Jumaat, 21 Julai 2017

PERTEMUAN KALI INI

19 Julai 2017, bersamaan 25 Syawal 1438H ...... tiba-tiba saja mesej itu masuk ke talian telefon bimbitku.  Kembali mengingatkan aku di daerah itu.  Di mana aku ditempatkan setelah tamatnya 3 tahun di Maktab Perguruan Sultan Idris/ Institut Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Budak-budak yang pernah bersama meredah alam persekolahan sekitar penghujung tahun 80-an hinggalah awal tahun 90-an.  Wajah-wajah comel itu segera terbayang jelas depan mataku.

Pada si penulis mesej ini..... Maarof Sudarman..... merdu suaranya. Vokal utama team nasyid sekolah.  
Pada Mohd Afali, Zul, Alil (Mohd Radi), Nanang, Azuwan, Ashri, Bambang..
Pada Ita, Yanti Samad, Masuzi, Suhana, Hafidah, Suziana, Waznati, Musliha, Hamidah....... siapa lagi ye????

Kemaafan yang cikgu pinta kerana banyak nama yang cikgu dah lupa.

Sudah terlalu lama kita terputus hubungan.  Namun setiap kali lalu di kawasan SKAHTI, dalam perjalanan ke Bidor untuk terus naik ke lebuh raya..... aku sering teringat akan anak-anak ini.

Sesekali teringat pada kawasan dusunnya.  Redup hawa desanya.  Gandingan Melayu dan Jawanya.  Pasukan nasyidnya, team rounders, bola sepak, bola jaring dan perseorangan badmintonnya!!!

Itulah sekolah pertama aku ditempatkan..... lokasinya di tengah-tengah antara Teluk Intan dan Bidor.  Sekolah kampung.  Jalan kampungnya memisahkan antara kaum Melayu dan Jawa.

Malahan rumah pertama tempat aku menumpang teduh, adalah rumah orang Jawa.  Menyewa bilik buat seketika sementara mendapat rumah sewa di Langkap.  Rakan sekerja pula ramai dalam kalangan yang veteran.  Punya banyak pengalaman dan tak lokek untuk dikongsi bersama.  

Julai 1988 bermulanya aku di situ.  Dan meninggalkannya pada penghujung November 1992 kerana 1 Disember aku ditempatkan di SK Sungai Wangi.  Berhijrah mengikut suami tercinta.  

Menelan suka duka bersama tatkala hidup membujang di kelilingi anak-anak kampung yang pelbagai kerenah.  Merasa asam garam kehidupan masyarakat setempat.  Dan mengambil iktibar melalui pengalaman yang amat berharga itu.

Dan satu nama yang mengembalikan ingatanku ke SKAHTI ialah Muhammad Shahrul Yuzi....... pelumba motor negara!!!  Dia antara pemain rounders sekolah yang cekap suatu ketika dulu.....


Tiada ulasan: