Khamis, 25 Mac 2021

Kenangan Bersamamu

 


Agak lama juga kita bersama....... mengenalimu sebagai seorang kakak yang banyak pengalaman dan ilmu.  Terima kasih Kak Jan.

Kita dilahirkan pada tarikh yang sama, cuma tahun sahaja yang berbeza.  Terdapat beberapa persamaan yang pernah kita kongsikan bersama.  Namun yang paling kusuka ialah perkongsian ilmu yang dapat diguna pakai dalam mendidik anak-anak.

Acapkali kita berbincang tentang permasalahan anak-anak di sekolah.  Menghadap anak-anak yang pelbagai ragam dan pencapaian, menjadikan kita sering bertukar-tukar maklumat dan berkongsi dapatan.  Pokok utamanya hanya kerana niat ingin membantu mereka.  

Sekiranya pencapaian mereka berada di tahap kritikal, akulah yang bakal mengambilnya untuk di tempatkan di kelas Pemulihan Khas.  Manakala yang berada di tahap yang lebih sedikit, Kak Jan yang akan meneruskan bimbingan.

Seringkali juga aku singgah ke kelas kak Jan sebelum pulang.  Berbual-bual mengenai perkembangan anak muridnya serta melihat bagaimana beliau membantu anak-anak yang agak lambat belajar.  Waktu itu diisi dengan latih tubi menyebut huruf, menulis berulang, mengeja juga menyebut perkataan dengan betul.

Ibu bapa pula memberi keizinan untuk beliau mengambil sedikit waktu untuk melaksanakan tugasan itu.  Pendek kata, mengajar lebih waktu!  Namun ianya percuma.  Tidak ada dikenakan bayaran apa-apa. Ikhlas mengajar dari hati yang paling dalam.  Mengharapkan agar anak-anak berjaya ataupun dapat apa yang diajar.  Belajar sedikit tetapi berterusan.  

Itulah usaha dan ikhtiar Kak Jan saban tahun, tanpa mengenal erti jemu. Tetap komited dengan tugas dan tanggungjawab.  Sama ada anak-anak itu dapat atau tidak, hanya Dia yang menentukan.

Namun segalanya berubah apabila PKP bermula. Kami akur pada norma baharu.  Kelas tambahan dan kelas lebih masa....... tidak dapat dijalankan.  Tidak banyak waktu bersama dengan anak-anak kerana ada ketikanya sekolah ditutup.  Tahun 2020 mencatat sejarahnya tersendiri akibat covid 19.

2021 juga punya kenangan yang pelbagai. Tahun inilah aku ditukarkan ke sekolah baharu.  Tahun ini juga merupakan tahun persaraan Kak Jan. Syukur juga kerana kami boleh mengajar secara bersemuka, alhamdulillah.  Maka dapatlah Kak Jan berkenalan dengan anak-anak didiknya sebelum bersara.

Aku pula tidak memegang jawatan guru pemulihan lagi.  Puan Norazimah yang merupakan guru opsyen Pemulihan Khas lebih layak memegang jawatan itu.  Aku mengajar subjek Bahasa Melayu untuk Tahun 1 dan Tahun 2. Aku bersyukur sangat-sangat kerana pengalaman tika bersama di dalam kelas Kak Jan sebelum ini menjadikan aku tidak kekok berhadapan dengan anak kecil yang seramai 31 orang itu.

Kak Jan.....

Terima kasih di atas keluhuran budimu. Kemesraan itu akan kukenang selalu. Ilmu mendidik yang dikongsi itu mohon dihalalkan. Kata-katamu kan kujadikan azimat di dalam mengisi waktu-waktu berbaki ini. Momentum bersama anak-anak di sini mudah-mudahan dapat kupacu dengan baik.  

Melihat gelagat anak-anak kecil ini, terasa bagaikan bayangan cucu-cucuku bermain di hadapan mata.  Moga-moga Allah menganugerahkan kekuatan kaki untuk terus melangkah, kesabaran hati untuk menerima anak didik ini seadanya dan ketabahan dalam menelusuri waktu yang bersisa ini.

Kumohon juga agar kita sama-sama beroleh kesihatan yang baik. Andai aku tidak kau temui di syurga nanti..... carilah aku di neraka.  





Jumaat, 12 Mac 2021

Salam Kenal Semua

 


SEKOLAH baru, anak murid pun baru.  Aku mengambil inisiatif untuk mengenali mereka dalam keadaan PKP.  Tak kenal langsung!  Cuma bila kami ditemukan di dalam group WhatsApp, yang kukenali hanya angka-angka (nombor telefon bimbit).

Kuminta kirimkan gambar sekadar untuk mengenali mereka, warga 2 Dinamik.  Maklumlah sekolah baharu, tak pernah mengenali mereka.  Bertugas pun hanya sekadar Bekerja Dari Rumah (BDR).  Namun setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan padu ibu ayah dan penjaga masing-masing yang memberi komitmen terbaik kepadaku.

Berkenalan dengan sekolah baharu, rakan setugas baharu, anak didik yang baharu, dengan norma baharu.  Seterusnya......bekerja di 'Sekolah Dalam Taman'.  Menarik sekali.

Kepada anak-anak semua, kini kita telah dapat bersemuka, bertentang mata, berada dalam PdPc mengikut norma baharu dengan mematuhi SOP.  Patuhilah semua peraturan.  Mudah-mudahan covid 19 cepat pergi meninggalkan kita.  Sejarah ini takkan dapat dilupakan, tersimpan kukuh dalam ingatan.

Selamat Belajar semua.