Jumaat, 27 Mac 2020

APA KHABAR SEMUA?

Apa khabar anak-anak? 
Agak lama bercuti....bermakna lamalah juga kita tidak bersua.

Bagi yang berada, bolehlah belajar melalui komputer.  Kalau ada internet...

Melalui telefon bimbit pun boleh,jika ada data.  Kemudahan begitu untuk yang berkemampuan.  Manfaatkan dengan cara yang betul.

Namun bagi mereka yang dhaif, serba kekurangan..... cikgu tidak memaksa kepada semua itu.  Cukup sekadar buku-buku sekolah yang ada.  Jawablah latihan yang ada di dalamnya.  

Bagi anak-anak didik cikgu yang belum mahir.....mohonlah bimbingan ibu, ayah, abang atau kakak yang ada di rumah tu.  Sedikit pun cukuplah dalam sehari.  Bak pepatah ....sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Teruslah istiqomah ataupun berterusan mengamalkannya.  Baca dan ulang semula.  Jangan jemu ya.  Amat cikgu harapkan agar tidak meninggalkannya terus.  Peruntukkanlah masa untuk membaca, walaupun sedikit tapi berterusan.  Luangkan juga masa untuk menjawab latihan bertulis dan mengira.

Waktu lapang yang lain boleh diisi dengan bermain, namun begitu carilah yang sesuai.  Yang boleh dilakukan di dalam rumah bersama adik beradik yang lain.  Tidak ada telefon bimbit ataupun permainan menggunakan komputer..... tidak bermakna kita tidak boleh bermain.

Anak-anak yang kreatif masih boleh bermain selambut atau seremban. Sambil bermain, boleh belajar mengira.  Kalau tidakpun bermain congkak, kemahiran mengira ada di situ juga. 

Adanya sahibba, monopoli,dam ular,dam haji..... yang kini dilupakan.  Main ramai-ramai seisi keluarga sambil mengeratkan tali kekeluargaan yang kian renggang disebabkan dunia siber di zaman serba canggih ini!

Bagi kakak dan abang yang boleh membaca, menulis dan mengira dengan baik.......saat-saat beginilah adik-adik yang belum menguasai itu memerlukan khidmat anda. Tapi jika tiada adik-beradik lain, ibu dan ayahlah menjadi harapan untuk mencorakkan mereka.

Peluang terbuka luas bila mana kita diarahkan "Stay At Home".  Ia bukan bermakna makan, tidur, masak dan masak dan masak lagi.....dan makan, makan, dan makan lagi.  
Atau bergayut di telefon bimbit.....komputer, 'games', kaca tv.

Hubungan kita dengan Allah perlu ditingkatkan.  Sebelum ini kita sering menyebut "tak cukup masa", "sibuk", "tak sempat ", dan pelbagai alasan lagi.  Tapi sekarang Allah sudah berikan kita banyak masa di rumah.  Berbeza dengan barisan 'frontliners' di sana!!!

Jadi, bolehlah kita isikan bersama anak-anak dan keluarga.  Ayah yang tidak dapat ke masjid atau surau digantikan dengan menjadi imam di rumah.  Abang-abang yang dewasa pun boleh silih berganti memegang jawatan itu.  Kan bagus...

Benarlah, di sebalik ujian Allah ini.....jika dimanfaatkan sungguh-sungguh.... memberi impak besar terhadap memulihkan cara hidup kita yang sekian lama lari dari relnya.

Masih ada ruang untuk kita perbetulkan kesilapan yang ada.  Ataupun kita membuat penambahbaikan terhadap jadual hidup kita seharian.

Janganlah masa yang berharga ini kita sia-siakan begitu sahaja.  Fikirkan yang positif, sambil mendoakan yang positif juga buat mereka yang kini berada di barisan hadapan dalam menangani covid 19.

Doa itu adalah senjata orang mukmin.
Jom kita saling mendoakan buat semua, tanpa mengira apa bangsa sekalipun, apa negara sekalipun.

Buat anak didik yang dikasihi..... semoga Allah melindungi anda semua.  In shaa Allah, panjang umur murah rezeki....kita jumpa nanti di sekolah.  Semoga keadaan segera pulih seperti sediakala.



Salam sayang dari cikgu....
10.12 pagi
ktb7 lekir

Khamis, 26 Mac 2020

SIAPA DIA

Entahlah.......tiap kali mendengar suaranya, dalam sesi ceramahnya........hati rasa amat tersentuh.  Lembut bicaranya terkadang mudah aku menitiskan airmata.  Begitulah tutur bicaranya......Ustaz Ebit Liew.

Kita cuma berbeda dari segi bangsa ataupun keturunan....  Namun kita tetap bersaudara.  

Menelusuri perjalanan dakwahnya.....aku turut teruja.  Dengan lembut tutur bicara....begitulah selalu.  Buku-bukunya pernah kubeli.  Kuhadam sama.  Perjalanan hidup seorang pendakwah....

Terasa amat kerdil aku.  Yang dilahirkan sebagai seorang Islam.  Islam baka.  Tapi dari sudut dakwah.... terlalu jauh bezanya aku dengan 'dia'.  Berapa ramai orang yang telah beliau Islamkan.....  tapi aku???????

Dan terkini...... apa yang aku kesalkan....usaha murni beliau diperlekehkan.  Bila mana beliau terkehadapan dalam memberi sumbangan di musim covid 19 ini dicemuh.  

Salahkah menghulurkan bantuan, di saat ramai yang memerlukan?
Salahkah dibuat rakaman?

Selama ini pun beliau turun padang menyantuni gelandangan.....
Turut bersama mat-mat motor di jalanan.....
Itu belum lagi rakaman detik-detik mengIslamkan orang....

Tahukah apa isi hati beliau tatkala rakaman dibuat?
Nak menunjuk-nunjuk .......
Nak cari publisiti murah ........
Nak dapat 'glamour'.........
Yang mana satu ye???
Jangan membuat andaian sendiri berasaskan tabiat dan sifat PHD yang ada.
Anda bakal....menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri
Ataupun......ibarat meludah ke langit.....

Kita bukan Tuhan untuk mentafsirkan manusia
Kita juga bukan malaikat yang mencatat semuia amalan manusia

Janganlah melabel orang sesuka hati, kerana siapalah kita

Sedarkah bahawa mungkin dengan cara itu.... 
Menjadi asbab untuk orang lain turut sama membantu.

Kenapakah sukar sangat turut sama memberi pandangan positif....
Paling tidak mengucapkan tahniah atas usaha itu....
Atau mendoakan sama agar misinya berjaya.....

Orang buat baik pun salahkah?
Islam menganjurkan kita berbuat baik dan mencegah kemungkaran.  Belajarlah menghargai, jika ingin diri dihargai.



catatan 5.10 ptg
26032020
ktb7,lekir



























Rabu, 25 Mac 2020

PERJALANAN TERAKHIR

10 Mac 2020 ....kau pergi meninggalkan kami.  

Suasana pagi Selasa 10 Mac yang meriah dengan suara anak-anak di Arena Ar Rayyan tiba-tiba dikejutkan dengan berita kemalangan itu.  Aku turut berkongsi melihat apa yang dipaparkan di telefon bimbit rakan sekerjaku.  Agak terpinga-pinga dengan apa yang dikhabarkan oleh As awal pagi itu.  Berita masih panas.  Masing-masing seakan tidak percaya.

Tatkala anak-anak didik kami melangkah ke kelas masing-masing, kelihatan beberapa orang rakanku berbual sambil mengiakan bahawa memang sahih berita yang diperoleh pagi itu.

Aku terus berjalan ke kelasku yang lokasinya berhampiran pondok pengawal.  Daripada perbualanku dengan Yati, segala gambaran tepat kuperoleh.  Arwah sempat diajar mengucap dan berakhir dengan kepalanya terkulai di tempat duduk bahagian belakang kereta yang dipandu ayahnya.  Menurut Yati, keadaan kereta memang teruk. 

Mendengar khabar yang jelas itu..... rasa sebak menyerang tiba-tiba.  Allahurobbi.......
Teringat aku kisah semalam, iaitu kisah sehari sebelum kejadian 10 Mac itu terjadi.
......Jam 2.30 petang itu rupa-rupanya hari terakhir kami bersama.  Bersama di kelas tambahan hari Isnin, 1.30 hingga 2.30 petang.

Fikiranku menerawang pada tajuk "Aku Sepasang Kasut"......... Dan pertanyaanku kepada kelas kecilku itu, "Nak habiskan dengan 'Sad Ending' atau 'Happy Ending'? "  

Spontan dia menjawab 'Sad'...... 

Aku memujuk, " 'Happy Ending' jer la ye....."

Kami berbincang cara menjawab soalan penulisan tersebut.  Semua isi karangan yang kami bincang dicatat dalam kertas yang diedarkan.  Dan aku berjanji akan membimbing mereka menyambungnya dalam bentuk penulisan penuh pada hari Khamis nanti.

Begitulah janjinya .........

Dan semasa waktu makan di kantin pada 10 Mac itu........ masing-masing membuka lembaran kisah tentang arwah.  Sahabatku Izan, yang merupakan guru kelasnya kelihatan merah matanya.  Barangkali telah kering air matanya menahan sedih di atas kehilangan yang tidak terduga.

Kak Nani pula kehilangan ayam tambatan dalam 'team' bola balingnya.  Meskipun sedikit nakal, pemergian anak ini begitu meninggalkan kesan mendalam terhadap kami warga pendidik SKL.  

Dia bukan orang senang....... ada kalanya pengusaha kantin secara sembunyi-sembunyi bersedekah makanan kepadanya.  Tidak kurang juga ada dalam kalangan guru yang bersedekah duit belanja.  Malahan tahun ini beberapa orang guru sudi berkongsi melunaskan bayaran buku dan keperluan persekolahannya di awal tahun.

Mengenang itu semua, pilu makin meraja.   

Sebenarnya sebelum ini, aku pernah membimbingnya di Kelas Pemulihan iaitu semasa dia di Tahun 2 dan Tahun 3.  Selama 2 tahun bersama, akhirnya dia berjaya lulus dalam ujian yang diberi.  Alhamdulillah.

Dan bimbinganku terhadapnya kali ini telah terhenti buat selama-lamanya.  SKL telah kehilangan seorang calon UPSR tahun 2020. Dalam usia semuda itu engkau telah sampai di penghujung perjalanan.  Dan nokhtah terakhir itu melabuhkan rasa pilu yang teramat.  

Salam takziah buat keluargamu.  Semoga mereka tabah dan kuat menerima ujian Allah ini.
Berbahagialah di taman barzakh, bergembiralah di syurga abadi.
Salam sayang dari kami semua buatmu,  Muhammad Hafizuddin.  





Catatan 25 Mac 2020
10.50 malam
ktb7 lekir










BERIKAN MEREKA KEKUATAN

Allahurobbi......terkesima aku......
.
.
.
.
.
.
.
.

Kemudian daripada itu.......... setiap group yang kusertai membawa khabar yang sama.......langsung ku 'delete' semua khabar itu. Hanya kutinggalkan di dalam satu 'group' sahaja.  Di ruang hati bertenggek rasa bimbang berbaur sedih.

Tatkala benteng pertahanan utama didapati positif covid19 ...... ..aku mula terkenangkan sahabat yang berjuang di medan itu.  Pada Doktor Azizul, pada Doktor Fadhilah........  Juga pada Doktor Anushree, yang merupakan bekas muridku di SK Sungai Wangi suatu ketika dahulu.

Meskipun bukan nama-nama ini yang disebutkan....... yang terbabit adalah sahabat atau ahli keluarga HSM juga.  Yang bertungkus lumus berganding bahu dan saling bekerjasama dalam apa jua keadaan.  Sekalung tahniah untuk mereka, hero yang tidak didendang!!!

Ya Allah, kami mohon pada-Mu..............

Betapa kepayahan itu telah mereka lalui
Demi mereka-mereka yang memerlukan

Betapa kesulitan itu redho diterima
Demi amanah yang digalas

Betapa kesusahan itu rela dihadam sama
Hingga ada hati yang dirundung sedih ....... ditinggalkan

Acapkali keletihan melanda
Kepenatan menghantui
Namun kewajipan jadi keutamaan

Jangan jatuh dan mengalah...
Kami tetap mendoakan yang terbaik buat anda semua


Ya Allah Ya Robbi.....
Berikanlah kekuatan
Kurniakanlah kesabaran
Anugerahkanlah kesembuhan
Belas kasih dan rahmat-Mu amat kami dambakan


12.25 am
25.03.2020
ktb7 lekir