Isnin, 22 Mei 2023

PERTEMUAN ...SETELAH SEKIAN LAMA

REZEKI tidak salah alamat. Kalau sudah tertulis rezeki yang Allah tentukan,tiada siapapun boleh menolak aau menghalangnya. Sesungguhnya itulah yang dijanjikan Allah buat kami bertiga. Syukur alhamdulillah.

    Pada hari berkenaan, aku dimaklumkan bahawa Liza tidak dapat menghadiri majlis tahlil dan akikah cucundaku yang dikasihi kerana menurutnya dia ke Pantai Remis menghadiri kenduri kahwin anak buah suaminya. Mahu tergelak aku jadinya kerana hari yang dimaksudkannya itu bukanlah hari yang sama. Segera aku mengatur aksara.

    "Esok Liza, bukan hari ni. Majlis tu esok, mulai jam 11.30 pagi," kujelaskan duduk perkara sebenar. 

    "Allah... " jawabnya. Aksaranya kubaca dengan penuh pengharapan. "Datang ye. Jemput sekeluarga," aku pasti tentu Liza mengucap panjang akibat tersilap tarikh yang dimaksudkan.

    Bagi Dilla pula, dia tidak menjanjikan kemungkinan besar akan hadir kerana sudah ada program di tempat lain yang barangkali lebih grand. Reunion di Masjid Sungai Terap katanyaNamun jawapannya berlapik juga. 

    Pada hari yang dijanjikan, kedua-duanya hadir bersama keluarga masing-masing. Syukur sangat-sangat. Setelah sekian lamanya tidak bersama... kami ditemukan dalam bulan Syawal yang jelas menjanjikan kemeriahan sebuah pertemuan. Berpuluh tahun tidak bersama, pertemuan ini mengembalikan nostalgia zaman budak-budak ketika bersama-sama di sekolah rendah. 
    Walaupun tidak dapat berbicara panjang kerana sibuk menerima dan melayan tetamu, hati tetap berbunga riang dengan kehadiran sahabat lama ini. Sekalung terima kasih aku ungkapkan atas kehadiran. Selepas ini entah bila lagi kita dapat bertemu. 

    Keesokannya pula kami singgah di Port Western untuk makan malam. Aku mencuba menu yang disediakan walaupun tekak sebenarnya jarang sangat menerima masakan barat. Aku sekadar memilih burger sebagai mengisi perut, sedangkan anak-anak membuat pilihan masing-masing.


    Di sini aku sempat berkisah panjang dengan kenalan yang baharu dikenali. Terima kasih Ita, layanan yang istimewa. Semoga bisness anakandamu berjaya serta menjadi pilihan warga sekitar dan para pengunjung dari jauh dan dekat. 
    Sebenarnya dahulu kami pernah bertemu namun masing-masing membisu kerana tidak mengenali antara satu sama lain. Tatkala Ita membangkitkan sejarah lama semasa aku berbasikal menemani bonda berniaga ... aku jadi terpukau seketika. Bonda kami saling mengenali. Allahu akbar.
    
    Sesekali pulang ke kampung, hati jadi sebak menelusuri rentetan kehidupan masa silam. Sesungguhnya rinduku tidak bertepi. Terima kasih Allah atas nikmat yang tidak dapat kami dustakan.

#kenangan14&15mei2023
#skbgdalamkenangan
#kgbatu2@srijaya

Tiada ulasan: