Sabtu, 23 Januari 2021

BERHIJRAH BERJEMAAH

DALAM kesibukan dan kekalutan pagi itu, Yvonne membisikkan kepadaku bahawa Yardh dapat pindah.... maknanya bertukar sekolah.  Owh Alhamdulillah...... memang itu adalah harapan Yardh.  Tahniah Yardh!!!

Apabila nama Che Wa, Nor Rizan, Zarina dan Zarimah juga dikhabarkan kepadaku, terkesima aku dibuatnya. 

"Nama cikgu juga ada...... " Yvonne menyambung.  Perlahan dan lembut nada bahasanya.  Tersentak juga dibuatnya bila namaku turut tersenarai.  Baik betul budi bahasa bekas anak muridku ini.  Bijak menyesuaikan nada bicaranya walaupun dia bukan anak Melayu.

Mungkin barangkali tidak mahu didengari oleh pelanggan yang ada, maka dia bertindak sedemikian.  Terima kasih Yvonne, kerana amat memahami.

Begitulah bermulanya episod 20 Januari 2021.......  Semua menerima dengan berlapang dada.  Akur.  Persiapan untuk berpindah ke sekolah baharu disegerakan.  Kami dikehendaki melapor diri pada 18 Januari, sedangkan surat diterima pada 20 Januari.

Drama sungguh........  

Cuma aku yang memohon penangguhan agak lewat kerana tugasan kedai buku menjadi tanggungjawab yang perlu aku selesaikan sebelum bertugas di tempat baharu. Namun masing-masing terlebih dahulu melapor diri di sekolah berkenaan.

Izan dan Wa ditempatkan di sekolah yang sama.  Imah pula di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.  Manakala aku dan Ina berganding di sekolah anak felcra.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kami masing-masing telah bertugas di sekolah ini selama 15 tahun dan lebih.  Sebelum ini pun masing-masing telah menerima surat makluman tentang perkara tersebut.  Faham benar akan isinya.

Namun begitu, tidaklah pula menjangkakan bahawa pertukaran secara berjemaah, dalam kumpulan yang agak besar.  Walaupun demikian, tidak ada masalah dengan semua itu.  Jodoh pertemuan, ajal maut, semua rezeki itu Allah yang mengatur dan menentukan.

 
Kenangan akhir bersama warga SKL

Sahabat-sahabat yang punya kelebihan masing-masing.....Izan dengan kepakaran dalam Bahasa Melayu, Wa pula dengan Matematik, Ina dengan Bahasa Inggerisnya dan Imah dengan Pendidikan Khas.  

Dan pagi tadi.......
Masing-masing mengucapkan salam terakhir buat SKL, kecuali aku.  Kami bersalaman dan mengambil kesempatan untuk bergambar bersama-sama.

Airmataku tumpah jua tatkala berpelukan dengan Izan.... pilu menyelubungi suasana.  Izan, merupakan guru Bahasa Melayu yang kekadang menjadi rujukanku.  Sering menjadi rakan sembang dalam berkongsi masalah penguasaan BM anak didik SKL.

Wa pula rakan kongsi yang sesekali berbincang mengenai subjek Matematik yang boleh dikatakan menjadi killer subject bagi anak kampung sekitar sekolah ini.

Imah pula merupakan 'jiran sebelah'.......kerana kelas Pendidikan Khas merupakan jiran sebelah Kelas Pemulihan Khas tempatku mengajar anak-anak pemulihan yang datang dari kelas perdana.  

Kekadang aku juga mendapat maklumat tentang anak-anak yang mereka ajar dan bimbing.  Hebat guru-guru Pendidikan Khas ini.  Kesabaran dan kekuatan mereka diuji dengan keadaan anak didik yang istimewa.  

Dan yang akhir sekali....Ina, yang merupakan guru Bahasa Inggeris. Pernah memegang jawatan KP Bahasa Inggeris. Mengajar anak kampung bagi subjek ini, samalah seperti mengajar Matematik di mana ia juga dikategorikan sebagai 'killer subject' bagi anak-anak luar bandar.  Memang tidak dapat dinafikan.


Buat seluruh warga SKL.....

Kami sama-sama mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas kerjasama dan tunjuk ajar yang diberikan kepada kami selama ini, khasnya pihak pentadbir amnya sahabat semua.  Mohon halalkan apa yang termakan dan terminum.

Di samping itu kami juga memohon jutaan kemaafan di atas kekhilafan atau keterlanjuran bahasa, perbuatan dan kata-kata sama ada secara sedar ataupun tidak.  Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tak bergelora.

15 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat.  Bertahun-tahun kita membina kekuatan dan ukhuwwah.  Ah..... terlalu banyak kenangan manis tika bersama.  Jatuh bangun sama-sama kita layari, sama-sama kita tempuhi.

Selain guru, tak lupa juga buat PPM, orang pejabat, juruteknik makmal  komputer, cleaner sekolah dan juga tidak ketinggalan pengawal keselamatan.  Dan satu lagi.... keluarga CMK!!!

Mudah-mudahan kita bersua lagi di suatu hari nanti.  Terima kasih semua.....


catatan 2.34 pagi
23012021, ktb7 lekiyour.

Isnin, 4 Januari 2021

Salam Dalam Dingin Malam


Tatkala mataku tertancap pada angka yang sekian banyaknya dalam group PESERTA APR SAW..... segera kubaca satu persatu kalimah yang ditulis.

Sebermulanya bersama di bengkel.  Sama berguru. Hingga ke saat ini, kita masih duduk di kerusi yang sama.  Sedang di dalamnya diwarnai insan-insan yang punya kekuatan berbeda.  

Rancak sekali bicara malam ini.  Sedang di luar terukir mendung, bersama angin sejuk yang mencengkam.  Sudah dua hari aku kedinginan, nafas lelahku sesekali berbunyi.

Malam ini aku meneliti butir bicara mereka sungguh-sungguh.  Bercerita khabar duka...... Allahuakbar!!!  Tetiba aku teringat sesuatu.  Berderau darahku.  Rasa sedikit terganggu. 

Segera aku mencari sebaris ayat yang ditulis oleh bonda Rugayah Hj Tibek pada 28 Disember 2020 lalu...."Mimpi sajak yang dihantar penuh tanda merah".  Suratankah atau kebetulan?

Pada anakanda Firdaus, Cik Nina, Eda, Anisah, HambaNya (maaflah tanpa nama yang kukenal).... dan barangkali mungkin juga yang lain, sama-sama kita berbagi rasa.  Kita bertemu atas rasa cinta pada kekasih Allah.  

Mana mungkin ini suatu kebetulan, kerana semua yang Allah hadirkan untuk kita adalah perjalanan hidup nyata yang akan kita tempuh.  Di sini Dia menemukan kita dengan pelbagai sejarah kehidupan yang berbeda.  Ajal maut, jodoh pertemuan Dia yang menentukan.

Terjebak di gelanggang puisi ini, memancarkan warna-warna pelangi.  Bersatu dalam membina ukhuwwah.  Memujuk  kalbu nan resah.  

Berbekalkan semangat yang dititip oleh semua sahabat lewat pertemuan ini.....mudah-mudahan Allah memberi kekuatan buat jiwa-jiwa yang tenang, agar terus yakin dengan rahmat-Nya.

Kepada sahabat yang ditimpa musibah, yang terperangkap dengan banjir.... bersabarlah. Sesungguhnya kita ada Allah, tempat bergantung harap.  Jadikan ujian itu satu nikmat, yang makin mendekatkan kita kepada-Nya.

Jangan sedih sahabat
hilangkan dukamu

Yang resah didoakan agar tenang
Yang sakit didoakan agar segera sembuh

Bertemunya kita untuk saling melengkapi
Bersuanya kita untuk sering menyantuni

Salam puisi dan selamat malam
Moga Dia meredhai kita semua.