Jumaat, 20 Januari 2023

KAMI ANAK-ANAK SKBG


     DALAM rintik-rintik hujan di luar, aku teringat kawan-kawan lama yang sama-sama bersekolah rendah dahulu. Malam ini hati disapa hiba. Makin menjangkau ke usia warga emas, makin aku menoleh ke zaman lampau. Segala-galanya terbayang di ruang mata.

    Kenangan kita bersama selama enam tahun di SKBG kerap benar menyapa. Wajah-wajah kawan dan sahabat muncul satu per satu. Silih berganti. Ramai dalam kalangan mereka tinggal di Kampung Pisang, Kampung Ara Payung, Sungai Terap, Kampung Pasir, Kampung Bendera, Bemban, Kampung Batu Dua, Changkat Belengkor, Kampung Kinta Valley, Changkat, Kampung Batu Satu, Kampung Jernih dan Kampung Tersusun.

     Kawan-kawan ayah mempunyai anak yang lebih kurang sebaya denganku. Kami merupakan anak-anak pekerja lombong bijih timah. Terkenang-kenang juga kawan-kawan yang tinggal di kuarters polis dan bomba. Rakan sekelasku ramai juga merupakan anak polis. Bagiku mereka semua sama sahaja.  Belajar dalam satu sekolah yang sama. Tiada perbezaan darjat antara kita.

    Cumanya ada dalam satu tempoh masa kami ditempatkan di Sekolah Cawangan SKBG yang lokasinya agak terkebelakang sedikit daripada pekan. Mungkin disebabkan ketidakcukupan kelas, maka kami ditempatkan di lokasi tersebut. Bangunan kelas bertangga, dindingnya papan. Seingat aku ada tiga buah bangunan berbentuk rumah kerajaan dijadikan bilik darjah. Ada tempat jualan makanan yang kecil menggantikan kantin, sedangkan padangnya sedikit tinggi dari aras biasa. Ada beberapa mata tangga simen untuk sampai ke aras tersebut.  

    Sekiranya terdapat program khas, kami terpaksa berjalan ramai-ramai ke sekolah yang menempatkan bangunan utama. Guru-guru akan mengawal lalu lintas. Sambil berjalan itu mata kami sempat melilau memerhati sekitar. Tidak terasa penat berjalan kerana berpeluang mencuci mata. 

    Aktifnya aku ketika berada di sekolah rendah dahulu. Tanpa segan silu menyahut semua cabaran. Cuma dalam acara sukan aku kurang menyerlah, kecuali badminton. Nyanyian, nasyid, tarian, bersyair dan mengaji ...semua aku masuk. Saat-saat yang menyeronokkan ialah apabila tiba waktu rehat. Kami kerap bermain galah panjang di kawasan lapang sebelah rumah guru besar. Sebaik-baik loceng berbunyi, sepantas kilat berlari menuju kelas. 

    Jika waktu pulang pula kami main ketinting bunga kemboja sehingga kasut putih bertukar lebam. Tangan segera melambai pulang sekiranya emak atau ayah datang menjemput. Betapa cerianya zaman itu. Jauh beza dengan kanak-kanak zaman sekarang. 

    Kini segalanya tinggal kenangan. Beberapa orang kenalan sama sekolah telah pergi menghadap Ilahi. Antaranya Allahyarhaman Kak Zawiyah, Norita, Mahathir dan Azahar. Semoga Allah mengampuni kalian. Jika ada yang sakit, Engkau sembuhkanlah mereka Ya Allah. Mudah-mudahan sihatkanlah dan bahagiakanlah mereka semua. 


kredit kepada pemilik video ini 
(terima kasih tuan)
12.10 malam
sesekali rindu itu bertandang jua



Tiada ulasan: