Khamis, 21 Oktober 2021


Teluk Kopiah...... begitu unik namanya. Dengan ombak yang tinggi dan tanpa pasang surut airnya, kami menjengah setelah agak lama terperuk di rumah.

Memerhati pepasir halus memutih sambil duduk-duduk melepaskan pandangan ke laut, penuh rasa syukur.  Walaupun namanya tidak segah Teluk Senangin, rupa-rupanya ramai juga yang mengetahui keberadaan teluk ini.

Kami menemani anak menantu dan cucu mengambil angin laut.  Menikmati alam indah ciptaan Ilahi begitu mengasyikkan.  Sesekali deburan ombak menghempas gagah. Tidak ada insan yang berenang ke tengah. Sekadar bermain di gigi air dan berpelampung di tepian sahaja.

Pantainya sedikit curam, menjadikan pengunjung lebih berwaspada. Masing-masing membawa bekal dan peralatan sendiri. Sedikit gusar di hati kerana kelihatan terdapat sampah ditinggalkan di sana sini.  Kasihan alam...

Remis banyak di sini. Amat mudah mendapatkannya. Kami membawa pulang untuk dijadikan lauk malam nanti. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan kepada pemilik alam ini, alhamdulillah....

Kenangan di Teluk Kopiah terpahat dalam kenangan Oktober 2021.

 

Khamis, 14 Oktober 2021

BADMINTON OH BADMINTON

 



Badminton mengingatkanku kepada ayah.  Bagaikan terbayang-bayang akan sejarah yang tercipta dahulu. Kami akan berlonggok di hadapan televisyen menyaksikan bersama-sama pertandingan ini.  Musuh ketat negara ialah negara jiran, iaitu Indonesia.

Hingga ke saat ini kita masih lagi bertembung di arena yang sama. Bak kata orang - musuh tradisi. Namun menariknya bagiku ialah satu-satunya pemain Indonesia kini iaitu Ahsan!

Selama ini bagi jagoan badminton, yang muslimnya masih lagi tidak menutup aurat. Walaupun bertahun-tahun nama negara tersenarai dalam pertandingan yang berprestij ini, yang bercelana panjang sukar kelihatan. 

Lebih membanggakan bagiku, Ahsan bukan sahaja lengkap menutup aurat, malah beliau akan duduk bertinggung ketika minum atau makan dalam tempoh rehat yang singkat. Terpukau aku seketika. Sopannya beliau menjelmakan mesej Islam di bidang sukan. Sudahlah permainannya dikategorikan hebat, ditambah lagi dengan tertibnya beliau menjaga akhlak ketika bersukan.

Barulah tampak jelas siapa kita!

Ketika majoriti yang mengaku Islam itu masih lagi dengan rela mendedahkan aurat, ada segelintirnya tetap patuh dengan tuntutan agama. Boleh dibilang dengan jari mereka yang benar-benar berpegang teguh dengan kewajipan tersebut.  

Tahniah kepada ahli sukan yang sedemikian.  Mudah-mudahan perawakan tersebut memberi mesej jelas bahawa letaklah Islam itu di tempat tertinggi dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Walaupun tindakan kita tidak dipandang orang sebelah mata, kita tetap dipandang Allah. Utamakanlah pandangan Allah daripada pandangan manusia.

Isnin, 11 Oktober 2021

KUTANYA KHABARMU AWAN

 Apa khabarmu awan?


Kukutip rindu yang bertenggek di gerbang rasa

bunganya masih berkembang mekar 

sesekali cahayanya menikam kalbu

bergemerlap di hati


Kucari awan dalam jaga dalam lena

walau terkadang mendung yang kelihatan

namun pasti

ada pelangi yang bersembunyi


11102021
ktb7 lekiyour