Isnin, 30 Mei 2022

SALAM ZIARAH

 SEMALAM merupakan 28 Syawal. Sebelum ini aku sudah menyimpan hasrat untuk berkunjung ke Langkap. Salam ziarah kali ini kujejak tanpa alamat dan lokasi terkini. Segalanya berpandukan daya ingatanku yang masih tersimpan kukuh. Nombor 13, Taman Indah.

    Bayangkan aku bersama Ima menetap di situ pada tahun 1989 (kalau tidak silap). Tatkala tiba di pekan Langkap, benarlah seperti jangkaan hatiku. Pandangan jadi sedikit rencam. Bangunan kedai memenuhi pekan kecil itu. Sekitarnya sudah ada taman perumahan, simpang serta jalan baharu. Jauh benar perbezaannya sekarang.

    Jenuh aku mengecamnya, akhirnya terpaksa juga aku menapak ke sebuah kedai untuk bertanyakan tentang lokasi yang kucari-cari. Kami direzekikan bertemu seorang warga tempatan yang dengan bantuannya berjaya mengesan rumah yang dimaksudkan. Alhamdulillah. Hatiku berbunga riang.

    Setibanya di hadapan pintu pagar, aku memberi salam dua tiga kali. Sebaik-baik salamku bersambut, aku mohon penghuninya mengesahkan bahawa rumah tersebut adalah rumah Cikgu Manap. Aku memberi penjelasan kepada pemuda yang menyambut kedatangan kami. Dalam pada itu seorang wanita yang cukup kukenali muncul di pintu. Aku melangkah menghampirinya apabila diminta berbuat demikian.

    Wajahku diusap, direnungnya rapat-rapat. Aku memperkenalkan diri. Sejurus itu dipeluknya diriku. Sebak terus menguasai. Dia segera berlalu untuk mengenakan tudung labuhnya apabila mengetahui bahawa aku tidak datang sendirian. Kami dijemput masuk. 

    Sungguhlah...terlalu lama kami tidak bersua. Anak bongsunya pun telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dengan empat orang cahaya mata. Masih kuingat lagi akan kenakalan si bongsu ini. Kini dia menjadi seorang lelaki hebat, bertugas di Mahkamah Syariah. Tahniah Mizi! Moga menjadi suami mithali dan ayah yang penyayang buat anak-anak.

    Banyak kisah yang kami ungkap... ingatannya masih kukuh. Bercerita dengannya terasa bagaikan rekod lama diputar kembali. Usianya kini menjangkau 74 tahun. Kelihatan ceria mengenangkan kisah-kisah lalu, asyik sekali kami mendengarnya. Sikap kelakarnya masih seperti dahulu. Seorang ibu yang penyayang.

    Kami memohon diri lewat tengah hari itu. Aku sempat mempelawanya berkunjung pula ke tempat kami bersama anak cucunya. Semasa hayat Cikgu Manap masih ada, Mak Cik Yam puas berjalan merata-rata seisi keluarga. Semuanya dek kerana arwah suaminya itu rajin mengeratkan silaturahim sesama rakan yang pernah dikenalinya baik jauh mahupun dekat. Bertuah sungguh mereka.

    Terima kasih semua, insya-Allah ada rezeki kita bersua kembali. Mudah-mudahan Mak Cik Yam dan keluarga sentiasa dianugerahkan kesihatan yang baik. Jemputlah ke teratak kami pula.

Sabtu, 28 Mei 2022

Bertahun Lamanya

 SEBAIK-BAIK suami mempelawa aku untuk turut sama ke program Hari Keluarga Risda sempena Syawal yang masih berbaki, aku terima dengan hati terbuka. Kami menelusuri dingin pagi bersama warga Risda dan beberapa orang pengusaha kecil di bawah bimbingan Risda dengan menaiki coaster pejabat.

    Perjalanan ke Ipoh tidak sampai pun sejam. Kami melewati Batu Gajah, yang merupakan kampung halamanku. Di situlah aku dibesarkan. Kampung Pisang yang terkenal dengan hasil buminya bijih timah menghimpun sejarah yang tak mungkin dapat aku lupakan. Tetapi itu cuma suatu waktu dahulu.

    Tatkala menempuh kawasan tersebut, kelihatan stesen kereta api tersergam di tapak bekas lombong tempat ayah bekerja dulu. Mataku tertancap pada Galeri Lat.  Teringat pula pada kartunis tersohor itu. Rambutnya yang bagaikan sarang lebah itu masih terbayang di ruang mata.

    Jam sembilan lebih kami tiba di lokasi. Aku mengenali dua orang kaki tangan Risda yang tidak asing bagiku. Aku tercari-cari kak Saleha yang merupakan jiran lamaku ketika menetap di Kampung Baru Sungai Terap, Batu Gajah. Kami dulu tinggal berjiran. Sama-sama ke sekolah tadika, sekolah rendah dan menengah.

    Paling kuingat.... kami berjalan kaki bersama-sama waktu pulang dari tadika. Tali botol airku akan kusilangkan di bahu, melepasi dada dan botolnya kubetulkan letak duduknya di pinggang. Apabila penat berjalan, kami berhenti sekejap untuk minum. Seronoknya berjalan bersaing di tengah-tengah jalan bagaikan jalan itu kami yang punya!

    Maklumlah waktu itu di era awal 70-an, tidak banyak kereta. Apabila ternampak atau terdengar sahaja bunyi kenderaan dari jauh, kami berpecah ke bahu jalan. Kemudian kembali bertaut semula. Sambil bersembang, kaki tetap melangkah pulang. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Zaman penuh keceriaan, tanpa mengenal erti takut dan bimbang.

    Berbeza sungguh zaman sekarang, ibu bapa sering menaruh bimbang akan keselamatan anak-anak. Ketakutan menghantui, sehinggakan kehidupan penuh dengan tekanan. 

    Jiran yang merupakan kawan sepermainanku itu kini menjadi kerani di pejabat Risda negeri, di Ipoh. Tambah mengujakan pula... bekas muridku turut bertugas di situ. Hafizul Rahman bin Lutfil Umam... nama yang tak mudah untuk kupadam dari ingatan.

    Di SK Ayer Hitam, Teluk Intan kami bertemu. Itulah sekolah pertama bagiku setelah 3 tahun menuntut di MPSI/IPSI Tanjung Malim. Mengenali Hafizul memang mudah, dia merupakan murid paling tinggi dalam kelas dan berkulit cerah. Berisi orangnya, pipinya agak tembam. Ayahnya kerani sekolah manakala ibunya pengusaha kantin sekolah tempatku bertugas.

    Aku dan Ima pernah mengajarnya mengaji, itupun atas permintaan ibunya. Agak kelakar sedikit orangnya. Kini berbeza jauh sangat, hampir tidak kukenali. Hanya namanya tetap kuat melekat di ingatan. 

    Tatkala kami bertemu, masing-masing terkesima. Bayangkan tiga puluh tahun sudah berlalu tanpa sebarang warkah penyambung silaturahim. Tidak ada nombor telefon untuk dihubungi. Apatah lagi whatsapp atau facebook. Terputus hubungan. Senyap sunyi.

    Alhamdulillah...ajal maut, jodoh pertemuan, semuanya Dia yang menentukan. Kami ditemukan untuk kesekian kalinya di kala aku telah bergelar pesara. Nikmat manakah yang nak aku dustakan? 

Hafizul berbaju melayu biru,
 manakala Kak Saleha di sebelahnya



Terima kasih Ya Rabb kerana mengizinkan pertemuan ini terjadi. Syukur Alhamdulillah.

    


Jumaat, 27 Mei 2022

Terima kasih Damia...

 Datang juga Damia sekeluarga petang Selasa yang baru lalu. Alhamdulillah. Katanya lama dah nak jumpa, namun tak kesampaian. Tapi rezeki tak salah alamat.... Allah menemukan kami jua akhirnya.  Terima kasih Allah.

    Mesranya keluarga ini hingga akhirnya terungkap sejarah lama.  Rupa-rupanya datuk Damia merupakan kawan suamiku.  Rancak ibu dan ayah Damia berbual dengan suamiku. Namun Damia macam biasa, tetap malu-malu. Begitulah sikapnya semasa di dalam kelas. Tidak banyak cakap, namun kerjanya tetap jalan.

    Sebelum meninggalkan kami, ada hadiah yang ditinggalkan untukku. Mungkin tidak sempat menyampaikannya kepadaku kerana aku bersara dalam waktu cuti sekolah. Terima kasih Damia. Sesikat pisang dan segenggam kunyit hidup turut diberikan, begitulah hasil berbudi kepada tanah. 

    Jemput datang lagi nanti, pintu rumah cikgu sentiasa terbuka.  Jangan lupa, belajar sungguh-sungguh demi hasrat dan cita-cita. Insya-Allah, ada rezeki kita jumpa lagi.

                                            kredit to Hana, yang ambil gambar ni.