Ahad, 7 Mei 2023

LAMA TAK JUMPA


 DIA menemukan kita untuk kesekian kalinya. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar!  

Buat sahabatku Liza,

    Lama sungguh kita tidak bertemu. Sekadar facebook menjadi tali penghubung antara kita. Itupun bukan selalu. Anak-anak zaman sekarang sibuk dengan instagram atau mereka sebut sahaja IG. Sedangkan kita masih ditakuk lama.

    Dalam usia sebegini, hanya beberapa tahun sahaja lagi akan berinsut ke takah warga emas. Mudah-mudahan kita sama-sama sihat wal'afiat dalam meniti usia senja. 

    Pertemuan agak singkat beberapa hari yang lalu membawa imbauan berpuluh tahun yang lepas. Perkenalan kita bermula di tadika, seusia 5 tahun. Akhirnya bersama di SKBG selama 6 tahun, dalam kelas yang berbeza. 

    Kita berpisah mulai tingkatan 1 hingga 5 kerana engkau bertukar sekolah ke Convent. Namun dalam tempoh itu kita bertemu sesekali kerana tuisyen dengan guru yang sama di luar waktu sekolah. Sayangnya tidak banyak bicara. Sekadar bertentang mata. Kenal namun bisu bicara.

    Akhirnya bersua kembali ketika di tingkatan 6, juga dalam kelas yang berbeza. Tetap saling mengenali, tautan mata tanpa bicara. Dalam diam, kita sama-sama berkarya rupa-rupanya. Engkau menulis lebih kepada fakta, sedangkan aku memilih untuk karya kreatif. Walaupun di kelas sains, minatku lebih kepada penulisan. Sesungguhnya aku bukanlah orang sastera.

    Asyik benar kita bercerita kisah-kisah lama. mengingati sejarah yang tidak mungkin berulang. Kita gali kembali kenangan lalu. Menelusurinya satu-satu hingga terlupa bahawa waktu amat cemburu. Terima kasih Liza, kau masih seperti dahulu. Menyambut kami dengan tangan terbuka, tanpa menghirau riuh-rendahnya bising cucu yang sesekali berperang di lokasi yang tersedia.

    Ada rezeki, kita bertemu lagi menyambung bicara yang terhenti tiba-tiba.

    

Tiada ulasan: