Ahad, 27 Februari 2022

MAKIN AKU TERASA

 ENTAHLAH..... sedikit sedih bila mengenangkan keadaan kawan-kawan.  Aku jadi terharu dan sebak mengenangkannya. Mudah-mudahan Allah menganugerahkan kesihatan yang baik buat mereka, menyediakan jalan keluar yang baik juga buat mereka yang menghadapi masalah. Sesungguhnya kepada Allah jua kita menggantungkan sejuta harapan.

Perjalanan ke penghujung makin meruncing nampaknya. Kesibukan kian melanda. Begitulah dua saat puncak dalam meneruskan kerjaya. Pertamanya waktu awal dan keduanya waktu akhir, iaitu penutup.

Tahun yang begitu mencabar kurasakan sepanjang diriku bergelar guru. Tahun-tahun di mana kita terpaksa berhadapan musuh yang tidak nyata dipandangan mata. Anehnya kita terpaksa berperang dengannya. Akhirnya terpaksa pula hidup bersamanya. Begitu aturan yang terpaksa diterima.

Bermula dengan Covid-19 dan berakhir dengan Vaksin. Ada yang setuju menerima vaksin.  Ada yang tidak. Bermula dengan ianya sekadar pilihan dan terpulang kepada sesiapa, dan berakhir dengan paksaan. Semuanya makin menjadi persoalan. Kerisauan sudahnya berakhir dengan rasa gusar.

Bagaimanakah agaknya kehidupan yang bakal kita hadapi nanti?  Kita tidak dapat mengagak apakah yang akan terjadi selepas ini. Dunia makin ke penghujung hayatnya. 1500 Hijriah tidak lama lagi. Apa yang pasti ialah telah banyak tanda yang menunjukkan kiamat itu semakin hampir.  

Bersedialah kita untuk berhadapan dengan segala kemungkinan. Sentiasalah berbuat baik. Mudah-mudahan kita selamat hidup di dunia yang sebentar ini .... menuju akhirat yang kekal abadi.






Sabtu, 19 Februari 2022

KELIBAT SIAPAKAH ITU?

 17 Februari 2022.....

Aku menghadiri taklimat pengisian pesanan buku bagi tahun 2023. Aku mempelawa Za untuk bertolak awal pagi itu bersama-sama. Pada pertemuan di taklimat awal dahulu, tempatnya jauh sedikit. 

Kami tiba awal dan mendapati di dalam makmal tersebut baru terdapat beberapa orang sahaja. Seperti biasa, hari itu aku banyak bertanya kepada Za sementelahan pula dia ada sedikit pengalaman yang diperoleh daripada guru SPBT sebelum ini.

Walaupun usiaku dikira lebih tua namun pengalaman dalam bidang itu terlalu muda, bak kata orang 'setahun jagung'. Aku tiada pengalaman langsung dalam hal tersebut ketika ditempatkan di sekolah baharu.  Pendek kata aku bermula dengan 'zero'.

Namun aku suka bertanya sekiranya tidak faham. Biasanya Za yang menjadi mangsa. Dialah guru tempatku bertanya. Yang muda lebih banyak pengalaman dan ilmunya daripada aku yang tua.

Pengalaman setahun yang lalu dan info yang siap kucetak dan failkan, banyak membantu aku memahami urusan buku itu. 


18 Februari 2022....

Kehadiran aku di sekolah disambut dengan pertanyaan, "Cikgu pergi ke mana semalam?" Aku menjelaskan dengan ayat mudah agar anak-anak itu mengerti.

"Semalam saya nampak cikgu di bilik guru," ujar seorang lagi.

"Eh, cikgu tak ada di sekolah semalam," jelasku.

"Ya, saya nampak cikgu...." Fatimah bersuara lantang.

"Ha, siapa agaknya yang kamu nampak tu?" pertanyaanku itu menimbulkan persoalan kepada mereka.

Tengah hari itu setelah selesai waktu persekolahan, Ustazah Ain menceritakan bahawa ada beberapa orang murid menyatakan mereka ternampak kelibatku. Dia sekadar berfikir dan membuat kesimpulan bahawa mungkin aku datang awal untuk mengambil sesuatu untuk dibawa pergi ke taklimat tersebut.

Tanpa sedar meluncur sepatah kata dari bibirku, "Siapa agaknya?"





Khamis, 10 Februari 2022

KISAH HARI INI

TENGAH HARI tadi hujan turun mencurah-curah. Anak-anak yang hadir hari ini pulang dalam kebasahan. Begitu juga sahabatku yang pulang kemudiannya. Mereka turut meredah hujan. 

Kelibat Wa dan Huda masuk ke dalam kereta jelas kelihatan. Mereka berlari-lari anak merapati kereta masing-masing dan menyelinap masuk. Kedua-dua buah kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan sekolah.

Miss Jaja kulihat sempat berbual dengan Kak Mah sebelum melangkah pergi. Mereka semua terkena tempias hujan yang membasahi kaki lima bangunan tingkat bawah.

Aku yang masih meneruskan sisa-sisa tugas hari ini berdiri di koridor sambil menghantar mereka dengan ekor mata. Kebetulan pula Cikgu Jam kehilangan kunci keretanya. Namun akhirnya ditemui di dalam beg di bahagian but kereta. Alhamdulillah...

Ustazah Ain menceriakan suasana tatkala berceloteh tentang anak-anaknya dalam dialek utaranya sebelum meninggalkan bilik guru. Sedikit tawa menghiasi perpisahan kami. Maklumlah, dialek Perak dengan Kedah sedikit berbeza.

Hati pula teringatkan Ustaz Wan yang khabarnya pulang agak awal hari ini. Mudah-mudahan tidak ada sesuatu yang buruk terjadi.  Betul-betul yang tampak bertahan hingga berakhir waktu persekolahan hari ini ialah Miss Jaja, Ustazah Ain, Cikgu Jam, Cikgu Rod dan aku.

Di bangunan bawah pula ada Cikgu Ani, Cikgu Wa, Cikgu Huda, Wanie dan Husaini. Manakala di pejabat kulihat boss dan guru-guru kanan  masih gagah. Encik Yus dan Zura tetap ceria seperti biasa.

Dalam rintik hujan yang masih berbaki, aku terkenangkan mereka. Seorang demi seorang rakan setugas berhadapan dengan ujian. Aku pulang agak lewat hari ini demi menyelesaikan CIDS untuk hari esok.

Baru sebentar tadi mesej daripada Cikgu Nat dan Ustazah Aida masuk. Sebak meraja di hati. Walau apapun kesakitan yang menimpa, moga kalian bersabar. Tidak lupa doa dan harapan juga buat Izzah, Ina, Zimah dan kedua-dua ustaz muda kami. Pada Shu, jaga diri dan anakanda baik-baik.

Malam ini akan berlangsung program bacaan Yaasin secara dalam talian khas untuk penduduk setempat serta warga SKGL. Sama-samalah kita bermunajat, berdoa dan bermohon kepada-Nya. Sesungguhnya doa itu adalah senjata orang mukmin. 

Kasihanilah mereka semua Ya Allah. 


Rabu, 9 Februari 2022

PILU YANG MELANDA

PAGI tadi sebaik-baik kaki menjejak dataran ataupun laman sekolah.... hati diserbu sedikit pilu. Kelihatan keadaan sekolah yang lengang. Di ruang parkir berbumbung masih dipenuhi kereta. Namun di dataran pula, kereta berkurangan.  Mataku melilau mencari kereta merah Ina. Tiada.

Satu per satu langkah kuayun, dengan hati digayut bimbang. Manakan tidak, kes mencanak. Kami tidak ada pilihan melainkan terus hadir bertugas. Semalam Ustazah Aida tidak hadir, manakala Cikgu Nat kelihatan kurang sihat. Beliau berlalu pulang setelah mendapat kebenaran daripada puan guru besar.  Simptom yang ada pada ustazah turut beliau rasai.

Ustaz Luq pun tiada hari ini. Beliau mengirim pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp semalam.  Aku terus menapak anak tangga dalam kepayahan. Walaupun agak lambat, namun aku bersyukur kerana beroleh kekuatan tangan yang amat membantu. Alhamdulillah. 

Selesai menyukat suhu dan menulis nama di dalam buku kehadiran bertugas, aku tidak lupa membuat scan Mysejahtera. Itu semua merupakan suatu kemestian. Segala peraturan mesti dipatuhi. Di pejabat aku terserempak dengan puan guru besar, PK HEM, Ustaz Wan dan Cikgu Rod. Ustaz Wan diminta mengepalai bacaan Yaasin di awal pagi yang bertuah.

Segera kucapai buku kedatangan murid, lantas berlalu ke bilik guru untuk meletakkan beg. Berbekalkan senaskhah surah Yaasin aku menghala ke kelasku.  Ucapan salamku disambut oleh dua orang anak didik yang setia menunggu. Kami sama-sama mengikut bacaan Yaasin yang didengar melalui pembesar suara.

Syahdu sungguh alunan bacaan Ustaz Wan. Dalam tempoh pembacaan tersebut, sebak menguasai suasana. Ingatan kepada sahabat yang menerima ujian silih berganti mendatangi mindaku. Suaraku sedikit bergetar menahan rasa tatkala sama-sama mengalunkan bacaan. Dua tiga kali aku mengesat hidung dengan sapu tangan.

Kami sudahi bacaan dengan mengaminkan doa. Oleh kerana guru pertama tidak hadir, aku mengisi ruang waktu itu. Kuambil sedikit masa untuk meninjau makluman di telefon bimbit. Terdapat beberapa mesej kuterima di aplikasi whatsapp berupa harapan dan titipan doa untuk kami guru-guru. Hanya ungkapan terima kasih buat semua yang mendoakan.

Surat makluman ketidak hadiran juga turut kuterima. Kami juga berharap agar semua anak didik serta seluruh penduduk setempat dilindungi dan sentiasa berada di dalam peliharaan Yang Maha Esa.  Tidak ada daya dan kekuatan kami untuk menghadapi ujian-Mu ini melainkan dengan kasih dan rahmat-Mu Ya Rabbi.

Tidak ramai yang hadir hari ini. Pendek kata, kurang sedikit daripada semalam. Namun dek kerana tugas dan tanggungjawab, kami tetap menggalas amanah itu. 

Kepada rakan setugas, mudah-mudahan sentiasa kuat dan bersemangat menghabisi minggu-minggu akhir sesi persekolahan ini. Walau berat mata memandang, berat lagi bahu yag memikul. 

Kepada yang tidak sihat, sama-sama kita mohon agar Allah menyembuhkannya dalam kadar segera. Hanya kepada-Mu tempat kami memohon pertolongan. 



KETUA KELAS KITA DAH PINDAH!

 KELAS Tahun 2 Dinamik kehilangan ketua kelas yang berdedikasi, iaitu Nur Amirah Zulaikha. Apabila ibunya mendapat arahan untuk bertukar sekolah, maka secara automatik dia dan abangnya terpaksa meninggalkan SKGL juga.

    Tahniah Amirah kerana telah menyumbang khidmat bakti untuk kelas 2 Dinamik dalam tempoh yang pelbagai ragam. Kita sama-sama belajar dalam norma baharu tatkala Covid-19 melanda. Bermula dengan PKP, PKPD, lockdown dan berhadapan dengan belajar secara online dan PdPR... begitu mencabar.

    Amirah ternyata aktif di dalam kelas. Berani dan rajin memberi jawapan juga respons jika diminta. Namun ada ketikanya suka juga mengusik cikgu-cikgunya. Semoga Amirah berjaya dan cemerlang di sekolah baharu.

    Jangan lupa cikgu dan kawan-kawan di SKGL. Insya-Allah ada rezeki kita jumpa lagi.



Jangan lupa kami di sini.