Isnin, 30 Januari 2023

REZEKI PAGI

     PAGI ini kami singgah bersarapan di salah sebuah kedai makan di Kampung Sungai Wangi. Kelihatan beberapa ekor monyet seolah-olah menyambut kedatangan kami sewaktu sibuk tercari-cari tempat yang sesuai untuk memarkir kereta. Barangkali ia datang dari hutan berdekatan. Kami segera menaikkan cermin. Teringat pula kejadian suatu waktu dahulu ketika berada di Taman Monyet. Botol air di dalam van milik kami tiba-tiba dirampasnya lantas meneguk dengan pantas. Hebat, bukan?

    Bimbang kejadian yang sama berulang, maka kami memastikan kereta berkunci. Buat pertama kalinya aku menjejak kaki ke kedai makan tersebut, sedangkan suami pernah ke situ bersama rakan sekerjanya. Agak ramai pengunjung yang menjamu selera di situ. Kelihatan menu yang dipaparkan di dinding, memudahkan kami membuat pesanan.

    Sebelum melangkah masuk, suami mengingatkan, "Nanti akan ada wajah yang Ida kenal." Aku sekadar mencuri-curi pandang sekitar. Kami mengambil tempat duduk di sisi kedai, tapi beralih tempat ke ruang tengah pula apabila diajak suami. Mataku tertancap kepada penebar roti canai...."Eh, rasa-rasanya macam kenal," aku bermonolog.

    "Bukan yang kerja dengan CMK tu ke, bang?" bisikku perlahan.

    "Ye, betul. Dia orang Sungai Wangi," pantas suamiku meleraikan pertanyaan. Kelihatan dua wajah pembantu kedai yang kukenali. Salah seorangnya bekas muridku dahulu, di SKSW. Ayahnya pernah sepejabat dengan suamiku. Pemergiannya di ladang sawit akibat serangan jantung tiba-tiba terlintas di fikiran. 

    Usai makan, kami meninggalkan kedai tersebut. Namun aku mengambil kesempatan bertemu bekas anak muridku itu sebentar sambil memintanya menyampaikan salamku buat bondanya. Sebaik-baik aku menurunkan mask, dia menepuk-nepuk kedua belah pipinya sambil terjerit kecil dengan senyum penuh keriangan. 

    Amat benarlah kata suamiku itu....akan ada orang yang aku kenali, yang mungkin ditemui. Mana tidaknya, SK Sungai Wangi merupakan sekolah pertama di daerah Manjung di mana aku ditempatkan setelah bertemu jodoh dengan suamiku. Aku berkhidmat mulai 1 Disember 1992 dan meninggalkannya pada 31 Disember 1998. Agak lama juga di situ. Mudah-mudahan bekas anak-anak didikku beroleh kejayaan dan keberkatan hidup di dunia juga di akhirat.

    Tiba-tiba teringat juga kepada rakan setugas di SKSW, antara yang paling rapat ialah Pn Norizan (Kak Zan) dan Pn Nor Fadzilah (Kak Nor). Kedua-duanya telah bersara. Aku pernah menjadi penumpang tetap Kak Zan, berkereta dengannya di awal pagi menuju sekolah. Kini tiada lagi muka-muka lama di SKSW. Semoga Allah menganugerahkan kesihatan yang baik buat mereka.

 Terima kasih kepada empunya video ini, yang kongsikan dalam blog ini. Terselit wajah Kak Zan dan kak Nor dalamnya. Mengembalikan nostalgia antara kita.


Sabtu, 28 Januari 2023

MENUNGGU KERETA API

 


TERIMA kasih kepada tuan punya video ini. Sesekali menyaksikan perubahan demi perubahan yang berlaku, kemajuan demi kemajuan yang terjadi. Kenangan itu hadir kembali.

    Kami berkesempatan singgah di stesen kereta api Batu Gajah malam itu, 24 Januari 2023. Aku sengaja mengajak anak-anak menikmati suasana di stesen tersebut setelah keletihan siangnya di lokasi Pak Pin Campsite di Gopeng. Mengembalikan nostalgia selama tiga tahun menggunakan perkhidmatan ini selmasa menjadi guru pelatih di Tanjung Malim (85/88).

    Walaupun semuanya sudah berubah, pengalaman yang dahulu itu masih terasa. Aku dipertemukan dengan dua orang penumpang yang kebetulan sedang menunggu waris datang untuk mengambil mereka. Sempat berkongsi pengalaman masing-masing. Rupa-rupanya suami mak cik tersebut merupakan pekerja lombong juga seperti ayahku. Manakala anak perempuannya pernah bersekolah di SK Bakap. 

    Kami rancak berbicara tentang sejarah sekolah. Dia sekadar membahasakan dirinya sebagai Wan. Mak cik pula mengisahkan pengalaman suatu ketika dahulu meredah jalan belakang dari Bakap melalui tepi jalan kereta api dengan berbasikal. Usianya telah menjangkau 84 tahun. Lebih kurang sama tahun kelahiran dengan ayah agaknya. Arwah suaminya dahulu bekerja di lombong Kampung Batu 5. Teringat pula aku akan kapal korek yang masih menjadi tinggalan sejarah di situ. 

    Bagi kami yang usianya menjangkau 5 siri ini, memang mengenali stesen kereta api Batu Gajah. Namun kini ia tidak lagi digunakan sebagai persinggahan kereta api kerana stesen baru telah mengambil tempatnya. Akupun sudah lama tidak berkunjung ke situ. Namun jika ditinjau dari jejambat, kelihatan agak semak keadaannya. Barangkali tidak terjaga. Kedai makan yang ada di lokasi tersebut masih lagi dapat dilihat dari jauh.

    Masih kuingat lagi... ayah akan menghantarku ke stesen tersebut pada waktu tengah hari sekiranya aku pulang ke Tanjung Malim. Sekiranya aku pulang bercuti pula, biasanya bertolak lebih kurang jam 9.00 malam dari sana, dan akan tiba hampir jam 11.00 malam. Seakan-akan masih terdengar bunyi hon kereta api dan terasa kelajuan pergerakannya. Pasti setiap stesen menjadi singgahannya, tidak pernah gagal. 

    Dari Batu Gajah, stesen kecil Kota Baharu (Gopeng) menjadi singgahan pertama. Kemudian terus ke Kampar, disusuli denga Tapah Road. Dari situ akan kelihatan landasan kereta api ke Teluk Intan. Kadang-kadang di sinilah kereta api berhenti agak lama. Antara sebabnya mungkin menunggu penumpang ataupun perselisihan kereta api lain. Terdapat beberapa landasan lain lagi di sini. Kawasannya agak luas. Kereta api barang atau kargo juga menggunakannya sebagai laluan yang sama.

    Landasan kereta api ke Teluk Intan yang dibina pada tahun 1893 telah ditutup pada tahun 1989. Ini bermakna tidak lama setelah aku bergelar guru di salah sebuah sekolah di Teluk Intan, perkhidmatan kereta api ini berakhir. Sebenarnya ramai dalam kalangan murid sekolah menengah waktu itu menjadikan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka untuk ke sekolah menengah di bandar.

    Kelajuan kereta api diperlahankan sekiranya terdapat selekoh. Pernah aku melihat ekor (gerabak hujung) kereta api yang aku naiki. Sedikit bimbang tatkala melaluinya. Seingat aku, kereta api juga akan lambat pergerakannya jika keadaan sedikit bahaya. Misalnya suasana banjir di sekitar, maka pemandu kereta api akan lebih berhati-hati. 

    Seterusnya laluan terus ke Bidor, Sungkai, Behrang dan akhirnya stesen perhentianku di Tanjung Malim. Setiap stesen barangkali ada sejarahnya. Tapah Road terkenal dengan sejarah di zaman komunisnya. Di stesen Bidor pula pernah berlaku pertembungan kereta api. Itu sekadar yang aku tahu. Selebihnya di luar pengetahuan. Wallahu'alam.

    Menaiki kereta api zaman sekarang, pasti berbeza sama sekali. Dua orang anakku yang belajar di Kedah pernah menaiki ETS, sudah pasti tidak akan sama dengan pengalamanku. Tidak akan sempat menikmati keindahan alam di kiri kanan laluan. Tidak akan bertemu dengan pak cik penjual kuih dan nasi lemak yang naik di stesen lain dan turun di stesen lain. Masih adakah pak cik yang aku maksudkan itu? Jika masih ada, sihatkanlah tubuh badannya, jika sebaliknya...Kau ampunilah dia dan moga tenang di taman barzakh.

    Kepada sahabat yang pernah bersama-sama sekereta api dari Tanjung Malim ke destinasi masing-masing, barangkali kenangan bersama ini masih melekat di hati. Kita sama-sama dalam gerabak kereta api malam (Senandung Malam) menuju Butterworth. Bunyi hon, enjin, brek dan rentak gerabak di landasan begitu sebati dalam hidup kita sebagai warga Ibu Kandung Suluh Budiman. 

    Kini stesen kereta api Batu Gajah yang baharu ini makin menjentik hatiku... kerana di kawasan inilah ayah pernah bergelumang melaksanakan tugasnya sebagai kepala lombong. Ayah selalu menyebutnya Kinta Kellas Tin. Depot ETS Batu Gajah ini merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang terkenal suatu waktu dahulu... Kawasan ini kini hanya tinggal takungan-takungan air yang disebut tasik. Pepasir yang memutih itu masih seperti dahulu. Ia merupakan laluan kami ketika menetap di Kampung Pisang. 

    Dalam masih menanti-nanti, akhirnya kelihatan ETS meluncur laju membelah malam. Kemudiannya kami beransur meninggalkan stesen kereta api tersebut. 

Ahad, 22 Januari 2023

BATU GAJAH OH BATU GAJAH

SIBUK bercerita pasal kampung lamanku Batu Gajah, yang digembar-gemburkan tentang kehadiran gajah yang disumpah oleh sang kelembai menjadi batu... akhirnya aku temui replika ini di dua lokasi.

    Lokasi pertama ialah di Tronoh, iaitu dalam pagar kawasan Universiti Petronas. Sekiranya anda melalui kawasan ini, dari tepi jalan lagi akan kelihatan tiga ekor gajah di tepi tasik yang ada di situ. Manakala tempat kedua pula ialah di Ladang Gaharu, Gopeng.

    Bertahun-tahun menetap di Batu Gajah, namun tidak pernah ternampak kelibat haiwan ataupun batu berbentuk gajah itu. Tidak salah aku, rasanya dalam Muzium Perlombongan Bijih Timah di Kampar pun ada. Dan satu lagi di Muzium Matang, Taiping. Rupa-rupanya batu berbentuk gajah ini boleh didapati di banyak tempat di negeri Perak ini. 

    Kepada sesiapa yang berminat untuk melihat haiwan gajah yang sebenar, dijemput ke zoo. Tetapi jika hanya sekadar mahu melihat replikanya, silalah berkunjung ke beberapa tempat yang telah dinyatakan di atas tadi.
 

TERKENANG SEMASA DULU...

     TAHUN BARU CINA muncul kembali. Aku terkenang suatu ketika dahulu, semasa aku kecil. Aku mengikut ayah ke rumah kawannya di Pusing dengan menaiki motosikal. Uncle yang merupakan rakan sekerja ayah itu menjemput ayah datang ke rumah. Mereka sama-sama bekerja di lombong bijih timah di Kampung Pisang. 

    Setibanya kami di rumah uncle, kelihatan pelbagai tanaman mengisi  perkarangan rumahnya. Rajinnya uncle berbudi kepada tanah. Cemburu pula aku melihatnya. Ayahpun apa kurangnya. Di belakang dan tanah sebelah rumah yang kami sewa itu ayah dan emak penuhkan dengan tanaman ubi kayu dan keladi. 

    Makanan yang menjadi pilihan aku dan ayah ialah kacang dan limau. Ayah rancak berbual dengan uncle. Melihat kepada raut wajahnya, aku dapat mengagak bahawa usianya lebih tua daripada ayah. Sudah memiliki cucu pula. Namun masih kuat bekerja. Ayah berkawan dengan sesiapa sahaja, tanpa mengira bangsa atau keturunan. Kelebihan ayah ialah mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Ada sahaja modal untuk dibualkan.

    Gembiranya aku kerana sebelum meninggalkan rumah uncle itu, aku mendapat angpau. Terima kasih uncle!

Jumaat, 20 Januari 2023

KAMI ANAK-ANAK SKBG


     DALAM rintik-rintik hujan di luar, aku teringat kawan-kawan lama yang sama-sama bersekolah rendah dahulu. Malam ini hati disapa hiba. Makin menjangkau ke usia warga emas, makin aku menoleh ke zaman lampau. Segala-galanya terbayang di ruang mata.

    Kenangan kita bersama selama enam tahun di SKBG kerap benar menyapa. Wajah-wajah kawan dan sahabat muncul satu per satu. Silih berganti. Ramai dalam kalangan mereka tinggal di Kampung Pisang, Kampung Ara Payung, Sungai Terap, Kampung Pasir, Kampung Bendera, Bemban, Kampung Batu Dua, Changkat Belengkor, Kampung Kinta Valley, Changkat, Kampung Batu Satu, Kampung Jernih dan Kampung Tersusun.

     Kawan-kawan ayah mempunyai anak yang lebih kurang sebaya denganku. Kami merupakan anak-anak pekerja lombong bijih timah. Terkenang-kenang juga kawan-kawan yang tinggal di kuarters polis dan bomba. Rakan sekelasku ramai juga merupakan anak polis. Bagiku mereka semua sama sahaja.  Belajar dalam satu sekolah yang sama. Tiada perbezaan darjat antara kita.

    Cumanya ada dalam satu tempoh masa kami ditempatkan di Sekolah Cawangan SKBG yang lokasinya agak terkebelakang sedikit daripada pekan. Mungkin disebabkan ketidakcukupan kelas, maka kami ditempatkan di lokasi tersebut. Bangunan kelas bertangga, dindingnya papan. Seingat aku ada tiga buah bangunan berbentuk rumah kerajaan dijadikan bilik darjah. Ada tempat jualan makanan yang kecil menggantikan kantin, sedangkan padangnya sedikit tinggi dari aras biasa. Ada beberapa mata tangga simen untuk sampai ke aras tersebut.  

    Sekiranya terdapat program khas, kami terpaksa berjalan ramai-ramai ke sekolah yang menempatkan bangunan utama. Guru-guru akan mengawal lalu lintas. Sambil berjalan itu mata kami sempat melilau memerhati sekitar. Tidak terasa penat berjalan kerana berpeluang mencuci mata. 

    Aktifnya aku ketika berada di sekolah rendah dahulu. Tanpa segan silu menyahut semua cabaran. Cuma dalam acara sukan aku kurang menyerlah, kecuali badminton. Nyanyian, nasyid, tarian, bersyair dan mengaji ...semua aku masuk. Saat-saat yang menyeronokkan ialah apabila tiba waktu rehat. Kami kerap bermain galah panjang di kawasan lapang sebelah rumah guru besar. Sebaik-baik loceng berbunyi, sepantas kilat berlari menuju kelas. 

    Jika waktu pulang pula kami main ketinting bunga kemboja sehingga kasut putih bertukar lebam. Tangan segera melambai pulang sekiranya emak atau ayah datang menjemput. Betapa cerianya zaman itu. Jauh beza dengan kanak-kanak zaman sekarang. 

    Kini segalanya tinggal kenangan. Beberapa orang kenalan sama sekolah telah pergi menghadap Ilahi. Antaranya Allahyarhaman Kak Zawiyah, Norita, Mahathir dan Azahar. Semoga Allah mengampuni kalian. Jika ada yang sakit, Engkau sembuhkanlah mereka Ya Allah. Mudah-mudahan sihatkanlah dan bahagiakanlah mereka semua. 


kredit kepada pemilik video ini 
(terima kasih tuan)
12.10 malam
sesekali rindu itu bertandang jua



Khamis, 19 Januari 2023

SEMOGA TENANG DI SANA


    SEMALAM aku mendapat khabar duka daripada sahabat lama....Dilah. Bonda kesayangannya telah kembali ke rahmatullah pada 26 Oktober yang lalu. Innalillahi wainna ilaihi rojiuun. Hati dihimpit sebak. Sesungguhnya aku tidak menerima khabar tersebut. Salam takziah dari kami sekeluarga.

    Terima kasih atas makluman yang mendukacitakan itu. Dalam kesibukan ulang alik dari Lekir ke Batu Gajah bermula awal tahun 2022, pasti akan teringat kepada Mak Cik Zahrah. Cuma sempat sekali aku sendirian mengunjunginya. Direzekikan pula bertemu Kak Long dan Ijan pada waktu tersebut. 

    Semenjak itu, tujuan utama balik ke BG semata-mata untuk melihat kerja-kerja baikpulih tersebut. Fikiran terkenang juga kepada jiran lama emak ini. Satu-satunya jiran paling hampir yang menjadi kawan emak berbual dan berkongsi cerita. Kebiasaannya hanya melalui laungan di tepi pagar. Biasalah ...orang kampung. 

    Aku masih teringat foto-foto lama tersebut, masih tersimpan dalam laci almari solek di rumah ayah. Gambar kenangan semasa ayah dan Tok Man (ayah Dilah) mengadakan majlis doa selamat sewaktu hendak mendirikan rumah kami. Satu-satu kurenung dalam-dalam. Sama-sama mendirikan rumah, yang ada sedikit persamaannya. Berkumpul dua keluarga yang sekadar namanya jiran. Dan ikatan itu akhirnya menjadi utuh asbab kami anaknya yang belajar dalam satu sekolah yang sama.

    Rumah emakku dan Mak Cik Zaharah dipisahkan oleh rumah Kak Zan. Sepelaung sahaja. Memang akan jelas kelihatan sekiranya masing-masing keluar untuk membersihkan sekitar. Keramahan mereka makin terasa jika emak Kak Zan juga ada bersama. 

    Tanpa kami sedari bahawa Mak Cik Zahrah rupa-rupanya telah pergi meninggalkan dunia fana ini. Angan-anganku untuk bersua untuk kesekian kalinya terkubur begitu sahaja. Begitulah, akibat bertangguh-tangguh...akhirnya aku yang terkilan. Mudah-mudahan bondamu Dilah, dicucuri rahmat dan diampuni dosa-dosanya. Tenanglah Mak Cik Zahrah di taman barzakh. Mak cik terlalu baik dengan kami. Kenangan bersama mak cik mekar di taman hati.

    Kuhadiahkan bacaan Al Fatihah buat ayah, emak, Tok Man dan Mak Cik Zahrah... Di dunia ini kita berjiran,Ya Allah temukanlah kami semula di sana nanti.



(terima kasih kepada pemilik video ini)

......setitis dua air mata ini mengalir jua
      10.38pagi 19 Januari 2023/ 26 Jamadil Akhir 1444H


 

Selasa, 17 Januari 2023

RUMAH AGAM ITU...


RUMAH AGAM ITU

Acapkali melewati selekoh itu
Sepasang mata ini tetap memerhati
Betapa gahnya warisan tinggalan
Kesenian tak terungkap

Untuk kesekian kali dilewati....
Yang tinggal hanya tiang-tiang
Sedang papan-papannya telah dibawa pergi
Jauh ke pantai timur

Sedar dari lamunan panjang
Menyingkap sejarah yang tersimpan kian lama
Kehilangan rumah agam tanpa ganti
Menanti luput ditelan zaman
Alma Baker bersemadi di Changkat


.....BG tetap di hati
 (terima kasih kepada pemilik foto ini)

Sabtu, 14 Januari 2023

TERIMA KASIH ATAS NIKMAT-MU


Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Dapat berkumpul bersama keluarga juga merupakan satu rezeki. Dapat menikmati keindahan alam ciptaan-Mu juga merupakan rezeki. Nikmat dapat makan bersama sebelum pulang ke destinasi masing-masing masih diistilahkan sebagai suatu rezeki.  Nikmat yang dianugerah Allah ini tak dapat untuk kita dustakan.

  Walaupun pantai kawasan ini kurang terjaga kebersihannya, kami mencari sisi paling baik untuk bersantai bersama-sama. Setelah tinjauan kali ke-3 di persisiran pantai, maka kami mengambil keputusan berhenti di sini. Terkesima sebentar... tempat popular, namun tercemar dengan kehadiran sampah-sarap yang mewarnai suasana. Jauh bezanya dengan pantai di tempat kami.

  Menjelang mentari terbenam, kami meninggalkan Tanjung Dawai. Moga-moga ada yang mengambil inisiatif untuk melakukan tindakan drastik demi memajukan kawasan setempat dengan sama-sama memelihara dan memulihara keindahan serta kebersihan kawasan tersebut. 

Khamis, 12 Januari 2023

KAMPUNG PISANG DALAM KENANGAN

 TATKALA tiba di kampung itu... terasa bagai ada satu perasaan yang tidak dapat digambarkan menyelinap masuk ke hati. Bayangkan pada tahun 1960-an aku pernah dibesarkan di sini. Aku masih ingat pada beberapa nama jiran berdekatan rumah yang kami sewa itu. Nyah Lon, Abang Leman, Cikgu La, Pak Mior dengan kereta Morris Minornya, Mak cik Mai, dan beberapa orang lagi.

    Masyarakat kampung kebanyakannya bekerja di lombong bijih timah yang berhampiran. Ada juga yang bekerja sendiri seperti tukang rumah, berkedai runcit dan membuat serta menjual kuih-kuih basah. Ada juga sebilangannya bekerja dengan kerajaan. 

    Kerap juga aku melihat kaum wanita membawa dulang berjalan beramai-ramai menuju ke lombong yang berhampiran. Mereka terbongkok-bongkok melakukan aktiviti melanda. Begitulah cara mereka memperoleh timah yang amat berharga. Tatkala terik mentari membahang, baharulah mereka beredar pulang. Timah automatik akan bertukar dengan nilaian wang sekiranya dibawa ke pekan. 

    Bayangkanlah... begitu mudah memperoleh wang. Pokok pangkalnya kena rajin sahaja. Kaum lelaki pula ramai yang bekerja di kawasan lombong bijih timah yang diusahakan oleh syarikat terkemuka. Di kawasan luas tersebut boleh dilihat kapal korek, palung-palung, serta rumah kongsi bagi sebahagian pekerja-pekerjanya. Di situlah ayah bekerja. Jawatan terakhir ayah ialah 'Kepala Lombong'. 

    Menariknya ialah, pekerja lombong menerima dua kali pembayaran gaji. Di tengah bulan ia dinamakan 'Belanja' manakala di hujungnya disebut 'Gaji'. Paling seronok apabila tiba Hari Merdeka, ayah akan membawa pulang bungkusan buah tangan untuk kami dua beradik. Semua anak pekerja lombong akan menerima habuan tersebut. 

    Sesekali ayah membawa kami memancing di situ. Detik-detik indah tatkala kami berjaya membawa pulang sebesen ikan hasil pancingan begitu mengujakan. Tetapi semua itu hanya tinggal kenangan... Hadirnya aku kali ini, ibarat sekadar pelawat yang menyaksikan 'kehilangan' momen indah satu ketika dahulu. Namun tersimpan kukuh di lipatan nubari.

    'Rumah tuan' sudah tidak kelihatan. Lorong-lorong yang pernah kulalui bersama abang dan ayah tatkala berbasikal di sekitar lokasi tempat ayah bekerja, sudah 'lebuh'. Stesen kereta api telah mengambil tempatnya. Hanya pepasir memutih yang tetap gah seperti dahulu. Meluas air lombong kelihatan seperti tasik. 

    Gerotak kereta api yang pernah kami gunakan dahulu pun telah diganti kini. Terkenang-kenang saat aku melangkah di gerotak tersebut. Gayat sungguh. Lihat di bawah... air keruh menghilir. Tak dapat kubayangkan kalau tersilap langkah!  

foto ayah bersama rakan sekerja 

Terima kasih ayah atas segala pengorbanan, jasamu tetap dikenang. Mudah-mudahan kita disatukan kembali di sana nanti. Membesarnya kami dengan titik peluhmu dan kudrat tulang empat keratmu. Ayah adalah hero kami. Di sisinya ada suri hati yang kami gelar 'emak', membelai dengan penuh kasih sayang



    

    

Sabtu, 7 Januari 2023

Rabu, 4 Januari 2023

KENANGAN MANIS 2022 SIMPAN DI SINI

2022 meninggalkan banyak kenangan manis, perlu disimpan jadi kenangan.

2022 juga disulami ujian, moga ia menjadi teladan agar diri lebih kuat mengharung cabaran.

detik persaraan 



  
    Mac 2022 - Berakhirnya episod berkhidmat dalam      bidang pendidikan. Sekolah terakhir ialah SK             Gugusan Lekir, Sitiawan. 33 tahun menabur bakti         dengan sejarahnya di 5 buah sekolah.
    - SK Ayer Hitam, Teluk Intan
    - SK Sungai Wangi, Ayer Tawar
    - SK Methodist ACS, Sitiawan
    - SK Lekir, Sitiawan
    - SK Gugussan Lekir, Sitiawan








berkumpul raya bersama emak di  Taiping

Terikat dengan PKP dan asbab kehadiran COVID-19..... akhirnya berpeluang berhari raya bersama sanak saudara/keluarga di rumah Kak Nyah dan Abang Shukor di Taman Kuning Sari, Taiping. Syukur Ya Allah.





bersama keluarga Adik Zah

berkumpul cucu opah.........sepupu sepapat....


Terdapat beberapa buah buku antologi telah diterbitkan dalam tahun 2022 lalu. Antaranya :
1. Antologi WFH (Bekerja Dari Rumah) - Ulul Albab Publication
2. Antologi Anekdot UBAHLAH HATI - Ulul Albab Publication
3. Antologi Cerpen HUJAN - Ulul Albab Publication
4. Himpunan Pantun MENGANYAM HIKMAH - Wacana MBM
5. Himpunan Pantun HARUM KESIDANG 2 - Wacana MBM
6. Edisi Istimewa MURABBI DALAM HATIKU 5 - Wacana MBM
7. Antologi Cerpen IMPIAN TERLAKSANA - Hasreeyati Ramli Rasources
8. Antologi Cerpen KERANA KASIH AYAH - Hasreeyati Ramli Resources
9. Antologi Puisi HUJAN - Adney Enterprise
10. Sepilihan Anekdot Siri 2 UPIH - Komuniti Menulis Malaysia (KISMy)




Tahniah kepada sahabat penulis yang sama-sama menjayakan buku-buku ini serta penyelenggara yang memberi banyak bimbingan serta nasihat dalam penulisan. Menulis terus menulis. Terima kasih Ya Allah atas anugerah ilham yang diberi. Banyak kisah pengalaman tercatat sepanjang tahun 2022 ini. Semoga ianya menjadi bacaan anak cucu nanti.  Insya-Allah.

Tahniah buat anakanda Syazwan & Izzati yang telah melangsung perkahwinan dalam tahun ini.
Tahniah juga buat Amir Mohsin yang berjaya dengan cemerlang dlm SPM 

Sempat juga berkunjung ke beberapa tempat menarik sepanjang 2022, alhamdulillah atas nikmat kurniaan-Mu Ya Rob. 
Direzekikan juga balik kampung beberapa kali atas urusan penting, disamping mengimbau kenangan silam. Kampung Pisang, Batu Gajah ...kau tetap di hati.

Kepada kenalan yang telah pergi meninggalkan kami pada tahun 2022, semoga aman dan tenang di taman barzakh. Innalillahi wainna ilaihi rojiuun. Moga kita bersua di sana nanti, insya-Allah. Kami bakal jenazah ini akan menyusul jua, tanpa mengetahui bila tarikhnya. 

Isnin, 2 Januari 2023

Selamat Tinggal 2022

    TERIMA kasih Ya Allah kerana anugerah yang Kau berikan kepada kami sekeluarga. Suka duka perjalanan waktu sepanjang 2022 kami hadapi dengan reda.

    Asam garam kehidupan Kau atur dengan baik. Ujian yang Kau berikan, kami terima seadanya. Maafkan kami andai kesabaran itu sesekali tergugat jua. 

    Detik cemas dan indah silih berganti. Tawa bersulam hiba, duka bersulam bahagia. Ternyata adunan yang sebati itu menjadi perencah kehidupan. Segalanya terpahat dalam ingatan, bersemi dalam kenangan.

    Mudah-mudahan di tahun baharu 2023, kami mohon agar Engkau terus membimbing kami ke jalan yang diredai. Jangan Engkau tinggalkan kami terumbang-ambing dalam menelusuri perjalanan hidup ini. Kasihanilah kami Ya Allah.

    Jangan Kau biarkan kami tanpa pertolongan. Sesungguhnya tiada daya upaya kami untuk menentukan jalan hidup kami sendiri. 

    Kasihilah kami, rahmatilah kami dan ampunilah kami atas segala kekhilafan kami. Hanya kepada-Mu kami berserah.