Sabtu, 17 Disember 2022

PENYAIR DARI GUNUNG

 


Akulah penyair yang turun dari gunung
Beratus tahun telah kududuk di situ
Beratus-ratus tahun

Kiniku turun ke lembah
Melihat manusia
Kecil miskin lagi hina
Hidup mereka melata-lata

Tanganmu kugenggam kujulang ke udara
Akan kujeritkan bagaikan halilintar
Kebebasan abadi

Akan kita susun perbarisan
Menjulang keadilan
Milik kita
Milik semua
Kita hidup bahagia

Milik kita
Milik semua
Kita hidup bahagia



Kredit kepada pembikin video,
Terima kasih semua.

TERIMA KASIH LAT


     SUATU waktu dahulu ketika aku masih kanak-kanak, aku meminati kartun yang dihasilkan oleh Lat dan Nan.  Mudah membezakan yang mana satu hasil kreativiti mereka.  Apabila kali ini lukisan sebegini hadir kembali... ceria bertenggek di kamar hati.
    Apa tidaknya, kenangan lama muncul kembali! Teringat lagi buku Lat bertajuk "TAK NGAPA, MAK".  Buku itu ayah belikan entah pada tahun berapa. Mudah untuk memahami apa yang ingin disampaikan berpandu kepada kartun yang tertera walaupun tanpa perkataan atau dialog. Kalau adapun, memang perkataannya sedikit sahaja.
    Manakala Nan pula cukup terkenal dengan "DIN TEKSI". Malah ayah membelikan pula kemeja T gambar keluarga Din Teksi untuk kami dua beradik. Kelibat kucingnya yang bernama Peah masih kuingat lagi.
    Sekiranya aku pulang ke kampungku di Batu Gajah, akan kelihatan Galeri Lat tidak jauh dari stesen kereta api di sana. 'KAMPUNG BOY" pula singgah di ingatan!

    

Khamis, 15 Disember 2022

PERKONGSIAN

 


Terima kasih ustaz dan pembikin video ini atas perkongsian dan pencerahan. Berada dalam zaman yang pernah dinyatakan oleh nabi tercinta kita... membimbang dan menakutkan. Mudah-mudahan Allah melindungi kita daripada penipuan dunia. 

Rabu, 14 Disember 2022

SOAL MAKAN (PANTUN)




 JOM MAKAN

Mengail udang dan juga ikan,
    Tuju ke lembah tumpang di bagan;    
Sekali pandang amat menyelerakan,
    Nasi bertambah berpinggan-pinggan.

Tampak Jaguh teduh di semak,
    Carikan denak diberi makan;
Banyak sungguh makanan berlemak,
    Walaupun enak cuba elakkan.

Terhuyung-hayang duduk di rakit,
    Di atas papan jatuh pengsan;
Terlebih kenyang menjemput penyakit,
    Jangan kesedapan jadi alasan.

Rasa kelat si pucuk janggus,
    Sekali sekala cuba hidangkan;    
Kek dan coklat kurangkan sekaligus,
    Aiskrim dan gula-gula kita jauhkan.

Tampak balak di tengah hutan,
    Kesan tinggalan nenek moyang;    
Ikutilah akhlak contoh ikutan,
    Berhenti makan sebelum kenyang.

Berkasut Bata pergi ke pekan,
    Pakai celana warna kemerahan;
Jangan kita mati makan,
    Nun jauh di sana mati kelaparan.


14122022
ktb7 Lekir



Selasa, 6 Disember 2022

KUKUHKAN PERSAMAAN, RAIKAN PERBEZAAN

     HIDUP bermasyarakat bermakna kita berada dalam ruang lingkup kehidupan di sisi jiran tetangga, kawan-kawan, dan dalam satu komuniti. Seterusnya saling memberi dan menerima pendapat serta sedia bertolak ansur. Maknanya kita tidak duduk berseorangan umpama katak di bawah tempurung. Sesungguhnya kita amat memerlukan orang lain dalam meniti kehidupan.

    Justeru, sentiasalah mengamalkan sikap terbuka dan prihatin sesama kita. Raikan perbezaan, mungkin di sudut lain ada banyak persamaannya. Jauhi bersangka buruk serta sikap-sikap negatif. Elakkan berdendam. 

    

    Bak pepatah, rambut sama hitam namun hati lain-lain. Hargailah anugerah Allah kepada kita. Perbezaan warna kulit dan rupa paras itu, adalah kehendak Allah. Bersyukurlah. Ramai juga dalam kalangan kita tidak kisah akan hal demikian. Apa yang penting ialah kita berkawan atas satu sebab tertentu.

    Pendapat dan minat yang sama menyumbang kepada eratnya sebuah persahabatan. Tidak kurang juga ada sebilangannya yang menjadikan perkara tersebut sebagai keutamaan dalam memilih sahabat. Pertama kali bertemu sudah saling bertukar nombor telefon akibat kuatnya ikatan persamaan yang ada.  

 

    Tidak kurang juga yang bersahabat melalui pelbagai media sosial. Akhirnya ia disusuli dengan pertemuan. Maka terjalinlah ikatan. Pokok pangkalnya rata-rata ia bermula dengan satu minat yang sama. Itu memang tidak dapat dinafikan.

    Belajarlah menjadi pendengar yang setia, walaupun wujud perbezaan pendapat. Jangan jadikan perbezaan tersebut sebagai senjata untuk anda meninggalkan dirinya. Jangan sesekali memutuskan silaturahim walaupun anda tidak sependapat dengannya. Hargailah pendapat itu. Pasti ada sudut lain yang anda boleh bersetuju dengannya.

    Ramaikan kenalan, elakkan permusuhan. Walaupun mungkin sukar untuk mencari titik persamaan... jangan dibesar-besarkan perbezaan yang sedia ada. Barangkali suatu hari nanti insan yang kita kurang enak berkawan dengannya itulah yang datang membantu.

    Jika suka sekalipun dengan seseorang, jangan diberi kepercayaan seratus persen kepadanya. Sandaran harus diberi kepada Yang Maha Esa. Sikap berhati-hati perlu terselit jua. Namun kejujuran itu amat penting. Andai kata kepercayaan telah terbina, jangan pula ia dirobohkan. Bukan mudah untuk membinanya kembali. Percayalah.

    Buat sahabat yang dikasihi... semoga ukhuwah kita berkekalan. Tegurlah daku andai tersilap membuat percaturan. Bersama di dunia, mudah-mudahan kita dapat bersama juga di sana nanti.  Insya-Allah.


kredit buat:
rakan/jiran sekampung
rakan guru
rakan penulis
rakan seperjuangan
rakan facebook

Isnin, 5 Disember 2022

KENANGAN TERINDAH

 

DISEMBER hadir lagi, merupakan bulan terakhir dalam setahun. Banyak kenangan yang mekar dalam ingatan. Nikmat Allah yang tak dapat kita dustakan. Syukur alhamdulillah... 

    Perjalanan ke Seremban dalam bulan September lalu dipenuhi keceriaan. Sesekali bercanda mengenang sejarah silam yang dikongsi bersama sambil menikmati juadah ala kadar yang dibawa sebagai bekalan sepanjang perjalanan.

    Kami bertemu dalam satu wadah perjuangan yang ada kalanya menuntut komitmen dan kesungguhan yang tinggi. Menempuh cabaran bersama-sama. Terimalah perjuangan kami Ya Allah.

    Terima kasih Ya Allah, menemukan aku dengan sahabat guru-guru dan staff SKGL, di mana merupakan tempat khidmat terakhir. Banyak kenangan manis di sini.

    Walaupun telah bersara, aku masih lagi dijemput untuk bersama dalam beberapa siri aktiviti sekolah. Syukran jazilan buat semua.


    Kembali bertemu rakan-rakan guru sekolah yang telah lama berkhidmat, iaitu selama 16 tahun. Pertemuan sekadar beberapa jam di penghujung November begitu meninggalkan kesan. SKL tetap dalam ingatan. 

    Kenangan bersama akan terpahat di sanubari. Terima kasih atas kemesraan yang terbina. Paling istimewa buat sahabat kelas sebelah, PPKI. Semoga khidmat yang diberi buat anak-anak syurga dibalas dengan balasan yang setimpal di sana nanti.

    




    Walaupun anak-anak ini tidak ramai,  walaupun pertemuan tidak lama, kami diikat oleh keakraban. Belajar dalam situasi yang amat berbeza dari dahulu.

    Selama lebih 30 tahun berkhidmat, namun dengan kumpulan ini aku belajar sesuatu yang baharu. Penggunaan medium yang pelbagai dalam PdPc. Walaupun terdapat pelbagai rintangan, anak-anak ini tetap teguh berdiri. Tidak mudah patah semangat.

Khidmat terakhir buat mereka ialah 16 Mac, 2022. Semoga kalian beroleh kejayaan di dunia juga di akhirat, menjadi anak-anak yang soleh dan solehah buat bonda dan ayahanda tercinta. Mudah-mudahan tercapai apa yang dicita-citakan suatu hari nanti, insya-Allah.

Masing-masing menunjukkan kehebatan
dan menceriakan suasana




Sabtu, 3 Disember 2022

SELAMAT BERSARA CIKGU LEHA

 

MENGENALI Cikgu Zaleha sudah agak lama, iaitu bermula dari MPSI lagi. Aku menjejak kaki ke tempat sejarah itu pada 1 Julai 1985, manakala Cikgu Zaleha hadir satu semester kemudiannya.

    Tanpa diduga, kami akhirnya menjadi jiran. Dahulu bertemu di Tanjung Malim, kini bersua di Manjung. Rumah kami bertemu dapur. Begitulah besarnya rahmat Allah. 

    Kami mempunyai anak perempuan yang sebaya, pernah bersama sekelas waktu di sekolah agama. Mereka saling mengenali dan tetap berhubung walaupun kemudiannya belajar di sekolah menengah yang berbeza. Walaupun Nida telah pergi, namun ingatan padanya masih mekar.

        Kami mempunyai satu minat yang serupa, iaitu menulis. Mudah-mudahan selepas bersara ini kami dapat bersama-sama meneruskan minat dalam mewarnai dunia penulisan tanah air meskipun sekadar penulis kerdil.

    Sebelum ini kami menulis Buku Ringkasan, kemudiannya CIDS dan berharap akan bertemu di dalam buku yang sama suatu hari nanti.

    SELAMAT BERSARA LEHA... semoga sihat selalu, bahagia di samping keluarga tercinta. 1 Disember 2022 bermulalah perjalananmu sebagai seorang pesara guru. Tahniah!


foto:
 kredit to Cgu Leha

Jumaat, 2 Disember 2022

SELAMAT BERSARA KAK NANI

ALHAMDULILLAH..... Tahniah Kak Nani, berjaya sampai ke takahnya. Diucapkan 'Selamat Bersara'.  Semoga waktu-waktu persaraan ini diisi dengan sesuatu yang bermanfaat, dan juga dipenuhi barangkali sesuatu yang Kak Nani minati.
    Mengenalimu agak lama, iaitu sejak ditempatkan bertugas di sekolah SKL... mulai 15 Januari 2005. Agak ramah dan mudah mesra. Sering menceriakan suasana. Begitulah sosok yang kukenali, Puan Jariah binti Kamarudin.
    Dianugerahkan dua orang cahayamata, yang sulung sama sekelas dengan kak lang manakala yang kedua pula sama sekelas dengan kak uda ketika mereka masing-masing belajar di SKL dahulu. Kedua-duanya hadir pada hari bersejarah itu.
    Ammar menemani Kak Nani tika dijemput ke pentas. 



     
       Kehadiranku di awal pagi disambut mesra oleh salah seorang seorang guru baharu di bahagian pendaftaran. Keadaan semakin dirasakan ceria apabila aku ditegur oleh Ain, ustazah di kelas PPKI. Rindu terubat jua. Berjabat salam dan berpelukan dengannya. Diikuti dengan Sakinah, guru BI yang sentiasa kelihatan cool. Kami berbicara seketika soal keluarga. Ayahnya merupakan jiran kariahku.

Famili Kak Nani

Tahniah Kak Nani

bersama Yardh, rakan peminat sukan


    Sempat duduk semeja bersarapan dengan Z, Dayang, Atikah dan Fini (yang baru bertukar ke SKSS) . Ustazah Aja yang kerap asma, semakin sihat nampaknya. Azie, Nini (boss PPKI), Shikin, Fadz, sempat bertegur mesra. Herda juga kelihatan sibuk. Cikgu Azman masih steady, meraikan tetamu.
    Ina I pula lincah mengambil gambar dengan telefon bimbit yang baharu. Aktif orangnya. Aku terpandang kelibat Ida, bekas kerani SKL. Sempat aku menegurnya.


    Selesai menikmati juadah, aku melangkah ke Dataran Ar Rayyan. Kelihatan Madam Zunaidah dan Azira duduk di meja pengacara majlis. Oh, patutlah mereka tidak ditemui di kantin. Sibuk dengan skrip rupa-rupanya.
    Aku mengambil tempat duduk di baris hadapan setelah dimaklumkan oleh Zue. Aku dihampiri oleh Ustazah Ju, huluran tangannya kusambut. Erat kujabat. Kami berbicara seketika. Ustaz Marzihan dan Cikgu Husaini juga menegurku. 
    Cikgu Basri dan Cikgu Rashid duduk sebaris denganku, bahagia sungguh mereka bertugas di sekolah yang sama. Nun di Kayan. Dalam kesibukan, Yardh pula muncul dan duduk di kerusi kosong di sebelahku. Rancak pula kami berbual. Sesekali mata melilau mencuri pandang rakan-rakan lama. maklumlah mereka ada tugas masing-masing yang perlu diselesaikan. Salma dan Ila kupandang dari kejauhan.

    Sedang acara berlangsung kelihatan di mataku Ina PPM dan Imah. Masing-masing dengan gaya tersendiri. As munculkan diri agak lewat namun sempat naik ke pentas untuk menyampaikan hadiah buat Kak Nani.
    Terima kasih kepada SKL kerana sudi menjemput. Alhamdulillah dapat kita bersua muka. Ramai muka baru yang tidak kukenali. Semoga semuanya dapat memberi khidmat terbaik buat SKL sebelum berpindah atau melangkah ke alam persaraan.

    Teringat beberapa patah kata-kata Kak Nani... "bila kejadiannya", "jasamu dikenang" dan "thank you, i love u". Permainan bola baling tetap menjadi pilihannya dari dahulu hingga ke saat-saat terakhir di SKL. Tahniah dan terima kasih Kak Nani, jasamu dikenang!
    
    Tidak lupa juga Selamat Bersara buat Cikgu Abdul Hamid. Walaupun tidak berapa kukenali rupa-rupanya kami pernah berada di sekolah yang sama suatu ketika dahulu, SMR Batu Gajah dan SYS Batu Gajah.


"SELAMAT BERSARA KAK NANI & CIKGU HAMID, MOGA BAHAGIA DI DUNIA JUA DI AKHIRAT."


kredit kepada Yardh, Herda dan Ina I
terima kasih banyak-banyak
(tukang pukul gambar)