Jumaat, 10 Februari 2023

KENANGAN DI ISTANA KELLY

 

    MASIH kuingat lagi semasa belajar di SMR, Batu Gajah. Ketika itu tidak silap aku berada di tingkatan satu atau dua.... Dua orang guru pelatih dari maktab perguruan di Ipoh yang menjalani sesi latihan mereka, telah mengajak kami berkunjung ke Istana Kelly. Setelah mendapat keizinan dari emak dan ayah, aku menyertai mereka.

    Kami memulakan pagi dengan menaiki bas. Sebaik-baik tiba di lokasi, kami turun dengan bekalan yang dibawa. Kami mula meredah semak samun yang sedikit tebal. Hati sedikit gementar kerana selepas itu kami terpaksa pula menyeberang sungai. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana waktu itu air tidaklah dalam sangat. Namun keadaannya keruh bak air teh tarik.

    Dalam kepayahan kerana kaki seluar yang sedikit berat dek kebasahan, aku melangkah kemas mendaki tebing bersama-sama rakan yang lain. Kami saling membantu dan berjaga-jaga terhadap keselamatan diri. Sebaik-baik kelihatan bangunan Istana Kelly tersergam di hadapan mata, hati rasa teruja. Kami berehat seketika di tapak bangunan bahagian belakang yang hanya kelihatan tiang-tiang sahaja. Mata tertancap pada bangunan lama yang unik. 

    Segala pesanan cikgu kami ikuti. Bergerak berkawan-kawan sambil mata melirik pada reka bentuk bangunan. Telah lama ia ditinggalkan. Mata sedikit melilau memerhati, meninjau dari satu bilik ke satu bilik. Cantik susunan batu-batanya. Tampak jelas seninya. Setapak demi setapak kaki melangkah menaiki mata tangga. Hingga akhirnya kami berjaya berada di atas bumbung rata. Saujana mata memandang. Kehijauan tumbuh-tumbuhan menyejuk pandangan.

    Cikgu menasihati kami agar meniarap bagi merendahkan badan jika ingin melihat ke bawah bangunan. Aku mengelak untuk melakukannya kerana gayat. Kami bergambar kenangan beramai-ramai di puncak tersebut. Kami menuruninya setelah beberapa ketika menikmati panorama di situ. Kemudian dengan berhati-hati kami melangkah turun. Seingat aku tidak ada pemegang di sisi seperti tangga zaman sekarang. 

    Di bahagian bawahnya pula terdapat lorong bawah tanah yang berakhir di estet berhampiran Gopeng Itu mengikut cerita-cerita orang lama pada waktu itu. Sebenarnya lorong tersebut banyak yang telah rosak akibat pendudukan Jepun. Setelah beberapa lama berada di lokasi tersebut, kami bergerak beramai-ramai menuju ke estet tempat tinggal beberapa orang kawan berketurunan India, itupun atas pelawaan mereka.

    Sekian lama kami berjalan, hingga terasa keletihan. Namun estet yang dikatakan berdekatan itu masih belum ditemui. Barangkali begitulah kepayahan yang ditempuh anak-anak estet yang serba dhaif. Patutlah aku seringkali perasan keadaan kasut getah yang dipakai ke sekolah itu kelihatan kemerahan akibat debu sepanjang laluan mereka. Kuatnya kaki mereka. Mereka jugalah merupakan pelari sekolah kerana sering menjuarai larian beberapa kali pusingan padang sekolah.

    Nama-nama mereka yang masih kuingat... Sivalingam, Ramarao dan Shanmugam. Inilah antara rakan sekelas yang berentap hebat semasa sukan sekolah berlangsung. Bagaimanakah keadaan mereka sekarang. Kami terus terputus hubungan setelah meninggalkan SYS.

    Kini untuk ke Istana Kelly tidak payah bersusah-susah. Dari tepi jalan utama ia boleh dilihat. Telah ada jambatan bagi memudahkan orang menyeberang Sungai Raia yang kelihatannya makin melebar dengan warna yang sama. Sejak hari itu aku tidak pernah menjejak kaki ke istana itu lagi walaupun kemudahan telah sedia ada. Jika berkereta melewati kawasan tersebut, aku sekadar memandangnya sahaja sambil mengingat peristiwa silam. Nikmat kepayahan dalam menjejak istana lama yang tersembunyi di tengah belantara!


    

Tiada ulasan: