Isnin, 2 Mei 2016

TV OH TV......

Temu lawak di sebelah lorong,
Rumpun pandan tepi perigi;
Liga lawak sambung-menyambung,
Ketawa sakan tak kering gusi.

Bersuka ria baju sedondon,
Anak Cik Kina pergi ke kebun;
Drama Korea drama Indon,
Cerita Cina dan juga Jepun.

Sayang rerama putus sayapnya,
Di atas dahan pohon angsana;
Semanis Kurma tak kurang hebatnya,
Penceramah pujaan menyeri suasana.

Alunan biola malam menjelang,
Gemersik dimain pengubat duka;
Bersukan bola di tengah padang,
Malang pemain import belaka.

Corak kusyen berbunga merah,
Seri rupa di ruang tamu;
Dunia fesyen kehidupan mewah,
Hingga lupa pula 'Bersamamu'.

Kita berpantun manis berbahasa,
Puisi dilakar indah direka;
Siaran kartun tak kira masa,
Maghrib terbiar anak-anak leka.

Makan rojak di warung Pak Samat,
Duduk terserempak sahabat pena;
Al Kuliyyah mengajak mengingat kiamat,
Clevergirl nampak tak sehebat mana.

Ke rumah Dayana nasi dijamah,
Masakan kawah membangkit selera;
Daie Millinea Pencetus Ummah,

Di medah dakwah fasih berbicara.

Dari Maran ke Kota Raja,
Bawa jeruk dan juga lada;
Semua saluran sama sahaja,
Baik buruk semuanya ada.

Kuih lapis jadi juadah,
Pilihan warnanya tampak serasi;
Siaran bertapis diwar-warkan sudah,
Namun iklannya wanita dieksploitasi.

Menangguk udang bersama rakan,
Timba ditadah umpan dicari;
Rancangan dihidang buatlah pilihan,
Begitukah mudah solusi diberi?

Di padang aktif berlari-larian,
Penat terasa cubalah berhenti;
Positif negatif jadi tontonan,
Tidakkah rasa bersalah di hati?


Tiada ulasan: