MENGENANG kembali perkenalan denganmu, Kak Latifah... mesra dalam kalangan kenalan dengan panggilan Kak Tipah. Aku belajar mengenalimu apabila ditempatkan mengajar di sekolah yang sama denganmu, iaitu di SK Methodist ACS, Sitiawan.
Bagiku Kak Tipah seorang yang baik walaupun tidak lama dapat bersama di sekolah tersebut. Akhirnya aku diarahkan bertukar ke sekolah lain, tanpa diminta. Aku tidak kisah di manapun aku ditempatkan bertugas.
Rupa-rupanya Kak Tipah adalah senior aku di MPSI, beliau merupakan guru pelatih keluaran 1984. manakala aku pula pada 1 Julai 1985 baru menjejakkan kaki ke IKSB tersebut. Memang tidak pernah berjumpa pun. Namun kami bertemu di ACS yang merupakan sekolah ke-3 aku di dalam perkhidmatan. Nak dikatakan rezeki... begitulah. Siapa sangka anak ibu kandung berjumpa juga di luar begini.
Tidak sempat aku mengenali keluargamu dengan lebih rapat. Namun sesekali kami bertemu jua di facebook. Menelusuri sedikit sejarah kesihatanmu menjadikan aku sebak. Kekuatan dan ketabahanmu patut dijadikan teladan dalam meniti hari mendatang.
foto - kredit to fb Kak Tipah.
Namun Allah lebih menyayangimu, Kak Tipah. Pergimu pada jam 12.47 am, hari Jumaat yang barokah bersamaan 10 November 2023. Penghulu segala hari. Persinggahanmu yang sebentar cuma di rumah kediamanmu mengizinkan kami menatap wajahmu buat kali yang terakhir.
Aku tidak dapat menahan air mata tatkala mengaminkan doa buatmu. Kelihatan wajahmu persis yang kukenal dulu. Sebak menguasai suasana. Moga Allah mengampunimu, serta menempatkan dirimu dalam ketenangan dan kebahagiaan.
Moga keluarga yang ditinggalkan tabah dan sabar menerima janji Allah ini. Kita juga akan menuju negeri yang sama suatu hari nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan