Sabtu, 28 Mei 2022

Bertahun Lamanya

 SEBAIK-BAIK suami mempelawa aku untuk turut sama ke program Hari Keluarga Risda sempena Syawal yang masih berbaki, aku terima dengan hati terbuka. Kami menelusuri dingin pagi bersama warga Risda dan beberapa orang pengusaha kecil di bawah bimbingan Risda dengan menaiki coaster pejabat.

    Perjalanan ke Ipoh tidak sampai pun sejam. Kami melewati Batu Gajah, yang merupakan kampung halamanku. Di situlah aku dibesarkan. Kampung Pisang yang terkenal dengan hasil buminya bijih timah menghimpun sejarah yang tak mungkin dapat aku lupakan. Tetapi itu cuma suatu waktu dahulu.

    Tatkala menempuh kawasan tersebut, kelihatan stesen kereta api tersergam di tapak bekas lombong tempat ayah bekerja dulu. Mataku tertancap pada Galeri Lat.  Teringat pula pada kartunis tersohor itu. Rambutnya yang bagaikan sarang lebah itu masih terbayang di ruang mata.

    Jam sembilan lebih kami tiba di lokasi. Aku mengenali dua orang kaki tangan Risda yang tidak asing bagiku. Aku tercari-cari kak Saleha yang merupakan jiran lamaku ketika menetap di Kampung Baru Sungai Terap, Batu Gajah. Kami dulu tinggal berjiran. Sama-sama ke sekolah tadika, sekolah rendah dan menengah.

    Paling kuingat.... kami berjalan kaki bersama-sama waktu pulang dari tadika. Tali botol airku akan kusilangkan di bahu, melepasi dada dan botolnya kubetulkan letak duduknya di pinggang. Apabila penat berjalan, kami berhenti sekejap untuk minum. Seronoknya berjalan bersaing di tengah-tengah jalan bagaikan jalan itu kami yang punya!

    Maklumlah waktu itu di era awal 70-an, tidak banyak kereta. Apabila ternampak atau terdengar sahaja bunyi kenderaan dari jauh, kami berpecah ke bahu jalan. Kemudian kembali bertaut semula. Sambil bersembang, kaki tetap melangkah pulang. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Zaman penuh keceriaan, tanpa mengenal erti takut dan bimbang.

    Berbeza sungguh zaman sekarang, ibu bapa sering menaruh bimbang akan keselamatan anak-anak. Ketakutan menghantui, sehinggakan kehidupan penuh dengan tekanan. 

    Jiran yang merupakan kawan sepermainanku itu kini menjadi kerani di pejabat Risda negeri, di Ipoh. Tambah mengujakan pula... bekas muridku turut bertugas di situ. Hafizul Rahman bin Lutfil Umam... nama yang tak mudah untuk kupadam dari ingatan.

    Di SK Ayer Hitam, Teluk Intan kami bertemu. Itulah sekolah pertama bagiku setelah 3 tahun menuntut di MPSI/IPSI Tanjung Malim. Mengenali Hafizul memang mudah, dia merupakan murid paling tinggi dalam kelas dan berkulit cerah. Berisi orangnya, pipinya agak tembam. Ayahnya kerani sekolah manakala ibunya pengusaha kantin sekolah tempatku bertugas.

    Aku dan Ima pernah mengajarnya mengaji, itupun atas permintaan ibunya. Agak kelakar sedikit orangnya. Kini berbeza jauh sangat, hampir tidak kukenali. Hanya namanya tetap kuat melekat di ingatan. 

    Tatkala kami bertemu, masing-masing terkesima. Bayangkan tiga puluh tahun sudah berlalu tanpa sebarang warkah penyambung silaturahim. Tidak ada nombor telefon untuk dihubungi. Apatah lagi whatsapp atau facebook. Terputus hubungan. Senyap sunyi.

    Alhamdulillah...ajal maut, jodoh pertemuan, semuanya Dia yang menentukan. Kami ditemukan untuk kesekian kalinya di kala aku telah bergelar pesara. Nikmat manakah yang nak aku dustakan? 

Hafizul berbaju melayu biru,
 manakala Kak Saleha di sebelahnya



Terima kasih Ya Rabb kerana mengizinkan pertemuan ini terjadi. Syukur Alhamdulillah.

    


Tiada ulasan: