Rabu, 31 Mei 2023

SIAPAKAH AKU?

 ENTAH kenal atau tidak salasilah kita sekiranya kita tidak ambil pusing mengenai susur galur keluarga kita. Asbab itulah aku menyetujui rancangan yang dicadangkan dalam group whatsapp keluarga di kampung. 

    Aku dibesarkan di Batu Gajah, namun emak dan ayah sering membawa aku dan abang pulang ke kampung pada hujung minggu atau cuti sekolah. Kerap juga mereka berbual dan bercerita tentang saudara mara di kampung, hinggakan aku masih mengenali nama-nama yang mereka pernah sebutkan itu.

    Walaupun nama yang disebut agak sedikit pelik, namun daya ingatanku masih mengingat nama yang sering meniti di bibir mereka. Uci Botik, Mak Uwo, Acik Kinah, Nik Ayien, Wo Mariatun, Wo Embun, Tok Ngah, Niniek Itom, Nek Uda dan beberapa nama lagi. Namun wajah-wajah mereka tidak ramai yang kukenali. Malah tidak pernah nampak di hadapan mata.

    Antara nama lain yang pernah kudengar ialah Uci Labu, Lijah Koboi, Uci Woli, Pak Taju, Pak Ripin, Sahruddin Kompit dan Lili Pusek. Entah siapa yang dimaksudkan akupun tidak tahu. Namun nama-nama itu begitu sinonim bagiku. Biasa dengar, tapi tidak mengenali siapa orangnya.

    Hanya keluarga Tok Jiah, Niniek Uda, Uci Botik dan Nik Matey kukenal kesemuanya. Cucu Tok Ngah hanya Anis dan Ina sahaja kukenal benar. Anak Nik Ayien ramai, namun secara tepatnya aku sekadar kenal nama-namanya sahaja. Dahulu rakan sepermainan di kampung sekadar sepupu-sepupuku, anak bongsu Nek Uda, sesekali bertemu Ina, Acik Chinah, Acik Bitah dan Pak Man. Main perang-perang juga kami walaupun berpangkat mak dan pak saudara.

    Boleh berbahasa Rao atau Rawa? Alhamdulillah...masih boleh. Namun tidak 100 persen perkataannya kuketahui. Tambahan pula tiada kawan untuk diajak berbicara sama ada jiran atau rakan sekerja. Pernah aku berkarya dalam bahasa Rao dan Pak Dullah telah membantuku untuk menyemak dan memilih aksara yang lebih tepat untuk diungkapkan. Maka terbitlah buku tersebut, alhamdulillah.

    Dipendekkan cerita... majlis pertemuan ataupun Hari Keluarga Cucu cicit Haji Zainudin tersebut telah berjaya dilaksanakan. Sambutan luar jangkaan, terkesima juga aku. Ramai juga yang kukenali dapat hadir di program tersebut. Namun sama ramainya dengan yang tidak kukenali, tambahan pula peringkat muda. 

    Aku merupakan generasi Hj Zainudin yang ke-5. Anak-anakku yang ke-6. Manakala cucu-cucuku yang berdua itu telah berada di generasi yang ke-7. Keluarga makin berkembang. Yang tua semakin dimamah usia, jika tidak menautkan silaturahim, barangkali anak cucu tidak akan kenal siapa datuk nenek dan unyang mereka.

    Berlapang dadalah dan luangkan sedikit masa untuk bersama ahli keluarga sama ada di Hari Keluarga, Hari Raya, kenduri-kendara dan kematian. Jika tidak dapat bersama pada hari-hari berkenaan, carilah ruang waktu yang sesuai untuk kita menjejak kasih. Sekalung tahniah buat Ina Shofrina dan Acik Enon, peneraju yang berusaha menghimpun kita sekeluarga.

    TAHNIAH SEMUA, SYUKRAN JAZILAN ATAS KEHADIRAN. MUDAH-MUDAHAN KITA DAPAT BERSUA LAGI sebelum nafas terhenti.



    

Ahad, 28 Mei 2023

HAJAT YANG KESAMPAIAN

 


REZEKI bertemu sahabat penulis pada tahun ini tetap menjadi kenangan terindah. Nantikan kisahnya....


    Sebenarnya pada mulanya kami bercadang untuk menghadiri konvo Kak Lang sahaja di UiTM Shah Alam pada 24hb Mei. Disebabkan tarikh bermula PBAKL 2023 ialah pada 26hb, maka kami mengambil peluang keemasan ini untuk turut sama memeriahkan pesta buku pada kali ini. Sudah alang-alang berada sekitar KL... Lapipun sudah lama benar kami tidak menghadirinya.

    Sebelum itu tahniah diucapkan kepada Kak Alang kerana berjaya menghabiskan pengajiannya selama 7 semester di UiTM Puncak Perdana dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem maklumat dengan mendapat keputusan Kelas Pertama. Tahniah kak Lang! Alhamdulillah.

      Lama penantiannya asbab kehadiran covid dan PKP tanpa diundang. Lebih banyak masa belajar secara online daripada bersemuka. Seterusnya waktu konvo pun terpaksa ditunda. Ramai sungguh mahasiswa dengan pelbagai bidang pengajian memenuhi jadual konvokesyen tersebut. Mengikut senarainya terdapat 22 ribu lebih mahasiswa. Ditambah pula dengan kehadiran mereka dari jauh dan dekat ke UiTM induk tersebut. Berhari-hari majlis berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, bermula 20 Mei hingga 14 Jun.
 



    Betul-betul usia perkahwinannya cukup sebulan, barulah dia bergraduasi. Jadi, kami menumpang di rumah sewanya dalam tempoh tersebut. Sama-sama meraikan hari bersejarah yang ditunggu-tunggu sekian tahun. Walaupun bersesak-sesak sedikit pada hari berkenaan, namun semua berjalan lancar. 

    Jumaat, 26hb Mei 2023 merupakan saat yang ditunggu-tunggu. Dalam kesesakan tempat untuk memarkir kereta, kami mengambil tempat sedikit jauh. Terpaksa berjalan dan menaiki lif untuk sampai ke tempat dituju. Kelihatan awan mendung. Rintik hujan mula membasah bumi tatkala kami melangkah masuk ke tapak pesta. Alhamdulillah, hati berbunga riang.

    Anak terus menuju ke reruai Hilal Asyraf, penulis yang diminatinya. Teruja sungguh dia. Terkejut juga... di tingkat 4 itu sahaja sebanyak 18 buah buku menjadi pilihannya. Sendirian aku turun semula ke tingkat 3, tercari-cari reruai SHE. Akhirnya ketemu. Kelihatan tuan Hanif sibuk dengan urusannya beserta beberapa orang petugas. Kucapai telefon bimbit menghubungi Shimah.

    Dalam penantian itu, aku sempat bertemu sahabat penulis, iaitu Kak Norlela Zubir. Kami berpelukan. Dua buah buku solonya telah mengisi rak buku di rumah. Sebak mula merajai  hati. Tenang orangnya, sungguh tak sangka kami bertemu jua. Sempat juga berbicara dengan tuan Abdul Hanif yang merupakan bekas wartawan. Kini bersama-sama menulis antologi. Dialek Peraknya jelas kedengaran. Shimah yang dicari masih belum muncul.

    Sambil menunggu, aku mencapai buku yang baru dibeli. Duduk-duduk di kerusi merah bersama Kak Lang sambil membaca, mengisi masa terluang. Kak Uda sudah mula bersila di ruang yang tersedia, sambil tunduk membaca. Dua buah beg plastik besar tertonggok di sisinya. Mungkin berpuas hati dengan pilihannya. Tersenyum aku melihat gelagatnya. 

    Aku akhirnya bangkit. Melewati beberapa reruai. Sejuk hati memandang wajah Tuan Guru Nik Aziz terpampang di salah satu reruai di situ. Tidak jauh dari lokasi SHE. Aku tercari-cari Shimah sebaik-baik dimaklumkan bahawa dia ada di situ. Pertemuan di petang itu tercapai jua. Comel orangnya. Kemesraan pun bertaut. Hajat kesampaian, syukur pada nikmat-Nya. Nikmat sebuah pertemuan.

   




Di reruai itu aku menyaksikan beberapa buah antologi yang aku sertai tersusun di rak buku.

Terima kasih kepada sahabat dan rakan penulis, penyelenggara yang tabah, bos pemilik reruai SHE. Kerjasama semua memberi kekuatan untuk aku menulis. Insya-Allah ada rezeki kita bertemu lagi. 

Isnin, 22 Mei 2023

PERTEMUAN ...SETELAH SEKIAN LAMA

REZEKI tidak salah alamat. Kalau sudah tertulis rezeki yang Allah tentukan,tiada siapapun boleh menolak aau menghalangnya. Sesungguhnya itulah yang dijanjikan Allah buat kami bertiga. Syukur alhamdulillah.

    Pada hari berkenaan, aku dimaklumkan bahawa Liza tidak dapat menghadiri majlis tahlil dan akikah cucundaku yang dikasihi kerana menurutnya dia ke Pantai Remis menghadiri kenduri kahwin anak buah suaminya. Mahu tergelak aku jadinya kerana hari yang dimaksudkannya itu bukanlah hari yang sama. Segera aku mengatur aksara.

    "Esok Liza, bukan hari ni. Majlis tu esok, mulai jam 11.30 pagi," kujelaskan duduk perkara sebenar. 

    "Allah... " jawabnya. Aksaranya kubaca dengan penuh pengharapan. "Datang ye. Jemput sekeluarga," aku pasti tentu Liza mengucap panjang akibat tersilap tarikh yang dimaksudkan.

    Bagi Dilla pula, dia tidak menjanjikan kemungkinan besar akan hadir kerana sudah ada program di tempat lain yang barangkali lebih grand. Reunion di Masjid Sungai Terap katanyaNamun jawapannya berlapik juga. 

    Pada hari yang dijanjikan, kedua-duanya hadir bersama keluarga masing-masing. Syukur sangat-sangat. Setelah sekian lamanya tidak bersama... kami ditemukan dalam bulan Syawal yang jelas menjanjikan kemeriahan sebuah pertemuan. Berpuluh tahun tidak bersama, pertemuan ini mengembalikan nostalgia zaman budak-budak ketika bersama-sama di sekolah rendah. 
    Walaupun tidak dapat berbicara panjang kerana sibuk menerima dan melayan tetamu, hati tetap berbunga riang dengan kehadiran sahabat lama ini. Sekalung terima kasih aku ungkapkan atas kehadiran. Selepas ini entah bila lagi kita dapat bertemu. 

    Keesokannya pula kami singgah di Port Western untuk makan malam. Aku mencuba menu yang disediakan walaupun tekak sebenarnya jarang sangat menerima masakan barat. Aku sekadar memilih burger sebagai mengisi perut, sedangkan anak-anak membuat pilihan masing-masing.


    Di sini aku sempat berkisah panjang dengan kenalan yang baharu dikenali. Terima kasih Ita, layanan yang istimewa. Semoga bisness anakandamu berjaya serta menjadi pilihan warga sekitar dan para pengunjung dari jauh dan dekat. 
    Sebenarnya dahulu kami pernah bertemu namun masing-masing membisu kerana tidak mengenali antara satu sama lain. Tatkala Ita membangkitkan sejarah lama semasa aku berbasikal menemani bonda berniaga ... aku jadi terpukau seketika. Bonda kami saling mengenali. Allahu akbar.
    
    Sesekali pulang ke kampung, hati jadi sebak menelusuri rentetan kehidupan masa silam. Sesungguhnya rinduku tidak bertepi. Terima kasih Allah atas nikmat yang tidak dapat kami dustakan.

#kenangan14&15mei2023
#skbgdalamkenangan
#kgbatu2@srijaya

Rabu, 17 Mei 2023

Ahli Keluarga Baharu

 

SYUKUR Alhamdulillah, atas rezeki dan limpah kurnia-Nya keluarga kami makin bertambah. Terima kasih atas kesudian menjalinkan silaturahim dan ukhuwah, menyatukan dua hati malah sebenarnya menyatukan dua keluarga kita.

    Buat yang dikasihi anakanda Azri, syukran jazilan umi ucapkan atas keikhlasan menyunting anakanda umi sebagai surihati. Mudah-mudahan bahagialah kalian hingga ke jannah. 

    Bukan mudah melayari bahtera rumah tangga tanpa kesabaran, dan kekuatan serta keutuhan semangat serta sedia menerima kelebihan dan kekurangan pasangan masing-masing. Belajarlah saling melengkapi antara kalian berdua. Hanya doa dari umi dan abi sentiasa mengiringi perjalanan hidup kalian. 

    Asam garam kehidupan pasti dikecapi sepanjang perjalanan hidup ini. Buat anakanda Azri, jadilah nakhoda yang tabah mengharungi cabaran dalam pelayaran ini. Oleh kerana wanita dijadikan dari rusuk kiri yang bengkok, maka bentuklah dengan lembut. Jadilah imam buat anakanda umi, yang barangkali ada kekurangannya di mana-mana. Peganglah amanah ini kerana amanah ini telah berpindah daripada abi kepada Azri. Bentuklah peribadinya agar menjadi isteri solehah. 

 


  Buat anakanda Atiqah, taatilah suamimu selagi dia taat akan Allah SWT. Sama-samalah berpimpin tangan serta sedia berkongsi hidup. Saling memberi dan menerima. Segala rahsia rumahtangga, anakanda berdua simpanlah baik-baik. Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai idola kerana sesungguhnya baginda merupakan uswatun hasanah.

    Terima kasih buat yang dihormati Puan Jazlina & Encik Nazlee serta anakanda Ain, Nur, Bangchik, Haziq dan Iwan. Moga silaturahim berkekalan dan berpanjangan, insya-Allah.

foto kredit to JAZ

Rabu, 10 Mei 2023

TERCARI-CARI

 


    Bertahun sudah berlalu, entah kenapa kali ini tergerak hati untuk menjejak salasilah yang selama ini diketahui namun tidak cuba dijejaki. Barangkali mungkin kerana atas keizinan Dia juga. Mungkin juga kerana waktu yang terluang setelah memasuki era persaraan.

                ......... 

             Mak Andak masih seperti dahulu. Kami tidak pernah putus hubungan walaupun jarak memisahkan. Kadang-kadang kami bertemu di facebook. Ada waktunya pula berbicara di whatsapp. Sedikit khabar berita mengenai keluarganya akan dinyatakan. Mudah-mudahan semuanya berada dalam lindungan Allah SWT.

            Dalam bulan Syawal yang mulia ini, aku menjejak Mak Anjang @ Mak Jang dan Mak Kecik. Di zaman kanak-kanak dahulu nama-nama ini biasa bagiku. Asal pulang ke kampung ayah, pasti akan kutemui mereka kecuali Mak Jang. Namun suaminya memang rapat dengan kami. Ketika itu Pak Anjang masih bujang.

            Aku berusaha mengumpul nombor telefon dan alamat rumah mereka. Kebanyakannya telah sampai ke legasi yang ketiga, malah ada yang menjejak legasi keempat. Tahniah semua. Mudah-mudahan beroleh kesihatan yang baik serta daya ingatan yang masih kuat.

            Saudara sebelah emak sering kutemui melalui group whatsapp 'Sedaro-sedaro'. Melalui group ini jugalah kami berkumpul dan bertanya khabar. Jika untuk mencari kembali saudara mara yang lama tidak ditemui, kami boleh bertanya di sini. Alhamdulillah. Moga usaha berterusan kami ini akan menemukan semula mereka yang sekian lama hilang dari radar.

            Tatkala keluarga semakin berkembang, seorang demi seorang meninggalkan dunia fana ini. Yang muda pula mendirikan rumah tangga, bakal menyambung keturunan masing-masing dengan izin-Nya. Salah satu cara untuk mengenali dan menghubungkan silaturahim ialah dengan berkunjung ke rumah-rumah di musim perayaan. Boleh juga menghadiri jemputan walimatul 'urus andaikata dijemput, ataupun menghadirkan diri sekiranya mendapat khabar kematian sanak-saudara kita. 

            Begitulah betapa pentingnya kita sentiasa ambil maklum atau cakna terhadap apa yang berlaku terhadap ahli keluarga besar kita @ legasi kita. Jangan sampai kita tidak mengenali langsung mereka dek kerana tidak ambil kisah terhadap mereka. Lebih malang lagi jika jiran sebelah rupa-rupanya merupakan saudara kita, tanpa kita ketahui.  Mungkin juga yang membaca catatan ini merupakan saudaraku, tanpa diketahui.  Allahu akbar.

            Yang jauh kita dekatkan
            Yang dekat kita rapatkan
            Moga ukhuwah kita berpanjangan

Isnin, 8 Mei 2023

INGAT SALAH KITA, LUPAKAN SALAH ORANG

 GERAM hati kita apabila mendapat tahu bahawa dengan mudah-mudahnya si dia mengata kita di belakang, disampaikan pula oleh rakan kita kepada kita. Bermakna orang tersebut tidak tahu bahawa kita telah mengetahui rahsianya. Lebih menjengkelkan apabila di hadapan kita dia berpura-pura baik. Malah menyokong kita. Ibarat talam dua muka lagaknya.

    Begitulah sikap heroin satu Malaya. Namun setakat itu sahajalah penerimaanku. Jawapan aku kepada kawan tersebut.....biarlah, lantaklah. Itulah yang terjadi kepada diriku berbelas tahun yang lalu. Aku berusaha untuk tidak termakan umpan. Belajar untuk melupakan salah orang. Walaupun agak berbekas, aku berlatih untuk melupakannya. Ya benar, akhirnya aku berjaya. Alhamdulillah.

    Tanpa diduga ia berlaku lagi setahun yang lalu. Cuma skripnya sahaja yang berbeza. Tanpa segan silu, insan berkenaan rupa-rupanya berbohong kepadaku. Aku pula jenis pantang ditipu. Sekali kena tipu, sampai mati aku akan ingat! Dahsyat sungguh sikap buruk yang ada pada diri ini. Bayangkanlah... kita mati-mati ingat dia cakap betul. Rupa-rupanya dia corner ikut lain.

    Perwatakan berbeza seseorang itu bagiku akhirnya memakan diri. Di hadapan kita nampak baik. Di belakang kita, Allah sahaja yang tahu. Untuk merendah diri memohon maaf... langsung tidak nampak bayang. Aku belajar untuk melupakan, walaupun sukar. Belajar untuk menerima mereka seadanya, namun keras betul hatiku. Aku tetap menolak ke tepi insan-insan sedemikian. 

    Astaghfirullah... muhasabahlah diri. Akupun pernah bersalah juga. Hingga ke saat ini kesalahan itu tetap kuingat. Jangan simpan aura negatif dlm diri, kelak memakan diri. Akhirnya aku membebaskan diri daripada semua itu. Biar apa orang nak kata. Dan biarkan diri memekakkan telinga. Belajar jadi manusia yang sentiasa memberi. Memberi ilmu atau berkongsi ilmu, memberi perhatian, serta memberi maaf. 

    HIDUP UNTUK MEMBERI

    BERI YANG TERBAIK, MOGA YANG TERBAIK JUGA KEMBALI KEPADA KITA.

di Hirupiring, Seri Manjung

    

    

    

Ahad, 7 Mei 2023

LAMA TAK JUMPA


 DIA menemukan kita untuk kesekian kalinya. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar!  

Buat sahabatku Liza,

    Lama sungguh kita tidak bertemu. Sekadar facebook menjadi tali penghubung antara kita. Itupun bukan selalu. Anak-anak zaman sekarang sibuk dengan instagram atau mereka sebut sahaja IG. Sedangkan kita masih ditakuk lama.

    Dalam usia sebegini, hanya beberapa tahun sahaja lagi akan berinsut ke takah warga emas. Mudah-mudahan kita sama-sama sihat wal'afiat dalam meniti usia senja. 

    Pertemuan agak singkat beberapa hari yang lalu membawa imbauan berpuluh tahun yang lepas. Perkenalan kita bermula di tadika, seusia 5 tahun. Akhirnya bersama di SKBG selama 6 tahun, dalam kelas yang berbeza. 

    Kita berpisah mulai tingkatan 1 hingga 5 kerana engkau bertukar sekolah ke Convent. Namun dalam tempoh itu kita bertemu sesekali kerana tuisyen dengan guru yang sama di luar waktu sekolah. Sayangnya tidak banyak bicara. Sekadar bertentang mata. Kenal namun bisu bicara.

    Akhirnya bersua kembali ketika di tingkatan 6, juga dalam kelas yang berbeza. Tetap saling mengenali, tautan mata tanpa bicara. Dalam diam, kita sama-sama berkarya rupa-rupanya. Engkau menulis lebih kepada fakta, sedangkan aku memilih untuk karya kreatif. Walaupun di kelas sains, minatku lebih kepada penulisan. Sesungguhnya aku bukanlah orang sastera.

    Asyik benar kita bercerita kisah-kisah lama. mengingati sejarah yang tidak mungkin berulang. Kita gali kembali kenangan lalu. Menelusurinya satu-satu hingga terlupa bahawa waktu amat cemburu. Terima kasih Liza, kau masih seperti dahulu. Menyambut kami dengan tangan terbuka, tanpa menghirau riuh-rendahnya bising cucu yang sesekali berperang di lokasi yang tersedia.

    Ada rezeki, kita bertemu lagi menyambung bicara yang terhenti tiba-tiba.