Ahad, 3 Mei 2020

RINDU DARI KAMI...

Rindunya........ serindu-rindunya

Ya Allah......tahun ini merupakan tahun ke-2 aku tidak berpuasa bersama dua orang ini..... yang telah pergi meninggalkan dunia fana ini.  Pemergiannya pada bulan November 2018 membawa seribu kenangan yang tidak mungkin dapat kulupakan.
Biasanya bila bulan puasa begini........ emak yang sudah tidak kuat berdiri lama di dapur untuk memasak, tidak akan meneruskan aktiviti sedemikian.  Bagiku apa yang emak masak, semuanya sedap.  Tak ada siapa yang boleh lawan masakan emak.

Tetapi itu dulu.  Sejak lelahnya yang makin menjadi, dan lutut serta kakinya tidak berapa kuat...... aktiviti memasaknya terbiar begitu sahaja.  Hanya biasanya nasi akan ditanak menggunakan 'rice-cooker' sahaja...semudah 1, 2,3!!!  Kemudian.... ayah akan ke kedai makan untuk mencari lauk dan sayur pilihan.  

Kalau aku dan anak-anak pulang ke rumahnya...... biasanya kamilah yang akan ke dapur menyediakan makanan.  Pasar basah dan pasar raya pun bukannya jauh sangat dari rumah ayah.  Jalan kaki pun boleh sampai.  Tapi ayah pun bukanlah terdaya untuk melangkah ke situ.  Lebih-lebih lagi keadaan badannya yang sedikit bongkok, serta langkahan pun tampak tidak tegap.

Namun ayah tetap akan meninggalkan pesanan kepada cucu-cucunya untuk membeli aiskrim kegemarannya. ..... sekiranya mereka melangkah masuk ke TF.  Maklumlah, pasar basah dan TF hanya bersebelahan sahaja kawasannya.

Kekadang aku hanya meninggalkan pesanan barangan untuk dibeli oleh mereka adik beradik, dengan membekalkan wang yang mencukupi.  Itupun kekadang ayah menghulurkan juga wang buat mereka walaupun aku menolaknya.  Sikap pemurah ayah memang terserlah dari dulu lagi.  Dia tetap akan belanja cucu-cucunya.

Anak-anak begitu rapat dengan ayah dan emak.  Selalu ayah bercerita tentang pengalaman hidupnya kepada mereka.  Dan selalu jugalah ayah menyanyikan lagu yang dinyanyikan oleh P.Ramlee semasa naik tikar terbang....."Miyo to okai ......." setakat dua baris sahaja.  

Namun aku tetap terkenangkan lagu yang pernah ayah dendangkan......

"Sehelai benang sehari
Setahun selengan baju
Setapak setapak kaki
Sampai tempat yang dituju

Kumpul tanah setiap waktu
Menjadi sebuah bukit
Rajin kita susun batu
Sebuah rumah terbangkit" 

.....tak pernah aku bertanya tentang siapa penyanyi dan pencipta lagu ini.  Dan sekarang ia menjadi satu persoalan bagiku yang tidak tahu asal usul wujudnya lagu itu.     

Kehebatan berhujah ayah cukup terserlah.  Mungkin kerana luas pembacaannya.  Sedari dulu lagi ayah memegang beberapa jawatan penting, bermulanya dalam "UNION".  Semasa orang ber"PIKET" dahulu di Bukit Merah, ayah turut sama.....  beraninya ayah!!!   Memperjuangkan nasib buruh dan pekerja, dan mereka yang tertindas.  

Di sekolahku ayah diberi jawatan YDP PIBG .......bukannya aku nak bermegah, namun aku bersyukur kerana ayah memiliki kekuatan dan keyakinan diri yang tinggi.  Bila duduk di dalam politik pula, ayah diamanahkan jawatan di tempat nombor satu di kawasan kami.

Perjuangan ayah bukan berimpikan wang dan habuan.  Aku yang duduk sebumbung dengan mereka berdua sering mengikuti perkembangan semasa.  Kekadang aku menjadi peneman ayah ketika ke sana ke mari mendengar dan mengikuti ceramah.  Itulah asbab yang menjadikan ayah banyak mendapat info.

Itu cerita semasa ayah sihat.........

Dan kini tidak ada lagi cerita-cerita lama yang ayah kisahkan kepada cucunya.  Tidak ada lagi masakan emak yang membuka selera kami semua. 

Lemang tidak lagi ditempah......
Rendang telah hilang dari pandangan......
Yang ada cuma nesan menandakan mereka berdua pernah hadir ke dunia ini.
Sebelah menyebelah pusaranya ......bersama di dunia suatu ketika dulu, bersama di taman barzakh.....
Mudah-mudahan kami dapat bersama semula di sana nanti.... Aamiin Ya Allah.




Anakandamu.......

10 Ramadhan 1441H = 03052020
2.18 ptg, ktb7 lekir


Tiada ulasan: