Khamis, 29 November 2012

KAMI BAKAL MENYUSUL

Lama tak bersua, juga lama dah tak dengar berita, tahu-tahu kami menerima khabar tentangmu.  Pemergian menuju alam barzakh...

Dalam wajah yang seringkali tampak tenang.  Di sebalik sikap yang kurang bercakap.  Mungkin punya seribu makna yang tidak kami ketahui.  Mungkin di sebalik itu punya satu rahsia yang tidak dapat kami rungkaikan.

Mengenalimu..... sejak aku kecil lagi.  Bertitik tolak dari kampung Kinjang, Chenderiang.  Kemudian di Slim, diikuti Bidor, dan akhirnya di Batu Gajah.  Dalam usia yang kian meningkat, pertemuan sudah jadi kian jauh.  Dek kerana alasan tugas dan komitmen terhadap keluarga.

Barangkali sudah ditakdirkan perjalanan hidupmu bersama anak-anak, maka kita berpisah dari satu daerah yang sama menuju destinasi yang kian menjarakkan malah menyukarkan untuk bertemu. Sekali sekala khabar berita menjengah antara benar dan tidak.  Antara pasti dan keliru.

Petang Jumaat yang menjadi saksi, dalam masjid (rumah Allah yang suci), sekujur tubuhmu terbaring di situ.  Dan akhirnya disahkan kritikal lalu dikejarkan ke hospital.  Hanya sms ringkas diterima.  Dan lewat petang Ahad itu kau disahkan meninggal dunia.

Kami bergegas mencari, dalam hasrat hati yang ingin ketemu buat terakhir kali. Nun jauh di Banting sana..... perjalanan malam yang kabur.  Masing-masing tidak punya pengalaman.  Tidak pasti laluan yang wajar diambil.  Namun syukur padaMu Ya Rabbi, kerana segalanya Engkau permudahkan walaupun kelewatan.  Malah tidak memungkinkan kami menatap wajahmu buat terakhir kali.  Terlalu pantas urusan pengebumian.  Namun alhamdulillah kerana kami dapat bersua keluargamu, lebih-lebih lagi isteri yang ditinggalkan.  Mudah-mudahan Allah memberinya kekuatan dan ketabahan.

Puteri bongsumu yang sedang berjuang dalam SPM cekal menerima ujian ini. Dan keesokannya harus berhadapan dengan ujian di dewan peperiksaan.  Malahan ada dua kertas lagi pada minggu berikutnya. Ya Rabbi, berilah kekuatan kepada anak itu. 

DariMU dia datang, dan kepadaMU dia kembali.  Kau cucurilah rahmat ke atas rohnya, mudah-mudahan tergolong dalam mereka yang beriman.  

Terima kasih atas budi yang dihulur selama mana kita bersama dulu.  Mudah-mudahan segalanya menjadi kenangan dan ingatan......
 (dedikasi buat Pak Andak Musa bin Harun)







Mudah-mudahan berbahagialah di sisi orang-orang mukmin, rohmu sentiasa dicucuri rahmat.  Dan kami bakal menyusul, hanya DIA yang tahu bila waktunya.


Sabtu, 24 November 2012

AMBOI.......... COMELNYA.......

TENTU SEMUA ORANG SUKA LIHAT FOTO INI.....

Terjumpa di facebook...... izinkan saya berkongsi gambar adik comel ini.  Terima kasih kepada tuan empunya foto ini. Suka sangat-sangat melihatnya!!!

Subhanallah.... sungguh indah ciptaan Allah.  Sebaik-baik wanita itu ialah wanita solehah.  Namun untuk mencapai semua itu, ia memerlukan hasil didikan dan bimbingan ayahbonda.  Ayahbondalah yang berusaha mencorakkan anak itu mengikut acuan pilihan hati di samping mengiringinya dengan doa dan tawakkal.

Bukan satu perkara mudah untuk memberi didikan yang sempurna untuk anugerah Allah ini.  Terkadang kesabaran turut tergugat dek kerenah anak-anak lebih-lebih lagi kiranya ayahbonda dalam keadaan keletihan pulang dari kerja (bagi mereka yang sama-sama bekerja).  Namun bagi surirumah sepenuh masa...... sememang tugasnya 100% berhadapan dengan anak-anak di rumah, sudah pasti kekadang tak menang tangan berkejar dan memerhati mereka.  Hingga kekadang kepala jadi pusing!!!

Namun Rasulullah SAW mengajar kita untuk mengasihi yang muda.  Bijak menjadikan mereka 'orang tawanan', sedia memberi garis panduan dengan penuh hikmah selaras dengan contoh yang baginda tunjukkan.  Sesungguhnya pada diri baginda itu adalah contoh ikutan terbaik buat kita semua.  Teladanilah bagaimana Rasulullah SAW mendidik anak, malah cucu baginda.

Dalam fasa ke2 pula jadikan mereka sebagai 'kawan' kita.  Sekiranya ayahbonda memberikan yang terbaik, juga mendoakan yang terbaik dan didikan yang terbaik berpandukan Al Quran dan sunnah Rasulullah.... insyaAllah bakal lahirlah pejuang dan pembela agama, yang turut sama memartabat dan meletakkan Islam itu betul pada tempatnya.  Dan akhirnya mudah-mudahan anak itulah yang bakal mendoakan kesejahteraan kita di alam kubur nanti.  Dan amat diharapkan agar dialah juga menjadi peneman kita di syurga abadi insyaAllah. 



 

Khamis, 22 November 2012

SENANDUNG GAZA

Ucap Bismillah senandung rindu,
Ubat penenang rawan hatiku;
Mendengar berita bertambah pilu,
Saudaraku dibelasah semahu-mahu.

Qunut Nazilah jadi kiriman,
Seusai solat tidak kulupakan;
Dari jauh doa kupanjatkan,
Moga sentiasa dalam peliharaan.

Walau di sini kelihatan aman,
Cubit di kiri, kanan pun terasa;
Hanya mereka yang tiada perasaan,
Tiada mengenal mukmin bersaudara.

Duduk menatap foto bercerita,
Menghadap laporan menelusuri berita;
Di dalam hati kian meronta,
Kesedihan makin meluap dirasa.

Sejarah lama berulang kembali,
Rentetan riwayat dikisahkan semula;
Mereka jenis memungkiri janji,
Dalam Al Quran termaktub segala.

Tetap bangun walau dikasar,
Bagai bertempur di medan perang;
Berhati kental berjiwa besar,
Warga Palestin bersemangat pejuang.

Salam kasih dari kami,
Buat saudara nun jauh di sana;
Moga syahid sedia menanti,
Itulah ganjaran paling utama.

Selasa, 20 November 2012

5A......CUKUPKAH SEKADAR ITU?

Pendek kata.......  masing-masing yang memperoleh 5A pasti menerima ucapan tahniah.  Ya, TAHNIAH buat anak-anak semua yang berjaya menggenggam 5A dalam UPSR.  Namun yang mendapat keputusan sebaliknya juga wajar menerima penghargaan sedemikian.  Jadi, ucapan tahniah ini untuk semua anak-anak sama ada yang dapat 5A, atau yang lulus semua, atau yang berjaya menamatkan persekolahan enam tahun di sekolah rendah.

Sebenar-benar kejayaan ialah yang berjaya memperoleh A dalam segala aspek kehidupan.  Akhlak sepatutnya A, pergaulan atau sosial juga mesti A, amal ibadah juga wajib A, solat sudah pasti A.  Adakah anak-anak kita berjaya memperoleh semua A dalam pengisian hidupnya menuju negeri yang abadi?

Bagi sesiapa yang dianugerahkan 5A...... janganlah hanya mendabik dada menyatakan aku yang bijak, aku lebih hebat.  Tolehlah ke belakang.....  bagaimana mulanya bertatih belajar mengenal abc, 123 dan alif ba ta.  Kenangkan juga siapa yang mengiringi usaha dan siapa yang mendoakan.  Fikirkan juga siapa yang banyak berkorban. Malah kembalilah kepada Maha Pencipta.  Tanpa izinNYA, tanpa kasih sayangNYA, jua tanpa kehendakNYA, takkan mungkin kejayaan sedemikian dapat dirangkul.

Namun sentiasalah kita ingat bahawa barangsiapa berusaha insyaAllah dia pasti akan berjaya, "Manjadda wa jadda". 


Ahad, 4 November 2012

CUTI SEKOLAH

PANTUN CUTI SEKOLAH

Hampir setahun kian berlalu,
Usia makin meningkat lagi;
Selamat tinggal tahun satu,
Tahun dua sedia menanti.

Beberapa hari sahaja bersekolah,
Masing-masing menghitung hari;
Suri rumah kian gundah,
Bakal mentadbir anak sendiri.

Pagi hari sekolah biasa,
Sekolah Agama petangnya pula;
Pabila cuti tampil menjelma,
Ke mana pula anak di hala.

Cuba beri garis panduan,
Jangan TV jadi penemannya;
Zaman ini zaman kemajuan,
Pantaulah isi jelinglah facebooknya.

Bidang perguruan kian terbeban,
Bukan sekadar mendidik membimbing;
Tugas disulam kerja perkeranian, 
Ditambah motivasi juga kaunseling.

Melihat kalendar berwarna kuning,
Ceria di hati sedikit menjengah;
Guru dan murid sama seiring,
Tension melanda setahun dimamah.

Nampak cuti sememangnya panjang,
Yang bukan guru terasa iri;
Di medan ini cubalah berjuang,
Barulah faham amanah diberi.

Walaupun terbayang bercuti lama,
Namun terikat jadual tugasan;
Kebiasaan murid Tahun Lima,
Mungkin bakal ke kelas tambahan.

Wakil sekolah amat penting,
Penuhi cuti dengan latihan;
Guru murid sama berganding, 
Begitulah mereka sanggup berkorban.

Walaupun bertugas ikut giliran,
Namun bukanlah satu bebanan;
Ia adalah suatu kewajipan,
Waktu terluang tidak diabaikan.

Sesekali berkelah atau beriadah,
Layani keluarga penuh sabar;
Manfaatkanlah cuti sekolah,
Moga minda kembali segar.

Sabtu, 3 November 2012

AKHIRAT MINDED

APA SAHAJA YANG KITA LAKUKAN....... FIKIRKANLAH AKHIRAT SAMA.  Kita hidup ini bukan hanya untuk dunia semata-mata.  Kita semua akan kembali kepada Maha Pencipta.  Dan segala tindak tanduk selama hidup ini akan dipersoal dan ditayangkan di akhirat nanti.

Sekiranya kita punya kerjaya hebat, bertugas atau bekerjalah dengan penuh amanah.  Jangan melakukannya sehabis baik dengan harapan mendapat nama, pangkat atau kedudukan yang tinggi hingga meminggirkan soal halal haram.  Jangan pula memasang niat  bekerja semata-mata untuk mencari rezeki demi sesuap nasi untuk anak isteri.  Berniatlah bekerja kerana Allah.   


Bermulanya langkahan kaki meninggalkan rumah ..... tanamkan akhirat minded kita.  Bermula dengan doa naik kenderaan,  mendengar  siaran radio IKIM dalam perjalanan, ucapan salam buat rakan sepejabat, bermanis muka dan senyum, semua itu merupakan langkah mengumpul saham akhirat.  Ia nampak mudah, namun jangan diperlekehkan kerana Allah tetap menilainya walaupun sebesar zarah. 




Andai kita suri rumah sepenuh masa, ia bukan penghalang untuk kita menambah saham akhirat kita.  Apabila berfikir tentang akhirat, lakukan sesuatu yang kita mampu.  Kiranya kita mahir dalam memasak, masaklah sesuatu dan sedekahkan kepada jiran tetangga atau surau berhampiran dengan tujuan meraikan jiran atau ahli kariah tempat kita.  

Kalau seorang suri rumah pandai menjahit, barangkali mungkin boleh jahitkan langsir untuk masjid berdekatan.  Terserah sama ada menjahitnya secara percuma (bagi yang  berkemampuan) atau mengambil upah untuk menjahitnya dengan niat dan tujuan agar masjid nampak cantik dan ceria lantaran itu menarik jemaah menjejakkan kaki ke rumah Allah.  


Jangan jadikan alasan kita tidak boleh menyumbang apa-apa untuk memenuhkan kantung akhirat kita hanya sekadar menyedari bahawa kita cuma suri rumah sahaja!  Kadang-kadang tanpa kita sedari bahawa sumbangan kecil kita itu memberi impak besar terhadap timbangan amal kita di sana nanti.  Sesungguhnya Dia Maha Tahu.




Justeru, berbuat kebaikanlah di dunia ini di samping meninggalkan kemungkaran.  Janji Allah adalah pasti.  Mudah-mudahan hidup kita tidak sia-sia.  Bercucuk tanamlah di dunia fana ini, agar kita dapat menuai hasilnya di sana nanti.  InsyaAllah.

Jumaat, 2 November 2012

SADERI

" wonderpet wonderpet kami datang
  membantu anak .............. yang kesusahan
  kami tak besar dan kami tak kuat
  bila bekerjasama semua jadi mudah "

dan akhirnya.......

"kita raikan kejayaan kita dengan daun saderi...."

Siapa yang tidak kenal dengan rancangan kanak-kanak di atas?  Malah skrip pembukaan dan penutup serta lagunya sudah meniti di bibir anak-anak.  "Apa yang penting..... kerjasama...."  

Apa yang menarik tentang SADERI kepada kita.  Apa istimewanya?   Istimewanya saderi ia tidak seperti sayuran lain yang jika dimasak banyak khasiat yang hilang akibat suhu yang tinggi.  Namun perkara sebegini tidak berlaku kepada saderi!!!

Berikut merupakan sedikit sebanyak tentang keisimewaan saderi:

* Saderi dapat menurunkan tekanan DARAH TINGGI.
* Saderi baik bagi mengurangkan paras asid urik yang menyebabkan serangan GOUT.
* Keberkesanannya dalam mencegah KANSER.  
* Sesuai untuk merawat jangkitan pada pundi kencing.
* Dapat mengurangkan risiko mendapat alzheimer/ HILANG INGATAN.
* Membantu membersihkan gigi dan NAFAS BERBAU.
* Sangat baik untuk melegakan gejala MENOPAUS.
* Mampu menentang jangkitan KULAT.