Rabu, 10 Mei 2023

TERCARI-CARI

 


    Bertahun sudah berlalu, entah kenapa kali ini tergerak hati untuk menjejak salasilah yang selama ini diketahui namun tidak cuba dijejaki. Barangkali mungkin kerana atas keizinan Dia juga. Mungkin juga kerana waktu yang terluang setelah memasuki era persaraan.

                ......... 

             Mak Andak masih seperti dahulu. Kami tidak pernah putus hubungan walaupun jarak memisahkan. Kadang-kadang kami bertemu di facebook. Ada waktunya pula berbicara di whatsapp. Sedikit khabar berita mengenai keluarganya akan dinyatakan. Mudah-mudahan semuanya berada dalam lindungan Allah SWT.

            Dalam bulan Syawal yang mulia ini, aku menjejak Mak Anjang @ Mak Jang dan Mak Kecik. Di zaman kanak-kanak dahulu nama-nama ini biasa bagiku. Asal pulang ke kampung ayah, pasti akan kutemui mereka kecuali Mak Jang. Namun suaminya memang rapat dengan kami. Ketika itu Pak Anjang masih bujang.

            Aku berusaha mengumpul nombor telefon dan alamat rumah mereka. Kebanyakannya telah sampai ke legasi yang ketiga, malah ada yang menjejak legasi keempat. Tahniah semua. Mudah-mudahan beroleh kesihatan yang baik serta daya ingatan yang masih kuat.

            Saudara sebelah emak sering kutemui melalui group whatsapp 'Sedaro-sedaro'. Melalui group ini jugalah kami berkumpul dan bertanya khabar. Jika untuk mencari kembali saudara mara yang lama tidak ditemui, kami boleh bertanya di sini. Alhamdulillah. Moga usaha berterusan kami ini akan menemukan semula mereka yang sekian lama hilang dari radar.

            Tatkala keluarga semakin berkembang, seorang demi seorang meninggalkan dunia fana ini. Yang muda pula mendirikan rumah tangga, bakal menyambung keturunan masing-masing dengan izin-Nya. Salah satu cara untuk mengenali dan menghubungkan silaturahim ialah dengan berkunjung ke rumah-rumah di musim perayaan. Boleh juga menghadiri jemputan walimatul 'urus andaikata dijemput, ataupun menghadirkan diri sekiranya mendapat khabar kematian sanak-saudara kita. 

            Begitulah betapa pentingnya kita sentiasa ambil maklum atau cakna terhadap apa yang berlaku terhadap ahli keluarga besar kita @ legasi kita. Jangan sampai kita tidak mengenali langsung mereka dek kerana tidak ambil kisah terhadap mereka. Lebih malang lagi jika jiran sebelah rupa-rupanya merupakan saudara kita, tanpa kita ketahui.  Mungkin juga yang membaca catatan ini merupakan saudaraku, tanpa diketahui.  Allahu akbar.

            Yang jauh kita dekatkan
            Yang dekat kita rapatkan
            Moga ukhuwah kita berpanjangan

Tiada ulasan: