Memaparkan catatan dengan label SKGL. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SKGL. Papar semua catatan

Jumaat, 10 Jun 2022

CIKGU-CIKGU SEKOLAH TERAKHIRKU

 PANTUN KENANGAN


Dalam bakul ayam kuzi,

    Makan berdehem tersedak kari;

Cikgu 'cool' Encik Rodzi,

    PK HEM digelar 'Tan Sri'.


Kereta Naza pandu ke timur,

    Nampak teguh merayap di tanah;

Miss Haiza guru 'glamour',

    Baik sungguh Puan Jamnah.


Sungguh berbeza ikan patin,

    Ditangkap berjaya tempoyak menanti;    

Puan Hasniza guru prihatin,

     Muda bergaya Luqman Massuti. 

    

Dapat belida di waktu senja,

    Jangan dimain segera disiang;

Ustazah Aida bersemangat waja,

    Muallimah Ain guru penyayang.


Sekadar sempat kunukilkan empat rangkap pantun kenangan buat sahabat di sekolah terakhirku SKGL. Semua guru yang kukenal di sini mempunyai kelebihan masing-masing. Semuanya memiliki keistimewaan tersendiri. Bergabung dalam sebuah sekolah, memberikan khidmat terbaik buat warganya.

    Walaupun banyak tugasan yang perlu diselesaikan, bebanan tersebut berjaya diselesaikan dengan baik. Mudah-mudahan kalian dapat saling membantu serta mencapai kata sepakat dalam memenuhi aspirasi negara. Selamat tinggal semua, teruskan berkhidmat dengan penuh dedikasi. Bersabarlah dengan ujian dan dugaan yang mewarnai perjalanan hidupmu sebagai seorang pendidik. 

    Kenangan setahun kita bersama akan kuingat selalu. 

 


Jumaat, 27 Mei 2022

Terima kasih Damia...

 Datang juga Damia sekeluarga petang Selasa yang baru lalu. Alhamdulillah. Katanya lama dah nak jumpa, namun tak kesampaian. Tapi rezeki tak salah alamat.... Allah menemukan kami jua akhirnya.  Terima kasih Allah.

    Mesranya keluarga ini hingga akhirnya terungkap sejarah lama.  Rupa-rupanya datuk Damia merupakan kawan suamiku.  Rancak ibu dan ayah Damia berbual dengan suamiku. Namun Damia macam biasa, tetap malu-malu. Begitulah sikapnya semasa di dalam kelas. Tidak banyak cakap, namun kerjanya tetap jalan.

    Sebelum meninggalkan kami, ada hadiah yang ditinggalkan untukku. Mungkin tidak sempat menyampaikannya kepadaku kerana aku bersara dalam waktu cuti sekolah. Terima kasih Damia. Sesikat pisang dan segenggam kunyit hidup turut diberikan, begitulah hasil berbudi kepada tanah. 

    Jemput datang lagi nanti, pintu rumah cikgu sentiasa terbuka.  Jangan lupa, belajar sungguh-sungguh demi hasrat dan cita-cita. Insya-Allah, ada rezeki kita jumpa lagi.

                                            kredit to Hana, yang ambil gambar ni.


Khamis, 3 Mac 2022

TERIMA KASIH SEMUA

 TIDAK lama perkenalan kita, namun cukup mengesankan!





Jumaat yang lalu merupakan hari terakhir aku bergelar guru kelas 2 Dinamik. Terima kasih kerana memberi kerjasama yang baik sepanjang kita bersama. Bukan sahaja kalian semua, malah penjaga kalian yang turut memberi komitmen yang boleh dibanggakan.

Setahun yang begitu mencabar rasanya. Saat-saat indah kita nikmati bersama dalam keadaan huru-hara disebabkan hadirnya Covid-19. Itulah dinamakan ujian dari Allah. Kita akan diuji. Setakat mana kemampuan kita mengatasi dan reda dengan ujian tersebut, hanya kita yang tahu. Jangan sesekali menyesal atas apa yang terjadi. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Hidup dengan norma baharu... itulah yang kita sama-sama lalui. Baru hendak mengenali kalian tatkala diarahkan bertukar ke SKGL, SOP terpaksa dipatuhi. Mungkin masih ingat lagi bagaimana kali pertama kita bersua. 


Tanpa bersua muka ataupun bersemuka, video pertama ini kubina dengan kerjasama penjaga kalian yang amat bagus komitmennya. Foto yang diminta, dijadikan video sebagai tanda salam kenal antara kita.

Akur dengan SOP, maka kita sama-sama melayari tahun 2021 dengan pelbagai prosedur. Sekejap sekolah dibuka, selepas itu belajar secara maya. Sama-sama kita bertemu di telegram, di aplikasi 'whatsapp', ada ketikanya kita bersua di 'Google Classroom'. 

Kita habisi tahun 2021 berlarutan hingga memasuki awal 2022. Nampak sahaja bagaikan satu tempoh masa yang lama. Namun kita yang mengerti keadaan sebenar apa yang terjadi dalam tempoh tersebut.


Kelas 2 Dinamik melahirkan anak-anak yang berbakat. Keberanian turut disemai dalam diri. Kesilapan dalam kata-kata dan pembacaan kadangkala menjadikan seluruh kelas riuh-rendah. Tambahan pula ada yang memiliki bakat 'maharaja lawak'! Sesekali kami terhibur dibuatnya.

Begitulah asam garam kehidupan, ada manis ada pahit, bergabung semuanya. Rencah kehidupan yang menjadikan kita semakin dewasa. Anak-anak yang menjadi pemimpin masa depan, memerlukan bimbingan kita. Teguran membina amat perlu bagi membetulkan perjalanan hidup mereka ke arah yang lebih baik. 

Panduan yang ditinggalkan oleh junjungan besar Rasulullah SAW wajib kita terapkan dan menjadi amalan seharian. Tanpa itu semua, mungkin hidup akan pincang.

Buat anak-anak yang di kasihi....
Arif, Asmai, Adith, Abbas, Asyraf, Farizal, Iqwan, Zaffran,
Auni, Ayunni, Ammna, Damia, Imani, Nabilah, Puteri, Qaseh, Qisya
tidak lupa juga Amirah yang telah berpindah....
Cikgu ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kerjasama dan keprihatinan semua.
Mohon maaf sekiranya tersilap kata, terkasar bahasa, sama ada sedar atau tanpa sedar selama kita bersama. 
Semoga semuanya menjadi anak yang soleh solehah yang membahagiakan orang tua. Belajar tetap belajar, teruskan hingga tercapai cita-cita.

Kalau ada jarum yang patah,
    Jangan disimpan di dalam laci;
Kalau ada silap dan salah,
    Jangan simpan di dalam hati.

Insya-Allah, ada rezeki dan keizinan Ilahi.... kita jumpa lagi.







Ahad, 27 Februari 2022

MAKIN AKU TERASA

 ENTAHLAH..... sedikit sedih bila mengenangkan keadaan kawan-kawan.  Aku jadi terharu dan sebak mengenangkannya. Mudah-mudahan Allah menganugerahkan kesihatan yang baik buat mereka, menyediakan jalan keluar yang baik juga buat mereka yang menghadapi masalah. Sesungguhnya kepada Allah jua kita menggantungkan sejuta harapan.

Perjalanan ke penghujung makin meruncing nampaknya. Kesibukan kian melanda. Begitulah dua saat puncak dalam meneruskan kerjaya. Pertamanya waktu awal dan keduanya waktu akhir, iaitu penutup.

Tahun yang begitu mencabar kurasakan sepanjang diriku bergelar guru. Tahun-tahun di mana kita terpaksa berhadapan musuh yang tidak nyata dipandangan mata. Anehnya kita terpaksa berperang dengannya. Akhirnya terpaksa pula hidup bersamanya. Begitu aturan yang terpaksa diterima.

Bermula dengan Covid-19 dan berakhir dengan Vaksin. Ada yang setuju menerima vaksin.  Ada yang tidak. Bermula dengan ianya sekadar pilihan dan terpulang kepada sesiapa, dan berakhir dengan paksaan. Semuanya makin menjadi persoalan. Kerisauan sudahnya berakhir dengan rasa gusar.

Bagaimanakah agaknya kehidupan yang bakal kita hadapi nanti?  Kita tidak dapat mengagak apakah yang akan terjadi selepas ini. Dunia makin ke penghujung hayatnya. 1500 Hijriah tidak lama lagi. Apa yang pasti ialah telah banyak tanda yang menunjukkan kiamat itu semakin hampir.  

Bersedialah kita untuk berhadapan dengan segala kemungkinan. Sentiasalah berbuat baik. Mudah-mudahan kita selamat hidup di dunia yang sebentar ini .... menuju akhirat yang kekal abadi.






Sabtu, 19 Februari 2022

KELIBAT SIAPAKAH ITU?

 17 Februari 2022.....

Aku menghadiri taklimat pengisian pesanan buku bagi tahun 2023. Aku mempelawa Za untuk bertolak awal pagi itu bersama-sama. Pada pertemuan di taklimat awal dahulu, tempatnya jauh sedikit. 

Kami tiba awal dan mendapati di dalam makmal tersebut baru terdapat beberapa orang sahaja. Seperti biasa, hari itu aku banyak bertanya kepada Za sementelahan pula dia ada sedikit pengalaman yang diperoleh daripada guru SPBT sebelum ini.

Walaupun usiaku dikira lebih tua namun pengalaman dalam bidang itu terlalu muda, bak kata orang 'setahun jagung'. Aku tiada pengalaman langsung dalam hal tersebut ketika ditempatkan di sekolah baharu.  Pendek kata aku bermula dengan 'zero'.

Namun aku suka bertanya sekiranya tidak faham. Biasanya Za yang menjadi mangsa. Dialah guru tempatku bertanya. Yang muda lebih banyak pengalaman dan ilmunya daripada aku yang tua.

Pengalaman setahun yang lalu dan info yang siap kucetak dan failkan, banyak membantu aku memahami urusan buku itu. 


18 Februari 2022....

Kehadiran aku di sekolah disambut dengan pertanyaan, "Cikgu pergi ke mana semalam?" Aku menjelaskan dengan ayat mudah agar anak-anak itu mengerti.

"Semalam saya nampak cikgu di bilik guru," ujar seorang lagi.

"Eh, cikgu tak ada di sekolah semalam," jelasku.

"Ya, saya nampak cikgu...." Fatimah bersuara lantang.

"Ha, siapa agaknya yang kamu nampak tu?" pertanyaanku itu menimbulkan persoalan kepada mereka.

Tengah hari itu setelah selesai waktu persekolahan, Ustazah Ain menceritakan bahawa ada beberapa orang murid menyatakan mereka ternampak kelibatku. Dia sekadar berfikir dan membuat kesimpulan bahawa mungkin aku datang awal untuk mengambil sesuatu untuk dibawa pergi ke taklimat tersebut.

Tanpa sedar meluncur sepatah kata dari bibirku, "Siapa agaknya?"





Khamis, 10 Februari 2022

KISAH HARI INI

TENGAH HARI tadi hujan turun mencurah-curah. Anak-anak yang hadir hari ini pulang dalam kebasahan. Begitu juga sahabatku yang pulang kemudiannya. Mereka turut meredah hujan. 

Kelibat Wa dan Huda masuk ke dalam kereta jelas kelihatan. Mereka berlari-lari anak merapati kereta masing-masing dan menyelinap masuk. Kedua-dua buah kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan sekolah.

Miss Jaja kulihat sempat berbual dengan Kak Mah sebelum melangkah pergi. Mereka semua terkena tempias hujan yang membasahi kaki lima bangunan tingkat bawah.

Aku yang masih meneruskan sisa-sisa tugas hari ini berdiri di koridor sambil menghantar mereka dengan ekor mata. Kebetulan pula Cikgu Jam kehilangan kunci keretanya. Namun akhirnya ditemui di dalam beg di bahagian but kereta. Alhamdulillah...

Ustazah Ain menceriakan suasana tatkala berceloteh tentang anak-anaknya dalam dialek utaranya sebelum meninggalkan bilik guru. Sedikit tawa menghiasi perpisahan kami. Maklumlah, dialek Perak dengan Kedah sedikit berbeza.

Hati pula teringatkan Ustaz Wan yang khabarnya pulang agak awal hari ini. Mudah-mudahan tidak ada sesuatu yang buruk terjadi.  Betul-betul yang tampak bertahan hingga berakhir waktu persekolahan hari ini ialah Miss Jaja, Ustazah Ain, Cikgu Jam, Cikgu Rod dan aku.

Di bangunan bawah pula ada Cikgu Ani, Cikgu Wa, Cikgu Huda, Wanie dan Husaini. Manakala di pejabat kulihat boss dan guru-guru kanan  masih gagah. Encik Yus dan Zura tetap ceria seperti biasa.

Dalam rintik hujan yang masih berbaki, aku terkenangkan mereka. Seorang demi seorang rakan setugas berhadapan dengan ujian. Aku pulang agak lewat hari ini demi menyelesaikan CIDS untuk hari esok.

Baru sebentar tadi mesej daripada Cikgu Nat dan Ustazah Aida masuk. Sebak meraja di hati. Walau apapun kesakitan yang menimpa, moga kalian bersabar. Tidak lupa doa dan harapan juga buat Izzah, Ina, Zimah dan kedua-dua ustaz muda kami. Pada Shu, jaga diri dan anakanda baik-baik.

Malam ini akan berlangsung program bacaan Yaasin secara dalam talian khas untuk penduduk setempat serta warga SKGL. Sama-samalah kita bermunajat, berdoa dan bermohon kepada-Nya. Sesungguhnya doa itu adalah senjata orang mukmin. 

Kasihanilah mereka semua Ya Allah. 


Rabu, 9 Februari 2022

PILU YANG MELANDA

PAGI tadi sebaik-baik kaki menjejak dataran ataupun laman sekolah.... hati diserbu sedikit pilu. Kelihatan keadaan sekolah yang lengang. Di ruang parkir berbumbung masih dipenuhi kereta. Namun di dataran pula, kereta berkurangan.  Mataku melilau mencari kereta merah Ina. Tiada.

Satu per satu langkah kuayun, dengan hati digayut bimbang. Manakan tidak, kes mencanak. Kami tidak ada pilihan melainkan terus hadir bertugas. Semalam Ustazah Aida tidak hadir, manakala Cikgu Nat kelihatan kurang sihat. Beliau berlalu pulang setelah mendapat kebenaran daripada puan guru besar.  Simptom yang ada pada ustazah turut beliau rasai.

Ustaz Luq pun tiada hari ini. Beliau mengirim pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp semalam.  Aku terus menapak anak tangga dalam kepayahan. Walaupun agak lambat, namun aku bersyukur kerana beroleh kekuatan tangan yang amat membantu. Alhamdulillah. 

Selesai menyukat suhu dan menulis nama di dalam buku kehadiran bertugas, aku tidak lupa membuat scan Mysejahtera. Itu semua merupakan suatu kemestian. Segala peraturan mesti dipatuhi. Di pejabat aku terserempak dengan puan guru besar, PK HEM, Ustaz Wan dan Cikgu Rod. Ustaz Wan diminta mengepalai bacaan Yaasin di awal pagi yang bertuah.

Segera kucapai buku kedatangan murid, lantas berlalu ke bilik guru untuk meletakkan beg. Berbekalkan senaskhah surah Yaasin aku menghala ke kelasku.  Ucapan salamku disambut oleh dua orang anak didik yang setia menunggu. Kami sama-sama mengikut bacaan Yaasin yang didengar melalui pembesar suara.

Syahdu sungguh alunan bacaan Ustaz Wan. Dalam tempoh pembacaan tersebut, sebak menguasai suasana. Ingatan kepada sahabat yang menerima ujian silih berganti mendatangi mindaku. Suaraku sedikit bergetar menahan rasa tatkala sama-sama mengalunkan bacaan. Dua tiga kali aku mengesat hidung dengan sapu tangan.

Kami sudahi bacaan dengan mengaminkan doa. Oleh kerana guru pertama tidak hadir, aku mengisi ruang waktu itu. Kuambil sedikit masa untuk meninjau makluman di telefon bimbit. Terdapat beberapa mesej kuterima di aplikasi whatsapp berupa harapan dan titipan doa untuk kami guru-guru. Hanya ungkapan terima kasih buat semua yang mendoakan.

Surat makluman ketidak hadiran juga turut kuterima. Kami juga berharap agar semua anak didik serta seluruh penduduk setempat dilindungi dan sentiasa berada di dalam peliharaan Yang Maha Esa.  Tidak ada daya dan kekuatan kami untuk menghadapi ujian-Mu ini melainkan dengan kasih dan rahmat-Mu Ya Rabbi.

Tidak ramai yang hadir hari ini. Pendek kata, kurang sedikit daripada semalam. Namun dek kerana tugas dan tanggungjawab, kami tetap menggalas amanah itu. 

Kepada rakan setugas, mudah-mudahan sentiasa kuat dan bersemangat menghabisi minggu-minggu akhir sesi persekolahan ini. Walau berat mata memandang, berat lagi bahu yag memikul. 

Kepada yang tidak sihat, sama-sama kita mohon agar Allah menyembuhkannya dalam kadar segera. Hanya kepada-Mu tempat kami memohon pertolongan. 



KETUA KELAS KITA DAH PINDAH!

 KELAS Tahun 2 Dinamik kehilangan ketua kelas yang berdedikasi, iaitu Nur Amirah Zulaikha. Apabila ibunya mendapat arahan untuk bertukar sekolah, maka secara automatik dia dan abangnya terpaksa meninggalkan SKGL juga.

    Tahniah Amirah kerana telah menyumbang khidmat bakti untuk kelas 2 Dinamik dalam tempoh yang pelbagai ragam. Kita sama-sama belajar dalam norma baharu tatkala Covid-19 melanda. Bermula dengan PKP, PKPD, lockdown dan berhadapan dengan belajar secara online dan PdPR... begitu mencabar.

    Amirah ternyata aktif di dalam kelas. Berani dan rajin memberi jawapan juga respons jika diminta. Namun ada ketikanya suka juga mengusik cikgu-cikgunya. Semoga Amirah berjaya dan cemerlang di sekolah baharu.

    Jangan lupa cikgu dan kawan-kawan di SKGL. Insya-Allah ada rezeki kita jumpa lagi.



Jangan lupa kami di sini.


Jumaat, 14 Januari 2022

Burunglah Kenek-Kenek

 


Lagu rakyat ini terdapat dalam buku aktiviti jilid 2 tahun 2. 

Berhadapan dengan anak-anak tahun dua yang seramai tujuh belas orang tu, menjadikan aku cukup menyenangi mereka.  Namun apabila berlakunya penggiliran, terasa makin sedikit sangat yang berada di dalam kelas tersebut. Minggu pertama seramai 8 orang manakala minggu berikutnya 9 orang.

Kumpulan pertama lebih aktif berbanding yang kedua, namun semuanya lebih kurang sama pencapaiannya.  Cuma tiga orang yang perlu lebih bimbingan. 

Lagu tersebut mengandungi nasihat dan boleh dijadikan pedoman 


Saat-saat akhir sebelum bermulanya cuti penghujung Disember, aku perkenalkan pula lagu rakyat dengan pantun berikut dalam loghat negeri Perak (kawasan Bota):

Peram-peram pisang
pisang masak layu
jatuh dalam lubang
'sambo' bapak yu

Umbut-umbut 'nyor'
belalang kedek-kedek
siapa buat 'hingor'
'rontu' kena cubit

Memang cekap betul budak-budak ni menghafal seni kata lagu ni, terutama bahagian pantun di atas. Kenangan bersama mereka tersimpan dalam memori nan indah.

Selasa, 7 Disember 2021

Pantun Akhir Tahun

 Terima kasih atas persahabatan yang terbina walaupun berada dalam kekangan kehidupan bersama Covid 19.  Kita kian sampai ke penghujung 2021.  Banyak pengalaman suka duka kita harungi bersama, berhadapan norma baharu yang meminta kita berkorban.

Perjalanan perlu diteruskan, dengan membawa bekal-bekal harapan. Kelebihan yang Allah beri, kita kongsi bersama anak-anak yang memerlukan.  Tugas mulia seorang yang bergelar 'guru' tidak habis di sini sahaja. Kitalah pemangkin kemenjadian mereka ..... dalam harap, dalam usaha, dalam doa.

Sama-sama kita berganding bahu, walau di manapun posisi kita. Gandingan mantap warga SKGL, insya-Allah akan membuahkan hasil yang diharapkan.




Sepinggan bihun disaji bersama,

    Lopes disira letak seiring;

Di akhir tahun kita bersua,

    Menjamu selera di Hirup Piring.


Ambil nangka letak di tangga,

    Ditutup nyiru lindung mentari;

Tanpa disangka tanpa diduga,

    Norma baharu kita lalui.


Menanti khabar di hari raya,

    Sedih pilu di pagi lebaran;

PdPR sepanjang kerjaya,

    2021 penuh cabaran.


Leka bermain di bawah rumah,

    Sayang jemari luka jadinya;

Kelas 'online' pelbagai kerenah,

    Berhari-hari guru menempuhnya.


Kayu gaharu dibuat ubat,

    Harum berbau semerbak wangi;

Pembantu guru pekerja pejabat,

    Banyak  membantu urusan kami.


Cantik dieja tulisan rumi,

    Kemas bersih indah tersimpan;

Tanpa pekerja siapalah kami,

    Terima kasih jadi ungkapan.


Penat berjaja duduk berhenti,

    Mengalun madah lantun bicara;

Saling bekerja bersatu hati,

    Sekolah indah, harmoni, ceria.


Padi malinja padi huma,

    Bersawah letih bukan kepalang;

Sama sahaja kita semua,

    Ada lebih ada yang kurang.


Tepi beranda pasang pelita,

    Suram cahaya di balik pohon;

Jika ada tersilap kata,

    Ampun dipinta maaf dipohon.


ida a.z.

Lekiyour, 7 Disember 2021

                    

 


Ahad, 8 Ogos 2021

KISAH 2 DINAMIK




Baca komik tepi jendela

Gambarnya terang berwarna-warni

Dua Dinamik punya cerita

Tujuh belas orang itulah penghuni


Di pohon mempelas hinggap pekaka

Cengkerik bersuara membelah sunyi

Ketua kelas Amirah Zulaikha

Penolong pula bernama Ayunni


Dari Taif pergi ke Jeddah

Sejarah ditatap menyentuh hati

Tugasan Arif tersusun indah

Jawapan mantap dari Asmai


Kalau menebas pokok semalu

Jangan lupa akan durinya

Muhammad Abbas orangnya pemalu

Adith bersuara tepat ideanya


Buka bekal untuk dimakan

Lauk rendang adunan kerisik

Nampaknya Farizal minat bersukan

Iqwan kekadang rajin mengusik


Ayam hutan masuk belukar

Ayam katik di rumah nyonya

Muhammad Zaffran memang kelakar

Tulisan menarik Asyraf orangnya


Kain bersih dilipat-lipat

Diletak kemas dalam almari 

Auni dan Qaseh belajar silat

Jangan cemas tuan Puteri


Di dalam sia ketupat palas

Bubuh di sana atur di meja

Seriusnya Damia di dalam kelas

Termenung Ammna melihat sahaja


Di tepi parit makan kelamai

Sedap rasanya dicecah kelapa

Walaupun murid tidaklah ramai

Berbeza cerita banyak karenahnya



08082021, ktb7 lekiyour

Sabtu, 17 Julai 2021

JANGAN BOSAN YE...

Setelah agak lama kami bertemu dalam group telegram, maka berakhirlah sesi PdPR itu.  Cuti seminggu menghadirkan diri.  Aku sangat bersyukur kerana dianugerahi anak didik yang amat menyenangkan.  Alhamdulillah...

Kami yang pada mulanya ditemukan secara dalam talian, akhirnya dapat bersemuka di kelas Tahun 2 Dinamik.  Sekolah itu baru bagiku, walaupun sudah biasa mendengar namanya.

Kelasku mempunyai 17 penghuni.  Sepanjang sejarah perkhidmatanku, kali inilah baru kutemui bilangan murid paling sedikit.  Berbeza sungguh dengan kelas sebelah yang paling ramai penghuninya, 35 orang!  Tahun satu pula tu.

Melihat wajah-wajah mereka ...... mengembalikan ingatanku kepada cucunda yang jauh di mata.  Walaupun PKP dan lockdown memisahkan kami, namun video-call pula menjadi ikatan.

Anak didikku memiliki sikap positif, seperti mana sifat yang dimiliki oleh ibu ayah mereka.  Memang tidak dapat dinafikan, aku sering menerima pertanyaan dan pendapat yang dapat membantu meningkatkan mutu PdPR.  Semangat ibu ayah yang sedia memberi kerjasama, turut kukagumi.

Tugasan yang kuberi seringkali siap mengikut jangkaan waktu yang ditetapkan.  Aku membuka ruang dan peluang kepada ibu bapa sekiranya mereka ingin mengajukan pertanyaan atau berkongsi masalah berkaitan pembelajaran anak-anak.

Aku memilih menggunakan group telegram dalam melestarikan PdPR.  Kekadang hujung minggu kami akan bertemu di Google Meet.  Waktu itulah aku mengambil peluang untuk bertanyakan khabar dan dapatan tentang perjalanan PdPR yang lalu.  

Namun perjumpaan ini bukanlah dengan paksaan.  Tidak semua yang mengikuti GM ini.  Namun ini merupakan satu cara mudah untuk kami bersemuka dan bercakap secara terus.  Kekadang aku selitkan sedikit motivasi di samping sedikit ilmu berkaitan bahasa.

Tidak ada masalah berkaitan PdPR yang mereka ungkitkan.  Malangnya hanya satu jawapan yang sering mereka luahkan....."rindu nak ke sekolah".   Allah.......sebak menjengah ruang hati.

Bersabarlah anak-anak, bulan Mac tahun 2021 ini kita baru berkenalan.  Ditambah pula dengan cuti PKP, bersambung dengan hanya PdPR.  Dan hari ini kita kembali bercuti.....  barangkali detik-detik membosankan bagimu.

Namun percayalah, Allah tidak membebankan kita dengan sesuatu yang kita tidak upaya melaluinya.  Insya-Allah, ada hikmah di sebalik semua ujian ini.  

Jangan lupa anak-anak.....jaga diri baik-baik.  Jangan tinggal solat, doa dan mengaji.  Jadikan Al Quran itu sahabat, agar ia menjadi teman kita di alam barzakh nanti.  Salam sayang dari cikgu.....





Dua tiga kucing berlari

Mana sama si kucing Belang

Dua tiga boleh kucari

Manakan sama kalian tersayang


......KTB7, Lekir  (17072021)



Jumaat, 12 Mac 2021

Salam Kenal Semua

 


SEKOLAH baru, anak murid pun baru.  Aku mengambil inisiatif untuk mengenali mereka dalam keadaan PKP.  Tak kenal langsung!  Cuma bila kami ditemukan di dalam group WhatsApp, yang kukenali hanya angka-angka (nombor telefon bimbit).

Kuminta kirimkan gambar sekadar untuk mengenali mereka, warga 2 Dinamik.  Maklumlah sekolah baharu, tak pernah mengenali mereka.  Bertugas pun hanya sekadar Bekerja Dari Rumah (BDR).  Namun setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan padu ibu ayah dan penjaga masing-masing yang memberi komitmen terbaik kepadaku.

Berkenalan dengan sekolah baharu, rakan setugas baharu, anak didik yang baharu, dengan norma baharu.  Seterusnya......bekerja di 'Sekolah Dalam Taman'.  Menarik sekali.

Kepada anak-anak semua, kini kita telah dapat bersemuka, bertentang mata, berada dalam PdPc mengikut norma baharu dengan mematuhi SOP.  Patuhilah semua peraturan.  Mudah-mudahan covid 19 cepat pergi meninggalkan kita.  Sejarah ini takkan dapat dilupakan, tersimpan kukuh dalam ingatan.

Selamat Belajar semua.