Ahad, 30 Julai 2017

KAU PERGI JUA

Cikgu Yati

Mengenalimu hanya sebagai Cikgu Yati....  Hanya kenal rupa paras, kerana acapkali kita bersua.  Terserempak denganmu dalam beberapa program, namun tidak pula kita berbual mesra.

Ketika engkau dikhabarkan sakit dan berada di hospital, aku dan kawan-kawan turut menziarahimu.  Diceritakan ........ engkau tidak pernah tingal solat dhuha.  Hebatnya............  Alhamdulillah....

Tidak banyak yang kutahu tentang dirimu.  Cuma yang aku tahu, engkau merupakan Guru Kanan sekolah rendah sebelum bersara meninggalkan tugas murni mendidik anak-anak.

Bahagialah dirimu di taman barzakh.  


Jumaat, 28 Julai 2017

MAKANLAH IKUT NABI....

Hari itu aku makan semeja dengan anak bujangku.  Tidak lama kemudian datang seorang ibu dengan dua orang anak bujangnya.  Diikuti pasangan suami isteri dan seorang sahabat mereka.  Kami duduk sama-sama makan semeja.

Majlis kenduri kahwin itu meriah nampaknya.  Namun hatiku sedikit gusar kerana kelihatan awan mendung.  Teringatkan kain di ampaian.  Bimbang kalau-kalau hujan turun tatkala kami masih leka di rumah kenduri.

Sedang aku asyik menghabiskan suapan terakhir, salah seorang tetamu semeja dengan kami menegur rakannya yang makan bersama anak-anak bujangnya tadi.  Mataku terpandang pinggan nasinya yang masih bersisa hampir separuh pinggan.  Begitu juga anak bujangnya.

"Ha.....ni peminat Ustaz Kazim.  Macam mana kata Ustaz Kazim....." tegurnya.  Aku faham akan maksud di sebalik teguran itu.  Teguran mesranya itu diulangi lagi.  Alhamdulillah...... syukur sangat-sangat ada rakan semeja yang mengingatkan begitu.

Memang aku pantang melihat pinggan yang masih membumbung berisi terbiar begitu sahaja.  Kenapa tidak dihabisi hingga menjilat jari???  Kalau rasa kurang lapar, ambillah sedikit.  Kalau lapar pun, ambil sekadarnya dahulu.  Tidak ada masalah kalau hendak tambah, bangun dan ambil.  Tak siapa marah pun.

Begitulah sikap sesetengah manusia....... Dengan kata kesatnya, bila dapat makan free.... melantak sampai muntah monggek ( tu kata orang Perak!)

Tak teringatkah kepada saudara kita di luar sana.  Si gelandangan yang kekadang nak dapat sesuap nasi pun amat susah.  Kepada pelajar U yang di kampus pun kekadang makan nasi kosong......tak berlauk.  Sedih sangat....

Ini bila makanan sudah ada di depan mata, menyenduk bagaikan tak ingat orang di belakang yang masih ramai beratur.  Semua lauk-pauk dan sayur-mayur yang ada, nak dirasa semuanya.  Penuh sepinggan membumbung.  Tapi bila makan nanti...... kekadang hampir separuh terbuang.

Tak cukup dengan makanan utama, pencuci mulut pun semua diambil.  Penuh semangkuk.  Kalau berkongsi dengan orang lain, dan dimakan habis..... tak mengapalah.  Tetapi kalau dimakan seketul dua dan tinggalkan begitu sahaja di atas meja..... siapa yang nak memakan bakinya?

Dan akhirnya semua itu dibakulsampahkan!!!
Tak rasa berdosakah kita???
Kalau dikatakan kita bersahabat dengan syaitan...... melenting kita.
Kan membazir namanya tu.  

Begitulah keadaannya yang boleh kita nampak di depan mata.  Nak jilat jari pun takut.  Tetapi mentekedarah makan kfc (kasar sikit bahasa ni) .....licin sampai menjilat jari...... tak malu pulak!!!

Makanlah apabila lapar, dan berhenti sebelum kenyang.  Dan jangan dicampur adukkan makanan atau lauk darat dengan air.  Contohnya jangan diambil ayam bersekali dengan ikan, atau lembu sekali dengan udang.  Pilihlah yang mana berkenan dan sekadar untuk perut kita...... bukan perut dua tiga orang!  Tak salah untuk diambil ayam dengan kambing...... ambillah sedikit-sedikit.  Kecualilah kita makan sambil menyuap anak-anak yang hadir sama.

Kadang-kadang terfikir juga, di rumah boleh berkongsi seekor ikan dan makan bersama.  Tapi di tempat kenduri, seekor ikan sepinggan sorang.  Tambah lagi dua ketul ayam......fullamak.......

Dan bagaimana pula tindakan kita andaikata dapat lima enam jemputan dalam sehari?

Dan esok..... kami dapat tiga jemputan.  Cadangnya in shaa Allah hadir di semua lokasi, namun berkira-kira untuk makan ala kadar sahaja.  Kalau tak makan nasi pun di rumah berikutnya, barangkali minum sahaja atau sekadar bertemu tuan rumah beramah mesra............  tak salah begitu kan....


Jumaat, 21 Julai 2017

PERTEMUAN KALI INI

19 Julai 2017, bersamaan 25 Syawal 1438H ...... tiba-tiba saja mesej itu masuk ke talian telefon bimbitku.  Kembali mengingatkan aku di daerah itu.  Di mana aku ditempatkan setelah tamatnya 3 tahun di Maktab Perguruan Sultan Idris/ Institut Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Budak-budak yang pernah bersama meredah alam persekolahan sekitar penghujung tahun 80-an hinggalah awal tahun 90-an.  Wajah-wajah comel itu segera terbayang jelas depan mataku.

Pada si penulis mesej ini..... Maarof Sudarman..... merdu suaranya. Vokal utama team nasyid sekolah.  
Pada Mohd Afali, Zul, Alil (Mohd Radi), Nanang, Azuwan, Ashri, Bambang..
Pada Ita, Yanti Samad, Masuzi, Suhana, Hafidah, Suziana, Waznati, Musliha, Hamidah....... siapa lagi ye????

Kemaafan yang cikgu pinta kerana banyak nama yang cikgu dah lupa.

Sudah terlalu lama kita terputus hubungan.  Namun setiap kali lalu di kawasan SKAHTI, dalam perjalanan ke Bidor untuk terus naik ke lebuh raya..... aku sering teringat akan anak-anak ini.

Sesekali teringat pada kawasan dusunnya.  Redup hawa desanya.  Gandingan Melayu dan Jawanya.  Pasukan nasyidnya, team rounders, bola sepak, bola jaring dan perseorangan badmintonnya!!!

Itulah sekolah pertama aku ditempatkan..... lokasinya di tengah-tengah antara Teluk Intan dan Bidor.  Sekolah kampung.  Jalan kampungnya memisahkan antara kaum Melayu dan Jawa.

Malahan rumah pertama tempat aku menumpang teduh, adalah rumah orang Jawa.  Menyewa bilik buat seketika sementara mendapat rumah sewa di Langkap.  Rakan sekerja pula ramai dalam kalangan yang veteran.  Punya banyak pengalaman dan tak lokek untuk dikongsi bersama.  

Julai 1988 bermulanya aku di situ.  Dan meninggalkannya pada penghujung November 1992 kerana 1 Disember aku ditempatkan di SK Sungai Wangi.  Berhijrah mengikut suami tercinta.  

Menelan suka duka bersama tatkala hidup membujang di kelilingi anak-anak kampung yang pelbagai kerenah.  Merasa asam garam kehidupan masyarakat setempat.  Dan mengambil iktibar melalui pengalaman yang amat berharga itu.

Dan satu nama yang mengembalikan ingatanku ke SKAHTI ialah Muhammad Shahrul Yuzi....... pelumba motor negara!!!  Dia antara pemain rounders sekolah yang cekap suatu ketika dulu.....