik-baik kereta di hadapan memberi laluan.  Ambulans yang tertulis KLINIK KESIHATAN LEKIR... 

Sejak kebelakangan ini begitulah suasana di hadapan sekolahku.  Semakin lebar jalan, kenderaan semakin laju.  Bulan lepas rasanya kereta ustazah dilanggar dari belakang.  Tak silap aku, ada empat kemalangan jalan raya berhampiran sekolah berlaku pagi itu.  Itu belum campur lagi dengan kejadian di luar waktu sekolah, yang tidak kami ketahui.

Rasa ngeri mula menghantui..... 

Sudah sebelas tahun aku mengajar di sekolah ini.  Sekolah yang lokasinya benar-benar berhampiran jalan utama.  Jejantas yang disediakan tidak pula membantu mengurangkan kadar kemalangan.  Malah jalan yang dilebarkan pula menyumbang meningkatnya kemalangan.  Kenapa ye?

Rupa-rupanya ambulans pagi tadi telah berkejar ke Hospital Daerah Manjung.  Dan pesakitnya yang dibawa ialah ayah kepada anak muridku....  beliau pengsan di klinik kesihatan berkenaan.  Apa puncanya tidak pula kuketahui.  Mudah-mudahan tidak ada apa yang membimbangkan.

Asal berbunyi sahaja siren ambulans melewati jalan utama itu, aku akan memberi peluang anak muridku melihat ke luar jendela.  Itupun sekiranya mereka bergerak ke arah tingkap kelas untuk memerhati.

Namun ada ketikanya, bunyi itu berlalu begitu sahaja tanpa dihiraukan. Malah sambil membuat kerja yang kuberi sempat juga berkata, "Ada accident ler tu......." ataupun "Ada orang mati ....".  Cekap betul anak-anak ini membuat kesimpulan tanpa melihat keadaan yang sebenar.

Kekadang sampai tiga empat kali bunyi siren ambulans yang kami dengar dalam tempoh masa persekolahan dari jam 7.30 pagi hingga 2.00 petang.  Dan yang memandu ambulans itu adalah bapa kepada murid sekolahku juga.  Oleh itu sebarang info kejadian kemalangan mudah diketahui.

Dan kini laluan utama di hadapan sekolah kami makin membimbangkan, menakutkan, mengerikan, malah menimbulkan trauma kepada cikgu-cikgu yang pernah ditimpa musibah sebelum ini.






KAK NOR....

Tetiba jer teringat pada Kak Nor.....

Ramadhan menjelang tiba....... hanya beberapa hari sahaja lagi.   Hati ini bernada gembira.  Ya Allah...Engkau panjangkanlah usia kami untuk sama-sama dapat menikmati Ramadhan-Mu untuk kesekian kalinya.

Jatuhnya juga kali ini pada 6 Jun.... in shaa Allah.  Sama tarikhnya ulang tahun perkahwinanku yang ke 24..... syukur pada-Mu Ya Allah.  Moga Kau berkati perjalanan hidup kami, menghadiahkan kehidupan yang seadanya dengan kelahiran enam cahayamata.

Walaupun mengharungi pahit manis asam garam kehidupan..... itu sudah lumrah.  Berikan kami ketabahan, kesabaran dan kekuatan dalam melayari bahtera ini.

Mengimbau kembali Ramadhan tahun lalu..... aku dipertemukan dengan Kak Nor.  Bersamanya dan tiga empat orang lagi bertadarus di masjid.... menghabisi senaskhah Al Quran bersama-sama.  Menyemak bacaan masing-masing.  Orang lain bertadarus di sebelah pagi.  Tapi kami yang bolehnya di sebelah petang.  

Bukanlah untuk bermegah, mohon sangat-sangat dijauhkan dari rasa riak.  Cuma memperbetulkan bacaan kitabullah, sementalah ada seorang ustazah yang mahir dalam bacaan dan tajwid.  Ditambah lagi dengan harapan dapat mengeratkan ukhwah dan silaturrahim.

