Rabu, 1 Februari 2023

LATO-LATO

     AHAD lepas kami sempat ke pasar malam. Barang dapur banyak yang sudah habis. Keadaan sepanjang laluan untuk sampai ke tapak pasar tersebut agak sibuk. Setelah berjaya memakir kereta di lokasi yang agak sesuai, kami memulakan langkah. Sekaki payung dan sehelai beg plastik kami bawa bersama. Suasana agak mendung. Kami berjalan berpimpin tangan.

    Mata meliar memerhati, langkahan dipercepatkan namun penuh berhati-hati. Aku berhenti di salah satu tempat jualan ikan. Walaupun kelihatan agak sedikit mahal, aku tetap memilih ikan-ikan tersebut tanpa menghiraukan harganya. Di minda hanya teringat kepada dua... ikan untuk kami makan dan untuk si bulus peliharaan. 

    Tanpa berlengah, kami meneruskan langkahan kaki ke sebelah pula. Hujan telah mula menitik satu-satu, payung dikembangkan. Dengan pantas aku mencapai bakul yang tersedia. Dalam sibuk-sibuk memilih sayur tersebut, telinga menangkap perbualan sang isteri kepada tauke sayur tersebut tentang permintaan anaknya untuk membeli lato-lato. 

    Selesai membuat pembayaran, kami singgah ke lokasi terakhir. Bawang besar, bawang kecil dan kentang menjadi pilihan. Sebilangan kecil pengunjung mengambil sedikit ruang menumpang teduh di bawah khemah peniaga. Kelihatan beberapa buah kenderaan peniaga mula meninggalkan tapak perniagaan meskipun waktu masih awal. Kasihan mereka. Ada juga yang mula berkemas-kemas untuk beredar.

    Aku  menarik lengan kak alang untuk mengajaknya singgah di gerai sate sebelum kami melangkah pergi. Walaupun hujan belum lebat, keadaan tapak pasar malam tersebut kelihatan sedikit lengang. Para peniaga yang tidak terjejas akibat hujan, masih setia meneruskan perniagaan. Yang duduk di meja makan kelihatan masih steady menjamu selera. Maklumlah... dalam kedinginan, perut barangkali berkeroncong. Kelihatan masakan yang terhidang masih berasap. Terliur pula aku.

    Tiba-tiba mataku tertancap kepada penjual lato-lato. Bergayut permainan tersebut di atas besi palang yang tersedia ada di sebelahnya. "Eh, mahal jugak ye," ujar kak alang. Aku sekadar mengiakan. Kelihatan pula di sana sini ada anak-anak yang bermain permainan tersebut. Dalam kesibukan itu, mataku sempat mencuri pandang kepada beberapa orang penjual yang turut meletakkan di sisi mereka permainan tersebut. "Barangkali sebagai permainan tatkala bosan menunggu agaknya," aku bermonolog.

    Akhirnya kami singgah di gerai air. Air cendol menjadi pilihan kak alang. Kami bergegas ke kereta dengan sedikit kebasahan. Dalam perjalanan pulang kami berbicara tentang lato-lato. Berpandukan namanya, aku mengagak bahawa permainan ini datang dari seberang. Walaupun tampak simple, bagiku ia agak berbahaya bagi anak-anak kecil. Ia seakan-akan satu senjata yang boleh mencederakan jika berlaku pergaduhan. Berhati-hatilah. 

    "Alang ingat mula-mula tu, lato-lato tu makanan. Rupa-rupanya mainan..." ujar kak alang menyatakan duduk perkara sebenar. Kami saling berpandangan sambil ketawa kecil. Kereta yang kami naiki meluncur perlahan dalam kedinginan.

Tiada ulasan: