Sabtu, 28 Januari 2023

MENUNGGU KERETA API

 


TERIMA kasih kepada tuan punya video ini. Sesekali menyaksikan perubahan demi perubahan yang berlaku, kemajuan demi kemajuan yang terjadi. Kenangan itu hadir kembali.

    Kami berkesempatan singgah di stesen kereta api Batu Gajah malam itu, 24 Januari 2023. Aku sengaja mengajak anak-anak menikmati suasana di stesen tersebut setelah keletihan siangnya di lokasi Pak Pin Campsite di Gopeng. Mengembalikan nostalgia selama tiga tahun menggunakan perkhidmatan ini selmasa menjadi guru pelatih di Tanjung Malim (85/88).

    Walaupun semuanya sudah berubah, pengalaman yang dahulu itu masih terasa. Aku dipertemukan dengan dua orang penumpang yang kebetulan sedang menunggu waris datang untuk mengambil mereka. Sempat berkongsi pengalaman masing-masing. Rupa-rupanya suami mak cik tersebut merupakan pekerja lombong juga seperti ayahku. Manakala anak perempuannya pernah bersekolah di SK Bakap. 

    Kami rancak berbicara tentang sejarah sekolah. Dia sekadar membahasakan dirinya sebagai Wan. Mak cik pula mengisahkan pengalaman suatu ketika dahulu meredah jalan belakang dari Bakap melalui tepi jalan kereta api dengan berbasikal. Usianya telah menjangkau 84 tahun. Lebih kurang sama tahun kelahiran dengan ayah agaknya. Arwah suaminya dahulu bekerja di lombong Kampung Batu 5. Teringat pula aku akan kapal korek yang masih menjadi tinggalan sejarah di situ. 

    Bagi kami yang usianya menjangkau 5 siri ini, memang mengenali stesen kereta api Batu Gajah. Namun kini ia tidak lagi digunakan sebagai persinggahan kereta api kerana stesen baru telah mengambil tempatnya. Akupun sudah lama tidak berkunjung ke situ. Namun jika ditinjau dari jejambat, kelihatan agak semak keadaannya. Barangkali tidak terjaga. Kedai makan yang ada di lokasi tersebut masih lagi dapat dilihat dari jauh.

    Masih kuingat lagi... ayah akan menghantarku ke stesen tersebut pada waktu tengah hari sekiranya aku pulang ke Tanjung Malim. Sekiranya aku pulang bercuti pula, biasanya bertolak lebih kurang jam 9.00 malam dari sana, dan akan tiba hampir jam 11.00 malam. Seakan-akan masih terdengar bunyi hon kereta api dan terasa kelajuan pergerakannya. Pasti setiap stesen menjadi singgahannya, tidak pernah gagal. 

    Dari Batu Gajah, stesen kecil Kota Baharu (Gopeng) menjadi singgahan pertama. Kemudian terus ke Kampar, disusuli denga Tapah Road. Dari situ akan kelihatan landasan kereta api ke Teluk Intan. Kadang-kadang di sinilah kereta api berhenti agak lama. Antara sebabnya mungkin menunggu penumpang ataupun perselisihan kereta api lain. Terdapat beberapa landasan lain lagi di sini. Kawasannya agak luas. Kereta api barang atau kargo juga menggunakannya sebagai laluan yang sama.

    Landasan kereta api ke Teluk Intan yang dibina pada tahun 1893 telah ditutup pada tahun 1989. Ini bermakna tidak lama setelah aku bergelar guru di salah sebuah sekolah di Teluk Intan, perkhidmatan kereta api ini berakhir. Sebenarnya ramai dalam kalangan murid sekolah menengah waktu itu menjadikan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka untuk ke sekolah menengah di bandar.

    Kelajuan kereta api diperlahankan sekiranya terdapat selekoh. Pernah aku melihat ekor (gerabak hujung) kereta api yang aku naiki. Sedikit bimbang tatkala melaluinya. Seingat aku, kereta api juga akan lambat pergerakannya jika keadaan sedikit bahaya. Misalnya suasana banjir di sekitar, maka pemandu kereta api akan lebih berhati-hati. 

    Seterusnya laluan terus ke Bidor, Sungkai, Behrang dan akhirnya stesen perhentianku di Tanjung Malim. Setiap stesen barangkali ada sejarahnya. Tapah Road terkenal dengan sejarah di zaman komunisnya. Di stesen Bidor pula pernah berlaku pertembungan kereta api. Itu sekadar yang aku tahu. Selebihnya di luar pengetahuan. Wallahu'alam.

    Menaiki kereta api zaman sekarang, pasti berbeza sama sekali. Dua orang anakku yang belajar di Kedah pernah menaiki ETS, sudah pasti tidak akan sama dengan pengalamanku. Tidak akan sempat menikmati keindahan alam di kiri kanan laluan. Tidak akan bertemu dengan pak cik penjual kuih dan nasi lemak yang naik di stesen lain dan turun di stesen lain. Masih adakah pak cik yang aku maksudkan itu? Jika masih ada, sihatkanlah tubuh badannya, jika sebaliknya...Kau ampunilah dia dan moga tenang di taman barzakh.

    Kepada sahabat yang pernah bersama-sama sekereta api dari Tanjung Malim ke destinasi masing-masing, barangkali kenangan bersama ini masih melekat di hati. Kita sama-sama dalam gerabak kereta api malam (Senandung Malam) menuju Butterworth. Bunyi hon, enjin, brek dan rentak gerabak di landasan begitu sebati dalam hidup kita sebagai warga Ibu Kandung Suluh Budiman. 

    Kini stesen kereta api Batu Gajah yang baharu ini makin menjentik hatiku... kerana di kawasan inilah ayah pernah bergelumang melaksanakan tugasnya sebagai kepala lombong. Ayah selalu menyebutnya Kinta Kellas Tin. Depot ETS Batu Gajah ini merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang terkenal suatu waktu dahulu... Kawasan ini kini hanya tinggal takungan-takungan air yang disebut tasik. Pepasir yang memutih itu masih seperti dahulu. Ia merupakan laluan kami ketika menetap di Kampung Pisang. 

    Dalam masih menanti-nanti, akhirnya kelihatan ETS meluncur laju membelah malam. Kemudiannya kami beransur meninggalkan stesen kereta api tersebut. 

Tiada ulasan: