Ahad, 17 Mei 2020

HARI GURU TAHUN 2020



'BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU' 

 Begitulah tema kali ini, dan kita menyambutnya dalam suasana PKPB.  


Sahabat perguruan yang dikasihi.........


Terjebaknya kita di bidang pendidikan, bermakna kita bersedia menggembeling tenaga demi menyahut cabaran mendidik anak-anak yang dahagakan ilmu.  Masihkah kau ingat tatkala pertama kalinya melangkah kaki ke maktab perguruan (bagi generasi guru yang awal).......


Tatkala itu membawa segenggam harapan dengan niat penuh iltizam ingin menimba ilmu untuk menjadi seorang guru.  Dan lubuk itulah (maktab perguruan) yang menjadi taruhan kita.  Dan kita barangkali membawa sekali kepal-kepal harapan dan doa kudus dari ayahbonda.


Ataupun mungkin juga kita turut membawa sekali harapan untuk keluar dari kepompong kemiskinan.  Demi untuk merubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik.  Mungkin bagi sebilangan sahabat kita ..........


Bersama-sama kita meredah dan menimba asam garam kehidupan.  Dan elaun yang diterima bukanlah menjadi tiket untuk berjoli.  Tiada makna untuk menghabisi detik-detik indah tiga tahun di Lembah Bernam itu dengan sia-sia.  

Mengenang kembali sejarah silam.....
Pada pakcik dewan makan dan nasi kawahnya
Pada bangunan asrama lama terkadang sedikit menyeramkan
Pada bangunan Suluh Budiman
Pada satu-satunya insan kerdil ini....Pak Aris namanya
Pada suraunya di hujung sekali
Pada Taman Astakona
Pada padang tempat GERKO
Pada dewan kuliah
Pada makmal bahasa
Pada Dewan Rahman Talib
Pada Bangunan JPP
........ada lagi yang tidak tertulis di sini....

Sesekali ingat juga pada Satira, Mat Teropong, dan terlupa pula siapa ye...... yang mengendong anak??????

Pengalaman ketiadaan air turut menjadi fenomena dalam kawasan maktab yang luas itu.  Dan akhir sekali...... pengalaman manis kami ialah dengan hanya beberapa langkah sahaja kami boleh sampai di negeri Selangor!!!!    Kerana yang memisahkan antara Perak dan Selangor ialah Sungai Bernam.

Sahabat ASASMU.......
Salam ingatan untuk semua.
Masihkah menulis?

Sudah berapa lapiskah generasi yang lahir daripada bimbingan dan didikan kita????
Teruskan mendidik, sekali kita bergelar 'guru'.......in shaa Allah sampai matipun disebut 'GURU' atau "cikgu".......

'BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU '  




ida a.z. 03062020
ktb7, lekir
mpsi/ipsi tg malim (Julai 85/88)

Ahad, 3 Mei 2020

RINDU DARI KAMI...

Rindunya........ serindu-rindunya

Ya Allah......tahun ini merupakan tahun ke-2 aku tidak berpuasa bersama dua orang ini..... yang telah pergi meninggalkan dunia fana ini.  Pemergiannya pada bulan November 2018 membawa seribu kenangan yang tidak mungkin dapat kulupakan.
Biasanya bila bulan puasa begini........ emak yang sudah tidak kuat berdiri lama di dapur untuk memasak, tidak akan meneruskan aktiviti sedemikian.  Bagiku apa yang emak masak, semuanya sedap.  Tak ada siapa yang boleh lawan masakan emak.

Tetapi itu dulu.  Sejak lelahnya yang makin menjadi, dan lutut serta kakinya tidak berapa kuat...... aktiviti memasaknya terbiar begitu sahaja.  Hanya biasanya nasi akan ditanak menggunakan 'rice-cooker' sahaja...semudah 1, 2,3!!!  Kemudian.... ayah akan ke kedai makan untuk mencari lauk dan sayur pilihan.  

Kalau aku dan anak-anak pulang ke rumahnya...... biasanya kamilah yang akan ke dapur menyediakan makanan.  Pasar basah dan pasar raya pun bukannya jauh sangat dari rumah ayah.  Jalan kaki pun boleh sampai.  Tapi ayah pun bukanlah terdaya untuk melangkah ke situ.  Lebih-lebih lagi keadaan badannya yang sedikit bongkok, serta langkahan pun tampak tidak tegap.

Namun ayah tetap akan meninggalkan pesanan kepada cucu-cucunya untuk membeli aiskrim kegemarannya. ..... sekiranya mereka melangkah masuk ke TF.  Maklumlah, pasar basah dan TF hanya bersebelahan sahaja kawasannya.

Kekadang aku hanya meninggalkan pesanan barangan untuk dibeli oleh mereka adik beradik, dengan membekalkan wang yang mencukupi.  Itupun kekadang ayah menghulurkan juga wang buat mereka walaupun aku menolaknya.  Sikap pemurah ayah memang terserlah dari dulu lagi.  Dia tetap akan belanja cucu-cucunya.

Anak-anak begitu rapat dengan ayah dan emak.  Selalu ayah bercerita tentang pengalaman hidupnya kepada mereka.  Dan selalu jugalah ayah menyanyikan lagu yang dinyanyikan oleh P.Ramlee semasa naik tikar terbang....."Miyo to okai ......." setakat dua baris sahaja.  

Namun aku tetap terkenangkan lagu yang pernah ayah dendangkan......

"Sehelai benang sehari
Setahun selengan baju
Setapak setapak kaki
Sampai tempat yang dituju

Kumpul tanah setiap waktu
Menjadi sebuah bukit
Rajin kita susun batu
Sebuah rumah terbangkit" 

.....tak pernah aku bertanya tentang siapa penyanyi dan pencipta lagu ini.  Dan sekarang ia menjadi satu persoalan bagiku yang tidak tahu asal usul wujudnya lagu itu.     

Kehebatan berhujah ayah cukup terserlah.  Mungkin kerana luas pembacaannya.  Sedari dulu lagi ayah memegang beberapa jawatan penting, bermulanya dalam "UNION".  Semasa orang ber"PIKET" dahulu di Bukit Merah, ayah turut sama.....  beraninya ayah!!!   Memperjuangkan nasib buruh dan pekerja, dan mereka yang tertindas.  

Di sekolahku ayah diberi jawatan YDP PIBG .......bukannya aku nak bermegah, namun aku bersyukur kerana ayah memiliki kekuatan dan keyakinan diri yang tinggi.  Bila duduk di dalam politik pula, ayah diamanahkan jawatan di tempat nombor satu di kawasan kami.

Perjuangan ayah bukan berimpikan wang dan habuan.  Aku yang duduk sebumbung dengan mereka berdua sering mengikuti perkembangan semasa.  Kekadang aku menjadi peneman ayah ketika ke sana ke mari mendengar dan mengikuti ceramah.  Itulah asbab yang menjadikan ayah banyak mendapat info.

Itu cerita semasa ayah sihat.........

Dan kini tidak ada lagi cerita-cerita lama yang ayah kisahkan kepada cucunya.  Tidak ada lagi masakan emak yang membuka selera kami semua. 

Lemang tidak lagi ditempah......
Rendang telah hilang dari pandangan......
Yang ada cuma nesan menandakan mereka berdua pernah hadir ke dunia ini.
Sebelah menyebelah pusaranya ......bersama di dunia suatu ketika dulu, bersama di taman barzakh.....
Mudah-mudahan kami dapat bersama semula di sana nanti.... Aamiin Ya Allah.




Anakandamu.......

10 Ramadhan 1441H = 03052020
2.18 ptg, ktb7 lekir