Isnin, 8 Mei 2023

INGAT SALAH KITA, LUPAKAN SALAH ORANG

 GERAM hati kita apabila mendapat tahu bahawa dengan mudah-mudahnya si dia mengata kita di belakang, disampaikan pula oleh rakan kita kepada kita. Bermakna orang tersebut tidak tahu bahawa kita telah mengetahui rahsianya. Lebih menjengkelkan apabila di hadapan kita dia berpura-pura baik. Malah menyokong kita. Ibarat talam dua muka lagaknya.

    Begitulah sikap heroin satu Malaya. Namun setakat itu sahajalah penerimaanku. Jawapan aku kepada kawan tersebut.....biarlah, lantaklah. Itulah yang terjadi kepada diriku berbelas tahun yang lalu. Aku berusaha untuk tidak termakan umpan. Belajar untuk melupakan salah orang. Walaupun agak berbekas, aku berlatih untuk melupakannya. Ya benar, akhirnya aku berjaya. Alhamdulillah.

    Tanpa diduga ia berlaku lagi setahun yang lalu. Cuma skripnya sahaja yang berbeza. Tanpa segan silu, insan berkenaan rupa-rupanya berbohong kepadaku. Aku pula jenis pantang ditipu. Sekali kena tipu, sampai mati aku akan ingat! Dahsyat sungguh sikap buruk yang ada pada diri ini. Bayangkanlah... kita mati-mati ingat dia cakap betul. Rupa-rupanya dia corner ikut lain.

    Perwatakan berbeza seseorang itu bagiku akhirnya memakan diri. Di hadapan kita nampak baik. Di belakang kita, Allah sahaja yang tahu. Untuk merendah diri memohon maaf... langsung tidak nampak bayang. Aku belajar untuk melupakan, walaupun sukar. Belajar untuk menerima mereka seadanya, namun keras betul hatiku. Aku tetap menolak ke tepi insan-insan sedemikian. 

    Astaghfirullah... muhasabahlah diri. Akupun pernah bersalah juga. Hingga ke saat ini kesalahan itu tetap kuingat. Jangan simpan aura negatif dlm diri, kelak memakan diri. Akhirnya aku membebaskan diri daripada semua itu. Biar apa orang nak kata. Dan biarkan diri memekakkan telinga. Belajar jadi manusia yang sentiasa memberi. Memberi ilmu atau berkongsi ilmu, memberi perhatian, serta memberi maaf. 

    HIDUP UNTUK MEMBERI

    BERI YANG TERBAIK, MOGA YANG TERBAIK JUGA KEMBALI KEPADA KITA.

di Hirupiring, Seri Manjung

    

    

    

Tiada ulasan: