Siang tadi merupakan hari kedua urusan pembelian buku tulis, buku kerja dan barang-barang atau keperluan tambahan sekolah. Bagi yang mampu, mereka menyelesaikan pembayaran dalam kadar segera. Maklumlah duit dalam tangan.
Namun ini jauh berbeza dengan mereka yang berpendapatan rendah. Merancang-rancang dan berkira-kira untuk membayar apa yang perlu dan penting sahaja bagi anak-anak. Tambahan pula sekiranya terdapat beberapa orang anak yang bersekolah. Banyak belanjanya!
Seperti biasa, ada yang memohon untuk menjelaskan bayaran secara beransur-ansur. Pihak sekolah, terutamanya guru kelas yang memang mengenali pelanggannya, tidak akan menghampakan harapan. Mereka bijak dalam mengatur apa yang perlu atau sebaliknya untuk anak-anak yang dahagakan ilmu.
Begitulah berhadapan dengan rakyat marhaen. Menyelami situasi anak-anak didik dan keluarganya memang telah menjadi tanggungjawab setiap guru. Guru bukan hanya mengajar, malah mendidik, juga berkongsi masalah................ sedia membantu. Tahniah buat guru-guru yang prihatin dengan situasi sebegini.
Cuti hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Persiapan perlu dibuat. Selain peralatan seperti buku dan alat tulis, pakaian juga merupakan satu bebanan bagi mereka yang hidup susah. Ditambah lagi dengan beg dan juga kasut sekolah. Dalam keadaan harga barang yang melambung naik, apakah mereka yang hidup susah mampu bertahan?
Itu belum lagi belanja harian yang perlu diberi kepada anak-anak. Tambang bas lagi........... Mungkin rintihan dan suara hati, serta penderitaan hidup mereka tidak didengar dan diambil peduli. Namun bagi para guru, ada alternatif lain yang boleh digunapakai dalam meringankan bebanan mereka yang sedemikian. Begitulah betapa mulianya kerjaya sebagai seorang guru. Sentiasa bersedia menerima sesiapa sahaja dalam apa keadaan sekalipun.
Apa yang penting anak-anak itu mahu belajar, dan ibu bapanya faham tentang kepentingan menuntut ilmu. Tanpa murid siapalah guru......... Sekolah nak dibuka, guru-guru ternanti-nanti akan wajah ceria anak muridnya yang bakal mengganti pemimpin hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan