Rabu, 22 Februari 2023

PEMINAT BUKU

     TERIMA KASIH buat pembaca budiman kerana sudi membeli dan seterusnya memiliki buku yang mengandungi karya saya. Kita mempunyai minat yang sama, iaitu membaca. Tahniah kerana menyahut seruan yang terkandung dalam ayat pertama yang Allah turunkan iaitu  Iqra', yang bermaksud 'Bacalah'. Mudah-mudahan hobi tersebut memberi manfaat buat kita.

    Buat Shida, salam perkenalan. Terima kasih kerana memesan buku Anekdot Kaya Minda Sihat Jiwa dan Upih. Katanya untuk dihadiahkan kepada anakanda yang dikasihi. Elok benar minat yang sama kita semaikan ke dalam diri anak-anak. Moga-moga isinya menjadi iktibar buat pembaca. 

    Kepada Jay pula, diucapkan terima kasih juga atas pesanan Anekdot Kaya Minda Sihat Jiwa dan Dalam (Memorabilia). Buku 'Dalam' mengungkap kenangan bersama COVID 19. Memang mungkin sukar untuk dilupakan detik cemas dan pilu semasa negara dilanda corona virus. Beberapa catatan mungkin ada persamaannya dengan apa yang kita telah alami.

    



    


    'Upih' pula mengisahkan kenangan lalu penulis-penulis yang ditulis secara ringkas. Zaman kanak-kanak atau zaman persekolahan diceritakan secara santai, penuh ceria dan menghiburkan.

    Buku ini ada geng sebenarnya, namun karya saya sekadar di dalam Upih sahaja. Boleh dibaca oleh anak-anak yang tidak pernah mengalami suasana kehidupan zaman penulis yang bebas daripada gajet.

    Buat Shida dan Jay selamat membaca. Moga buku-buku yang telah diterima dapat menjadi ilham untuk berkarya pula. 

Khamis, 16 Februari 2023

ANXIETY

 

PERTAMA kali poster kecil ini masuk ke group WhatsApp kampung, aku merenung betul-betul ketiga-tiga wajah yang terpapar. Emm.... memang kenal sangat moderator berkenaan. Owh...Kak Ana akan datang ke Manjung! Teruja sungguh aku.

    Aku lantas menghubunginya dan berpesan kepadanya untuk membawa naskah 'Murung Yang Terlena' pada hari berkenaan. Pernah membaca info mengenai buku tersebut, tapi belum berkesempatan untuk memilikinya. 

    Pada tarikh yang dijanjikan aku memandu sendirian. Acap benar aku dan anak-anak singgah di Masjid Al Hidayah tatkala ada urusan di bandar. Tempat yang menjadi pilihanku untuk singgah solat. Kadang-kadang di dewan kuliah itu jugalah aku menghadiri program ceramah dan menadah ilmu. Itupun jika ada kelapangan. Perjalanan untuk sampai ke situ, sekadar 15 minit. 

    Setelah mendaftar diri, aku mengambil tempat di sebelah kiri dewan. Sambil duduk-duduk menjeling, kelihatan ramai yang aku kenali. Pesara belaka. Sempat rakan di sebelah menyatakan sesuatu tentang ahli panel kedua yang merupakan jiran beliau. Menarik kupasan yang kami dengar pada hari berkenaan. Beberapa tip dikongsikan oleh doktor kepada kami sebagai amalan harian. Pesara guru yang pernah mengalami anxiety menceritakan pengalamannya yang boleh dijadikan iktibar. Terasa masa berlalu begitu pantas. Sebelum meninggalkan majlis aku sempat meminta Kak Ana untuk menurunkan tanda tangannya pada buku yang kubeli. 

    Menyedari bahawa agak sukar untuk menemui Kak Ana, dan inilah satu-satunya peluang keemasan... maka aku segera mengambil foto kenangan bersamanya.

    Terima kasih Ya Allah kerana mempertemukan kami. Selama ini kami bersua di maya sahaja. Insya-Allah buku solo Kak Ana ini akan kuhadam, dan menjadi iktibar buat sesiapa yang memilikinya. Selamat maju jaya Kak Ana dan beroleh kesihatan yang baik. Pengalaman Kak Ana moga bermanfaat buat kami semua. Ada rezeki, kita bersua lagi, insya-Allah.

Rabu, 15 Februari 2023

Jangan Silap Menilai

 

PERTAMA kali melihat kulit buku ini, ianya kelihatan seperti buku PJK di sekolah. Barangkali boleh juga ditafsirkan sebagai buku Sains Kesihatan. Begitulah persepsi aku terhadap buku berkulit hijau lembut ini.

    Namun perkataan 'Anekdot' begitu kuat menggamit hati untuk duduk menelaah. Terlalu ramai penulis berkumpul di dalam buku ini. Satu demi satu tajuk kuteliti. Mata begitu pantas berlari dari satu nama ke satu nama lain.

    Ada beberapa orang rakan penulis yang kukenali menyumbang karya di dalam buku yang bertema membaca dan kesihatan ini. Penulis pula dari pelbagai latar belakang. Anak-anak di bangku sekolah turut menampilkan penulisan yang agak baik. Tahniah buat mereka. Berbakat sungguh.

    Memang menarik kisah-kisah yang utarakan. Bagaikan magnet...aku ditarik-tarik untuk terus membaca. Ada beberapa kisah di dalam tema membaca itu menyamai sejarah kehidupanku suatu waktu dahulu. Terasa bagai dibawa hanyut bersama kenangan lampau. Rupa-rupanya ada dalam kalangan kita memiliki perjalanan hidup yang lebih kurang sama. 

    Sudah ada beberapa orang kawan dan kenalan baharu turut kepingin memiliki buku ini setelah aku mempromosikannya kepada mereka. Shida yang baru kukenali ingin menghadiahkan buku ini kepada anaknya. Manakala Zura pula memesan dua buah buku pula, satu untuk diri dan satu lagi untuk kawannya yang pernah terkesan dengan masalah kesihatan.

    Aku meneliti sekilas pandang tajuk-tajuk dalam tema kesihatan. Dalam masa berkira-kira untuk meneruskan pembacaan, hati teringat kepada urusan lain yang perlu dibereskan. Maka aku terpaksa menutup buku ini terlebih dahulu. Bersabarlah duhai hati. Memang benarlah firman Allah SWT dalam ayat pertama yang diturunkan-Nya..... Iqra'...... maka bacalah! Kita tidak akan rugi menimba ilmu dengan membaca.

    Terima kasih kawan-kawan kerana memberi sokongan dengan membeli buku ini. Aku turut menyumbang karya dengan tajuk BA + JA ......MEJA. Jemput baca ya!

    

Jumaat, 10 Februari 2023

KENANGAN DI ISTANA KELLY

 

    MASIH kuingat lagi semasa belajar di SMR, Batu Gajah. Ketika itu tidak silap aku berada di tingkatan satu atau dua.... Dua orang guru pelatih dari maktab perguruan di Ipoh yang menjalani sesi latihan mereka, telah mengajak kami berkunjung ke Istana Kelly. Setelah mendapat keizinan dari emak dan ayah, aku menyertai mereka.

    Kami memulakan pagi dengan menaiki bas. Sebaik-baik tiba di lokasi, kami turun dengan bekalan yang dibawa. Kami mula meredah semak samun yang sedikit tebal. Hati sedikit gementar kerana selepas itu kami terpaksa pula menyeberang sungai. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana waktu itu air tidaklah dalam sangat. Namun keadaannya keruh bak air teh tarik.

    Dalam kepayahan kerana kaki seluar yang sedikit berat dek kebasahan, aku melangkah kemas mendaki tebing bersama-sama rakan yang lain. Kami saling membantu dan berjaga-jaga terhadap keselamatan diri. Sebaik-baik kelihatan bangunan Istana Kelly tersergam di hadapan mata, hati rasa teruja. Kami berehat seketika di tapak bangunan bahagian belakang yang hanya kelihatan tiang-tiang sahaja. Mata tertancap pada bangunan lama yang unik. 

    Segala pesanan cikgu kami ikuti. Bergerak berkawan-kawan sambil mata melirik pada reka bentuk bangunan. Telah lama ia ditinggalkan. Mata sedikit melilau memerhati, meninjau dari satu bilik ke satu bilik. Cantik susunan batu-batanya. Tampak jelas seninya. Setapak demi setapak kaki melangkah menaiki mata tangga. Hingga akhirnya kami berjaya berada di atas bumbung rata. Saujana mata memandang. Kehijauan tumbuh-tumbuhan menyejuk pandangan.

    Cikgu menasihati kami agar meniarap bagi merendahkan badan jika ingin melihat ke bawah bangunan. Aku mengelak untuk melakukannya kerana gayat. Kami bergambar kenangan beramai-ramai di puncak tersebut. Kami menuruninya setelah beberapa ketika menikmati panorama di situ. Kemudian dengan berhati-hati kami melangkah turun. Seingat aku tidak ada pemegang di sisi seperti tangga zaman sekarang. 

    Di bahagian bawahnya pula terdapat lorong bawah tanah yang berakhir di estet berhampiran Gopeng Itu mengikut cerita-cerita orang lama pada waktu itu. Sebenarnya lorong tersebut banyak yang telah rosak akibat pendudukan Jepun. Setelah beberapa lama berada di lokasi tersebut, kami bergerak beramai-ramai menuju ke estet tempat tinggal beberapa orang kawan berketurunan India, itupun atas pelawaan mereka.

    Sekian lama kami berjalan, hingga terasa keletihan. Namun estet yang dikatakan berdekatan itu masih belum ditemui. Barangkali begitulah kepayahan yang ditempuh anak-anak estet yang serba dhaif. Patutlah aku seringkali perasan keadaan kasut getah yang dipakai ke sekolah itu kelihatan kemerahan akibat debu sepanjang laluan mereka. Kuatnya kaki mereka. Mereka jugalah merupakan pelari sekolah kerana sering menjuarai larian beberapa kali pusingan padang sekolah.

    Nama-nama mereka yang masih kuingat... Sivalingam, Ramarao dan Shanmugam. Inilah antara rakan sekelas yang berentap hebat semasa sukan sekolah berlangsung. Bagaimanakah keadaan mereka sekarang. Kami terus terputus hubungan setelah meninggalkan SYS.

    Kini untuk ke Istana Kelly tidak payah bersusah-susah. Dari tepi jalan utama ia boleh dilihat. Telah ada jambatan bagi memudahkan orang menyeberang Sungai Raia yang kelihatannya makin melebar dengan warna yang sama. Sejak hari itu aku tidak pernah menjejak kaki ke istana itu lagi walaupun kemudahan telah sedia ada. Jika berkereta melewati kawasan tersebut, aku sekadar memandangnya sahaja sambil mengingat peristiwa silam. Nikmat kepayahan dalam menjejak istana lama yang tersembunyi di tengah belantara!


    

Ahad, 5 Februari 2023

SAAT KERETA DIMANDIKAN

     KAMI menapak ke seberang jalan sebaik-baik kunci bertukar tangan. Sesekali aku mengajak anak-anak melepas dahaga di warung kecil di situ. Walaupun aku telah lama menyedari akan kewujudannya, namun inilah baru pertama kali kami singgah. 

    Sebaik-baik tiba di situ, kami disambut dengan ucapan salam dan selamat datang oleh seorang pak cik. Sempat beliau mengusik kami. Walaupun sedikit terkejut dengan tingkahnya, namun suasana bertukar ceria dengan keramahan beliau. Dialek Jawa kedengaran jelas sekali. Beliau membahasakan diri sebagai 'Wak' sahaja.  Mudahlah sedikit kami berbual.

    "Nasib baik tak ada pantun," ujarku. Kedua-dua anakku ketawa kecil. "Jenuh pula nak jawab nanti," sambungku. Makin meriah pula keadaan di warung itu. 

    Kami memesan minuman. Kedua-dua anakku membuka bekal makanan yang dibeli di pekan Sabtu tadi. Sempat pula anakku meminta keizinan untuk menumpang makan di situ. Apa tidaknya, mereka mungkin lapar ditambah lagi dengan terpaksa menunggu agak lama kerana kelihatan kereta beratur panjang di 'Carwash Popular'. Aku pula telah bersarapan di rumah, sebelum kami keluar tadi. Banyak pula kereta hari ini. Murahlah rezeki tauke kedai tersebut nampaknya.

    Tiba-tiba seorang anak muda datang, kelihatan ingin membeli sesuatu. Sambil berbual-bual dengan anak-anak, aku mencuri pandang kepadanya. Macam aku mengenali anak muda tersebut. Akhirnya dengan berani aku menegurnya, "Kamu Nabil, kan?" Dia tersipu-sipu malu. Terbit rasa sayu di benakku. Jauh bezanya dengan Nabil yang kukenal lebih 15 tahun yang lalu. Sebaya dengan anak keduaku. Badannya sedikit berisi. 

    Teringat aku akan peristiwa hitam yang berlaku di dalam hidupnya. Ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, waktu itu dia ada bersama. Allahu akbar, kenangan itu hadir kembali. Anak yatim itu sudah dewasa kini, dibesarkan dengan kasih seorang ibu. Di sisi atuk dan nendanya. Sedikit sebak bersarang di hati tatkala melihat keadaannya yang tampak berubah. Di mataku keadaannya agak sedikit merosot. Jauh bezanya dari dahulu. Namun kusembunyikan segalanya.

    "Sampaikan salam cikgu kepada emak, ye Nabil." Getaran pada suara cuba kutahan. Ada persoalan yang tidak bisa dihuraikan. "Mudah-mudahan engkau menjadi anak soleh yang membahagiakan ayah dan bondamu," kurangkumkan doa buatmu. 

    Dari jauh aku melihat kereta semakin bertambah, berbaris di belakang keretaku. Wak tadi mengambil kesempatan berbual-bual dengan kami. Bertanyakan tentang keberadaan kami di daerah ini sehinggalah beliau mengakui kurang arif tentang bahasa Rao yang kututurkan. Ramah sungguh beliau melayan pelanggan yang datang.

    Rupa-rupanya warung itu kepunyaan atuk Nabil, disewakan kepada mereka. Menurut anak Wak yang menyediakan minuman tadi, mereka sudah tiga tahun berniaga di situ. Aku memerhatikan sepasang warga emas di bawah rumah kampung bertiang tinggi, berwarna biru lembut itu. Kelihatan kemas dan bersih. "Itulah datuk Nabil," ujarnya. Rumah ibu Nabil pula berhadapan dengan rumah tersebut. Rumah banglo comel. Kereta Kancil yang kukenali ada di lamannya. 

    Kami mohon diri setelah mengucapkan terima kasih.

Rabu, 1 Februari 2023

LATO-LATO

     AHAD lepas kami sempat ke pasar malam. Barang dapur banyak yang sudah habis. Keadaan sepanjang laluan untuk sampai ke tapak pasar tersebut agak sibuk. Setelah berjaya memakir kereta di lokasi yang agak sesuai, kami memulakan langkah. Sekaki payung dan sehelai beg plastik kami bawa bersama. Suasana agak mendung. Kami berjalan berpimpin tangan.

    Mata meliar memerhati, langkahan dipercepatkan namun penuh berhati-hati. Aku berhenti di salah satu tempat jualan ikan. Walaupun kelihatan agak sedikit mahal, aku tetap memilih ikan-ikan tersebut tanpa menghiraukan harganya. Di minda hanya teringat kepada dua... ikan untuk kami makan dan untuk si bulus peliharaan. 

    Tanpa berlengah, kami meneruskan langkahan kaki ke sebelah pula. Hujan telah mula menitik satu-satu, payung dikembangkan. Dengan pantas aku mencapai bakul yang tersedia. Dalam sibuk-sibuk memilih sayur tersebut, telinga menangkap perbualan sang isteri kepada tauke sayur tersebut tentang permintaan anaknya untuk membeli lato-lato. 

    Selesai membuat pembayaran, kami singgah ke lokasi terakhir. Bawang besar, bawang kecil dan kentang menjadi pilihan. Sebilangan kecil pengunjung mengambil sedikit ruang menumpang teduh di bawah khemah peniaga. Kelihatan beberapa buah kenderaan peniaga mula meninggalkan tapak perniagaan meskipun waktu masih awal. Kasihan mereka. Ada juga yang mula berkemas-kemas untuk beredar.

    Aku  menarik lengan kak alang untuk mengajaknya singgah di gerai sate sebelum kami melangkah pergi. Walaupun hujan belum lebat, keadaan tapak pasar malam tersebut kelihatan sedikit lengang. Para peniaga yang tidak terjejas akibat hujan, masih setia meneruskan perniagaan. Yang duduk di meja makan kelihatan masih steady menjamu selera. Maklumlah... dalam kedinginan, perut barangkali berkeroncong. Kelihatan masakan yang terhidang masih berasap. Terliur pula aku.

    Tiba-tiba mataku tertancap kepada penjual lato-lato. Bergayut permainan tersebut di atas besi palang yang tersedia ada di sebelahnya. "Eh, mahal jugak ye," ujar kak alang. Aku sekadar mengiakan. Kelihatan pula di sana sini ada anak-anak yang bermain permainan tersebut. Dalam kesibukan itu, mataku sempat mencuri pandang kepada beberapa orang penjual yang turut meletakkan di sisi mereka permainan tersebut. "Barangkali sebagai permainan tatkala bosan menunggu agaknya," aku bermonolog.

    Akhirnya kami singgah di gerai air. Air cendol menjadi pilihan kak alang. Kami bergegas ke kereta dengan sedikit kebasahan. Dalam perjalanan pulang kami berbicara tentang lato-lato. Berpandukan namanya, aku mengagak bahawa permainan ini datang dari seberang. Walaupun tampak simple, bagiku ia agak berbahaya bagi anak-anak kecil. Ia seakan-akan satu senjata yang boleh mencederakan jika berlaku pergaduhan. Berhati-hatilah. 

    "Alang ingat mula-mula tu, lato-lato tu makanan. Rupa-rupanya mainan..." ujar kak alang menyatakan duduk perkara sebenar. Kami saling berpandangan sambil ketawa kecil. Kereta yang kami naiki meluncur perlahan dalam kedinginan.