Dan selebihnya, untuk memahami makna isi Al Quran itu..... aku membeleknya di rumah.  Begitulah rutin sepanjang Ramadhan tahun lalu.

Namun kali ini...... Kak Nor tiada di sisi.  Dan Mak Ngah yang sering ditemui di masjid itu juga baru minggu lepas meninggalkan kami.  Allahurobbi....

Hati berkira-kira masih mahu bersama sahabat yang dulu mengulangi kemeriahan seperti Ramadhan lalu.  Dapatkah agaknya kali ini?

Tetiba teringat pada Kak Nor...... Dia menghiasi Ramadhan tahun lalu dengan sepenuh hati..... semoga bunga-bunga indah mewangi bersamamu di taman barzakh....

Kami merinduimu, Kak Nor....



Ahad, 22 Mei 2016

DULU LAIN SEKARANG LAIN

Beli kain di kedai kain,
Cari selendang di pekan Lawin;
Dulu lain sekarang lain,
Ada bujang ada dah kahwin.

Mempelam pauh bawa ke Tumpat,
Dibuat rojak alangkah sedap;
Berpisah jauh merata tempat,
Bertemu jugak kita di 'WhatsApp'.

Ikan kelah ikan kerisi,
Pucuk silum daun kemangi;
Cikgu Fadzilah guru berdedikasi,
Bertahun lama di Sungai Wangi.

Tempah bahulu di rumah Fatini,
Órder' kerisik pada Encik Basri;
Sejak dulu hinggalah kini,
Awie mengusik Doktor Anushree.

Hinggap helang di pohon berangan,
Meredah gurun di terik mentari;
Ke mana hilang di mana gerangan,
Shidee dan Sabiron lama menyepi.

Nasi beriani sudah dibeli,
Berlalu terus makan di jeti;
Bertemu Aini dan Hassan Adli,
Di walimatul urus Áin dan Zamli.

Batang jerami di bawah pangkin,
Biskut dahlia di dalam tin;
Raja kami cuma Norashikin,
Shamsiah ceria gambar pengantin.

Pergi Kuantan singgah di Jengka,
Penuh aksesori dalam kereta;
Diyana kelihatan 'no status' sahaja,
Hazrin 'busy' sepanjang masa.

Jinjing bakul ke Parit Jawa,
Berisi petola tidak terkata;
Azue 'at school' banyak peristiwa,
Siti Hajar pula makan angin merata.


Cuti sekolah berkelah di lata,
Khemah dipasang agar selesa;
Anak Normah berkaca mata,
Warga baru kami panggil 'Cikgu Sir'.

Ke Bukit Piatu bersama Zainal,
Pergi diminta hari Selasa;
Sekadar itu yang cikgu kenal,
Maaf dipinta terkasar bahasa.






Jumaat, 20 Mei 2016

YANG DIRINDU....

Terima kasih buat semua yang masih mengingati cikgu!

Hadir kembali 16 Mei ......

Bertalu-talu ucapan Hari Guru masuk ke telefon bimbitku.  Indah ungkapan yang dititipkan.  Walaupun tak minta dihargai, namun saban tahun tarikh keramat itulah yang diingati.

Aku hanya insan kerdil, mewarnai dunia pendidikan.  Entah berapa ramai anak-anak yang telah kubimbing dan kudidik.... aku tidak tahu....... bermula dari detik 'Latihan Mengajar' atau ringkasnya bagi kami dulu...'LM'.  Waktu itu aku ditempatkan di SK Trolak Timur.


Andai dihitung dari 'posting' pertama..... mulai Julai 1988 di SK Ayer Hitam, Teluk Intan.... hingga ke detik ini..... rasanya tak upaya aku mengingat semua anak-anak itu.  Dalam ramai-ramai itu, hingga kini aku terkenangkan Shahrul Yuzi.  Barangkali peminat lumba motosikal di Malaysia pasti mengenali nama ini.

1 Disember 1992 aku bertukar ke SK Sungai Wangi, Ayer Tawar.  Itu merupakan sekolah kedua setelah aku mendirikan rumahtangga dengan orang Sitiawan.  Di sini salah seorang bekas muridku amat menyerlah..... kami masih berhubung hingga ke saat ini.  Ramai yang mengenali Imam Muda Hassan Adli.  Dia masih seperti dulu......

1 Januari 1999 aku beralih pula ke SK Methodist ACS, Sitiawan.  Sekolah ini agak unik bagiku...... pelbagai kaum ada di sini.  Walaupun majoriti Melayu, masih ramai juga kaum Cina, sebilangan kecil India, Sikh, Iban, Kadazan, malah ada juga Pakistan.

Di sini aku menggunakan dwibahasa tatkala bersama anak-anak yang pelbagai ragam dan taraf hidup.  Maklumlah..... masyarakat bandar.  Ada anak doktor, anak peguam, anak 'businessman'.  Namun ada juga anak-anak tentera (NAVY) dan anak kampung berdekatan yang menagih ilmu di sekolah ini.

Biarpun di bandar, namun apa yang menarik hatiku ialah persefahaman yang dibina, rasa saling menghormati dan sedia berkongsi antara satu sama lain amat ketara dalam kalangan mereka.  Mereka walau berlainan bangsa dan keturunan, namun fasih ber-Bahasa Melayu.  Sedikit pelat tidak menjadi hal dalam berkomunikasi.

Di sekolah inilah tiap kali menyambut hari guru..... agak banyak hadiah yang aku dapat.  Kekadang hadiah yang diberi agak mahal..... hingga aku rasa segan untuk menerimanya.  Memang tidak terlintas pun menerima hadiah sebegitu, namun jika ditolak..... bimbang pula mereka berkecil hati.  Betapa tinggi penghargaan ayah bonda mereka terhadap insan bergelar 'guru'.

Sikap prihatin anak-anak di sini tetap dalam ingatan.  Mana tidaknya.....  sebaik-baik keretaku meluncur masuk di perkarangan sekolah, mereka telah sedia menanti di tempat biasa aku memakir kereta.  Seolah-olah terasa kehadiranku hari itu ditunggu-tunggu.  Masing-masing menawarkan khidmat...... ada yang membawakan beg, buku-buku, bekas alat tulis, dan apa sahaja yang kubawa pada hari itu......kecuali tas tanganku!

Salah seorang bekas anak muridku, Melissa.... sekarang bertugas di Australia.  Aku kehilangan khabar berita mereka yang lain......  

Dan tanggal 15 Januari 2005, aku melangkah ke SK Lekir.  Inilah sekolahku sekarang.....mencecah tahun 2016 , aku masih di sini.  Di kelilingi anak kampung, yang mana ibu ayah bekerja kampung dan juga nelayan.  Cuma sebilangan kecil yang bekerja di bandar.  Malahan ada yang tinggal bersama datuk dan nenek manakala ibu ayah bekerja jauh dari sini.

Tidak ada bezanya antara mereka semua. Sama ada anak-anak bandar atau desa, bagiku hanya kerajinan dan sikap tidak putus asa dapat membantu mereka keluar dari kepompong kehidupan yang menghimpit.  Seperkara lagi.... doa juga bisa membantu mereka.

Telah bertahun lama aku di bidang ini, syukur alhamdulillah .... masih dipanjangkan usia.  Terima kasih semua seandainya berkat doa kalian cikgu masih lagi di sini.  

Teruskanlah usaha dan bergantung harap pada Allah.  Bukan kerja ternama dan insan berjawatan tinggi yang cikgu megah dan banggakan.  Kalau anda semua berjaya menjadi MANUSIA dan menjadi insan bertaqwa...... itulah yang sangat-sangat cikgu dambakan.

Salam sayang buat semua....... walau nama anda tidak cikgu ingati, wajah yang tak dapat cikgu cam lagi.... anda semua in shaa Allah tetap dalam memori.




Selasa, 17 Mei 2016

SELOKA GURU SKL (2)

Sibuk berperanan ladap dibina,
Tugasan mulia Ustazah Fadzilah;
Awasi pemakanan Teacher Zarina,
Jagalah gula di dalam darah.

Puan Zuraida bersama 'punch-card',
Kerap tersangkut di pintu pejabat;  
Puan Linda dipanggil 'mak guard',
Tanpa kedekut memberi khidmat.

Sesekali bergaya Puan Juwana,
Berkain labuh ayu menawan;
Memasang wayar sini dan sana,
Bermandi peluh Encik Hamizan.

Telitinya tugas Puan Rafeah,
Di luar waktu dibereskan jugak;
Sungguh tegas Puan Rosnah,
Riuh membantu mengurus budak.

Sabtu mungkin Azlina di'whats-app',
Hajat menempah nasi kerabu;
Kereta Shikin kelihatan berasap,
Air bermasalah suasana haru biru.

Puan Razilawati tak pernah mengalah,
Sesekali bertempik meninggi suara;
Kalau ada hati 'çontact' Ustazah Juriah,
Tempahan kek sila sebut sahaja.

Selamat berhijrah ke sekolah baru,
Cikgu Noor Azrina guru ICT;
Jemput ziarah kami selalu,
Kenangan bersama dalam memori.

Berubah rasa ke Kampung Sitiawan,
Bertukar karektor Cikgu Ahmad Basri,
Salam bahagia kami titipkan,
Menjadi aktor di situ menanti.

Sekadar di sini mohon berhenti,
Kemaafan dipinta khilaf bicara;
Di lain ketika bertemu lagi,
In shaa Allah kita bersua semula.

17 Mei 2016

SELOKA GURU SKL

Cikgu Jariah Teacher Sakinah,
Peminat novel nombor satu;
Bersabarlah Ustazah Ázaliah,
Kalau membebel lelah menunggu.

Pusat Sumber dihias indah,
Cikgu Salawati seni orangnya;
Ayam di'order' pada Cikgu Zarimah,
Tempe dicari Cikgu Atika taukenya.

Cikgu Azimah Hajah Roziah,
Setengah mati mengajar sains;
Teacher Zunaidah kena beralah,
Darah tinggi jangan buat main.

Duduk di kantin Cikgu Wahidah,
'Driver' dinanti datang menjemput;
Ustazah Noorain sarat sudah,
Semoga bayi selamat disambut.

Cikgu Nor Rizan pakar bahasa,
Haji Zahari Pak Imam kita;
Cikgu Ruhaizan kecilnya suara,
Cikgu Sabiri lewat pulangnya.

Cikgu Jafini berbicara dialek utara,
Cikgu Z menjiwai bahasa isyarat;
Ustaz Hisyam Fahmi hebat khatnya,
Tiga M dikuasai hatiku terubat.

Cikgu Anira Cikgu Azira,
Asalnya sama dari Kelantan;
Ustazah Salma Ustazah Nor Riza,
Apa kurangnya sekampung halaman.

Cikgu Che Wa Cikgu Vimala,
Pulun sakan mengajar Matematik;
Penuh wibawa Teacher Amila,
LBI tertekan kerisauan menjentik.

Jawi penyebab Ustazah Wan bimbang,
Cikgu Amna pula kelihatan garang;
Berbahasa Arab Ustazah Dayang,
Cikgu Asnah saja nampaknya tenang.

Cikgu Fairuz dan Ustaz Marzihan,
Ibarat tangkai di rimbunan bunga;
Puan Nurul serius mempertahankan,
Guru PPKI jangan ke mana-mana.

Guru Kokurikulum Puan Aziana,
HEM ditangani Puan Rohana;
Urusan Kurikulum Puan Zarina,
Boss kami Encik Solehin orangnya.


16 Mei 2016

Isnin, 16 Mei 2016

MENTALITI JAMBAN

Bas yang kami naiki  meluncur laju jam 5.00 pagi itu.  Melewati beberapa buah daerah sebelum memasuki Selangor Darul Ehsan.  Dan akhirnya selamat sampai di destinasi...... syukur alhamdulillah.

Hati begitu ghairah .......berhajat apa yang dicari bisa ditemui.  Terbayang kemeriahan pesta, dengan pengunjung yang ramai.  Hati mengharap penuh berbunga......

Ya Allah...... penuhnya manusia.  Memerhati buku bagai nak gila!  Begitu juga aku...... sama sahaja.  Tercari-cari......"Pembunuhan di Tanah Perkebunan"....

Memerhati satu demi satu, meneliti, mencari, mengamati...... yang akhirnya hampa sekali.  Memang tiada....... apa boleh buat.....

Bersama kak uda di sisi.... kami mengisi masa dengan pilihan lain.  Dan akhirnya dia menemui pilihan hatinya.  Dan aku bertemu buku-buku pilihanku.  Cukup istimewa harganya.....  dan kami tidak melepaskan peluang keemasan itu.  Walaupun penat berlegar-legar di pesta itu, berbaloi rasanya.

Dalam kesempatan di pesta itu, aku telah menempah nama keluarga dalam tulisan khat.  Cantik hasil seninya.  Dan masih kuingati segmen Bual Bicara Buku dengan penulis buku "MENTALITI JAMBAN".....  emm buruk bunyinya kan...  Tapi menarik isinya.  Tak sempat mendengar habis bicaranya kerana kami perlu segera melangkah pergi dengan berbekalkan senaskhah buku tersebut yang ingin sekali kuhadam isinya .....

Sembilan kesemuanya buku yang kupilih.  Dua naskhah buku masakan, dua naskhah buku motivasi, senaskhah buku catatan penulis, senaskhah buku agama, dua naskhah buku sebagai hadiah untuk anak-anakku dan kurasa paling istimewanya MENTALITI JAMBAN...... 

Kalau adalah yang rasa jijik dengan tajuknya... sila ubah persepsi anda.  Baca dulu baru tahu....... bukankah Allah suruh baca?  Itukan ayat pertama yang Allah turunkan...Iqrak..... bacalah.....  Ada sesiapa boleh sanggah?  Ada brani???

Dan kami meninggalkan pesta itu dengan harapan Allah panjangkan usia, murahkan rezeki untuk bertemu pesta buku akan datang....... Dan aku akan menyambung pencarian.... "PEMBUNUHAN DI TAMAN PERKEBUNAN".......  Ya Allah, permudahkanlah aku bertemu dengan buku yang satu ini......



TAKZIAH ZACK

Barangkali aku agak lewat mendapat berita kemalangan yang menimpa suami Zack.......  Dalam keadaan yang tertanya-tanya itu, aku menangkap butir bicara mereka di Pendidikan Khas.....khabarnya 50- 50.....

Pagi Jumaat seperti biasa kami akan bersama-sama membaca Surah Yaasin di tapak perhimpunan.  Namun kali ini yang membezakannya ialah ustaz memaklumkan ..."kita hadiahkan bacaan Yaasin ini juga kepada suami Puan Azira dan Puan Zakiah yang berada di Hospital Manjung".

Tatkala aku berada di kantin, kedengaran mereka berbicara tentang kunjungan ziarah yang akan dibuat secara bergilir memandangkan kelas pendidikan khas yang tidak boleh ditinggalkan tanpa guru dan PPM.

Jumaat pula merupakan satu-satunya hari di mana jadual mengajarku amat padat....  kelas pula memang tidak boleh ditinggalkan.  Lokasi kelasku yang bersebelahan dengan kelas PPKI memudahkan aku menerima khabar berita dari mereka...

Semasa aku sedang mengajar dan membimbing empat orang murid tahun 2, sekitar jam sebelas pagi ......Cikgu Anira singgah di pintu kelasku memaklumkan tentang berita sedih.  Nada suaranya yang sayu...... menceritakan kembali situasi sebenar detik kejadian menimpa.   Keadaan kian menyayat hati apabila doktor menyatakan tiada harapan lagi.  

Menelusuri keadaan  yang dimaklumkan..... aku turut diselubungi sayu.  Sebak meraja di hati.  Kutahan air mata dari terus tumpah.  Pandanganku kabur.

Terkenang akan anak-anak kecil yang belum mengerti apa-apa.  Yang sulung masih di tadika dan yang bongsu rasanya hampir setahun usianya.  Kehilangan seorang ayah dalam usia yang terlalu muda........  ketiga-tiganya lelaki.  

Namun itulah ketentuan Yang Maha Esa.......  tak siapa pun boleh menolaknya,  sesaat pun tak bisa ditangguh.  Dari Allah dia datang, dan kepada-Nya jua pasti kembali.

Zack........ dirimu dipilih untuk menerima ujian sebesar ini. Dia Maha Mengetahui segalanya.  Allah tidak akan bertindak zalim terhadap hamba-Nya.  Engkau dipilih, dan terpilih, semuanya dengan kasih dan rahmat-Nya.  Dia tidak akan menguji dirimu sehebat itu, kiranya engkau tidak mampu bertahan.  

Dan kami yang terkesan..... barangkali cuma mampu memujukmu bersabar.  Bak pepatah.... "Berat mata memandang,  berat lagi bahu yang memikul".  

Yang pergi tetap pergi, dan kita yang tinggal bakal meneruskan kehidupan.  Dan semestinya kita pun bakal bergelar "jenazah" suatu ketika nanti.......Tak siapa yang tahu tarikh keramat itu.

Dirimu masih muda, Zack.....
Teruskanlah meniti laluan hidup ini bersama kami.  Kita sekeluarga saling memahami, sentiasa ada di sisi.  Senang sama kita merasa, susah sama kita kongsikan.  Sesungguhnya ada hikmah di sebalik musibah.  Namun tak siapa dapat menelah.  

Semoga Allah memberimu kekuatan, ketabahan, kesabaran, kecekalan hati dan menjadikan dirimu makin dekat dengan-Nya.  

Isnin, 2 Mei 2016

TV OH TV......

Temu lawak di sebelah lorong,
Rumpun pandan tepi perigi;
Liga lawak sambung-menyambung,
Ketawa sakan tak kering gusi.

Bersuka ria baju sedondon,
Anak Cik Kina pergi ke kebun;
Drama Korea drama Indon,
Cerita Cina dan juga Jepun.

Sayang rerama putus sayapnya,
Di atas dahan pohon angsana;
Semanis Kurma tak kurang hebatnya,
Penceramah pujaan menyeri suasana.

Alunan biola malam menjelang,
Gemersik dimain pengubat duka;
Bersukan bola di tengah padang,
Malang pemain import belaka.

Corak kusyen berbunga merah,
Seri rupa di ruang tamu;
Dunia fesyen kehidupan mewah,
Hingga lupa pula 'Bersamamu'.

Kita berpantun manis berbahasa,
Puisi dilakar indah direka;
Siaran kartun tak kira masa,
Maghrib terbiar anak-anak leka.

Makan rojak di warung Pak Samat,
Duduk terserempak sahabat pena;
Al Kuliyyah mengajak mengingat kiamat,
Clevergirl nampak tak sehebat mana.

Ke rumah Dayana nasi dijamah,
Masakan kawah membangkit selera;
Daie Millinea Pencetus Ummah,

Di medah dakwah fasih berbicara.

Dari Maran ke Kota Raja,
Bawa jeruk dan juga lada;
Semua saluran sama sahaja,
Baik buruk semuanya ada.

Kuih lapis jadi juadah,
Pilihan warnanya tampak serasi;
Siaran bertapis diwar-warkan sudah,
Namun iklannya wanita dieksploitasi.

Menangguk udang bersama rakan,
Timba ditadah umpan dicari;
Rancangan dihidang buatlah pilihan,
Begitukah mudah solusi diberi?

Di padang aktif berlari-larian,
Penat terasa cubalah berhenti;
Positif negatif jadi tontonan,
Tidakkah rasa bersalah di hati?