Ahad, 12 November 2023

SELAMAT PERGI KAK TIPAH

 

MENGENANG kembali perkenalan denganmu, Kak Latifah... mesra dalam kalangan kenalan dengan panggilan Kak Tipah. Aku belajar mengenalimu apabila ditempatkan mengajar di sekolah yang sama denganmu, iaitu di SK Methodist ACS, Sitiawan. 

    Bagiku Kak Tipah seorang yang baik walaupun tidak lama dapat bersama di sekolah tersebut. Akhirnya aku diarahkan bertukar ke sekolah lain, tanpa diminta. Aku  tidak kisah di manapun aku ditempatkan bertugas. 



    Rupa-rupanya Kak Tipah adalah senior aku di MPSI, beliau merupakan guru pelatih keluaran 1984. manakala aku pula pada 1 Julai 1985 baru menjejakkan kaki ke IKSB tersebut. Memang tidak pernah berjumpa pun. Namun kami bertemu di ACS yang merupakan sekolah ke-3 aku di dalam perkhidmatan. Nak dikatakan rezeki... begitulah. Siapa sangka anak ibu kandung berjumpa juga di luar begini.



    Akhirnya berkat kesungguhanmu, ilmu yang diperoleh itu berjaya menempatkan dirimu berhijrah menyambung tugas di tempat baharu. Tahniah Kak Tipah.

    Tidak sempat aku mengenali keluargamu dengan lebih rapat. Namun sesekali kami bertemu jua di facebook. Menelusuri sedikit sejarah kesihatanmu menjadikan aku sebak. Kekuatan dan ketabahanmu patut dijadikan teladan dalam meniti hari mendatang.
    
    Namun Allah lebih menyayangimu, Kak Tipah. Pergimu pada jam 12.47 am, hari Jumaat yang barokah bersamaan 10 November 2023. Penghulu segala hari. Persinggahanmu yang sebentar cuma di rumah kediamanmu mengizinkan kami menatap wajahmu buat kali yang terakhir.
    Aku tidak dapat menahan air mata tatkala mengaminkan doa buatmu. Kelihatan wajahmu persis yang kukenal dulu. Sebak menguasai suasana. Moga Allah mengampunimu, serta menempatkan dirimu dalam ketenangan dan kebahagiaan.
    Moga keluarga yang ditinggalkan tabah dan sabar menerima janji Allah ini. Kita juga akan menuju negeri yang sama suatu hari nanti. 
    

foto - kredit to fb Kak Tipah.

Khamis, 9 November 2023

MESYUARAT KITA... MOH SEMUA!

     BUAT pertama kalinya bermesyuarat... perjumpaan kami dihiasi senyum tawa. Apa tidaknya... ada sahaja usikan dan pertanyaan yang mengundang jawapan balas yang menggelikan hati. Dalam pada itu, terkesima juga aku dengan pendedahan kepakaran masing-masing. Sesi ta'aruf berlangsung dalam suasana aman dan ceria.

    Beberapa ahli menceritakan pengalaman lalu yang agak mencabar semasa mereka melaksanakan tugas. Pengalaman dipulaukan serta nyaris dikejar dengan parang panjang. Trauma jadinya! Astaghfirullaha'azim..... mudah-mudahan ia tidak berlaku kepada AJK kali ini. 

    Gabungan kami diharapkan dapat memberi impak yang cukup baik demi menjaga kemaslahatan umum di kampng tercinta ini. Bergabungnya kami atas niat yang sama untuk kebaikan seluruh warga kampung. Pelbagai masalah yang timbul sebelum ini mudah-mudahan dapat diatasi dengan baik. Kerjasama daripada semua ahli amat diharapkan.

    Sesungguhnya bukan mudah untuk memegang jawatan yang tidak dipinta ini. Amanah yang diberi bukan untuk dicanang dan dibangga-banggakan. Jauh sekali untuk mendabik dada merasa diri sebagai hero ataupun jaguh. Ia merupakan tanggungjawab yang dipikul dan akan dipersoalkan nanti. Justeru, perbezaan pendapat perlu diraikan. Carilah titik persamaan yang akan menjadikan keseronokan bertugas dalam membangunkan kampung.

    Selamat bertugas dengan penuh dedikasi, mudah-mudahan sentiasa di dalam peliharaan dan lindungan Ilahi. 


Sabtu, 4 November 2023

SALAM ZIARAH 3 NOVEMBER

 ALHAMDULILLAH ...untuk ke sekian kalinya kami meneruskan misi lawatan yang dinamakan 'Salam Jumaat'. Sekadar kisah sedikit duka mengisi kunjungan kali ini. Begitu aturan Allah SWT. Pilihan kami hari ini menyaksikan cerita kehilangan insan tersayang.

    Rumah pertama kami kunjungi mempertemukan kami dengan seorang pendidik. Tempoh edahnya akan berakhir dalam bulan Disember nanti. Pemergian insan tersayang amat meninggalkan kesan di hati. Tiga tahun lamanya menjaga suami yang sakit. Dalam tempoh tersebut, dia dapat melihat merosotnya kesihatan suami tercinta satu demi satu. Itulah yang  dirasai selama ini.

    Kini hari-hari yang dilalui benar-benar terasa amat jauh berbeda. Kebiasaannya apabila pulang dari sekolah, suami ada di hadapan mata. Walaupun sakit, keberadaannya memberi kekuatan. Namun kekuatan itu telah hilang kini. Barangkali mungkin mengambil sedikit masa untuk pulih kembali. Kesyukuran tetap diungkap kerana masih ada anak-anak di sisi. Mudah-mudahan cikgu tabah menempuh ujian.

    Seterusnya kami berkunjung ziarah ke rumah kedua. Beliau merupakan bekas pegawai BERNAS dan petugas di syarikat pelancongan serta pakej haji dan umrah. Kehilangan suami tercinta telah mencecah hari ke-8. Baru sangat. Salam takziah dari kami.

    Beliau sempat berkongsi kisah dan pengalamannya semasa bertugas dahulu. Agak menarik perkongsiannya. Mungkin boleh kami jadikan panduan. Bercerita bagaimana sukarnya kehidupan masa lalu dalam membesarkan anak-anak yang akhirnya membuahkan kejayaan. Alhamdulillah.

    Suami tercinta yang mengalami masalah kesihatan pergi dalam usia 73 tahun. Buat masa ini beliau ditemani oleh seorang kakak saudaranya. Sebelum ini beliau bergerak aktif dalam biro lawatan masjid dan kumpulan marhaban wanita.  Malah sedia berkongsi ilmu dan pengalamannya dengan kami.

    Rumah ketiga yang kami kunjungi merupakan seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya yang berusia 30-an. Menurutnya pemergian Kak Ngah sudah masuk ke-100 hari. Kak Ngah pergi asbab demam yang cuma beberapa hari. Kesedihan menyelubungi suasana kerana kami difahamkan bahawa ada perkara mistik yang berlaku dalam tempoh demam tersebut.

    Perubahan ketara dengan sikap Kak Ngah dan racauannya menambah kepelikan. Allah lebih menyayanginya, dan dia pulang ke rahmatullah dalam usia muda. Moga Allah mengampuninya. Aku masih terkenang-kenang bagaimana lincahnya Kak Ngah membuat burger dan ais kacang suatu ketika dahulu di gerai di hadapan rumah mereka.

    Usai salam ziarah di KTB7, kami terus ke apartment. Di tingkat enam kami telah disambut mesra. Ziarah terakhir kami ialah seorang ibu yang lumpuh. Dua orang anaknya memberikan respons yang baik. Anak-anak semuanya bekerjasama dalam menjaga kebajikan ibu ini. Kami akan mengambil tindakan lanjut berhubung dengan kebajikan keluarga ini. Insya-Allah.

    Salam Jumaat kami berakhir sebelum masuk waktu zohor.