Rabu, 17 Februari 2021

PERGINYA SUKAR DIGANTI

 

Terima kasih sahabat sekampung, Nona Asiah.  Sudi berkongsi gambar abangmu.

Mengimbau detik sejarah perkenalan dengan Encik Suhaimi, kupanggil Pak Mie sahaja.......

Pertemuan yang pertama kali secara bersemuka ialah di Dewan Batu 8, Lekir.  Waktu itu aku baru selesai urusan latihan badminton pasukan sekolah di dewan tersebut.  Suamiku pun ada bersama.

Sempat berbual bersama, berbincang tentang rumah tinggalan ayah di Batu Gajah.  Pak Mie menawarkan diri untuk melakukan kerja-kerja pembersihan sekitar rumah ayah.  Rupa-rupanya beliau telah lama mengenali ayah dan emak.  Sering singgah membeli surat khabar sambil berbual bab agama.

Waktu itu pekerjaannya adalah sebagai pemandu lori.  Menurutnya, beliau kerap berbual bersama Pak Haji dan Mak Haji (panggilan hormat beliau kepada ayah dan emak).

Pendek ceritanya, bermula saat itulah Pak Mie mula melakukan kerja-kerja memesin rumput, menyapu serta mengemas sekitar luar rumah ayah.

Kebiasaannya beliau akan memaklumkan kepadaku mengenai tugasnya dengan menunjukkan rakaman video melalui telefon bimbitnya.  Keadaan semak samun, rumput dan lalang yang bercampur-aduk menjadikan di sesetengah kawasan itu agak sukar untuk dibersihkan.

Bukan setakat memesin rumput sahaja, malah menyapu dan mengumpul daun-daun cempedak yang berserakan, serta menghimpun (membungkus di dalam guni) dilakukan begitu teliti sekali.  Kekadang kerja tersebut dilakukan mengambil masa tiga atau empat hari.  

Dan akhirnya beliau akan menghantar rakaman kawasan sekitar rumah ayah yang kemas dan bersih.  Sempat lagi beliau menanam pokok delima batu di kolah yang tidak lagi digunakan.  Selama ini aku hanya mendengar pantunnya sahaja.

"Pucuk pauh DELIMA BATU
Anak sembilang di tapak tangan
Walaupun jauh beribu batu
Hilang di mata, di hati jangan"

Meneliti kerja-kerja yang dilakukan..... alhamdulillah aku bersyukur sangat.  Rasanya zaman sekarang amat sukar menemui pekerja yang begitu teliti sekali melaksanakan tugasnya.  Puas hati sangat-sangat.

Perkara merakamkan keadaan kawasan rumah sebelum dan selepas melakukan kerja-kerja pembersihan itu berlarutan dilakukannya.  Kak Zan, jiran sebelah rumah ayah pun menyedari akan hal tersebut.

Setiap kali mengirim upah kerja kepada Pak Mie, senyap-senyap aku akan melebihkannya daripada nilai yang diminta.  Bersyukur sangat Allah menemukan kami sekeluarga dengan Pak Mie.  Baik dan amanah sungguh orangnya dalam melaksanakan kerja.

Namun kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.  Tatkala mendapat berita daripada Kak Zan tentang pemergian Pak Mie.....aku terkesima.  Rasa terkejut bukan kepalang kerana baru sahaja Pak Mie menyelesaikan tugasnya di rumah ayah, dan aku baru sahaja mengirim wang upah kepadanya.

Dan alhamdulillah, Pak Mie ada mengucapkan 'terima kasih' lewat pertemuan di aplikasi whatsapp itu.  Kusemak kembali tarikhnya..... 30 Januari 2021.

Sesungguhnya pemergian Pak Mie adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti.  Bukan sahaja keluarga dan adik-beradiknya merasai kehilangan insan hebat ini.  Malah aku pun amat terasa.... 

Inilah sedikit gambar yang dikirim oleh Pak Mie, yang masih ada dalam simpanan telefon bimbitku.  Bekas hasil kerja terakhir Pak Mie.

Mudah-mudahan segala kebaikan yang Pak Mie lakukan, Allah berikan balasan yang setimpal. Moga-moga Pak Mie tergolong di dalam kalangan orang-orang yang beriman.  

Kenangan bersama insan hebat ini bisa saja kukongsikan bersama masyarakat di luar sana.  Semoga kemuliaan sikapnya menjadi iktibar dan inspirasi bagi kita semua.  

Dalam keadaan kesihatan yang baik, malaikat telah mengambil nyawanya di atas perintah Allah.  Ya, kita tidak mungkin dapat menangguhnya walaupun sesaat.  


Bersemadilah Pak Mie di sana.  Kasih sayangmu sebagai seorang abang tetap akan tersimpan kukuh dalam lipatan sejarah adik-adikmu, malah keluarga besarmu.  

Inilah pengenalan gambar status Pak Mie pada aplikasi whatsappnya

Betapa mudahnya pemergianmu, kehilanganmu yang tiba-tiba.  Walaupun amat berat dugaan ini, mereka tetap redho.  Daripada Allah dia datang, dan kepada-Nya dia kembali.


catatan pagi

5.07...... 17022021, ktb7 lekiyour

Selasa, 9 Februari 2021

16 TAHUN lebih ........ maka berangkatlah kami


 PERTAMA kali menjejak kaki di sini.... iaitu pada 15 Januari 2005.  Hati kini kembali mengenang sejarah yang terpahat. Alhamdulillah.... lima belas tahun lebih aku di sini rupanya.  

Dahulu. aku tidak mohon bertukar ke sini.  Dan tahun ini aku juga tidak mohon untuk bertukar keluar dari sini.  Itulah dinamakan rezeki dan ketentuan yang Allah tetapkan.  Sudah tertulis.  Begitulah perjalanan sebuah kehidupan.

Cumanya kesedihan amat terasa disebabkan keakraban yang telah bersimpul mati di antara kami.  Pengalaman pahit manis terlalu banyak untuk dikongsi dan diceritakan.  Suka duka dan segala asam garam serta rencah kehidupan dinikmati bersama.

Perkara di tahun-tahun kebelakangan yang tak mungkin dapat kami lupakan ialah pemergian anak didik warga SKL yang terlibat di dalam kemalangan jalan raya.

Tidak berapa lama selepas itu PKP terjadi, paling meninggalkan kesan ialah bila mana kami terbabit dengan Kluster Lekir.  Itulah detik paling bersejarah dalam hidup kami.

Bermula dengan PKP..... kemudian sekolah kembali beroperasi.  Tidak lama selepas itu timbul Kluster Lekir.  Diikuti dengan persekolahan dalam kurang lebih dua minggu.  Itupun kehadiran tampak merosot.  Akhirnya sekolah diarahkan tutup.

Dan kini......selepas semua itu terjadi......kami langsung diputuskan tidak perlu ke SKL lagi.  Tersenyum sendirian aku apabila memikirkan semua itu.  

Mana tidaknya, tutup sebab PKP.  Kemudian dibuka sekejap.  Tutup dua minggu sebab Kluster Lekir. Buka semula untuk meneruskan sesi PdP dengan norma baharu. Tutup semula apabila diarahkan.  Dan kini SKL ditutup terus buat kami.

Bukanlah maksudku langsung tidak boleh ke situ.  Dipendekkan cerita, kami masing-masing diberi peluang bertugas di sekolah lain.  Bukan setakat norma baharu.... malah sekolah juga baharu.

Begitulah lumrah kehidupan.  Mudah-mudahan kami masing-masing dapat memberikan khidmat terbaik untuk anak didik di sekolah baharu ini.  Salam buat semua.  Aku akan merindu kenangan indah itu...


ida a.z.
9.20 mlm/ 9.2.2021
ktb7 lekiyour