Selasa, 26 Julai 2022

NOSTALGIA SUARA EMAS


 INDAH sungguh lirik lagu ini. Cantik bahasanya. Tidak seperti lagu cinta zaman sekarang yang diluah hingga terpaksa meneran untuk menyampaikannya. Kekadang aku tersenyum sendirian melihat betapa susahnya lagu untuk dibawa hingga memerlukan penyanyinya menjerit. Entah di mana letak seninya, tidak pula kuketahui.

    Patutlah ada yang runsing dan rasa serabut apabila mendengar lagu-lagu sedemikian. Begitu juga lagu-lagu nasyid kontemporari. Ada yang kukira bagus. Namun ada juga yang kurang sesuai bagi sesetengah orang. Terpulanglah ikut minat masing-masing. Walaupun demikian, lirik lagu nasyid lebih baik kerana ia berunsur ketuhanan. Mengingatkan kecintaan terhadap Nabi dan Rasul. 

    Mana ada nasyid yang mengajak kepada kemungkaran. Dari situ juga anak-anak mudah mengingat sejarah dan apa yang mereka pelajari di sekolah. Dalam nasyid ada zikir, kekadang terasa bagai terapi dan mengubat hati. Pernah aku pada mulanya berasa pelik apabila mendengar lagu rap nasyid..... nak bercakap atau nak menyanyi agaknya? Itu pandangan aku yang hampir menjengah enam siri ini. Sedangkan anak muda tidak beranggapan sedemikian.

    



Jumaat, 22 Julai 2022

JOM KE LADANG GAHARU, GOPENG.



ALHAMDULILLAH, berpeluang mengunjungi Ladang Teh Gaharu di Gopeng, Perak. Sesekali masuk hutan begini, terlepas semua masalah. Menyaksikan pemandangan alam semulajadi ciptaan Allah amat mempesonakan. Indah sungguh panorama.

Setibanya kami hari itu, kami terus ke kaunter untuk menempah van untuk mendaki bukit sambil menikmati keindahan ladang gaharu. Pak cik pemandu van sangat sporting, bagaikan pemandu pelancong profesional. Sambil memandu beliau bercerita tentang sedikit sejarah dan suasana sekitar yang dapat kami lihat dengan jelas melalui tingkap van.


Tenang rasa di hati, dengan udara yang nyaman. Yang pasti, banyak terdapat oksigen di ruang terbuka dipenuhi dengan pokok gaharu tersebut.

    Kami singgah di tiga tempat yang begitu menarik. Lokasi pertama ialah bangunan di mana kami dapat melihat pemandangan keseluruhan ladang pokok gaharu dari puncak di samping melihat keunikan bangunan tersebut yang seakan-akan gua.

    Terdapat meja yang diperbuat daripada kayu cengal yang bentuknya agak unik. Melepas lelah di situ sambil menyaksikan pemadangan yang indah.

     Kami seterusnya kembali menaiki van dengan pemandu yang lain pula. Dalam perjalanan, kami singgah untuk menikmati laluan pejalan kaki merentas redup pepohon gaharu sambil melihat kolam ikan di bawah laluan pejalan kaki.  Tatkala berjalan melewati tapak dan tangga simen, mata melilau menikmati kehijauan tumbuhan. Terasa bagaikan berjalan di tengah-tengah hutan! Di penghujung laluan kami dapat beberapa ekor kura-kura di dalam kolam yang disediakan.



    
Perjalanan diteruskan dengan menaiki semula van yang menunggu di hujung laluan tersebut. Seterusnya kami dibawa menuju ke ...... Taman Cinta Kekasih. Ada kisah di sebalik nama taman ini yang tercatat pada sekeping papan tanda yang dapat dibaca dengan jelas.


    Laluan tangga pelangi ini menarik sekali. Berhati-hati ketika menuruninya. Keindahan hutan dihiasi dengan bunyi cengkerik. Terasa bagaikan kita berada di dalam hutan atau dusun. Susunan pokok gaharu kelihatan sungguh rapi, yang ditanam dilereng bukit.

    Kalau di Cameron Highlands kita boleh lihat tanaman teh, di sini pula kita dapat menyaksikan tanaman gaharu yang mana daunnya juga boleh dijadikan teh. Kita namainya sebagai 'teh gaharu'. Sejarah penanaman teh gaharu ini boleh dilihat di dalam bangunan utama sewaktu kita mula-mula masuk ke kawasan ini. 

    Berbalik kepada Taman Cinta Kekasih ini, kita dapat menikmati keindahan kolam-kolam yang dipenuhi dengan ikan air tawar. Kepada yang ingin memberi makan kepada ikan-ikan ini, makanan ikan ada dijual oleh pemandu van yang kita naiki.  


    Setelah mencuci mata di sini, kita boleh melangkah menuruni bukit melalui laluan besi bertangga yang sedia ada. Di sini jugalah kita dapat melihat laluan air terjun yang menarik perhatian. Terdapat juga replika dua ekor gajah dan gambar lombong bijih timah serta kapal korek yang menjadi daya tarikan pelancong.








    Perjalanan kami menuruni bukit tersebut akhirnya tiba semula di lokasi pertama kami sampai tadi. Alhamdulillah, syukur pada-Mu Allah. Kami sangkakan hanya terdapat ladang gaharu yang luas sahaja. Rupa-rupanya banyak nikmat yang tak terungkap terdapat di dalam hutannya. Satu kunjungan yang memenuhi citarasa sebagai penggemar alam semula jadi ciptaan Ilahi. 

    Sebelum berangkat pulang, kami menikmati aiskrim teh gaharu yang dibeli di ruang rehat dan makan. Emm.... nikmat teh dapat dirasai. Sesuai dengan tekak kami! Tidak lupa juga kami mengunjungi lorong  laluan sejarah di samping mengenali tuan punya ladang gaharu menerusi gambar gantung di dinding yang dipamerkan. 




 

Rabu, 20 Julai 2022

PANTUN : PENANGAN MAT KILAU

Ikan belida tampak berkilau,
    Tak sia-sia jala ditebar;    
Kalau anda menonton Mat Kilau,
    Jadikan ia satu iktibar.

Sedikit ruang bawah titian,
    Tempat bermalam si anak gajah;
Azam berjuang mati-matian,
    Mendaulat Islam menentang penjajah.

Hati tersayat pilu melela,
    Ayam sereban di mana menghilang;
Nasib rakyat pasti dibela,
    Sanggup berkorban jangan dihalang.

Air di kolah terbiar lama,
    Bunga di laman tolong siramkan;
Doa adalah senjata utama,
    Peneguh iman melurus jalan.

Indah kelihatan batik dilakar,
    Cantik bersadur corak bercampur;
Ilmu persilatan langkah pendekar,
    Pantang undur sebelum bertempur.

Gulai kari berlauk ikan,
    Enak dimakan tidak berbaki;    
Pentingkan diri sila jauhkan,
    Jangan amalkan hasad dan dengki.

Kebaya nyonya cantik ditatap,
    Bercorak pohon pandang tak jemu;    
Langkah silatnya kemas dan mantap,
    Menuntut bertahun mendalami ilmu.

Ambil lesung alu pun ada,
    Penat sehari menumbuk di padang;
Jangan kosong ilmu di dada,
    Pasti diri mulia dipandang.

Dilihat golok terjual laris,
    Sayang pahat tidak berpunya;
Di kepala tengkolok di pinggang keris,
    Terpegun melihat si pemakainya.

Ahad, 10 Julai 2022

Selamat Pergi Sahabat

 

Tanpa kusedari, inilah salah seorang sahabatku yang sama-sama menulis di dalam dua buah buku pantun yang baru sahaja diterbitkan. Menganyam Hikmah dan Harum Kesidang 2... mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. 

    Bukan mudah untuk menukil pantun, namun berkat kesungguhan, ketekunan dan sokongan sahabat di sekeliling begitu membantu. Maka terbitlah kedua-dua buah buku ini.

    Dalam keterujaan memeluk buku ini, kami menerima khabar duka. Pemergian sahabat yang sama-sama berkarya begitu menyentuh hatiku. Aku membaca pantun nukilan beliau, sungguh menarik. Orang kata orang Melaka pandai berpantun. Ya, memang tidak dinafikan. Sejarah Melaka yang unik beliau terjemahkan di dalam pantun. 

    Semoga rohmu sahabatku, Puan Rozizah ... dicucuri rahmat. Mudah-mudahan tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. 

Selasa, 5 Julai 2022

PANTUN BUAT YB

Kebaya biru cantik berseri,
    Manis dipuji pakai berlibur;
Pabila PRU munculkan diri,
    Mulalah janji ditabur -tabur.

Seri pagi menghias indah,
    Disiram cahaya tumbuh melata;
Lembut gigi darilah lidah,
    Begitu gaya menyusun kata.

Bawah saji buah keranji,
    Mari ditukar dengan papaya;
Janganlah janji tinggal janji,
    Makin sukar nak dipercaya.

Mohonlah taufik juga hidayah,
    Dalam mengaji ikhlaskan diri;
Ciri munafik kian terserlah,
   Andai janji tuan mungkiri.

Hala tujuan berdayung sampan,
    Hendak ke mana kami bertanya;
Janji tuan ibarat umpan,
    Mengharap kena mata pancingnya.

Pakai sepatu berjalan ke kota,
    Hujan rahmat mula menitik;
Hanya satu yang kami pinta,
    Berilah khidmat yang paling baik.

Rasa gayat di atas titi,
    Sukarnya kaki hendak melangkah;
Kepada rakyat curahkan bakti,
    Tugas hakiki laksanakanlah.

Batu sila, kapur dan gambir,
    Dicari ralit di rumah opah;
Setia dan rela dalam mentadbir,
    Jangan terpalit isu rasuah. 

Dua benang lalu diganding,
    Warna menyerlah cantik bersemi;
Andai menang dalam bertanding,
    Selalu-selalulah menjenguk kami.

Cahaya pelita suram dipandang,
    Nafas dihela di malam dingin;    
Bersamalah kita turun padang,
    Sedia membela rakyat marhaen. 

Sabtu, 2 Julai 2022

MASIH ADAKAH LAGI?

MASIH adakah lagi barang lama seperti ini? Teringat semasa hari raya Aidil Fitri yang lalu ketika kami berkunjung ke rumah Opah Itam. 

    Apabila kami dihidangkan dengan menu nasi impit @ himpit, perkakas ini diletakkan sekali di atas meja. Mulalah teringat zaman kanak-kanak dulu. Benda ini ada di rumah emak. Tetapi entah ke mana 'menghilang'nya, tidak dapat dikesan.

    

    Teringat juga ketika berhari raya di rumah atuk di Gunung Mesah Hilir...  Atuk seorang yang rajin. Dia akan menyediakan meroget (kata orang Perak..'buah kanto') dalam 3 biji balang dengan berlainan warna. Apabila hendak dihidang kepada anak cucu atau tetamu yang datang, dia akan menyatukan beberapa biji buah tersebut yang berlainan warna ke dalam satu piring. Jadi, akan kelihatan berwarna-warni dipandang mata.

    Garpu kecil itulah yang diletakkan bersama-sama piring kecil. Jika hendak makan, boleh pilih warna pilihan. Rasanya manis sekali. Cuma aku tak mampu untuk menelan.... sedikit sahaja yang boleh melalui kerongkong ini.  Sekadar dua tiga biji pun sudah mencukupi.

    

    Di rumah Opah Itam aku meminta izin daripada Mak Ngah untuk mengambil gambar barangan lama ini buat kenangan. Manalah tahu kalau-kalau selepas ini kami tidak dapat melihatnya kembali. Gambar-gambar ini dirakam dengan menggunakan telefon bimbit sahaja. Bukannya ada kamera canggih pun. 

    Begitulah istimewanya jika kita balik kampung mengunjungi rumah orang lama. Semuanya masih seperti dulu. Tiba-tiba teringat pula aku kepada lagu Ramlah Ram...

" Masih ada lagi
  Rumah lama tinggalan ayahanda
  Bila aku pulang
  Masih lagi terbayang lakumu..."


 

Jumaat, 1 Julai 2022

HARUM KESIDANG 2


SEJAK dahulu lagi aku memang minat mengarang pantun. Memang kenal sangat bentuk pantun. Tahu yang mana pembayang dan yang mana maksud. Setinggi-tinggi terima kasih kuungkapkan buat guru-guru yang telah mengajarku tentang pantun semasa bersekolah dahulu. TERIMA KASIH CIKGU.

    Kini setelah terbabit dengan menukil pantun untuk diterbitkan, baharulah aku tahu agak sukar untuk mencipta pantun. Lebih-lebih lagi pantun yang jeda (berhenti di tengah) dan rima akhirnya kena betul-betul sama bunyinya. Memang sedikit sukar kurasakan. Bagi mereka yang biasa  bergelumang dengan pantun, tidak menjadi masalah. Petik jari 'jer!

    Setelah Harum Kesidang 2 dapat dipeluk, syukur sangat-sangat rasanya. Alhamdulillah... rezeki manakah yang nak aku dustakan. Dengan sedikit ilmu yang ada, dan bimbingan serta sokongan sahabat yang sama-sama terlibat dalam pembikinan pantun ...maka buku ini berjaya dilahirkan. 

    Baru belajar membina pantun empat kerat yang tepat, seterusnya editor membuka peluang pula untuk menukil pantun enam kerat. Aku tidak menyambut cabaran tersebut. Bukan kerana tidak berminat langsung. Terasa sangat mencabar pula. Ilmu kena mantap sebelum aku melangkah jauh meneruskan minat ini, sementelah pula ada karya lain yang perlu aku selesaikan. Maaf tuan editor, aku terpaksa berundur diri.

    Terima kasih buat tuan Munsyi serta sahabat yang sama-sama menjayakan buku ini. Meneliti setiap pantunnya menjadikan cintaku terhadap pantun kian menebal. Khazanah negara yang tak seharusnya dilupai. Lebih menarik kerana ada seorang penukilnya bukan daripada orang Melayu. Cantik sungguh karyanya, tabik hormat kepada beliau. Orang Melaka! 

    Memang Melaka terkenal dengan Dondang Sayang serta keturunan Baba dan Nyonya. Teringat pula aku kepada penyanyi yang terkenal suatu ketika dahulu, iaitu Andre Goh. Sesekali terdengar suaranya mengalunkan lagu Melayu di siaran Radio Klasik.

    Pergilah ke negara jiran kita iaitu Indonesia, pantun juga ada di sana. Molek bahasa dan bunyinya. Santun dan indah buat tatapan. Malahan pantun itu sendiri boleh dilagukan. Atau dilafazkan sahaja di dalam rakyat seperti lagu Enjit-Enjit Semut, Suriram, Can Mali Can dan Anaklah Ikan.

    Jangan terkejut bahawa pantun ini telah diiktiraf sebagai warisan tidak ketara oleh UNESCO pada 17 Disember 2020. Sayangilah pantun tradisional kita.