Selasa, 23 Jun 2020

Pak Subky.....

Menerima perkhabaran pemergian Pak Subky Latif.......daripada Cikgu Ya, aku terkesima.  Menerawang jauh mengingati sahabat ayah yang seorang ini.  Menelusuri perjalanan hidupnya sebagai seorang penulis bermula di Watan.

Beberapa buah buku hasil tulisannya ada di dalam almari buku ayah di Batu Gajah.  Ayah agak rapat dengannya, lebih-lebih lagi setelah kerap saling berhubung tatkala Pak Subky menjadi penulis atau kolumnis dalam akhbar Harakah.  Dan ayah pula menjadi salah seorang pengedar akhbar itu.

Tatkala menerima kehadiran akhbar itu ......biasanya ruangan tulisan Pak Subkylah yang akan kubaca terlebih dahulu.  Tulisannya cukup mantap dan dikupas secara ilmiah.  Bukan calang-calang orangnya. Sesungguhnya mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang!!!  Pengalaman di bidang kewartawanan begitu luas.  Itulah Pak Subky.

Ayah walaupun bukan seorang wartawan atau penulis...... tetapi dalam sejarah hidupnya pernah menulis.  Hal itu pernah dikisahkannya kepadaku.  Cuma aku tidak dapat mengesan di manakah ayah pernah menghantar hasil tulisannya. 

Ayah rajin membaca.  Terkadang aku melihat dia mengarang atau menulis teks khutbah raya dan isi ceramah yang sesuai untuk dipersembahkan tatkala dijemput tampil ke pentas.  Ayah rajin buat 'homework'.  

Sebenarnya hajat ayah tidak kesampaian untuk menjadi seorang pendidik cuma kerana kemiskinan!  Hebatnya ayah kerana pernah menjadai guru kira-kira ataupun ilmu hisab kepada rakan-rakannya semasa bersekolah dahulu.  Segalanya berpunca daripada berjayanya ayah menewaskan gurunya dalam menyelesaikan soalan kira-kira yang diberi oleh guru tersebut.

Dan pencapaian ayah yang baik di dalam peperiksaan menyebabkan ayah layak untuk belajar menjadi cikgu......namun cita-cita itu terpaksa dibenam jauh di sudut hati.  Malahan rakannya yang mencapai keputusan yang lebih rendah daripada ayah, berjaya menjalani kursus yang dimaksudkan.  Tak mengapa ayah.....anakmu ini telah berjaya menyambung hasrat murnimu itu.   Syukur alhamdulillah....

Minat membaca dan menulis telah tertanam lama di nubarinya.  Cuma tatkala ayah menyuarakan hasrat hati ingin memiliki sebuah komputer......emak mencantasnya segera.  Ayah ingin belajar selok-belok menggunakan komputer melalui anak keduaku, Abang Ngah.  Dengan harapan bahawa hasratnya untuk menulis kembali berbunga. Akhirnya niat ayah terbantut.  Terhenti begitu sahaja.  Tak mengapa ayah.....in shaa Allah, anakmu ini sedia menyambungnya.

Pemergian Pak Subky dalam usianya 80 tahun mengingatkanku kepadamu ayah.  Dalam usia yang sama juga ayah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2018 yang lalu.  Sesungguhnya aku amat berterima kasih padamu ayah, yang mengajar erti tabah, sabar dan yakin dalam mendepani cabaran di medan juang.  

Semoga ayah dan Pak Subky berbahagia di taman barzakh.  Tenang di sana sebelum kita dihimpun di padang mahsyar.  


ida a.z.
23062020, 11.02 malam
ktb7 lekir



Selasa, 9 Jun 2020

TERJEBAK DI GC 8

Bismillah pembuka bicara......

Sambil duduk-duduk di depan laptop ni....... teringat perjuangan kawan-kawan di medan GC Level 8.  Banyak kisah di sebalik GC 8 ni......

Terlebih dahulu izin kuungkap jutaan terima kasih buat tenaga pengajar yang berkalibar dan berdedikasi.  Kalian Allah kurniakan ilmu, dan sudi mencurahkan pula ilmu itu kepada kami yang dahagakan ilmu.  Mudah-mudahan ilmu itu akan mengalir pula kepada insan lain.  

Terima kasih buat Cikgu Suffi (cikgu tutorial pertama, dan sama daerah denganku). 
Cikgu Imura (mula-mula kuingat orang Jepun cikgu seorang ni...), 
Seterusnya Cikgu Lim yang bagiku kelihatan serius, Cikgu Woon yang sentiasa tersenyum manis.  
Cikgu Aszian yang jauh di seberang, Cikgu Khalijah pun sama, Cikgu Faridah (juga sama sedaerah denganku). 
Cikgu Zuly yang pakar GC melalui telefonnya dan akhir sekali Abey Mat PB (mengingatkan aku kepada Agen Ali, juga Boboiboy).

Juga tidak lupa pada mereka yang bekerja keras di belakang tabir.  Tanpa mereka, siapalah kita.  Dan paling terima kasih kupanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana mengizinkan ilmu ini berkembang tanpa putus bak air yang mengalir.

Secara tak sengaja aku terjebak di dalam GC 6 bila mana langkahanku terhenti di pintunya.  Aku pun lupa bagaimana aku boleh menyertai kawan-kawan semua.
......... begitulah permulaannya aku boleh berada di dalam GC bersama mereka-mereka yang jauh lebih muda dan lebih banyak ilmu mengenai GC ini.  Sedangkan aku waktu itu baru sahaja menduduki level 3.  Level 1 pun aku tidak duduki.  Sebenarnya aku bermula dengan level 2.  Macam semuanya tak sengaja pula.....Tapi Allah tidak menjadikan semua itu 'kebetulan' (aku pernah mendengar seorang ustaz mengungkapkan perkara ini).

Dalam ketidaksediaan itu, aku kurang serius untuk berlama-lama di talian.  Ada kalanya aku tertinggal 'kereta api'   ......... dan jika ada kelapangan dan waktu yang sesuai, aku turut bersama mereka yang sentiasa menunggu-nunggu dan menadah ilmu bersama cikgu-cikgu yang sedia membantu.

Sehinggalah bila Lavel 8 diperkenalkan, dan saat itu bermulanya Siri Ulang kaji......  entah kenapa ruang waktu itu memberi peluang untukku duduk berlama-lama berkongsi ilmu.  Mulanya sekadar untuk menambah ilmu........ lama-kelamaan terasa bagaikan jatuh cinta pula aku pada ilmu 'Norma Baharu' ini.....

Hati pun berbicara.... "Hendak menduduki peperiksaankah atau tidak?" 
Sedangkan aku tahu bahawa ada bahagian-bahagiannya yang aku kurang kuasai.  Lebih-lebih lagi Level 7 yang tidak aku cuba walau sekali pun.  Sudahlah Level 6 hanya minit-minit terakhir aku mencuba sekadar "melepaskan batok di tangga"....

Dalam rasa berbelah bahagi, sementelah pula rakan guru banyak berkongsi ilmu di laman telegram, aku nekad untuk menduduki GC Level 8.  Dalam keadaan ilmu yang tidak berapa masak dan belum cukup mantap.

Kesungguhan rakan guru dapat kurasakan hingga ke malam-malam terakhir sebelum ujian berlangsung.  Allahuakbar.....Allah menganugherahkan kehebatan buat mereka. Dengan kalimah #kitabantukita# menjadikan mereka kuat.  Aku cuma sekadar 'silent reader' sambil membuat nota ibarat calon SPM lagaknya.  Seronok menumpang baca dan berkongsi ilmu daripada rakan guru dan Yu.  Sesekali menjengah semula video-video dan membuat catatan.

"Amboi, ummi macam student nak exam!" tegur Kak Lang.  Aku bersyukur kerana anak-anak memahami.  Anak bongsuku pula bakal menduduki SPM dalam suku pertama tahun hadapan.  Aku teringat kembali tika aku menduduki SPM yang dulu......... Allahurobbi, dah hampir tiga puluh tujuh tahun berlalu....

Dan setinggi-tinggi tahniah buat semua rakan guru yang hebat, yang telah lulus di dalam GC Level 8.  Istimewa buat rakan yang kukenali yang turut sama lulus .....Cikgu Noor Azrina, Cikgu Jamalina dan Ustazah Juriah.

Kepada yang rajin berbincang dan berdiskusi di talian, aku turut mengenali anda semua secara maya.  Pada Cikgu Sharan, Cikgu Masrina, Cikgu Kumar (sebaya anakku yang sulung), Cikgu Foo......... antara nama paling rajin berbincang.  Aku masa di sekolah dahulu jenis 'study' sorang-sorang.  

Berlalunya degupan yang mendebarkan......
Kemesraan bertaut dalam istilah #kitabantukita#.....
Mudah-mudahan kita bersua kembali dalam ilmu yang lain pula....

Salam buat semua......sahabat pendidik yang berjiwa kental
BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU


.......ida a.z. ktb7 lekir
09062020 12.56am

Khamis, 4 Jun 2020

Masih Ingatkah Lagi?

Salam Lebaran buat semua, jauh di Selatan.  
Jauh di mata, namun dekat di hati
Mudah-mudahan dipertemukan suatu hari nanti
In shaa Allah