Sabtu, 28 Disember 2013

SEKOLAH NAK BUKA

Siang tadi merupakan hari kedua urusan pembelian buku tulis, buku kerja dan barang-barang atau keperluan tambahan sekolah.  Bagi yang mampu, mereka menyelesaikan pembayaran dalam kadar segera.  Maklumlah duit dalam tangan.  

Namun ini jauh berbeza dengan mereka yang berpendapatan rendah.  Merancang-rancang dan berkira-kira untuk membayar apa yang perlu dan penting sahaja bagi anak-anak.  Tambahan pula sekiranya terdapat beberapa orang anak yang bersekolah.   Banyak belanjanya!

Seperti biasa, ada yang memohon untuk menjelaskan bayaran secara beransur-ansur.  Pihak sekolah, terutamanya guru kelas yang memang mengenali pelanggannya, tidak akan menghampakan harapan.  Mereka bijak dalam mengatur apa yang perlu atau sebaliknya untuk anak-anak yang dahagakan ilmu.  

Begitulah berhadapan dengan rakyat marhaen.  Menyelami situasi anak-anak didik dan keluarganya memang telah menjadi tanggungjawab setiap guru.  Guru bukan hanya mengajar, malah mendidik, juga berkongsi masalah................ sedia membantu.  Tahniah buat guru-guru yang prihatin dengan situasi sebegini.

Cuti hanya tinggal beberapa hari saja lagi.  Persiapan perlu dibuat.  Selain peralatan seperti buku dan alat tulis, pakaian juga merupakan satu bebanan bagi mereka yang hidup susah.  Ditambah lagi dengan beg dan juga kasut sekolah.  Dalam keadaan harga barang yang melambung naik, apakah mereka yang hidup susah mampu bertahan?  

Itu belum lagi belanja harian yang perlu diberi kepada anak-anak.  Tambang bas lagi...........  Mungkin rintihan dan suara hati, serta penderitaan hidup mereka tidak didengar dan diambil peduli.  Namun bagi para guru, ada alternatif lain yang boleh digunapakai dalam meringankan bebanan mereka yang sedemikian.  Begitulah betapa mulianya kerjaya sebagai seorang guru.  Sentiasa bersedia menerima sesiapa sahaja dalam apa keadaan sekalipun.

Apa yang penting anak-anak itu mahu belajar, dan ibu bapanya faham tentang kepentingan menuntut ilmu.  Tanpa murid siapalah guru.........  Sekolah nak dibuka, guru-guru ternanti-nanti akan wajah ceria anak muridnya yang bakal mengganti pemimpin hari ini.  


Rabu, 25 Disember 2013

HULURLAH WALAUPUN SEDIKIT

Petang tadi aku ditemani Kak Lang ke Pekan Rabu (pasar malam).  Kami membeli sedikit barang dapur.  Sebelum memasukkan kesemua baki wang ke dalam dompet, aku meminta Kak Lang menghulurkan sekeping kepada seseorang yang tidak jauh di hadapan kami.  Kelihatan dari jauh seakan-akan kutipan derma.  Aku sebenarnya tidak kisah untuk siapa, sama ada untuk anak yatim, atau pembinaan sekolah, atau surau atau pun masjid.  Keadaan begitu sudah biasa sangat di hadapan mata.

Sebaik-baik kami membelok ke tempat jualan ikan-ikan, aku disapa dengan ucapan salam oleh insan lain yang turut memegang sampul atau bekas yang sama seperti tadi.  Aku jawab salam itu sambil berlalu begitu sahaja.  "Bukan ke tadi dah bagi....sama je kan umi," bisik Kak Lang.  Setelah meninjau di tiga lokasi, akhirnya di lokasi terakhir aku mengambil keputusan untuk membeli ikan untuk kami seisi keluarga, termasuk ikan untuk kucing-kucing di rumah.  

Semasa kami menunggu pesanan bungkusan air cendol siap, aku menerangkan sesuatu kepada kak Lang.  "Kalau dalam satu hari kita menerima banyak jemputan kenduri kahwin, kita boleh pergi kesemuanya. Mampu pula bagi sedikit hadiah 'angpau' kepada setiap tuan rumah.  Kenapa kita tak kata, tadi dah makan dah di rumah si polan.  Takkan nak makan lagi di sini."

Mampu pula kita makan serba sedikit di sini sana.  Sesudah nasi, kita makan bubur pula. Di rumah lain kita ulang makan nasi lagi, selepas itu di rumah terakhir kita hanya minum pula.  Tetapi bila terjumpa mereka-mereka yang membuat kutipan derma di pasar malam, boleh pula hanya beri kepada seorang sahaja.  Apalah salahnya hulurkan kepada sesiapa yang kita jumpa kemudiannya.  Beri semampu kita.  

Akhirnya setelah selesai membeli air cendol dan putu cawan, kami bergerak meninggalkan pasar malam.  Dalam perjalanan patah balik ke tempat parkir kereta, aku memasukkan sedikit untuk tabung atau sampul yang kedua.  tadi.  Dan kami pun melangkah pulang...............




Isnin, 16 Disember 2013

KUANTAN OH KUANTAN.........

Pertama kali menjejak kaki ke daerahmu pada 2 Jun 2013 lalu
Terasa luasnya tanah anugerah Allah
Jauhnya perjalanan kami......menuju destinasi
Sebelum ini tidak pernah sejauh itu.

Dan kali ini bandar Kuantan itu lumpuh
Justeru hujan yang diturunkan
Tatkala hadirnya tidak menunjukkan tanda henti......
Berlarutan...... berpanjangan.....
Sang Mentari menyembunyikan diri
Suram mendung berhari-hari

Mesej dari angah seringkali masuk................
....... air naik paras peha
....... naik pula paras dada
....... kuliah dibatalkan
....... di tempat penginapan air mencapai anak tangga
(alhamdulillah ada tingkat kedua.......... )

Siapakah yang datang membantu dalam saat-saat genting begitu?
Dari kejauhan ini ....... umi panjatkan doa
Kebergantungan hanya pada Allah semata

..............tatkala banjir berinsut pergi
              sama-sama kita muhasabah diri
              mensyukuri nikmat yang tak terhingga
              jangan sesekali lupa pada kasih-Nya yang terbentang luas.....

Kolej Shahputra........



BUBUR ANAK LEBAH

"Bubur apa tu, ya?" tanya opah.
"Bubur anak lebah.  Ambik anak lebah, bubuh la dalam bubur tu.  Masaklah....." selamba Bang Chik menjawab. 
 Allahuakbar!  Melawak sungguh Bang Chik dengan opahnya.
Bang Chik memang suka mengusik opah.  Kekadang sambil lalu di sisi opahnya, jemarinya nakal mencuit opah.  Tapi alhamdulillah...... opah bukan jenis melatah.  Senyum saja melihat gelagat Bang Chik.

Kehadiran opah di rumah ada kalanya menjadikan suasana rumah kami riuh juga.  Maklumlah pendengaran opah agak kurang jelas, kekadang lain yang disebut, lain pulak yang difahaminya.  Tapi ada ketikanya pula, apa yang dibualkan anak cucu segera disampuk dari jauh.  Betul pula apa yang diperkatakannya.  Jadi kami pun tidak dapat memastikan sama ada opah benar-benar mengalami masalah pendengaran atau sengaja buat-buat tak dengar.  Terserahlah.

Opah suka makan bubur, paling digemarinya bubur kacang.  Namun setiap kali opah menceduk bubur ke dalam mangkuk, pasti akan ditambah air agar bubur kurang manis.  Sudah lama opah menghidap kencing manis.  Namun bukanlah di tahap kritikal.  Macam-macam jenis ubat opah dah makan.  

Opah akan mengelak dari memakan daging, pulut, pisang (lebih-lebih lagi pisang emas) dan durian.  Biasanya opah akan minum air masak sahaja.  Kekadang opah minum susu tepung yang dibawa dari rumahnya.  Kalau hadir ke majlis kenduri kahwin, sekiranya tiada air mineral atau air masak yang dihidangkan, opah minum juga air manis yang dijamu.  Opah akan 'bilas' dengan air masak sebaik-baik pulang nanti.

Berbalik kisah bubur anak lebah tadi....... alhamdulillah, ada 'kelas' nampaknya!  Ramai yang berkenan.  Memang jarang pun buat bubur ni. Bubur kacang, bubur pulut hitam, bubur caca, bubur gandum, dan bubur jagung dah biasa buat.  Bila sesekali terasa rajin nak buat.......  barulah buat.  Sampaikan cik abang tertanya-tanya tentangnya.  Apatah lagi opah ...... bagaikan terlalu asing baginya.  Namun melalui deria rasanya, ia dapat mengagak bahawa anak lebah tersebut dibuat daripada tepung pulut!  Bijaknya opah.

Sedari kecil ibu sesekali menghidangkan bubur anak lebah buat kami seisi keluarga.  Tapi bentuk yang ibu buat adalah bulat-bulat.  Sedangkan kini aku akan membuatnya berbentuk bujur.  Hanya itu perbezaannya.  Alhamdulillah...... semua menggemarinya!  Terima kasih ibu.......  air tanganmu terasa masih hangat hingga kini.  Dan kini aku pula mewarisinya.  Ibu mertuaku yang mesra digelar 'opah' oleh anak-anak turut tertanya-tanya tentangnya.  Alhamdulillah, terima kasih kerana menganugerahkan sedikit ilmu ini untuk dikongsi bersama insan-insan yang tersayang.

Mudah-mudahan anak lebah yang dimakan ini tidak menyengat mulut sesiapa yang memakannya!!!


Selasa, 10 Disember 2013

MENDIRIKAN MASJID

Di sana sini orang sibuk mendirikan masjid........ pendek kata kenduri kahwin.  Perkara yang baik, eloklah dipercepatkan.  Tambahan pula dalam musim cuti sekolah begini.  Adik beradik dan sanak saudara sedia mengambil cuti khas dan berkumpul untuk meraikan  raja sehari.  

Namun di sebalik majlis yang indah dan murni itu.......  tahukah kita bahawa bahawa ada perkara yang telah kita abaikan.  Ada yang kita sengaja pinggirkan.  Semuanya semata-mata inginkan keindahan majlis dan menyenangkan hati semua pihak.  Hinggakan apa yang dituntut oleh syarak kita tak endahkan langsung semata-mata kerana hendak  menjaga hati.  

Bernikah itu mengikut sunnah Rasulullah.  Mewar-warkan perkahwinan itu dengan mengadakan kenduri itu sudah betul.  Dan kita yang dijemput wajib menghadirkan diri.  

Apa yang tidak kena?

Pengisiannya.............. ada yang tidak kena dengan tuntutan agama kita.  

Dalam dunia yang serba canggih ini, tidak salah kita menggunakan khidmat 'deejay' sebagai pengacara dan penyeri majlis.  Kebijaksanaan seorang DJ dapat menghidupkan suasana dan memudahkan pengurusan kenduri kendara.  Dalam konteks ini DJ memainkan peranan penting untuk membantu tuan rumah meraikan tetamu yang datang, menyiarkan lagu-lagu sebagai  halwa telinga semua yang hadir.  Ada kalanya juga DJ sebagai pemandu arah khas untuk tetamu!

Masalahnya ialah apabila lagu-lagu atau hiburan yang melampau turut dialunkan, lebih-lebih lagi jika band diundang menyediakan sekali penyanyi wanita dengan suara yang lunak merdu.  Walaupun penyanyi tersebut berpakaian menutup aurat, suaranya tetap dikira aurat.  Bukan untuk didengari oleh semua tetamu, ia khas untuk suami itu pun di tempat tertutup.  Lebih malang lagi lagu yang dikumandangkan tidak ada kena mengena dengan majlis.

Jemputan yang hadir seisi keluarga adalah lebih baik diasingkan tempat duduknya, lelaki dengan lelaki manakala wanita pula duduk di tempat wanita.  Tahniah diucapkan kepada tuan rumah yang amat prihatin dengan perkara ini!  Peranan anda menyebabkan suasana nampak teratur, sopan dan mengikut batasan Islam.  Tidak ada percampuran berlainan gender dalam majlis tersebut.  Tidaklah kekok untuk menyuap makanan ke mulut, dan mungkin sambil itu boleh bertegur sapa dan berbual mesra.  Ini berbeza sekiranya di sebelah kita bukan mahram.  Barangkali kita tergesa-gesa hendak menghabiskan makanan di pinggan.  Pandangan pula mesti dijaga.  Di sini timbulkan ketidakselesaan tetamu.

Ada kalanya waktu begitu diabaikan ketika majlis berlangsung.  Tetamu datang tidak kira masa.  Namun tuan rumah boleh bergilir sama ada suami atau isteri, atau saudara terdekat boleh melayan tetamu tatkala masuknya waktu solat.  Berhenti seketika dan sambut panggilan Allah terlebih dahulu, itu adalah lebih afdal.  Begitu juga dengan pengantin yang diraikan.  Janganlah di hari bahagia, yang dianggap diri menjadi raja sehari itu, menjadi raja hingga melewati waktu zohor dan asar.  Kita ada Allah yang lebih raja dari segala raja!  Itulah sebabnya kita digalakkan untuk bersederhana.

Tidak perlu make-up tebal-tebal dan berpakaian membungkus aurat.  Tidak perlulah bergambar sakan hingga sanggup berhabis duit kerananya.  Cukuplah sekeping dua sebagai kenangan.  Ada kalanya bergambar melampau berpeluk-pelukan hinggakan di atas katil sekali!  Takkan itu pun nak ditunjukkan.  Dan akhirnya gambar berkenaan habis diuploadkan dalam facebook (tidak semua pengantin begini!).  Berhati-hatilah!

Bagi tuan rumah yang mampu berbelanja lebih, berpada-padalah.  Jangan sampai membazir.  Manakala yang kurang mampu pula buatlah ala kadar, mengikut kemampuan.  Yang penting anda mengikut batasan yang ditentukan oleh Islam.  







Jumaat, 6 Disember 2013

SEMOGA ROH MEREKA DICUCURI RAHMAT (2)

Entah kenapa hatiku diketuk kepiluan yang teramat tatkala mendengar talkin yang dibacakan petang tadi.  Suram menyelubungi suasana.  Tatkala nama arwah dipanggil, (dan diajar bagaimana menjawab soalan-soalan di kubur).......  hatiku semakin sebak.  Terasa bergenang air di kelopak mata.  

Kurenung mendung yang berarak, sesekali terdengar bunyi guruh dalam suasana redup itu.  Baru kelmarin bondanya dikebumikan.  Dan hari ini dia pula kembali menemui Tuhannya.  Dan pertanyaan yang tak mampu kujawab ialah diri ini bila pula akan menyusul?

Salam takziah buat keluarga yang ditinggalkan, tabah dan bersabarlah menerima ujian Allah.  Semoga roh kedua-duanya di tempatkan bersama mereka-mereka yang beriman. Tatkala melangkah meninggalkan kawasan perkuburan, aku kembali teringat bait-bait nasyid ini...........

Kumerintih aku menangis
Ustazah Hashimah dan Norhayani (berbaju hijau)
dalam kenangan

Kumeratap aku mengharap
Kumeminta dihidupkan semula
Agar dapat kembali ke dunia nyata

Perjalanan rohku 
Melengkapi sebuah kembara
Singgah di rahim bonda 
Sebelum menjejak ke dunia
Menanti di barzakh 
Sebelum berangkat ke mahsyar
Diperhitung amalan 
Penentu syurga atau sebaliknya

    Tanah yang basah berwarna merah
    Semerah mawar dan juga rindu
    Tujuh langkah pun baru berlalu
    Seusai talkin bernada syahdu
    Tenang dan damai di pusaraku
    Nisan batu menjadi tugu
    Namun tak siapa pun tahu resah penantianku

Terbangkitnya aku 
Dari sebuah kematian
Seakan kudengari
Tangis mereka yang kutinggalkan
Kehidupan di sini
Bukan suatu khayalan
Tetapi ia sebenar kejadian
  
Kembali roh kembali
Kembalilah ke dalam diri
Sendirian sendiri
Sendiri bertemankan sepi
Hanya kain putih 
Yang membaluti tubuhku
Terbujur dan kaku
Jasad di dalam keranda kayu

Ajal yang datang di muka pintu
Tiada siapa yang memberitahu
Tiada siapapun dapat hindari
Tiada siapa yang terkecuali
Lemah jemari nafas terhenti
Tidak tergambar sakitnya mati
Cukup sekali tak sanggup untuk kumengulangi

     Jantung berdegup kencang
     Menantikan malaikat datang
     Menggigil ketakutan
     Gelap pekat di pandangan
     Selama ini diceritakan
     Kini aku merasakan
     Di alam barzakh jasad dikebumikan

MENANTI DI BARZAKH - FAR EAST




Selasa, 3 Disember 2013

MOGA ROHMU DICUCURI RAHMAT

Ustazah Hashimah bersama dua orang anak
kesayangannya.Anak yang bertudung putih masih
 kritikal di ICU Hospital Manjung.
Mendapat khabar tentangmu melalui dua orang ahli keluargaku...... tersentak aku di dapur tika itu.  Suami memaklumkan tentang kemalangan yang menimpa Ustazah Hashimah, atau lebih mesra kupanggil Kak Shimah.  Adik segera memotong menyatakan bahawa dia pun sudah maklum tentang perkara itu sewaktu di padang futsal lagi.  Kawan sepermainannya memberitahu perkara tersebut kepada semua kawan-kawan yang ada.

Lebih mengharukan ialah Ustazah Shimah yang cukup kami kenali itu merupakan Guru Besar SAR di kampung tempat kami tinggal. Beliau merupakan salah seorang tenaga pengajar di SARAH.  Bermula dari anak keduaku hinggalah anak yang keenam (Adik)...... mereka berada di bawah bimbingan beliau.  Di kampung ini siapakah yang tak kenal Ustazah Shimah?

Kali terakhir kami bersua ialah semasa Majlis Ihtifal SARAH beberapa hari sebelum cuti sekolah bermula.  Pada Adik.... Ustazah Shimah garang orangnya.  Namun bagiku, garangnya dan ketegasannya bertempat.  Mesra orangnya bila berbicara, sentiasa ceria.  Masih terbayang di ruang mata.  


Beliau meninggal dalam kemalangan bila mana kereta yang dipandu oleh anaknya terbabas.  Hatiku dijengah pilu apabila mendapat tahu bahawa beliau dan anaknya pulang dari mengambil buku-buku di KDSK.  Melihat keadaan kereta yang beliau naiki, sedih menyelubungi.  Cuma yang termampu dilafazkan hanya innalillahi wainnailaihi rojiiun......  daripada Allah dia datang, dan kepada Allah dia kembali.

Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat, tergolong dalam kalangan mereka yang beriman.  



Isnin, 2 Disember 2013

SELAMAT BERSARA DUHAI SAHABAT

 2005 mempertemukan kami.  Bermula dari situlah perkenalan bermula. Kian sampai ke penghujung, terasa kian akrab persahabatan kami.  Sesekali berkongsi cerita. Bagaikan telah terlalu lama kenal. 

Mesra dipanggil 'Kak Mi'.  Sentiasa merendah diri.  Sifat keibuannya amat ketara.  Beliau seorang guru Pendidikan Seni yang rajin.  Anak-anak didiknya selalu ternanti-nanti akan kehadirannya di kelas.  Yang pasti pelbagai kemahiran seni bakal mereka pelajari darinya.  Biasanya beliau akan menunjukkan contoh terlebih dahulu sebelum meminta murid-murid melaksanakan tugasan atau kerja yang diarahkan.  Begitu komitmen Kak Mi dengan tugasnya.

Tahun 2013 kian merapatkan hubungan kami bila mana aku diamanahkan bertugas sebagai pembantu Kak Mi di kedai buku.  Banyak yang aku pelajari darinya.  Dalam kesibukan yang melanda guru-guru yang sering sesak dengan urusan 'e', Kak Mi tetap kelihatan 'cool'.  Dalam waktu 'free' di awal pagi beliau meluangkan masa untuk menunaikan solat Dhuha.  Kekadang sesampainya aku di pintu, Kak Mi kelihatan sedang membaca al Matsurat, ada kalanya membaca buku di samping menyemak hasil kerja murid-murid.

Wajahnya cukup tenang.  Sejuk mata memandang.  Seringkali menasihati murid-murid di kelasnya.  Sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran.  Kiranya terpaksa menggantikan tempat guru yang tidak hadir, Kak Mi tidak akan membiarkan waktu itu berlalu sia-sia.  Pasti ada sesuatu yang bermakna akan disampaikan.  

Mudah-mudahan Kak Mi berbahagia di sisi keluarga tercinta.  Semoga sihat dan ceria selalu.  Terima kasih Kak Mi..... banyak yang aku pelajari dari kekuatanmu meniti waktu dan ujian dari Tuhan Pencipta Alam.

Fakta menarik tentang dirimu Kak Mi...... (aku tersenyum bila mana mengetahuinya).... Kak Mi suka angka 7, sebabnya Kak Mi dilahirkan pada tahun 1957, ada 7 adik beradik, anak pun 7 orang, suami Kak Mi orang Parit 7, tinggal di Kg Tersusun Batu 7.

Selamat bersara Kak Mi.......  maafkanku andai ada sebarang kesilapan, kenangan bersamamu tetap dalam ingatan.







Isnin, 11 November 2013

TAHNIAH BUAT SEMUA YANG BERGELAR GURU

Sebelum sampai ke penghujung persekolahan, mereka yang bergelar pendidik sudah pasti paling sibuk.  Semuanya bermula tika berakhirnya peperiksaan akhir tahun.  

Bermula dengan menyemak kertas jawapan murid, memasukkan markah, seterusnya menentukan kedudukan.  Sehubungan dengan itu persiapan untuk Hari Anugerah pun bermula.  Bagaikan kenduri besar lagaknya.  Selesai sahaja agihan tugas diberi, semua pantas bekerja dalam satu pasukan.

Jika bukan bergelar 'guru'.......  barangkali mungkin tidak tahu bagaimana mereka bekerja.  Semakin hampir saat percutian...... semakin banyak tugas yang perlu dibereskan.  Kekadang, sakit demam yang menjengah diri, dilawan jua. Anak-anak wajar diraikan dalam majlis yang istimewa penuh ceria.  Persediaan perlu rapi.  Terasa masa amat berharga!

Kalau ada yang menyatakan 'guru' itu semakin gembira bila cuti hampir tiba....  cubalah jenguk mereka di sekolah!  Kalau tidak pun, perhatikan dari jauh.  Paling tidak pun, sesekali bertanya khabarlah jika jiran kita merupakan seorang guru.  

Dan waktu cuti belum tentu mereka berehat seratus persen!  Ini memang kenyataan.  Barangkali mungkin ada yang terlibat dengan kursus, atau mungkin sibuk dengan kelas tambahan.  Malah ada yang membuat persediaan awal melatih pasukan sekolah.  Tidak kurang juga yang mengemas atau mencantikkan kelas agar lebih kondusif untuk sesi PdP akan datang.  Giliran bertugas semasa cuti sudah memang sedia menanti.

Bagi mereka yang sambung belajar, sudah tentu akan memberi komitmen terhadap kuliah dan tugasan yang diberikan di samping tugasan dan amanah di sekolah yang perlu diutamakan.  

Pendek kata, persediaan untuk tahun hadapan.......  dalam cuti ini jugalah perlu difikirkan.  Dalam berkira-kira mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak didik, bebanan tugas dan kekangan masa memang cukup dirasai.  Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan, ketabahan dan kesabaran buat semua guru dalam mereka meniti laluan hidup ini.

Khas buat semua.................. baik yang bergelar 'cikgu', 'teacher', 'sir', 'ustaz', 'ustazah'........baik yang mengajar di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah pondok, madrasah,  dan yang sewaktu dengannya, sekalung TAHNIAH untuk anda semua!  Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih Allah.


Ahad, 10 November 2013

DIA MAHA MENENTUKAN

Dalam kesibukan anak-anak bertempur dalam SPM, kita dikejutkan dengan berita kematian calon SPM.  Sedih rasa hati.......   anak-anak itu belum sempat menghabisi kertas yang perlu dijawabnya.  Rakan-rakan terdekat mungkin amat terkejut dengan pemergian mereka.  Dan kerusi yang menempatkan mereka di dewan peperiksaan jelas tidak berpenghuni.  Mungkin terbayang-bayang gelak tawa, usikan, rintihan susah payahnya menadah ilmu dan kemesraan yang terjalin kian lama masih mekar di ingatan.  Hilai tawa barangkali masih jelas di ruang mata.

Dan hari ini mereka bersemadi di pusara.  Tidak kiralah atas sebab apa mereka meninggalkan dunia fana ini.  Itu tidak perlulah dipersoalkan.  Apa yang penting, kita sama-sama mendoakan mereka agar berbahagia di sana dan di tempatkan dalam golongan mereka yang beriman.  

Rakan lain masih menanti kertas soalan yang bakal dijawab.  Sela masa yang begitu panjang mungkin amat berguna untuk diisi dengan ulangkaji dan perbincangan.  Manfaatkan masa sebaik mungkin.  Namun jangan terlampau menumpukan perhatian hingga melewati waktu tidur, atau melangkaui waktu rehat!  Memaksa diri untuk terus-terusan belajar dalam saat-saat genting begini bisa memudaratkan diri.

Belajarlah seperti biasa, malah ada juga calon yang belajar secara santai di akhir-akhir ini.  Barangkali mungkin persediaan sudah cukup selama ini...... tahniah buat anda!  

Rasa teruja pula bila berkesempatan melihat calon SPM yang sempat menunaikan solat Dhuha di luar dewan peperiksaan sebelum menjawab kertas soalan seterusnya.  Allahu Rabbi.......  sejuk hati guru-guru yang mungkin melihat situasi ini!  Kebergantungan pada Allah tetap dalam apa jua keadaan, walau di mana saja berada.  

Tahun ini subjek Sejarah wajib lulus!  Buat anak-anak semua..... belajarlah untuk lulus semua subjek.  Anda semua berpotensi untuk berjaya, cuma buang tabiat malas yang mana sebenarnya sikap malas itu datangnya dari syaitan.  Cuma kenapakah subjek Agama Islam tidak heboh untuk diwajibkan lulus?  Sebagai umat Islam, subjek itu wajar diangkat martabatnya.  Jangan hanya berbangga dengan mewar-warkan negara kita negara Islam, tapi subjek itu dikesampingkan.  Sebenarnya negara ini hanya negara umat Islam.  Apa pun, Islam wajib kita angkat bersama.  Itu janji kita pada Allah.

Subjek ini sering dipinggirkan, terasa ada pun subjek ini sekadar bagai melepaskan batuk di tangga.  Tidak mampukah mereka yang di atas bersuara?  Sejarah yang belum tentu sahih atau tidaknya bisa di angkat, mengapa subjek Agama Islam yang tidak ada sebarang pertikaian tidak diendahkan.  

Kepada semua calon SPM...... mudah-mudahan anda semua beroleh kejayaan.  Bersabarlah dengan kerenah mereka di persekitaran anda.  Tumpukan usaha menjawab dengan penuh keyakinan.  Serahkan segalanya kepada Yang Maha Kuasa.  SELAMAT BERJAYA!!!




Sabtu, 2 November 2013

NOVEMBER DATANG LAGI

Hadirnya November kali ini bermakna calon-calon SPM dan STPM bakal berentap dan berperang lagi.  Barangkali mungkin saat-saat begini masing-masing membuat persiapan terakhir, masih ada ruang waktu untuk meneliti nota-nota.  Ada kesempatan lagi untuk menghabisi latihan-latihan yang bersisa.


Senjata perlu dipersiap dengan peluru yang bakal dimuntahkan nanti.  Dan persediaan itu sepatutnya telah dimulakan awal-awal lagi malah berterusan hingga ke saat ini.  Dan senjata terakhir adalah 'doa'.  Semua orang tahu akan hal itu.  Namun terkadang ia terus dilupakan akibat lebih mengutamakan pencapaian akademik sahaja.  Hingga kebergantungan padaNYA kian dilupakan.

Mudah-mudahan apa yang dipelajari hampir dua tahun ini penuh berkat.  Mohon halalkan ilmu yang guru-guru curahkan.  Tanpa melupakan mereka yang bersusah payah hingga kita mampu berdiri hingga ke takah ini..... maka doakanlah mereka.  Jangan lupa doakan sekali ayahbonda yang barangkali mungkin mengiringi kita dalam doanya siang malam.  Ataupun mungkin memohon merayu pada Yang Esa di sepertiga malam tatkala insan lain diulit mimpi indah.  Tahukah kita?

Panjatkan kesyukuran pada yang empunya dunia dan seluruh isinya.  Tanpa izinNYA mana mungkin kita mampu bersaing bersama taulan menyusuri jalan menimba ilmu yang terbentang luas.  Walau mungkin ilmu penuh di dada, namun ia tetap ibarat setitik air di lautan.  Makin kita mempelajarinya, makin banyak yang kita tidak tahu.  Begitu luasnya ilmu Allah.

Dan kebijaksanaan yang dikurniakanNYA itu ada baiknya kita kongsikan bersama insan lain yang turut ingin mengecap kejayaan.  Hidup adalah untuk memberi.  InsyaAllah mudah-mudahan DIA akan menambah lagi ilmu kepada kita.  

Buat semua, termasuk bekas anak-anak didikku serta paling istimewa buat
anakanda yang dikasihi ........ selamat bertempur di medan perjuangan ini dengan penuh keyakinan bahawa di mana ada usaha, doa dan tawakkal .....insyaAllah di situ bakal membuahkan kejayaan.  







Ahad, 20 Oktober 2013

HALALKAH ATAU SEBALIKNYA?

Petang semalam berkesempatan mendengar luahan hati seorang rakan yang menyatakan apa yang telah lama terpendam di lubuk hatinya.  Benar sungguh katanya.  

Perbincangan kami berkisar tentang curi tulang sewaktu bekerja.  Di kala orang lain sibuk bekerja, masih ada yang bersenang-senang melayari internet dengan membuka facebook atau you-tube.  Wajarkah sikap sedemikian? Sedangkan dalam masa yang sama, kerja-kerja pejabat yang perlu dibereskan bertimbun di atas meja.  

Waktu bekerja yang dimulai jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang bukan sahaja diisi dengan tugas atau kerja-kerja pejabat yang diamanahkan.  Malangnya dalam masa yang sama masih sempat berfacebook.  Masih ada masa untuk membaca status rakan facebook, memberi komen dan berchatting.  Lebih malang lagi ada yang mengambil peluang menonton you tube.  Sempat lagi tengok cerita Korea!

Dan akhirnya cukup bulan....... pastinya dapat gaji.  Itu yang penting!  Tapi halalkah gaji kita itu?  Sekiranya dalam tempoh kita bekerja, ada kerja-kerja lain yang tidak sepatutnya kita uruskan berkaitan dengan tugas kita..... kita utamakan juga.  Patutkah kita bersikap sedemikian?  Dan dengan wang yang belum dikira halal sepenuhnya itu kita gunakan untuk keperluan kita, dan keluarga kita.  Fikirkanlah......

Waktu rehat dalam saat-saat kita bekerja hanyalah untuk merehatkan diri buat seketika, untuk makan atau untuk melaksanakan tanggungjawab kita kepada Allah SWT.  Kalau bagi seorang pendidik mungkin waktu itu boleh digunakan untuk menyemak buku anak murid ataupun merancang PdP esok hari.  

Namun bagi pekerja yang bijak, mungkin akan melayari internet semata-mata untuk menambah pengetahuannya tentang bidang tugas yang diamanahkan kepadanya.  Memang tidak dinafikan bahawa di luar sana terdapat banyak info atau maklumat boleh kita peroleh hanya di hujung jari.  Dalam kontek ini, pilihan di tangan kita.  Bijaklah membuat keputusan, dan anda sebenarnya mampu mengubahnya.  

Sama-samalah kita muhasabah diri, di tempat kerja ada mata yang memerhati.  Namun yang lebih memerhati ialah Dia yang mencipta kita.  Perbetulkan kesilapan kita, kerana kita bukan hanya dinilai di dunia malahan di akhirat jua.  Sematkan di hati bahawa kita bekerja kerana Allah, dan Allah memerhati setiap gerak hati dan gerak langkah kita.  Dan kita tidak mampu menyembunyikan diri dariNYA.  Itu sudah pasti!

Mudah-mudahan gaji yang kita terima di hujung bulan itu penuh berkat dan halal untuk kita kongsikan bersama anak-anak dan isteri atau suami kita.  Seterusnya dapat membentuk keluarga sakinah, bahagia di dunia jua di akhirat.  InsyaAllah.






Rabu, 16 Oktober 2013

TERIMA KASIH ATAS INGATAN

" Assalamualaikum cikgu". Aku ditegur oleh seseorang.  Langkahan kakiku terhenti.  Aku menoleh ke arahnya sambil menjawab salam tersebut.  
" Kamu siapa? " soalku spontan.
" Cikgu pernah mengajar di Sungai Wangi, kan? ".  Soalanku dijawab dengan soalan pula.  
" Ya, betul " aku menjawab sambil mengangguk.  
" Saya Asri," jawabnya jujur.  Jenuh aku mengingatkan nama itu, namun aku gagal.  Sudah hampir dua puluh tahun aku meninggalkan sekolah itu.  Sudah berapa ramai murid yang kubimbing, kuajar dan kudidik.  Namun tak semua yang mampu kuingat.
" Maaflah..... cikgu tak ingat......" ujarku perlahan.  " Terima kasih kerana menegur cikgu," sambungku lagi.  Dia hanya senyum. 
" Cikgu pergi dulu, ada urusan di pejabat," Aku melangkah meninggalkannya namun masih cuba mengingati siapakah dia....... ternyata aku tetap gagal.  Rupa-rupanya dia datang bersama rakan-rakan sekerjanya untuk memasang alat hawa dingin di bilik guru. Semoga dia beroleh rezeki yang berkat dengan pekerjaan yang halal.  Terima kasih kerana masih mengingati cikgu......

Selasa, 8 Oktober 2013

MASIH ADAKAH PHD?

Semalam salah seorang rakan sekerja meluahkan rasa tidak puas hatinya kepadaku.  Awal pagi lagi ingin dijkongsinya persoalan yang bersarang di benaknya.  Aku mendengar penuh teliti.  Bukanlah aku orang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun untuk semua itu aku sedia mendengar.  

Sebenarnya tahun lepas masalah yang sama menimpa pasukan bola jaring anak muridnya.  Dan tahun ini pula masalah tersebut menimpa pasukannya (team guru PPKI).

Dengan nada kesal dia menceritakan apa yang berlaku semasa perlawanan berlangsung.  Alhamdulillah sebenarnya aku tahu undang-undang permainan tersebut.  Dan sebelum itu aku dilamar olehnya untuk menjadi pengadil dalam pertandingan tersebut.  Namun aku menolak kerana faktor usia dan kesihatan.  Memang betullah jika aku dijadikan tempat untuk dirujuk.  Namun bukan niat untuk berbangga dengan sedikit ilmu itu.  Apa yang ada, aku sedia berkongsi bersama....... 

Mendengar kisahnya..... terbit rasa kasihan di hatiku.  Peristiwa yang lepas berulang kembali dan kali ini menimpa guru-guru pula.  Aku cuba membayangkan apa yang terjadi di gelanggang tika itu.  Pasukannya bermain bersungguh-sungguh hingga ke peringkat final.  Dan dalam saat-saat genting itu, dia sering dipersalahkan dengan alasan 'Body Contact'.  Bukan sekali dua, malahan kerapkali  pula.  Tiap kali dia menerima bola..... wisel berbunyi dan pengadil menyatakan "..... body contact...."  hinggakan rakan sepasukan yang lain serta mereka yang di luar gelanggang pun tak terkata apa-apa.......  kerana tidak tahu apa kesalahannya.

Entah....... bagaimana mungkin si pemain di dalam saat-saat final boleh melakukan kesilapan dan kesalahan yang ketara sedangkan dalam perlawanan sebelumnya kesalahan tersebut tidak ada.  Tidak pandai bermainkah?  Atau ada perkara tersembunyi di sebalik semua itu?  .....Ya, sama seperti tahun lepas.

Aku mencungkil rahsianya.......    Ada PHD ke?  

Akhirnya jawapan mudah aku mengagak.  Pasukan yang disertai Si Pengadil yang dimaksudkan sebelum itu telah tewas di tangan pasukan rakan sekerjaku ini.  Dan adakah waktu beliau menjadi pengadil itu beliau mengambil peluang keemasan untuk membalas dendam di atas kekalahan pasukannya dengan cara tidak berhemah.  Lebih sedih mengenangkan rakan sekerjaku ini tidak ada mood langsung untuk meneruskan permainan kerana setiap kali menerima bola bersebelahan dengan pemain lawan, dia dipersalahkan.  Dan akhirnya pasukannya kalah teruk.

Aku cuba meredakan kesedihannya......  

Kalau dalam permainan dan sukan, nampaknya begini sikap seorang guru......  atas urusan lain entah bagaimanakah agaknya.  Berlapang dadalah wahai pendidik...  bersedialah menerima kekalahan......   Tanamkan semangat kesukanan di jiwa, adat permainan dan pertandingan ada kalah menangnya.  
Jika sudah namanya PENGADIL.... berlaku adillah kepada semua.  Kalau tidak, buang sahaja 'title' PENGADIL tu.  Anda tidak layak sebenarnya.  Sikap berat sebelah tidak sepatutnya ada dalam diri seorang pengadil.  Apatah lagi dendam kesumat.......  

Aku berharap agar rakan sekerjaku ini tidak putus asa dengan kekalahan kali ini.  Cubalah lagi di tahun hadapan.....  rezeki itu milik sesiapa yang berusaha.  Cuma cepat lambatnya hanya Allah yang tahu.  Laa tahzan....


Jumaat, 4 Oktober 2013

SELAMAT BERJUANG (BUAT ANAK-ANAK DI TANAH AIR TERCINTA)

Kait nyiur jatuh setandan,

Haus dahaga kian terubat;
Selamat berjuang di medan pelajaran,
Kepada pelajar tak kira peringkat.

Di anjung rumah bermain rebana,
Usai bermain duduk bersembang;
Andai usaha telah terlaksana,
Janganlah hati diamuk bimbang.

Pokok selasih si pokok inai,
Biar merimbun dicantas jangan;
Ilmu dicari diadun dicanai,
Agar berguna jadi bekalan.

Makan nangka terkena getah,
Jari jemari terasa melekat;
Cakap guru jangan dibantah,
Mengharap ilmu biarlah berkat.

Kepal pulut lalu disuap,
Minum pula air serbat;
Sejak awal diri dipersiap,
Tidaklah tension exam dah dekat.

Kuih bingka turut disaji,
Harum pandan menusuk wangi;
Rajin usaha serta mengulang kaji,
Solat dan doa pula mengiringi.

Seri pagi cantik berkembang,
Warna ungu indah berseri;
Jangan ragu janganlah bimbang,
Tunggu sahaja resultnya nanti.

Hari minggu pergi ke pekan,
Pulang membawa bakul berisi;
Harapan bonda jangan relaikan,
Sokongan ayahanda tetap di sisi.

Baik-baik mengatur madah,
Diselang seli seni puisi;
Usaha sudah tawakkal pun sudah,
Serah segala pada Ilahi.

Sabtu, 28 September 2013

Kak Nor Yang Kukenal

Lewat petang semalam aku dan suami berkunjung ke hospital, menziarahi seorang sahabat karib yang terlantar sakit.  Seminggu sudah dia di sana. 

Tika aku dan suami tiba, sudah sedia ada beberapa orang tetamu yang turut sama datang berziarah.  Salah seorangnya cukup kukenali, iaitu ibu Imam Muda Hassan Adli (bekas muridku dulu).  Ibu saudaranya serta sepupunya hadir sama.  

Melihat raut wajah sahabatku ini, sedih terasa.  Sudah agak lama kami tak berbual mesra meskipun tinggal di kampung yang sama.  Sesekali bertemu di laman sosial fb.  Atau pun hanya melambai mesra tika kereta kami berselisih di jalanan. 

Kami pernah bertugas di sekolah yang sama.  Namun kami berpisah atas alasan beliau memohon tukar dan di tempatkan di sekolahnya sekarang.  Terasa benar akan kehilangannya.  Mengingatkan saat kami bersama.....  kusanjung sikap keibuannya terhadap anak-anak kurang upaya yang dididiknya.  Banyak yang kupelajari darinya.  Sikap sabarnya jelas sekali, tutur bicaranya sopan.  Tak pernah mengherdik anak-anak istimewa itu.  Namun ketegasannya berpada.  Lantaran itu menjadikan anak-anak itu cukup menghormatinya.

Satu lagi kehebatannya yang mungkin tidak mampu kuikuti ialah dalam usia sedemikian masih mampu menambah ilmu bila mana beliau menyambung kursus dalam bidang yang diminatinya.  Banyak ilmu yang boleh dikongsi bersama insan ini yang hanya kupanggil sebagai 'Kak Nor'.

Kini apa yang kulihat ialah 'drip' yang dipasang ke pergelangan tangannya.  Selain itu adanya saluran yang dimasukkan ke hidungnya bagi memudahkan pernafasan turut kelihatan.  Sesekali dia mengerutkan keningnya.  Barangkali mungkin menahan sakit.  Kugenggam jemarinya..... terasa sejuk.  Kusentuh kakinya, terasa panas seperti biasa.  Sebelum ini suhu badan Kak Nor memang tinggi.  Dia masih demam.  Badannya dijelum, sepanjang masa dalam perhatian ahli keluarga dan menantunya.  Bergilir mereka menjaganya.  Allahu Rabbi...... hati terasa hiba.

Aku hanya mengharapkan agar ujian ini menjadikan Kak Nor lebih tabah.  Ujian yang makin mendekatkan dirinya dengan Sang Pencipta.  Tak sampai rasa hati untuk meninggalkannya.  Berhadapan dengan situasi begitu...... aku tidak banyak berkata-kata.  Kak Nor perlu banyak berehat.  Tidak sepatutnya ditanya banyak soalan.  

Sebelum meninggalkannya, kukucup kedua belah pipinya.  Terasa bergenang air mataku.  "Doakan Kak Nor ya......"  ujarnya perlahan.  Bagaikan mahu tumpah air mata ini, namun kutahan jua.   




Khamis, 26 September 2013

PERGINYA SEORANG SAHABAT

Buat sahabat yang telah pergi......

Tatkala mendapat khabar berita tentang kesihatanmu..... ingatanku kembali menelusuri peristiwa lalu tika kita mula berkenalan.  Lewat pertemuan pertama itu, kau kelihatan begitu mesra, mudah mengatur bicara.  Mungkin juga engkau seorang guru yang begitu disenangi.  Semuanya dapat kurasakan  bila mana berhadapan dengan keramahanmu yang ketara sekali.

Semenjak hari itu kerapkali juga kita bersua.  Cuma tahun-tahun kebelakangan ini jarang benar terserempak denganmu.  Khabar pun tidak diterima.  Sehinggalah suami memaklumkan tentang jemputan kenduri kahwin anakandamu pada 15 September 2013 lalu.  Terasa lama benar kita tidak berjumpa.  Inilah peluang keemasan......

Namun tanpa disangka, aku menemui khabar tentang dirimu yang dimasukkan ke ICU lewat petang itu melalui laman sosial facebook.  Itupun melalui rakan facebookku.  Ditambah lagi dengan makluman dan pengesahan dari suamiku yang baru pulang dari kerja.  Allahuakbar..... benarlah perkara itu.

Dalam waktu berkira-kira untuk menziarahimu di hospital..... sekali lagi khabar kuterima, memaklumkan bahawa engkau telah pergi menemui Yang Maha Esa di pagi 14 September 2013.  Iaitu sehari sebelum majlis walimatul urus anakandamu!  Allah Ya Allah....... kesedihan mula meraja di hati.  Sesungguhnya Allah menyayangimu sahabatku.  

Atas urusan yang tidak dapat dielakkan aku tidak dapat hadir ke majlis walimah itu.  Bagi yang mengetahui duduk perkara sebenar mungkin tiada apa yang bisa diungkapkan pada hari berkenaan.  Berbeza dengan mereka yang tidak mengetahuinya..........  barangkali mungkin tercari-cari ibu pengantin...... mungkin tertanya-tanya tentang ke mana hilangnya tuan rumah.  Kesedihan dan kepiluan mungkin menyelubungi suasana yang sepatutnya ceria.  Malah sudah tentu lebih pilu hati pengantin di hari mereka dinobatkan sebagai raja sehari.

Namun begitulah kehendak Ilahi, kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan segalanya.  Buat sahabatku Cikgu Anizah Ibrahim..... moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu, moga tergolong dalam kalangan mereka yang beriman.......  Amin Ya Robbal Alamin......


Cikgu Anizah bt Ibrahim bertudung hitam, baju kurung biru bunga-bunga

Rabu, 25 September 2013

BERHATI-HATI.....

: Kajian pakar-pakar mengenai Gajet terhadap anak-anak ::

Kajian Gajet terutama IPAD terhadap anak-anak adalah berdasarkan kajian yang didapati oleh kebanyakan ibu bapa yang menemui doktor tersebut di Hospital PPUM dan kajian yang didapati dari sekolah ke sekolah. 

Malah seorang doktor Pakar Pediatrik dan Pensyarah Pusat Perkembangan Kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut hadir pada seminar tersebut iaitu Dr.Norazlin Kamal Nor juga sangat membenarkan kenyataan tersebut dan menegaskan beliau turut mempunyai perolehan kajian yang sama di hospital HUKM. Amat mengejutkan kesan buruk yang diperolehi amat tinggi berbanding kebaikan.

Mereka menyarankan kepada ibu bapa yang baru berniat mahu membelikan Gajet untuk anak-anak… lupakan dan tiadakan gajet untuk anak-anak, dan kepada yang sudah membelinya kurangkan penggunaan Gajet tersebut untuk anak-anak. 

Salah satu daripada kesan yang diperolehi adalah Interaksi antara anak-anak dan ibu bapa jelas ‘KURANG’. Kesan-kesan lainnya;

1. Mereka lebih banyak menguasai Visual (Memandang) berbanding Auditori (mendengar) –Apabila guru-guru mengajar di hadapan kelas tumpuan mereka mudah hilang arah dan mudah melihat pergerakan luar (keluar tingkap). Iklan-iklan di bilik darjah Seperti, pembaris jatuh, rakan batuk, kipas berpusing dan lain-lain lagi.

2. Perkembangan bahasa mereka lemah

3. mereka kurang bercakap, kurang bergaul dan berada dalam dunia sendiri.

4. Beberapa kajian berulangkali mengingatkan bahawa penggunaan tablet secara berlebihan pada anak dapat menyebabkan kesukaran perkembangan dan masalah termasuk autisme atau sukar memfokuskan perhatian.

5. Menyentuh skrin dengan sangat mudah, ia tidak begitu membantu skill motor mereka.


(kredit kpd penulis artikel ini....... info yg patut dikongsi bersama)

Selasa, 24 September 2013

GULA OH GULA

Satu negara punya cerita
Begitu besar penangan berita
Berkisar dari kenaikan harga
Berulang kembali kisah lama

Bila harga gula meningkat
Penggunaannya cubalah disekat
Begitulah saranan kata sepakat
Inilah agaknya idea yang sihat

Kurangkan manis dalam masakan
Lebihkan manis dalam senyuman
Tambahkan manis dalam gurauan
Mungkin itu suatu penyelesaian

Hanya kerana naiknya gula
Harga makanan naik menggila
Apakah lagi yang nak dikata
Semuanya bukanlah salah kita

Bagi yang punya pendapatan tinggi
Tak ada hal apa yang terjadi
Rakyat marhaen sakit sekali
Menanggung beban setengah mati

Semua gara-gara naiknya petrol
Masalah lain pula yang timbul
Jangan menyumpah berbakul-bakul
Nanti dosa banyak terkumpul

Amat baik untuk kesihatan
Kurangkan gula dalam makanan
Kencing manis dapat dielakkan
Penghuni hospital dapat dikurangkan

Cubalah tanam tebu sendiri 
Pengganti gula yang biasa dibeli
Bersyukurlah kita tidak terperi
Mungkin inilah ketentuan Ilahi




Khamis, 19 September 2013

16 SEPTEMBER

16 September yang dikenang-kenang.......

merupakan tarikh dan detiknya engkau dilahirkan
bonda menyambut penuh kesyukuran
ayahanda mengazankan
di cupingmu anakanda yang dikasihi.....

kini dalam usia mencecah dua puluh
dewasanya dirimu dengan izin-NYA
dalam redup sinar kasih-NYA
ungkaplah setinggi-tinggi kesyukuran
nikmat yang mana satukah ingin dinafikan
kerana semuanya anugerah yang tidak mampu dibayar

sayang........ 
teruskan rentetan perjalanan menimba ilmumu
lantaran pilihanmu cukup direstui
mengharap tempiasnya turut dirasa
moga tidak sia-sia 
malahan menyumbang biarpun sedikit cuma
buat agama yang tercinta

dalam usia mudamu anakandaku.....
kuatkan tekad menelusuri kehidupan yang penuh cabaran
tatkala di luar sana makin diserang kecelaruan identiti
bonda mengharap agar kau tak hilang jati diri

doa buatmu sayang......
moga diberi ketabahan dan kekuatan meneruskan pencarian ilmu
agar kau tak tenggelam dalam percaturan hidup
dipermudahkan segala urusan

salam kasih dari bonda....
moga kau tambah dewasa
dan bijak menghadapi mehnah
dalam melayari bahtera kehidupan
badai sentiasa ada, namun jangan lemas dalam samudera nan menggila
kukuhkan benteng iman dan kebergantunganmu pada-NYA









Selasa, 10 September 2013

UJIAN DARI-MU

Sejak balik dari kebun hari tu, kepala terasa berat.  Sebaik-baik tiba di rumah, aku segera meneguk segelas air.  Jarang sekali aku melaraskan ke bahagian 'cool'.  Mungkin kerana keletihan...... tanpa berfikir panjang itulah pilihanku!

Dan berikutan itu tekak terasa perit.  Walau cuba kusulami dengan air suam, ia tidak berbekas.  Makin lama terasa seakan suara kian bertukar. Keesokannya di sekolah aku ditegur oleh rakan sekerja, "Buat konsert ke semalam, kak?". Aku hanya mengukir senyuman.  Nak dibalas pun suara bukannya ada sangat. Badan terasa demam tak demam....

Hari berikutnya aku terpaksa ke klinik.  Dalam keadaan suhu badan yang meningkat, ditambah dengan sakit kepala, diikuti suara yang menghilang..... bagaimana mungkin aku menggalas tugas di sekolah.  Suara merupakan aset utama untuk berhadapan dengan anak didik.  Lainlah kiranya aku seorang guru bahasa isyarat.  

Akhirnya aku terpaksa bercuti........ cuti sakit.  Cuti daripada menjalankan tugas sebagai seorang pendidik di sekolah.  Dapat kubayangkan wajah-wajah anak kecil itu yang seringkali pantas muncul di pintu kelasku kiranya waktu BM dan MT tiba.  Kebanyakannya menunggu-nunggu waktu untuk datang ke kelasku.  Tapi kali ini maafkan cikgu sayang..... cikgu kurang sihat.

Namun yang pasti, tidak ada cuti bertugas sebagai suri rumah.  Tugas sebagai 'Domestic Engineer' memang hebat.  Terpaksa juga kugagahkan diri untuk menyelesaikannya.  Dan dalam keadaan suara yang hampir tiada pun, tetap juga mahu bersuara menegur anak-anak di rumah.  

Begitulah berhadapan dengan sedikit ujian yang Allah berikan.  Satu bahagian yang sakit, seluruh anggota turut merasakannya.  Mudah-mudahan ujian yang sedikit ini menambah kesyukuranku padaMU.  Maafkan aku Ya Allah kiranya nikmat kesihatan yang Kau tarik ini merupakan amaran di atas kealpaanku.  




Sabtu, 31 Ogos 2013

WAJAH MERDEKA

Kain batik kain basahan
Dijemur kering tepi halaman
Selamat menyambut hari kemerdekaan
Semua itu jadi laungan

Ambil mengkuang dibelah-belah
Diraut begitu berhati-hati
Kibaran bendera kurang terserlah
Jauh berbeza dulu dan kini

Letak bekal di atas para
Untuk dijamah di tengah hari
Bukan tak sayang pada negara
Semangat patriotik tetap di hati

Kasihan sungguh anak pekaka
Ingin terbang patah sayapnya
Walau negara dah lama merdeka
Gerun melihat pengisiannya

Gemersik alunan gesekan biola
Halwa telinga menyentuh rasa
Bila hiburan bagai nak gila
Kian merosak anak bangsa

Kuah kacang nasi himpit
Wajik, dodol dan kuih kapit
Di sana sini rang muda merempit
Hati nan lapang rasa terhimpit

Sebelum Subuh merebus ketupat
Lemang dan rendang sedia di meja
Dedah aurat tak kira tempat
Wajarkah hanya menutup mata

Segar udara di Tanah Rata
Indah pandangan di Kuala Gula
Bayi dibuang merata-rata
Butakah terhadap dosa pahala

Baju melayu teluk belanga
Baju kurung cantik berkancing
Melihat pembaziran begitu ketara
Bimbang ekonomi tambah meruncing

Manisnya rasa si buah serikaya
Masak ranum di hujung dahan
Yang berada kian bertambah kaya
Yang miskin masih dihimpit kesusahan

Merah menyerlah isi tembikai
Melihat sahaja liur meleleh
Hukum Allah mengapa dipertikai
Sunnah Nabi kenapa diperlekeh

Meredah hutan mencari petai
Dapat buluh jadikan galah
Hukum penjajah masih dipakai
Bolehkah selesai segala masalah

Petang hari pergi menjala
Rezeki dapat enak dipanggang
Maksiat masih maharaja lela
Mampukah denda jadi pengekang 

Masak lemak si buah perah
Sambal tempoyak penambat hati
Ubahlah segala sebelum parah
Negeri akhirat tetap menanti