Isnin, 30 Mei 2022

SALAM ZIARAH

 SEMALAM merupakan 28 Syawal. Sebelum ini aku sudah menyimpan hasrat untuk berkunjung ke Langkap. Salam ziarah kali ini kujejak tanpa alamat dan lokasi terkini. Segalanya berpandukan daya ingatanku yang masih tersimpan kukuh. Nombor 13, Taman Indah.

    Bayangkan aku bersama Ima menetap di situ pada tahun 1989 (kalau tidak silap). Tatkala tiba di pekan Langkap, benarlah seperti jangkaan hatiku. Pandangan jadi sedikit rencam. Bangunan kedai memenuhi pekan kecil itu. Sekitarnya sudah ada taman perumahan, simpang serta jalan baharu. Jauh benar perbezaannya sekarang.

    Jenuh aku mengecamnya, akhirnya terpaksa juga aku menapak ke sebuah kedai untuk bertanyakan tentang lokasi yang kucari-cari. Kami direzekikan bertemu seorang warga tempatan yang dengan bantuannya berjaya mengesan rumah yang dimaksudkan. Alhamdulillah. Hatiku berbunga riang.

    Setibanya di hadapan pintu pagar, aku memberi salam dua tiga kali. Sebaik-baik salamku bersambut, aku mohon penghuninya mengesahkan bahawa rumah tersebut adalah rumah Cikgu Manap. Aku memberi penjelasan kepada pemuda yang menyambut kedatangan kami. Dalam pada itu seorang wanita yang cukup kukenali muncul di pintu. Aku melangkah menghampirinya apabila diminta berbuat demikian.

    Wajahku diusap, direnungnya rapat-rapat. Aku memperkenalkan diri. Sejurus itu dipeluknya diriku. Sebak terus menguasai. Dia segera berlalu untuk mengenakan tudung labuhnya apabila mengetahui bahawa aku tidak datang sendirian. Kami dijemput masuk. 

    Sungguhlah...terlalu lama kami tidak bersua. Anak bongsunya pun telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dengan empat orang cahaya mata. Masih kuingat lagi akan kenakalan si bongsu ini. Kini dia menjadi seorang lelaki hebat, bertugas di Mahkamah Syariah. Tahniah Mizi! Moga menjadi suami mithali dan ayah yang penyayang buat anak-anak.

    Banyak kisah yang kami ungkap... ingatannya masih kukuh. Bercerita dengannya terasa bagaikan rekod lama diputar kembali. Usianya kini menjangkau 74 tahun. Kelihatan ceria mengenangkan kisah-kisah lalu, asyik sekali kami mendengarnya. Sikap kelakarnya masih seperti dahulu. Seorang ibu yang penyayang.

    Kami memohon diri lewat tengah hari itu. Aku sempat mempelawanya berkunjung pula ke tempat kami bersama anak cucunya. Semasa hayat Cikgu Manap masih ada, Mak Cik Yam puas berjalan merata-rata seisi keluarga. Semuanya dek kerana arwah suaminya itu rajin mengeratkan silaturahim sesama rakan yang pernah dikenalinya baik jauh mahupun dekat. Bertuah sungguh mereka.

    Terima kasih semua, insya-Allah ada rezeki kita bersua kembali. Mudah-mudahan Mak Cik Yam dan keluarga sentiasa dianugerahkan kesihatan yang baik. Jemputlah ke teratak kami pula.

Tiada ulasan: