Ahad, 30 Julai 2017

KAU PERGI JUA

Cikgu Yati

Mengenalimu hanya sebagai Cikgu Yati....  Hanya kenal rupa paras, kerana acapkali kita bersua.  Terserempak denganmu dalam beberapa program, namun tidak pula kita berbual mesra.

Ketika engkau dikhabarkan sakit dan berada di hospital, aku dan kawan-kawan turut menziarahimu.  Diceritakan ........ engkau tidak pernah tingal solat dhuha.  Hebatnya............  Alhamdulillah....

Tidak banyak yang kutahu tentang dirimu.  Cuma yang aku tahu, engkau merupakan Guru Kanan sekolah rendah sebelum bersara meninggalkan tugas murni mendidik anak-anak.

Bahagialah dirimu di taman barzakh.  


Jumaat, 28 Julai 2017

MAKANLAH IKUT NABI....

Hari itu aku makan semeja dengan anak bujangku.  Tidak lama kemudian datang seorang ibu dengan dua orang anak bujangnya.  Diikuti pasangan suami isteri dan seorang sahabat mereka.  Kami duduk sama-sama makan semeja.

Majlis kenduri kahwin itu meriah nampaknya.  Namun hatiku sedikit gusar kerana kelihatan awan mendung.  Teringatkan kain di ampaian.  Bimbang kalau-kalau hujan turun tatkala kami masih leka di rumah kenduri.

Sedang aku asyik menghabiskan suapan terakhir, salah seorang tetamu semeja dengan kami menegur rakannya yang makan bersama anak-anak bujangnya tadi.  Mataku terpandang pinggan nasinya yang masih bersisa hampir separuh pinggan.  Begitu juga anak bujangnya.

"Ha.....ni peminat Ustaz Kazim.  Macam mana kata Ustaz Kazim....." tegurnya.  Aku faham akan maksud di sebalik teguran itu.  Teguran mesranya itu diulangi lagi.  Alhamdulillah...... syukur sangat-sangat ada rakan semeja yang mengingatkan begitu.

Memang aku pantang melihat pinggan yang masih membumbung berisi terbiar begitu sahaja.  Kenapa tidak dihabisi hingga menjilat jari???  Kalau rasa kurang lapar, ambillah sedikit.  Kalau lapar pun, ambil sekadarnya dahulu.  Tidak ada masalah kalau hendak tambah, bangun dan ambil.  Tak siapa marah pun.

Begitulah sikap sesetengah manusia....... Dengan kata kesatnya, bila dapat makan free.... melantak sampai muntah monggek ( tu kata orang Perak!)

Tak teringatkah kepada saudara kita di luar sana.  Si gelandangan yang kekadang nak dapat sesuap nasi pun amat susah.  Kepada pelajar U yang di kampus pun kekadang makan nasi kosong......tak berlauk.  Sedih sangat....

Ini bila makanan sudah ada di depan mata, menyenduk bagaikan tak ingat orang di belakang yang masih ramai beratur.  Semua lauk-pauk dan sayur-mayur yang ada, nak dirasa semuanya.  Penuh sepinggan membumbung.  Tapi bila makan nanti...... kekadang hampir separuh terbuang.

Tak cukup dengan makanan utama, pencuci mulut pun semua diambil.  Penuh semangkuk.  Kalau berkongsi dengan orang lain, dan dimakan habis..... tak mengapalah.  Tetapi kalau dimakan seketul dua dan tinggalkan begitu sahaja di atas meja..... siapa yang nak memakan bakinya?

Dan akhirnya semua itu dibakulsampahkan!!!
Tak rasa berdosakah kita???
Kalau dikatakan kita bersahabat dengan syaitan...... melenting kita.
Kan membazir namanya tu.  

Begitulah keadaannya yang boleh kita nampak di depan mata.  Nak jilat jari pun takut.  Tetapi mentekedarah makan kfc (kasar sikit bahasa ni) .....licin sampai menjilat jari...... tak malu pulak!!!

Makanlah apabila lapar, dan berhenti sebelum kenyang.  Dan jangan dicampur adukkan makanan atau lauk darat dengan air.  Contohnya jangan diambil ayam bersekali dengan ikan, atau lembu sekali dengan udang.  Pilihlah yang mana berkenan dan sekadar untuk perut kita...... bukan perut dua tiga orang!  Tak salah untuk diambil ayam dengan kambing...... ambillah sedikit-sedikit.  Kecualilah kita makan sambil menyuap anak-anak yang hadir sama.

Kadang-kadang terfikir juga, di rumah boleh berkongsi seekor ikan dan makan bersama.  Tapi di tempat kenduri, seekor ikan sepinggan sorang.  Tambah lagi dua ketul ayam......fullamak.......

Dan bagaimana pula tindakan kita andaikata dapat lima enam jemputan dalam sehari?

Dan esok..... kami dapat tiga jemputan.  Cadangnya in shaa Allah hadir di semua lokasi, namun berkira-kira untuk makan ala kadar sahaja.  Kalau tak makan nasi pun di rumah berikutnya, barangkali minum sahaja atau sekadar bertemu tuan rumah beramah mesra............  tak salah begitu kan....


Jumaat, 21 Julai 2017

PERTEMUAN KALI INI

19 Julai 2017, bersamaan 25 Syawal 1438H ...... tiba-tiba saja mesej itu masuk ke talian telefon bimbitku.  Kembali mengingatkan aku di daerah itu.  Di mana aku ditempatkan setelah tamatnya 3 tahun di Maktab Perguruan Sultan Idris/ Institut Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Budak-budak yang pernah bersama meredah alam persekolahan sekitar penghujung tahun 80-an hinggalah awal tahun 90-an.  Wajah-wajah comel itu segera terbayang jelas depan mataku.

Pada si penulis mesej ini..... Maarof Sudarman..... merdu suaranya. Vokal utama team nasyid sekolah.  
Pada Mohd Afali, Zul, Alil (Mohd Radi), Nanang, Azuwan, Ashri, Bambang..
Pada Ita, Yanti Samad, Masuzi, Suhana, Hafidah, Suziana, Waznati, Musliha, Hamidah....... siapa lagi ye????

Kemaafan yang cikgu pinta kerana banyak nama yang cikgu dah lupa.

Sudah terlalu lama kita terputus hubungan.  Namun setiap kali lalu di kawasan SKAHTI, dalam perjalanan ke Bidor untuk terus naik ke lebuh raya..... aku sering teringat akan anak-anak ini.

Sesekali teringat pada kawasan dusunnya.  Redup hawa desanya.  Gandingan Melayu dan Jawanya.  Pasukan nasyidnya, team rounders, bola sepak, bola jaring dan perseorangan badmintonnya!!!

Itulah sekolah pertama aku ditempatkan..... lokasinya di tengah-tengah antara Teluk Intan dan Bidor.  Sekolah kampung.  Jalan kampungnya memisahkan antara kaum Melayu dan Jawa.

Malahan rumah pertama tempat aku menumpang teduh, adalah rumah orang Jawa.  Menyewa bilik buat seketika sementara mendapat rumah sewa di Langkap.  Rakan sekerja pula ramai dalam kalangan yang veteran.  Punya banyak pengalaman dan tak lokek untuk dikongsi bersama.  

Julai 1988 bermulanya aku di situ.  Dan meninggalkannya pada penghujung November 1992 kerana 1 Disember aku ditempatkan di SK Sungai Wangi.  Berhijrah mengikut suami tercinta.  

Menelan suka duka bersama tatkala hidup membujang di kelilingi anak-anak kampung yang pelbagai kerenah.  Merasa asam garam kehidupan masyarakat setempat.  Dan mengambil iktibar melalui pengalaman yang amat berharga itu.

Dan satu nama yang mengembalikan ingatanku ke SKAHTI ialah Muhammad Shahrul Yuzi....... pelumba motor negara!!!  Dia antara pemain rounders sekolah yang cekap suatu ketika dulu.....


Sabtu, 13 Mei 2017

HARI IBU....... buat ibu yang kukasih

Bulan lepas aku pulang ke kampung, bersama suami dan anak-anak.  Anak-anakku rapat dengan opahnya yang mesra di panggil 'Tok Gemuk'.  Ibuku orang Rawa, jadi anak-anakku tidak memanggilnya opah atau nenek.  Lebih kepada panggilan 'Atok'.  Disebabkan badan ibuku agak berisi, cucu-cucunya memanggilnya dengan panggilan 'Tok Gemuk'.  Malah ibu turut membahasakan dirinya....'Tok Gemuk'.

Namun..... jauh di sudut hati, aku diketuk sedikit gundah.  Melihatkan badan ibu yang agak susut.  Dengan kedutan di sana sini.  Lebihan daging di lengan dan pipi yang kian mengendur.....  tersentuh hati kecil ini.

Sosok tua itulah yang sekian lamanya membesarkan aku dari sebesar dua jarinya ukuran tapak kakiku......  hingga aku boleh mengiring, meniarap, merangkak, bertatih berjalan dan akhirnya berlari.  

Dia jualah yang mendidik dan menatangku dengan kasih sayang hingga akhirnya aku menjadi manusia.  Bersama ayah yang berjuang mencari rezeki, insan istimewa itulah yang menghabisi waktu-waktunya di sisiku kala senang mahupun susah.

Dan kini tatkala usianya menjangkau 72 tahun, segala kekuatan kian hilang sedikit demi sedikit.  Pandangannya kian kabur.  Perlahan sungguh langkahan kakinya tika mahu bergerak dari satu tempat ke tempat lain hatta di dalam rumah sekalipun.  Tambah menyedihkan.... terpaksa menggunakan tongkat istimewa yang ayah belikan khas untuknya.

Betapa sabarnya ayah menemani ibu hinggakan ayah tidak mahu memenuhi jemputan andaikata lokasinya agak jauh dan sudah barang pasti akan meninggalkan ibu berlama-lama sendirian di rumah.  Apatah lagi jika terpaksa pulang lewat.  Kerisauan ayah pernah diluahkannya kepadaku.

Tetapi jika lokasi berhampiran, dan ayah sudah pasti pulang awal, in shaa Allah ayah akan memenuhi undangan.  Begitu kasihnya ayah pada ibu.  Aku mohon pada-Mu Ya Rabb, permudahkanlah segala urusan mereka berdua.  Lebih-lebih lagi urusan ayah, yang tidak pernah mengenal lelah berjuang walau usia menginjak 79 tahun.

Dan tika sibuknya orang memperkatakan  tentang 'Hari Ibu'...... aku lantas terus melabuhkan ingatanku pada ibuku jua.  Bagiku, hari-hari adalah 'Hari Ibu'.



Terima kasih ibu......
Kerana mengajar aku erti seorang ibu
Yang penat lelahnya tidak pernah mohon dibayar
Walau menghabisi sekian-sekian waktu bersamaku

Terima kasih ibu......
Mohon halalkan air susumu
Makanan paling berharga mengalir di tubuhku
Hingga Dia mengizinkan aku menjadi sedewasa ini

Terima kasih ibu......
Membelai penuh kasih bersalut sayang
    berbunga cinta mengharum bahagia
        berselimut doa mewanginya harapan
              yang sering engkau panjatkan

Jutaan terima kasih ibu........
Tak terhitung jasamu, tak terbalas budimu,
Moga Allah memeliharamu dan ayah....
.....seperti mana dirimu berdua memeliharaku sejak dulu lagi.....







Rabu, 10 Mei 2017

KAK CHAH

1985 menemukan kita di MPSI.....

Masih kuingat lagi pada Kak Napisah..... mesra dipanggil Kak Chah.  Kecil molek orangnya.  Lincah perwatakannya.  Cuma bezanya Kak Chah menjejakkan kaki ke MPSI lebih awal dariku.  Cuma satu semester sahaja beza waktu kami ditempatkan di Lembah Bernam itu.  

Kak Chah sama 'batch' pula dengan saudaraku Makcik Zairiah, yang kupanggil Acik Tupin sahaja.  Turut sama mereka ialah kawan yang sama-sama pernah berada di Tingkatan 6 di SYS, Batu Gajah.  Marduati namanya.  

Jarang bersua mereka tika sama-sama berada di Ibu Kandung Suluh Budiman itu.  Kekadang kelihatan dari jauh sahaja.  Tidak berbual mesra.  Masing-masing hanya sekadar berbalas senyuman andaikata bertentang mata.  Asrama yang berbeza, jadual kelas yang padat, lebih-lebih lagi pengajian yang berlainan...... barangkali mungkin menjadi asbab kami terpisah walaupun di bawah bumbung yang sama.

Tapi itu dulu.......



Dan setelah bertebarannya kami meninggalkan IPSI, tiga nama tadi kian hilang.  Tambahan pula mereka keluar lebih dahulu dariku. Marduati menyambung pelajarannya jauh sekali.  Acik Tupin tak silap aku ditempatkan di Kelantan.  Kak Chah langsung hilang khabar beritanya.

Hanya setelah berumah tangga dan bertukar ke daerah Manjung, aku ditemukan semula dengan Kak Chah!  Syukur Alhamdulillah.......  Tika itu Kak Chah masih seperti dulu.  Tambah mesra bicaranya.  Lembut budi bahasanya.
Waktu itu kami ditemukan di karnival Anti Dadah.  Tak ingat pula tahun bila.

Waktu berinsut pergi.  Bertahun-tahun di daerah yang sama, namun hanya beberapa kali sahaja kami terserempak dalam program anjuran PPD.



Dan kini........

Segalanya tinggal kenangan.  Nama Kak Chah tersenarai sebagai sahabat yang sama-sama berjuang di bidang pendidikan.  Kesungguhannya, kelincahannya, aktifnya, menyebabkan aku terasa benar kehilangannya walau kami jarang sangat bersua.  Malahan rakan karibku Kak Fadz turut terkejut dengan berita  pemergiannya.  Rupa-rupanya Kak Chah juga merupakan kawan baiknya.

Kak Chah...... semoga bahagia di taman barzakh, mudah-mudahan berpanjangan hingga ke jannah.  

KAK CHAH DALAM KENANGAN

Isnin, 1 Mei 2017

SRIKANDI CINTAKU



Dingin malam tirai kenanganku
Menyerlahkan sekurun ingatan
Terciptalah rimba kehidupan
Percintaan dalam perjuangan

Kesetiaan sebagai bekalan
Bisikan penuh pengharapan
Tiada garis dapat memisahkan
Segalanya kudratMu Tuhan

Alam bagai mengerti
Segala yang terjadi
Embun menitis panas simpati
Pertemuan tiada awal akhir

Perutusan berdarah ku terima
Gugur kuntum di tengah halaman
Medan ini kurasakan sepi
Terpaku pilu

Ku semaikan pepohon kemboja
Yang bunganya adalah hati ku
Semadilah dalam kedamaian
Semangatku tetap bersamamu

Kan kuusung oh jenazah cinta
Semadikan nisan kasih suci
Semangatmu tetap bersamaku
Selama pasti

Debu malam meragut kenangan
Menyedarkan dari lamunanku
Percintaan dalam perjuangan
Kau abadi Srikandi Cintaku


Tatkala sedang asyik menyelesaikan kerja sekolah di meja tulisku....... tiba-tiba kedengaran lagu "Srikandi Cintaku" berkumandang.  Otakku berputar ligat.  Sejarah lama muncul kembali.  Ingatan di rumah sewa di sekitar tahun 80-an menerjah kini.

Teringat pada sahabat yang sama-sama meminati lagu ini.......  Tiap kali lagu ini tersiar di radio, pasti semuanya terhenti.  Senyap sunyi dengan khusyuknya mendengar bait-baitnya yang indah....... tapi kurang jelas.  Hinggakan payah untuk kami meneka beberapa perkataan yang dilantunkan oleh penyanyinya.

Dan kini......  tatkala lagu ini dibawa dalam versi ketuhanan oleh kumpulan Hijjaz.......  aku jadi terpukau yang amat sangat.  Lagu yang dianggap cinta kekasih itu kini tersingkap indah dan jelas memenangi hatiku.

360 darjah pusingannya.  Seakan terbalik dunia.  Menghayati lagu itu dalam versi yang amat berbeda.  Mengenang saudara kita di bumi Syria.  Dalam serba kepayahan ....... kesakitan, kepedihan, penuh penderitaan......  meruntun rasa dibuatnya.

Butiran peluru yang tak bermata.  Ledakan bom yang tak mengenal usia.  Menghancurkan segala.  Mana mungkin kita boleh tidur lena sedangkan saudara kita di sana bergelut dengan kematian demi kematian.  Kesengsaraan demi kesengsaraan.  

Andai mungkin jasad tidak upaya kita bawa ke sana, barangkali mungkin kedua belah tangan ini ditadah memohon kasih dan rahmat-NYA untuk mereka di sana.  


Ahad, 9 April 2017

ZIARAH JUMAAT

Untuk kesekian kalinya kami berempat mencari ruang untuk menyambung Ziarah Jumaat yang kian lama tertangguh.  Dan kali ini kami menapak ke hospital.  Dalam perjalanan menuju destinasi utama, wad 9...... kami ditemukan dengan Wak di laluan kaki lima.  Cucunya ditahan di wad 9 juga.  Keracunan makanan katanya.

Tiba di tingkat atas, kami memperlahankan langkahan kaki..... ada kelibat seseorang yang cuba kami elakkan.  Lantas kami melencong ke arah yang berbeza.  Dan di situ kami bertemu dengan cucu Wak tadi.  Tak silap, nama yang tertera di dinding itu 'Nur Najla Amni'...... cantik namanya.  Usianya 19 tahun.  Siswa USM, bidang farmasi.  Sempat berbicara seketika dengan ayah dan ibunya.  Sebenarnya kami saling mengenali.  

Seterusnya kami ke katil Makcik Muhaini....... di kalangan mereka yang rapat dengannya, beliau digelar Mak Ngah.  Tapi bagiku yang ada pertalian saudara sekampung dengannya, aku lebih suka memanggilnya dengan panggilan 'Makcik Muhai'.   Ibuku dan Makcik Muhai pernah sama bersekolah di zaman Inggeris dulu.  

Aku ditemukan dengan Pak Pian, pangkat bapa saudara.  Sebenarnya kami bertemu dalam group whatsapp keluarga yang kubina beberapa tahun yang lalu.  Memang tak pernah bersua pun.  Sempat juga aku berbual agak panjang dengan anak Makcik Muhai dan Pak Pian.  Aku meninggalkan mereka dengan hati yang berbunga.  Bertemu saudara ibuku yang baru sedar dari komanya.  Salam Pak Pain pada ibu dan ayahku in syaa Allah akan kusampaikan nanti.

Aku mempercepatkan langkah menuju ke wad 6.  Mereka bertiga telah ke sana lebih awal.   Dia terlebih dahulu memberi salam kepadaku tika mata kami bertentang.  Aku segera melangkah merapatinya. Erat genggamannya tika kuhulurkan salam.  Sebak menatap wajah Cikgu Yati.  Sudah lama aku mengenalinya.  Hanya kenal pada wajahnya.  Seringkali bersua.  Namun tak pernah berbicara.  Cuma aku perasan dia sedikit kurus.  Menderita sakit kanser.  Ya Allah ....... ampuni dan kasihanilah dia Ya Allah.  Kurniakanlah dia kesabaran dan kekuatan.

Kami meninggalkan wad 6 dengan membawa kisah Cikgu Yati yang sarat dengan amanah dan tugas yang dipikulnya sebelum beliau pencen.  Beliau seorang Guru Kanan sekolah. 

Dan dalam perjalanan menuju ke tempat parkir, kami bertemu Kak Ros di ruang legar kaki lima.  Aku sebenarnya tidak mengenali beliau.  Tapi memandangkan kawanku beria-ia mengejarnya dari belakang, maka kami mengambil keputusan berpatah balik ke wad 9.  Hidayah segera bermohon diri.  Biasanya dia akan membantu ibunya membuat biskut raya.  Selesai kerja jam 5.00 begitulah rutinnya, sementelahan pula belum menemui pembantu yang boleh diharap meringankan tugas di bengkel biskut ibunya itu.

Di pertengahan jalan, aku menunggu Kak Fadz yang sibuk mengambil nombor telefon bimbit kawan lamanya yang terserempak tika itu.  Sementara itu kawan kami yang seorang lagi lesap entah ke mana.  Cepat sungguh pergerakannya.  Kami berdua bertawakkal sahaja, dan gerak hati itu memang tepat.  Mereka kami temui betul-betul di hadapan katil adik Najla, pesakit yang mula-mula kami ziarah tadi.  Dan kami disapa oleh ibu Najla di situ.    

Dan akhirnya Kak Ros yang baru kukenal itu rupa-rupanya adik kawan sekerjaku, Kak Ana.  Hai....... pusing-pusing tak ke mana jauhnya.  Emm.... betapa keciknya dunia!!!  Kak Ros menziarahi ibu mertuanya di wad yang sama.

Dan kami pulang dengan membawa harapan agar kesemua mereka segera Allah sembuhkan.  






Jumaat, 10 Februari 2017

PERGINYA SEORANG GURU......

Menerima khabar kematian....... seperti biasa kita akan mengungkapkan " innalillahi wainna ilaihi rojiiun...."

Tatkala pemergiannya dimaklumkan dalam group whatsapp itu..... aku tertanya-tanya juga..... siapa ya empunya diri???  Apabila dikaitkan dengan muslimat PAS..... hati pun mula berteka teki.

Dan apabila wajah itu muncul dalam group whatsapp ke-2...... memang sah insan itu yang bermain di mindaku.  Meneka dalam kesamaran...... tapi tepat sekali tekaan itu.  

Menerawang mengenang kembali tika hari sukan dan ikhtifal PASTI.....
 Bila berselisih, dan mata kami bertentang...... kuungkapkan salam.  Tenang wajahnya sambil menyambut salamku.  Sosok tubuh yang agak rendah, tetap ligat ke sana ke mari.  

Banyak kali juga kami bertemu tanpa bicara.  Memang antara ramai-ramai guru PASTI yang sering kutemui, wajah insan inilah menjadi perhatianku.   Entah mengapa ye..... kami tidak pernah berbicara mesra.  Namun perwatakannya begitu menarik perhatianku.   Mengenalinya tanpa nama......  

Apabila anak-anak makin membesar...... PASTI ditinggalkan.  Dan sejak itu jarang aku bertemu dengannya.  Kalau adapun barangkali mungkin dalam program muslimat PAS.  

Dan akhirnya, dia pergi meninggalkan kita semua.  Dan aku hanya sempat kenal wajah, perwatakannya, dan sosok tubuhnya.   Agak rendah orangnya, tapi begitu menarik hatiku.  Barangkali nur di wajahnya menjentik naluriku....

Moga dirimu sahabat, cikgu dan ustazah...... berbahagia di sana.  





Ahad, 5 Februari 2017

SUARA ITU

Suara itu kekadang kedengarannya amat mirip suara tuan guru yang telah pergi.  Sungguh.  Dan tiap kali ia berkumandang di radio IKIM untuk memberi tazkirah...... hatiku digayut rindu.... teramat sangat.

Dalam kekalutan sebuah parti politik yang pernah kau pandu dahulu, yang kian lari jauh dari trek atau landasannya tika ini ..... aku jadi semakin rindu padamu.  Rindu pada suaramu, pada ucapanmu, pada ketenanganmu, yang seakan tiada penggantinya.  Malah rindu pada cara dirimu menguruskan sebuah negeri yang digelar Serambi Mekah itu...

Suara yang bisa mengalirkan air mata.... tatkala aku dalam kereta.  Seakan engkau tuan guru...... bagaikan masih ada di sisi.  Suara itu saling tak tumpah seperti suaramu.  Tiap kali menerobos gegendang.... hatiku seakan terhenti berbicara soal lain.  Sungguh...

Dan kini bas yang kau pandu dulu telah hilang arahnya.  Makin jauh dan jauh.....  Menjadikan aku makin sedih tatkala mengingati pesananmu pada kami yang ditinggalkan.  Bas itu...... ke manakah bakal dibawa....

Semoga tuan guru..... kau bahagia di taman barzakh.
Dan kami akan menyambut baton yang kau tinggalkan itu, menuju destinasi yang hakiki.  Janji Allah itu pasti.  Mohon Ya Robbi, jangan Kau bolak balikkan hati ini.  Perjuangan itu akan kami teruskan....