Selasa, 27 Oktober 2020

MOH KITA BERPANTUN.....

k.nani :
Buah tamar buah zaitun
Buah tin buah ara
Mari kita berbalas pantun
Untuk menghibur hati yang lara

Tumbuh melata pokok namnam
Berhampiran pokok asam keping
Mahal sungguh emas 916
Tak boleh lawan si gelang pink

ustzh ila :
Dua minggu sudah berlalu
Gelang pink melekat di tangan
Hati gundah Tuhan yang tahu
Ambil gambar buat kenangan

izan :
Anak yatim gadis rupawan
Naik buai pohon beringin
Gelang pink tak boleh lawan
Bagi percuma pun tak ingin

ustzh dayang :
Kes swab test masih terasa
Kuarantin pula tak boleh ke mana
Anak mendesak dibelai dimanja
Bonda menahan si air mata

k.nani :
Pengganti diri surat diutus
Sudah dikata ketinggalan zaman
Gelang pink jangan putus
Nasib tak baik kena saman

azie :
Gelang mahal pakai di tangan
Empat belas hari waktu berpantang
Berdebar hati menunggu kedatangan
Saka biru sedia bertandang

Sang saka biru telah bertandang
Bahan bukti bergambar sakan
Hari yang dinanti telah pun datang
Saat gelang pink pulang ke tuan

herda :
Dapat cuti pun rasa tak guna
Duduk rumah tak boleh ke mana
Hari-hari gundah gulana
Tapi hari ini paling istimewa

Pandora, pulut dakap, idaman hati
Lambat dapat tunggu lain rezeki
Gelang pink bukan kemahuan kami
Itu tanda sayang pada pertiwi

ezan :
Dua minggu terasa sekejap
Hati berbunga semua sihat
Tiada debar tiada gagap
Nak potong gelang cepat-cepat

ina I :
Rasa hati hendak ke Vietnam
Covid nineteen batu penghalang
Jangan lupa pada jam enam
Muka senyum tanggal gelang

ustzh nor :
Pergi klinik terjumpa nyonya
Nyonya sedang marah-marah
Gelang pink kome punya
Gelang teman berwarna merah

k.nani :
Gelang lain merah jambu
Nor seorang berwarna merah
Terperap di rumah sudah jemu
Jangan lupa.....esok sekolah

ustzh ju : 
Bersyukur kita kepada Tuhan
Kluster Lekir tidak bertambah
Sila ikut arahan kerajaan
Patuhi SOP semasa di sekolah

Pulut dakap dapat senang sekali
Gelang pink dipakai patah hati
Esok kita melangkah kaki
Ke SK Lekir tempat berbakti

k.nani :
Balik berjalan mestilah mandi
Bersih badan bersih hati
Ringkasan Mengajar kenalah ready
GB meronda ke kelas nanti

ustzh ila :
Gelang emas jadi idaman
Cantik dipandang K.Zue yang punya
Rasa lemas baru nak aman
RPH pula jadi masalahnya

madam zue :
Buat lesson plan rasa buntu
Sudah didelete berkali-kali
Bulan ini kan dapat kutu
Apa lagi.... pi la beli

yardh :
Aku hanya si anak ikan
Bukannya jerung bak kata K.Ina
Bukan tak ingin bukan tak berkenan
Duit yang dapat banyak nak guna

k.nani :
Sambil memasak menyinsing lengan
Lalu dihidang di dalam talam
Bila gelang pink tiada di tangan
Indah sungguh suasana alam

yardh :
Bila gelang pink tiada di tangan
Indah sungguh suasana alam
Nak ganti emas konon berangan
Semua tinggal harapan yang kelam

k.nani :
Awan mendung langit berbalam
Kian berseri di sinar bulan
Bukan semua harapan kelam
Ada kemahuan adalah jalan

ustzh syikin :
Empat dara di tepi sungai
Duduk menjerat si ketam batu
Duit kutu belum dilangsai
Jam 6 sore jenuh menunggu

k.nani :
Empat dara berkain songket
Cantik bergaya macam mak datin
Gaji dapat kurangkan menyongket
Jemu dan jelak kena kuarantin

ustzh ju :
Covid nineteen  sangat terkesan
Habis semua terpalit sama
Terima kasih barisan hadapan
Kami sentiasa memberi kerjasama

26/10/2020




tahniah atas bakat dan minat yang ditunjukkan,
dan terima kasih kepada 
Kak Nani, Izan, Ina I, Zue, Azie, Herda, Dayang, Ju, Nor, Ila, Syikin, Yardh dan Ezan.

#semarakkan dunia penulisan kita#




Isnin, 26 Oktober 2020

KALAKATAR

 


kalakatar oh kalakatar.....

dalam hidupku baru pertama kali dengo
rasa nak tahu bebeno
agaknya makanan negara luo
di benak persoalan menjalo
pakcik google segera kukejo

emm......
rupa-rupanya makanan orang Banjo
bahan utamanyer ialah santan, ayo dan isi nyo
nampak sedap dan menyelere weyh

emm alah.......
tetibe jer kensel pulak dah!!!
kempunan ler kome
udah tak jadi pulak 'order' kome tu
ade ler sebabnye tu kome oiii
usah kome kecam si Mila tu yer
bukan salah dia
lain kali jer ler
takde rezeki kome
bawak bersabo yer.......

lain kali kita 'order' pulak ler
ajernyer tak sabo nunggu yer....



ida a.z.
4.40 ptg
26102020



Ahad, 25 Oktober 2020

BERAKHIRNYA DEBARAN


Jam tujuh lapan minit malam, berita dari  Cikgu Nini diterima.  

"Saya dah col bilik gerakan..
 Dia cakap semua guru dan staf sk lekir 
 keputusan negatif
 Alhamdulillah " 

Kami menerima khabar gembira itu dengan penuh rasa syukur.  
Teramat-amat syukur.  Penantian penuh debar berakhir sudah.  Aku kehilangan kata-kata......

Rasa sebak menerawang ke seluruh ruang hati.  Rasa gembira berbaur sedih memenuhi suasana.  Nikmat yang tak dapat hendak didustakan.  Betapa benar kalimah itu.  

Kebimbangan itu hadir sebanyak dua kali.  Pertama kalinya ketika menanti keputusan swab yang lalu.  Ia berakhir dengan negatif.  Dan kali kedua ini pula saat menanti keputusan ujian darah.

Libang libu rasa hati jangan ditanya.  Ada khabar yang menyatakan saringan pertama boleh lepas dengan berkeputusan  negatif.  Tetapi ada yang tersangkut pada saringan ke-2.......  Allahu akbar.  Memang betul kenyataan tersebut.  Dua orang yang kukenali termasuk dalam kumpulan tersebut.

Sedikit tekanan menjentik kalbu.  Hati digayut resah.  Tambahan pula keputusan lambat diterima.  Kemungkinan besar kerana yang disaring terlalu ramai, maka petugas tak menang tangan.

Itulah sebabnya tatkala Cikgu Nini memaklumkan keputusan tersebut, berderet pujian dan tanda terima kasih kami panjatkan pada Yang Maha Esa.  Bagai terlepas dari belenggu kegelisahan.

Maghrib itu diwarnai dengan syukur yang tak terhingga......
Alhamdulillah......



HA........ MASUK!!!!!

Sebaik-baik aku sampai di situ, perkarangan klinik telah dipenuhi barisan kereta yang teratur susunannya.  Kuperhati kiri, kanan dan di hadapanku.  Beberapa buah kereta yang amat kukenali telah sedia menunggu.

Giliran kami bermula jam 10.30 pagi.  Kereta Kak Nani betul-betul berada di hadapan keretaku.  Dapat kulihat juga kelibat Madam Zue juga Kak Juwana yang barangkali telah lama menanti.  

Sedang asyik memerhati ...... kelihatan GB dan Ina PPM yang baru hadir, menempatkan kereta masing-masing mengikut arahan susunan yang ditunjukkan oleh petugas kesihatan.

Aku dan Kak Lang memerhati petugas di barisan hadapan yang bergegas menghampiri kereta yang baru tiba sambil menyemak nama mengikut senarai yang ada di tangan mereka.  Jelas kelihatan peluh membasah.  Ya Allah kasihanilah mereka....... lindungilah mereka.

Hari minggu yang sepatutnya dihabisi bersama keluarga atau program santai lainnya telah terkorban demi menyahut tuntutan tugas yang diamanahkan sejak berdepan dengan covid19.  Begitu besarnya jasa mereka.

Dalam bosan menanti, aku mencapai telefon bimbitku.  Jariku ligat menitipkan sesuatu.......maka lahirlah bicara dari dalam kereta......  Tidak sangka pula pantunku berbalas!!!!!!

Ha..... masuk!!!!!!!

Main catur merata-rata
Batu seremban diganti pula
Selamat beratur semua kereta
Menanti giliran sabar sentiasa

Duduk bergaya di tepi jeti
Sungguh leka asyik memandangnya
Di depan saya Cikgu Kak Nani
Di belakang pula siapa agaknya?
..... (ida a.z.)

Manis sungguh buah pulasan
Jangan dibuang ke dalam longkang
Asyik melangut melayan perasaan
Tak perasan pulak siapa di belakang
..... (Kak Nani)

Indah terlukis bagai dikata
Bagai terukir di tanduk rusa
Kala berbaris bersusun kereta
Apa yang difikir apa yang dirasa
...... (Yardh)

Makan nasi ulam pegaga
Masak lemak pucuk meranti
Untuk hari ini sudah lega
Esok pulak 'result' dinanti
...... (Kak Nani)

Pucuk paku daun meranti
Masak lemak bersama ubi
Resah sungguh 'results' dinanti
Doa dipohon pada Ilahi
..... (Izan)

Terliuk-liuk pohon nan merah
Cantik dan indah tampak berseri
Pada Allah kumohon berserah
Moga keputusan negatif terpateri
..... (Yardh)

Masak lemak pucuk meranti
Ditumis dengan si ikan pari
Sudah lama teman menanti
Tak sabornya esok nak ngopi
...... (Sani)

Rusa berlari di tengah rimba
Anak singa duduk perhati
Usah lagi berjimba-jimba
Di luar sana covid menanti

Ikan kering perencah masakan
Penuh nikmat lazatnya hidangan
Masing-masing saling mendoakan
Mengharap rahmat dari-Mu Tuhan

Jelas terang disuluh pelita
Air perigi dingin sekali
Putus gelang habis cerita
Begitu tinggi harapan kami

.....terima kasih sahabat, mengisi ruang penulisanku di sini.  Moga kita sama-sama dilindungi.  Seterusnya dapat sama-sama menyantuni anak-anak yang mendambakan ilmu pengetahuan.  Tanpa mereka siapalah kita.......

Sabtu, 24 Oktober 2020

RESAH

Semakin penat, letih dan lelah
menonton pemimpin bertelagah
berebut kuasa untuk memerintah
jatuh menjatuh menjadi lumrah
bermaharajalela rasuah
tidak kira bersongkok atau berkopiah
tak takutnya mereka pada Allah
lidah berzikir bermadah berhelah
mencari dalil tak sudah-sudah

Ke mana kami mahu dibawa.....
tatkala pemandu riang ketawa
senyum sinis mendabik dada
sedangkan jalan mati terserlah di depan mata


.... ida a.z.
ktb7 lekiyour
24102020

Khamis, 22 Oktober 2020

TAKZIAH BUAT 'G'




Buat sahabatku, G .....

Pertama-tamanya izin kuucap salam takziah di atas pemergian ayahanda tercinta.

Tatkala perkhabaran tentang ayahandamu yang tenat kau khabarkan .....kami kirimkan ucapan agar urusan keluargamu dan ayahandamu Allah permudahkan.  Mudah-mudahan segera sembuh.

Ingatanku berlari pada pemergian ayah yang hampir dua tahun berlalu ...... diikuti ibu 13 hari kemudiannya.

Tidak lama kemudian, khabar kedua darimu tampil.  Berita sedih yang turut kami kongsi bersama.  Ayahandamu telah menghembuskan nafas terakhir.  Kembali menemui pencipta-Nya.  Bertalu-talu ucapan takziah beratur masuk.

Dalam situasi sekarang, mana mungkin kita melangkah keluar dari zon yang ada.  Kita telah sama-sama terpenjara disini.  Balik kampung ke Selatan tanah air bagimu .....bukanlah menjadi pilihan utama.

Engkau begitu tenang dan redho menerima kenyataan seadanya.  Penuh pasrah.

Sahabatku .....
Semuanya termaktub dalam rahsia Allah.  Dia telah menyusun perjalanan hidup kita dengan baik.  Dan kita sebagai hamba, perlu berbaik sangka dengan-Nya.

Dia tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.  Apa yang terjadi pada kita, pasti ada hikmah di sebaliknya.  

Dia tidak memberi apa yang kita pinta, tetapi diberinya apa yang kita perlukan.  Cuma mungkin akal kita tidak tercapai pada ketentuan yang diatur-Nya itu.

G.....
Hati mana tidak sedih bila mengenangkan bahawa itulah saat-saat terakhir dapat kita menatap wajah insan yang begitu besarnya bakti kepada kita.  Membesarkan kita.  Mewarnai detik-detik indah bersama.  Namun pada nokhtahnya yang terakhir .... kita tidak dapat bersama.

Kita sama-sama telah kehilangan kasih seorang ayah.  Seorang insan hebat, anugerah Allah.

Seorang insan yang mencari rezeki demi sesuap nasi.....
Yang tidak pernah mengeluh atas kesusahan yang dihadapi.....
Tidak pernah berbicara atas kesedihan atau kepedihan hati .....
Dan kita tidak pernah nampak airmata yang mengalir resah hiba
Begitu kuatnya insan yang bernama 'áyah'
Seorang lelaki yang tidak pernah tunduk takut dan mengalah
Membela kita dengan penuh wibawa dan berhemah
Demi mempertahankan nasib keluarga dan maruah 

Sahabatku G.....
Moga Allah memberinya tempat yang terpuji
Tenang bersemadi
Di taman barzakh tersenyum menanti
Kiriman doa dari putera dan puteri
Sebelum menuju negeri abadi



ida a.z.
9.59 pagi
22102020
ktb7 lekiyour


Selasa, 20 Oktober 2020

HIKMAH DI SEBALIK MUSIBAH

 


Riuh rendah group komuniti kami hari ini gara-gara V memaklumkan bahawa keputusan muktamad iaitu kami tidak akan ke Melaka nanti.

Gegak gempita jadinya.  Sahut-menyahut di dalam group tersebut kian rancak.  Aku turut mengucapkan tahniah di atas kecekapan V di dalam menguruskan kesemuanya dalam suasana pkp 2020.

Tidak kurang juga yang bertanya tentang wang yang bakal dikembalikan.  Aku sekadar membaca tiap komen yang masuk.  Ketenangan pagi kian berkocak menjelang tengah hari.  Tambahan pula bab duit yang dicerita.  

Tak siapa menyangka, tak siapa menduga covid19 bermaharajalela hingga wujudnya pkp.  Sedangkan sebelum itu lagi kami telah merancang hendak ke sana.

Permohonan untuk dikembalikan bayaran sukar diperoleh hinggalah ke saat ini, bila mana kami 'diserang'.  Kita merancang, mereka merancang, dan Allah jua Maha Merancang.  Ternyata rancangan Allah itulah yang terbaik.  

Syukur sangat-sangat.  Ada hikmah di sebalik musibah.  Tarikh yang tertunda akhirnya tak kesampaian.  Kami menemui jalan keluar.  

Tidak ada rezeki nampaknya tahun ini untuk kami ke Melaka.  Apa yang lebih utama ialah keselamatan dan kesihatan yang baik.  Alhamdulillah, ada cahaya di hujung sana.  Allah ganti dengan pelangi nan indah.

Ok V .........mu tunggu kami datang suatu hari nanti.
Tatkala itu....... sambutlah kami dengan serangkap pantun.

HARAPAN KECEWA

 


(Allahyarham Dato'Ahmad Jais)
Penyanyi asal



'Harapan Kecewa' dibawa oleh Yassin (anak muda - mirip suara Ahmad Jais)


Sesekali rindu kembali menggamit untuk mendengar lagu lama.  Boleh dikatakan kesemua lagu allahyarham Ahmad Jais amat kuminati.  Gemersik suaranya tiada tandingan.  Begitulah anugerah Allah pada insan seni ini.  

Ramai yang boleh menyanyikan lagu-lagu beliau.  Namun begitu tidak ramai yang dapat membawakan lagu beliau mengikut lenggok suaranya.  Hinggalah tampilnya anak muda bernama Yassin.....

Saling tak tumpah seperti suara Ahmad Jais......bak kata orang sekarang 'sebijik suara Ahmad Jais'


Isnin, 19 Oktober 2020

NORMA BAHARU

 "Hai entah ler, Ida.  Suami Kak Jan kata mana maunya budak-budak prasekolah tu jauhkan jarak dari kawan-kawan,"  ujar Kak Jan seakan mengeluh.  Tangannya ligat mencapai buku-buku yang ada di atas mejanya.  Disusunnya dengan teratur di rak belakang kerusinya.  Kelihatan kemas sekali.

"Tahu Ida..... apa deme kata?"  soal Kak Jan.

" ........Eh, takkan tak boleh dekat.  Dia kan kawan saya, " sambung Kak Jan sambil mengajuk kata-kata anak-anak tadika di sekolah suaminya.

Aku hanya tersenyum mendengar cerita Kak Jan.  Memang betullah sukar hendak menjaga anak-anak kecil yang berusia 5 atau 6 tahun begitu.  Bila kita tegur, spontan akan dijawabnya.  Kadang-kadang melihat gelagat mereka, terhibur rasa hati.

Tak dapat aku bayangkan bagaimana cikgu-cikgu sekolah tadika menguruskan anak-anak kecil begitu dalam suasana covid19 ini.  Hebatnya mereka.  Semuanya belajar dalam suasana norma baharu.  Bergomol lagikah mereka sambil berguling-guling atas lantai?  Atau berpegang-pegang tangan sambil berkawad dengan kawan-kawan?

Itu sebahagian daripada suasana anak-anak kecil yang baru mula mengenal alam persekolahan.  Belajar ABC, 123 sambil bertemu kawan-kawan dan guru-guru yang menjadi peneman mereka di kala ayahbonda bekerja.  Datang dengan wajah ceria, dan pulang dengan sorak gembira.

Apabila menjejak kaki ke sekolah rendah ....... mereka semakin membesar.  Barangkali sudah boleh berfikir dengan lebih baik.  Boleh mendengar arahan dan mematuhinya.  

Menarik juga pengalamanku tika berada di kelas Tahun 3 bersama-sama Azie dan Mila.  Dalam sesi perhimpunan di kelas pagi itu, Mila memberi nasihat agak panjang lebar tentang norma baharu yang perlu murid-murid ikuti semasa berada di sekolah jua di dalam kelas.  Peringatan guru Bahasa Inggeris itu didengar dengan teliti.

Lebih menarik lagi apabila setiap pertanyaan Mila ...... dijawab dengan tepat oleh warga kelas itu.  Berkat pesanan yang diulang-ulang, akhirnya lekat di dalam kepala mereka.  Namun sejauh mana pengamalan di dalam kehidupan seharian, tidak dapat dipastikan.

Usai perhimpunan di dalam kelas, Mila dan Azie beransur meninggalkan kami.  Begitulah rutin mingguan kami di dalam sesi perhimpunan pagi yang tidak lagi dilaksanakan di Dataran Ar Rayyan.  Semua kelas melakukan aktiviti yang sama di kelas masing-masing.  

Kami masih menanti kedatangan Cikgu Yvonne.  Satu-satunya guru berbangsa Cina di sekolah kami.  Cikgu Matematik yang berambut lurus melepasi bahu.  Seringkali digelar 'Comey' oleh Madam Zue.  Dan aku berada di kelas yang sama kerana di situ ada dua orang murid yang memerlukan bimbinganku.

Sempat aku memerhati dan menegur mereka yang leka.  

"Jaga penjarakan," suaraku agak meninggi.  

Seingat aku, sudah banyak kali diperingatkan tentang perkara tersebut.  Kekadang ada dalam kalangan guru yang menegur dari luar kelas lagi.  

"Jaga jarak.......jaga jarak.....nanti cikgu saman kamu! "  nyaring suara Cikgu Nor Rizan mengingatkan.

Dan suasana akan jadi senyap bak dilanggar garuda bila Ustazah Syikin melewati kaki lima kelas.  Melihat kelibatnya dari jauh, mungkin jantung rasa bagai nak gugur agaknya.  Semua akan cuba mengelak diri daripada bertemu dengannya.  Elok juga ada seorang guru yang demikian.  

Tiba-tiba lamunanku terhenti.  Yvonne telah melangkah masuk.

"Selamat pagi cikgu..." ujar ketua kelas seperti lagak cerita Upin & Ipin.  Diikuti lenggok yang sama oleh murid lain.

Yvonne tersenyum manis.  
















Ahad, 18 Oktober 2020

BERITA PADA KAWAN

 


Nafas yang tertahan semalam....... dalam lelah penuh resah........ telah kami lepaskan hari ini.

Tidak dapat digambarkan betapa lapang dan leganya kami.  Seakan keresahan itu hilang entah ke mana.  Melayang ghaib dari pandangan.  Ibarat bongkah batu yang menghempap, berkecai akhirnya.....dan serpihannya jatuh berserakan ke bumi.  Lantas disapu bersih oleh ombak yang datang.  Lenyap tanpa berbekas.

Tapi kuntum-kuntum doa tetap kami kirim buat sahabat.  Pada CMK dan keluarga......kami tetap berdiri teguh menyokong dan mengharapkan yang terbaik buat kalian.  

Tidak ada yang meminta jadi begitu.  Jua tidak ada yang berharap akan akhirnya begitu.  

Sejak wujudnya kluster Lekir...... masing-masing tersentak seketika.  Lamunan pun terhenti.  Bukan kami tak patuh SOP.  Bukan kami tak ikut kata menteri.  Namun jika janji Allah itu pasti, mana mungkin kita dapat mengelak diri.  

Usah ditanya bagaimana ia hadir.... jangan pula menyalahkan takdir.  Warga sekitar, belajarlah memahami.  Jangan pula melampau membuat penilaian.  Allah tidak menghadirkan semua ini hanya sebagai suka-suka.......  Ia juga bukan dijadikan sia-sia.....

Atas sebab apa mereka dipilih.......hanya Dia yang maha mengetahui.
Sudah pasti ada hikmah di sebalik musibah.  Dari kejauhan kami tetap mendoakan yang terbaik......Dalam kepayahan, kalian tetap redho.  Moga Allah memberi kekuatan pada setiap kalian yang diuji.

Pulanglah covid19......




ida a.z.
4.58 ptg
18102020
ktb7 lekiyour

KHABAR GEMBIRA

 Sebaik-baik aku membuka telefon bimbit, mataku tertancap pada Group Komuniti itu........ owh, banyaknya yang masuk.

Mataku berlari pantas meneliti kesemua baris demi baris ayat yang tertera......... alhamdulillah Ya Allah.  Terasa ada mutiara jernih tergenang di kolam mataku.  Yang bila-bila masa sahaja akan tumpah.

Ada yang dah sujud syukur, tak kurang yang bercucuran air mata syukur dan gembira yang teramat.....berpandukan emoji yang dikirim.  Ada yang mengajak meneruskan tilawah.....

Setinggi-tinggi kesyukuran yang mampu kuungkapkan.  Tanda terima kasih kami  pada-Mu Ya Robb.  Nikmat mana lagikah yang mampu kami dustakan.....

Setelah sepanjang Sabtu kami berada dalam teka teki.... kini segalanya terjawab.  Sesungguhnya Engkau amat mendengar rintihan dan permintaan kami, Ya Allah.  

Benarlah kata-kata itu......."penantian itu satu penyiksaan".  Ingatanku kembali kepada lagu kumpulan Harmoni....



Terima kasih Cikgu Azman, yang telah memaklumkan khabar gembira itu.  

Rimbun selasih di pinggir jalan
Bunga melati harum baunya
Terima kasih kami ungkapkan
Khabar dinanti negatif akhirnya

Daun nipah rapi disemat
Di sudut serambi jadi teduhan
Alhamdulillah syukur nikmat
Pada-Mu Ilahi kami panjatkan



....ida a.z.
10.52 pagi
18102020
ktb7 lekiyour



BERDOSA BESARKAH MEREKA?

mangsa covid19
yang disahkan positif
berdosa besarkah mereka?

pabila ditular kisahnya
di pelosok tanah air
dijaja ke hulu ke hilir
oleh mulut yang celupar
oleh jari yang nakal
hingga ada hati yang terluka
pedih pilu
tercalar rasa

amat mudahnya berbicara
sebar berita merata-rata
tokok tambah mana yang ada
penyedap secukup rasa
biar yang baca tambah selera
memenuhi tekak yang dahaga
sensasi dan bergaya

tatkala bukan engkau yang merasa
bukan engkau yang terkena
engkau bisa tertawa
semahu-mahunya
menjadi juara
atas kisah yang kau bawa

ingatlah.....
jangan kau lupa.....
bahawa Dia Maha Kaya
kehebatan-Nya tiada tara



ida a.z.
18102020
7.52 pagi
ktb7 lekiyour


Sabtu, 17 Oktober 2020

HARGA SEBUAH PENGORBANAN

 Kelihatan bak angkasawan nun di atas
Memberi khidmat dengan pantas
Tanpa rasa jemu atau culas
Demi tugas 
Itulah amanah yang digalas

Tiap detik waktu amat berharga
Nilaian emas bukan gandingnya

Penuh tabah dan sabar
Dengan cermat, berhemah tinggi
Berhadapan ragam manusiawi
Erti bahaya ditolak tepi
Pelbagai karenah sedia dikongsi
Tanpa mengira kluster yang datang dan pergi

Dalam panas yang membahang 
Bertahan dalam peluh nan membasah
Kulit terbakar nan memerah
Kesulitan diterima penuh pasrah
Yakin dengan janji Allah
Takkan mudah menyerah kalah

Pengorbananmu luas tersebar
Tak mampu kami bayar....... 



ida a.z.
ktb7 lekiyour
11.46 malam
17102020

KITA DITEGUR DALAM LEKA

 Sahabat semua.......

Sesekali izin kuutus salam lewat bicara begini...... terlalu banyak ilham yang menerpa sebermulanya 16 Oktober 2020.  

Sebentar sahaja kutinggalkan telefon bimbit ....... kudapati bertimbun bicara tidak kubaca.  Meneliti satu persatu yang tertera, hati jadi gundah gulana.  Sebagaimana kalian, begitu jualah yang dapat aku rasakan.

Di dalam ketidaktentuan harapan, terkadang terselit hiburan.  Aku turut tersenyum menatap ungkapan yang disuarakan.  Menyelami bait-bait katamu sahabat...... samalah jua yang bersarang di benakku.  Ibarat cubit paha kiri, paha kanan turut terasa.

Dalam bimbang, dalam hati nan walang....... terhimpun doa buat semua.  Hari-hari yang bakal dilalui terasa jauh berbeda dari semalam.  Seolah-olah dunia lain jadi sepi.  Hanya keluarga kita sahaja mewarnai perjalanan hidup ini.  Tidak seperti dulu lagi.

Buat pertama kalinya tinta sejarah bermula di Oktober ini......  Barangkali beginilah yang dirasai oleh insan-insan sebelum kita.  Dan kini kita yang merasainya.  Yang tidak pernah kita jangkakan sebelum ini.  Dunia 'whatsapp' SKL jadi rancak seketika.  


Sahabat yang dikasihi.......

Sama-sama kita berkongsi rasa, pengalaman yang mungkin takkan dapat dilupa.  Perjalanan hidup berliku akibat pandemik covid19 akhirnya ke sini jua.  Jangan kita menyalahkan sesiapa.  Sebenarnya istilah "kita jaga kita" yang digunapakai selama ini pun tidak tepat.  Sesungguhnya Dia yang menjaga kita....... ya, terkadang kita lupa.  Sedangkan sepicing pun Dia tidak pernah lupa akan kita.

Barangkali begini cara Dia 'menegur' kita.  Maaf sahabat atas kata-kata.  Tergerak hatiku untuk bermuhasabah seketika.  Mungkin Dia mengirim teguran ini ....... buat kita kembali berbicara dengan-Nya.  Memohon kasih dan kebergantungan pada-Nya.  

Terkesima aku.

Betapa takutnya kami pada makhluk ciptaan-Mu.  Sedangkan dalam janji-janji kami sering diungkap,  ".....sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam."   Betapa takut dan tunduknya kami kepada-Mu.  Tetapi ketakutan melampau pada kehadiran makhluk ciptaanmu yang tidak dapat dilihat itu lebih parah lagi.

Maafkan kami Ya Robb....... kami redho apa pun yang Engkau suratkan.  Terima kasih atas teguran yang tidak dijangkakan.  Sesungguhnya kami makhluk yang banyak dosa dan kesilapan.......


.....catatan petang
ida a.z.
ktb7 lekiyour
4.45ptg  17102020




SABO LER DUHAI HATI.....


SABO LER DUHAI HATI....

Hati ghase berdebo-debo
Udah tak sabo
Menunggu keputusan nak keluo
48 jam ghasenyer lame bebeno
Ater gituler cerite yang dikabo
Emm lamanye menanti bagai nak tumpo
Kata orang nunggu buah tak gugo

Covid nineteen punye pasey
Macam nunggu result SPM nak sampey
Ajernyer handey.....

Menderu-deru wasap bertali aruih
Tak putuih-putuih
Talian hayat paling baguih
Harap keputusannye semue luluih



.....ida a.z
ktb7 lekiyour dalam sejarah
17102020
2.00ptg


PANTUN SI GELANG PINK

Hari ini  kita ke Taiping
Hari esok kita ke Gemas
Hari ini bergelang pink
Hari esok bergelang emas

Dari Papan kita ke Pusing
Terus ke Bota janganlah rimas
Duhai rakan usahlah runsing
Kalbu meronta penuh cemas

Duduk memancing bersama-sama
Dapat seekor ikan gelama
Hari diiring perbanyakkan doa
Panjang umur sihat semua

Sayang ketitir terbang rendah
Hilang ke mana tanpa suara
Orang menyindir jangan diendah
Jiran bertanya lembutkan suara

Tuan ke pasar belikan ragi
Ragi dibawa ke rumah Seri
Walau gusar terbuku dihati
Serahkan segala pada Ilahi



......ida a.z.
ktb7 lekiyour
17102020
9.00 pagi 



JANGAN MENANGIS SAHABAT

 JANGAN MENANGIS SAHABAT

kalau nanti perkhabaran duka itu
singgah di pelabuhan hatimu
.....jangan menangis sahabat

Kerana engkau.....
tidak akan aku tinggalkan
sendirian berselimut pilu
keseorangan dipeluk sendu
dicengkam khabar membisu

Izin kugenggam erat tanganmu
bersama menggapai pelangi indah
dalam ribut nan memburu
melerai resah di kalbu

Aku tetap sudi bertamu
membawa harapan penuh peduli
demi harga sebuah persahabatan
..... menuju negeri abadi


ida a.z.
ktb7 lekiyour




NASIB SI GELANG PINK


 Nasib Si Gelang Pink

Sebelum ini kami hanya melihat, mendengar, membaca
alkisah mereka bergelang pink
tertangkap di kedai makan
dihalau dari kedai  makan
ditahan dalam penjara rumah sendiri

dan hari ini.....
tanpa disangka
kami pula bergelang pink
menanti detik-detik pelawat tanpa diundang
dalam rajinnya mereka saban hari
bakal menghulur salam ziarah

duhai cikgu bergelang pink.....
sesungguhnya kita merancang
Allah jua merancang
dan betapa hebat perancangan-Nya

sahabatku yang bergelang pink.....
sabarlah dalam menanti keputusan
positif negatif hanya Dia yang maha tahu
.....andai negatif, bersyukurlah
.....kalau positif, utuslah salam semangat,
     doa dan harapan    
     kerana kita masih ada ukhuwah
    yang terjalin kian lama



ida a.z.
ktb7 lakiyour
16102020
4.07 petang         


Ahad, 11 Oktober 2020

Salam Takziah

Aku kesiangan menerima berita itu.  Rupa-rupanya awal pagi jam 3.37 berita pemergian Atuk Simbun telah dimasukkan ke 'group' whatsapp saudara mara oleh Ina.  Lantaran kelelahan bersama anak cucu petang semalam di Teluk Senangin, menjadikan ruang waktu untuk meneliti telefon bimbit agak singkat.

Kubawa khabar duka itu pada suami dan anak-anak...... masing-masing terkenangkan wajah tua itu.  Yang seringkali mengulang-ngulang bicaranya tatkala bersama kami.  Ingat-ingat lupa lagaknya.  Suaranya terketar-ketar lembut diatur satu persatu, dalam bahasa Rao yang amat kufahami.

"Opah yang kat rumahnya kita makan laksa tu,ye? " tanya anakku.

"Bukan opah.......onyang tu....  Umi yang panggil opah....... "ujarku membetulkan keadaan.  Namun bagi orang Rawa @ Rao, opah disebut 'Atuk'.  

"Sedap laksanya...." getus Kak Lang.

"Anaknya yang masak.......onyang tu dah tak lalu nak masak...."sambutku.

Ingatanku kembali menerawang zaman kanak-kanak dahulu.  Di rumah nenek dan atuk itulah aku bersama abang dan sepupu-sepupuku tumpang menonton televisyen pada sebelah malam.  Bila selesai..... kami sama-sama turun ke lembah.  Ada kalanya kaki kami terseradung pada akar-akar pepohon buah-buahan yang tidak dapat dilihat  dengan jelas kecuali jika malam itu bulan terang.

Sudah menjadi kebiasaan bagi  kami mendaki dan menuruni tanah yang agak berbukit itu.  Atuk Rajiah (ibu kepada emakku) tinggal di lembah, manakala Atuk Simbun pula di atas.  Tanah di situ agak berbukit, sesuai untuk tanaman pokok buah-buahan. Gopeng terkenal dengan buah duriannya yang enak, sementelahan pokok tersebut hidup di kawasan agak berbukit.

Meneliti semula bait-bait bicara Acik Enon yang merupakan anak bongsu Atuk Simbun, aku diterpa rasa hiba.  Sisa-sisa usia Atuk Simbun tinggal bersama anak-anak yang amat berbakti kepadanya menjadikan aku sebak.  Amat beruntung mereka.......juga amat beruntung Atuk Simbun memiliki anak-anak yang sedemikian elok budinya.

Dari kejauhan, kami sekeluarga mengirim salam takziah buat Acik Enon sekeluarga.  Mudah-mudahan arwah Atuk Simbun ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.