Ahad, 9 April 2017

ZIARAH JUMAAT

Untuk kesekian kalinya kami berempat mencari ruang untuk menyambung Ziarah Jumaat yang kian lama tertangguh.  Dan kali ini kami menapak ke hospital.  Dalam perjalanan menuju destinasi utama, wad 9...... kami ditemukan dengan Wak di laluan kaki lima.  Cucunya ditahan di wad 9 juga.  Keracunan makanan katanya.

Tiba di tingkat atas, kami memperlahankan langkahan kaki..... ada kelibat seseorang yang cuba kami elakkan.  Lantas kami melencong ke arah yang berbeza.  Dan di situ kami bertemu dengan cucu Wak tadi.  Tak silap, nama yang tertera di dinding itu 'Nur Najla Amni'...... cantik namanya.  Usianya 19 tahun.  Siswa USM, bidang farmasi.  Sempat berbicara seketika dengan ayah dan ibunya.  Sebenarnya kami saling mengenali.  

Seterusnya kami ke katil Makcik Muhaini....... di kalangan mereka yang rapat dengannya, beliau digelar Mak Ngah.  Tapi bagiku yang ada pertalian saudara sekampung dengannya, aku lebih suka memanggilnya dengan panggilan 'Makcik Muhai'.   Ibuku dan Makcik Muhai pernah sama bersekolah di zaman Inggeris dulu.  

Aku ditemukan dengan Pak Pian, pangkat bapa saudara.  Sebenarnya kami bertemu dalam group whatsapp keluarga yang kubina beberapa tahun yang lalu.  Memang tak pernah bersua pun.  Sempat juga aku berbual agak panjang dengan anak Makcik Muhai dan Pak Pian.  Aku meninggalkan mereka dengan hati yang berbunga.  Bertemu saudara ibuku yang baru sedar dari komanya.  Salam Pak Pain pada ibu dan ayahku in syaa Allah akan kusampaikan nanti.

Aku mempercepatkan langkah menuju ke wad 6.  Mereka bertiga telah ke sana lebih awal.   Dia terlebih dahulu memberi salam kepadaku tika mata kami bertentang.  Aku segera melangkah merapatinya. Erat genggamannya tika kuhulurkan salam.  Sebak menatap wajah Cikgu Yati.  Sudah lama aku mengenalinya.  Hanya kenal pada wajahnya.  Seringkali bersua.  Namun tak pernah berbicara.  Cuma aku perasan dia sedikit kurus.  Menderita sakit kanser.  Ya Allah ....... ampuni dan kasihanilah dia Ya Allah.  Kurniakanlah dia kesabaran dan kekuatan.

Kami meninggalkan wad 6 dengan membawa kisah Cikgu Yati yang sarat dengan amanah dan tugas yang dipikulnya sebelum beliau pencen.  Beliau seorang Guru Kanan sekolah. 

Dan dalam perjalanan menuju ke tempat parkir, kami bertemu Kak Ros di ruang legar kaki lima.  Aku sebenarnya tidak mengenali beliau.  Tapi memandangkan kawanku beria-ia mengejarnya dari belakang, maka kami mengambil keputusan berpatah balik ke wad 9.  Hidayah segera bermohon diri.  Biasanya dia akan membantu ibunya membuat biskut raya.  Selesai kerja jam 5.00 begitulah rutinnya, sementelahan pula belum menemui pembantu yang boleh diharap meringankan tugas di bengkel biskut ibunya itu.

Di pertengahan jalan, aku menunggu Kak Fadz yang sibuk mengambil nombor telefon bimbit kawan lamanya yang terserempak tika itu.  Sementara itu kawan kami yang seorang lagi lesap entah ke mana.  Cepat sungguh pergerakannya.  Kami berdua bertawakkal sahaja, dan gerak hati itu memang tepat.  Mereka kami temui betul-betul di hadapan katil adik Najla, pesakit yang mula-mula kami ziarah tadi.  Dan kami disapa oleh ibu Najla di situ.    

Dan akhirnya Kak Ros yang baru kukenal itu rupa-rupanya adik kawan sekerjaku, Kak Ana.  Hai....... pusing-pusing tak ke mana jauhnya.  Emm.... betapa keciknya dunia!!!  Kak Ros menziarahi ibu mertuanya di wad yang sama.

Dan kami pulang dengan membawa harapan agar kesemua mereka segera Allah sembuhkan.