Rabu, 25 Mac 2020

PERJALANAN TERAKHIR

10 Mac 2020 ....kau pergi meninggalkan kami.  

Suasana pagi Selasa 10 Mac yang meriah dengan suara anak-anak di Arena Ar Rayyan tiba-tiba dikejutkan dengan berita kemalangan itu.  Aku turut berkongsi melihat apa yang dipaparkan di telefon bimbit rakan sekerjaku.  Agak terpinga-pinga dengan apa yang dikhabarkan oleh As awal pagi itu.  Berita masih panas.  Masing-masing seakan tidak percaya.

Tatkala anak-anak didik kami melangkah ke kelas masing-masing, kelihatan beberapa orang rakanku berbual sambil mengiakan bahawa memang sahih berita yang diperoleh pagi itu.

Aku terus berjalan ke kelasku yang lokasinya berhampiran pondok pengawal.  Daripada perbualanku dengan Yati, segala gambaran tepat kuperoleh.  Arwah sempat diajar mengucap dan berakhir dengan kepalanya terkulai di tempat duduk bahagian belakang kereta yang dipandu ayahnya.  Menurut Yati, keadaan kereta memang teruk. 

Mendengar khabar yang jelas itu..... rasa sebak menyerang tiba-tiba.  Allahurobbi.......
Teringat aku kisah semalam, iaitu kisah sehari sebelum kejadian 10 Mac itu terjadi.
......Jam 2.30 petang itu rupa-rupanya hari terakhir kami bersama.  Bersama di kelas tambahan hari Isnin, 1.30 hingga 2.30 petang.

Fikiranku menerawang pada tajuk "Aku Sepasang Kasut"......... Dan pertanyaanku kepada kelas kecilku itu, "Nak habiskan dengan 'Sad Ending' atau 'Happy Ending'? "  

Spontan dia menjawab 'Sad'...... 

Aku memujuk, " 'Happy Ending' jer la ye....."

Kami berbincang cara menjawab soalan penulisan tersebut.  Semua isi karangan yang kami bincang dicatat dalam kertas yang diedarkan.  Dan aku berjanji akan membimbing mereka menyambungnya dalam bentuk penulisan penuh pada hari Khamis nanti.

Begitulah janjinya .........

Dan semasa waktu makan di kantin pada 10 Mac itu........ masing-masing membuka lembaran kisah tentang arwah.  Sahabatku Izan, yang merupakan guru kelasnya kelihatan merah matanya.  Barangkali telah kering air matanya menahan sedih di atas kehilangan yang tidak terduga.

Kak Nani pula kehilangan ayam tambatan dalam 'team' bola balingnya.  Meskipun sedikit nakal, pemergian anak ini begitu meninggalkan kesan mendalam terhadap kami warga pendidik SKL.  

Dia bukan orang senang....... ada kalanya pengusaha kantin secara sembunyi-sembunyi bersedekah makanan kepadanya.  Tidak kurang juga ada dalam kalangan guru yang bersedekah duit belanja.  Malahan tahun ini beberapa orang guru sudi berkongsi melunaskan bayaran buku dan keperluan persekolahannya di awal tahun.

Mengenang itu semua, pilu makin meraja.   

Sebenarnya sebelum ini, aku pernah membimbingnya di Kelas Pemulihan iaitu semasa dia di Tahun 2 dan Tahun 3.  Selama 2 tahun bersama, akhirnya dia berjaya lulus dalam ujian yang diberi.  Alhamdulillah.

Dan bimbinganku terhadapnya kali ini telah terhenti buat selama-lamanya.  SKL telah kehilangan seorang calon UPSR tahun 2020. Dalam usia semuda itu engkau telah sampai di penghujung perjalanan.  Dan nokhtah terakhir itu melabuhkan rasa pilu yang teramat.  

Salam takziah buat keluargamu.  Semoga mereka tabah dan kuat menerima ujian Allah ini.
Berbahagialah di taman barzakh, bergembiralah di syurga abadi.
Salam sayang dari kami semua buatmu,  Muhammad Hafizuddin.  





Catatan 25 Mac 2020
10.50 malam
ktb7 lekir










Tiada ulasan: