Khamis, 16 Februari 2023

ANXIETY

 

PERTAMA kali poster kecil ini masuk ke group WhatsApp kampung, aku merenung betul-betul ketiga-tiga wajah yang terpapar. Emm.... memang kenal sangat moderator berkenaan. Owh...Kak Ana akan datang ke Manjung! Teruja sungguh aku.

    Aku lantas menghubunginya dan berpesan kepadanya untuk membawa naskah 'Murung Yang Terlena' pada hari berkenaan. Pernah membaca info mengenai buku tersebut, tapi belum berkesempatan untuk memilikinya. 

    Pada tarikh yang dijanjikan aku memandu sendirian. Acap benar aku dan anak-anak singgah di Masjid Al Hidayah tatkala ada urusan di bandar. Tempat yang menjadi pilihanku untuk singgah solat. Kadang-kadang di dewan kuliah itu jugalah aku menghadiri program ceramah dan menadah ilmu. Itupun jika ada kelapangan. Perjalanan untuk sampai ke situ, sekadar 15 minit. 

    Setelah mendaftar diri, aku mengambil tempat di sebelah kiri dewan. Sambil duduk-duduk menjeling, kelihatan ramai yang aku kenali. Pesara belaka. Sempat rakan di sebelah menyatakan sesuatu tentang ahli panel kedua yang merupakan jiran beliau. Menarik kupasan yang kami dengar pada hari berkenaan. Beberapa tip dikongsikan oleh doktor kepada kami sebagai amalan harian. Pesara guru yang pernah mengalami anxiety menceritakan pengalamannya yang boleh dijadikan iktibar. Terasa masa berlalu begitu pantas. Sebelum meninggalkan majlis aku sempat meminta Kak Ana untuk menurunkan tanda tangannya pada buku yang kubeli. 

    Menyedari bahawa agak sukar untuk menemui Kak Ana, dan inilah satu-satunya peluang keemasan... maka aku segera mengambil foto kenangan bersamanya.

    Terima kasih Ya Allah kerana mempertemukan kami. Selama ini kami bersua di maya sahaja. Insya-Allah buku solo Kak Ana ini akan kuhadam, dan menjadi iktibar buat sesiapa yang memilikinya. Selamat maju jaya Kak Ana dan beroleh kesihatan yang baik. Pengalaman Kak Ana moga bermanfaat buat kami semua. Ada rezeki, kita bersua lagi, insya-Allah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih kerana sudi hadir, terima kasih kerana menerima saya dengan baik sekali. Terima kasih kepada para hadirin yang hadir. Ya, itulah pengalaman benar yang saya abadikan dalam buku Murung yang Terlena. Semoga ada manfaat dan jika ada kebaikan sudilah berkongsi dengan keluarga, rakan dan masyarakat.