Jumaat, 14 Oktober 2022

TIGA HARI BERTURUT-TURUT



DARIPADA Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali. Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan berakhir dengan kematian. Itu sudah satu kemestian. Tiada yang kekal abadi melainkan Allah. 

    Kehilangan tiga orang jiran dalam kariah kami dalam tempoh tiga hari berturut-turut. Allahu akbar. Terasa sebak dalam rintik hujan pagi-pagi ini. Hari Rabu lepas datuk kepada bekas anak muridku pergi dengan asbab kanser. Aku kenal sebahagian besar daripada ahli keluarganya. Pemergian seorang datuk kesayangan yang semasa hayatnya menjaga cucu tunggal yang sebatang kara. Kini cucu tersebut masih lagi bersekolah dalam tingkatan enam dan bakal ditemani neneknya sahaja. Nenek pula dalam keadaan yang kurang sihat.

    Semalam (Khamis) pula seorang lagi jiran mendahului kami. Mesra dipanggil 'Cikgu Shaari' walaupun bukan cikgu. Aku sering berselisih dengannya sewaktu berkereta, sekadar mengangkat tangan tanda hormat padanya. Terserempak kebiasaannya ketika beliau menaiki motosikal menuju masjid. Suamiku sempat menziarahinya di hospital tiga hari yang lalu. Cadangan untuk berziarah buat kali keduanya tidak kesampaian, kerana dia telah pergi.

    Malam tadi masuk pula mesej di aplikasi whatsapp, memaklumkan bapa kepada bekas anak muridku pula kembali ke rahmatullah. Aku kenal sangat dengan isterinya, Kak Manis. Terbayang-bayang akan gelagat anak bongsunya dahulu, seringkali menjadi perhatian warga sekolah. Abangnya pula dahulu pernah menjadi guru sandaran di kelas pendidikan khas.

    Semoga Allah mengampuni mereka semua, mudah-mudahan ketiga-tiga almarhum tergolong dalm kalangan orang-orang yang beriman.  Semoga yang ditinggalkan dikurniakan kesabaran dan kekuatan menerima ujian kehlangan ini. Kami semua akan menyusul, namun tarikhnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.


catatan pagi Jumaat yang dingin
8.53 pg  14102022
(terima kasih kepada pemilik video ini)

Selasa, 11 Oktober 2022

BUBAR PARLIMEN

 


Panas terik suasana gamat,
    Pulang berskuter hati berdebar;
Sungguh menarik tarikh keramat,
    Sepuluh Oktober parlimen dibubar.

Buah betik jangan diambil,
    Tinggi menjulang dipanjat gayat;
Dilihat politik tidak stabil,
    Mandat dipulang kepada rakyat.

Bab tujuh buku Pak Pandir,
    Di waktu malam dibaca kisah;
Musim tengkujuh diramal hadir,
    Hati di dalam diulit resah.

 Bekal diatur bawa ke dusun,
    Jangan culas bercampur buntu;
Sama dicatur perancangan disusun,
    Pasti yang ikhlas turun membantu.

Kain basahan mari dilipat,
    Simpan di bangsal dalam almari;
Buatlah pilihan dengan tepat,
    Jangan menyesal kemudian hari.

Di dalam sia berbekal bihun,

    Bawa berkelah dan mandi-mandi;
Cukup usia lapan belas tahun,
    Anda telah layak mengundi.

Berbaring lama badan dikalih,
    Di tengah malam hati bergetar;    
Automatik nama sebagai pemilih,
    Ada di dalam Pemilih Berdaftar.

Bunga lavender di dalam taman,
     Cantik di mata jadi gubahan;   
Kepada anda pemilih budiman,
    Ayuh kita membuat pilihan.

Indah terserlah tarian zapin,
    Tambah berseri di pentas indah;
Jangan tersalah memilih pemimpin,
    Nanti diri menyesal tak sudah. 

Terbayang momen di sawah padi,
    Sekilas toleh memikat hati;
Ahli parlimen yang anda undi,
    Tidak boleh melompat parti.

Nasi ditanak kerap dipantau,
    Elok menjadi siap disimpan;
Pulanglah anak pulang perantau,
    Balik mengundi satu kewajipan.

Mengail haruan di tengah tasik,
    Melepas lelah dan juga bosan;
Besar harapan fikirkan yang baik,
    Moga Allah permudahkan urusan.

Jangan dialih pokok selasih,
    Bawah mentari tampak meriah;
Rekod dipilih calon yang bersih,
    Elak dari skandal dan rasuah.

Daun mengkuang si daun pandan,
    Pokok halban pohon jejawi;        
Pastikan pejuang menegak keadilan,
    Sedia berkorban demi pertiwi.

Busur dan panah teman di jalan,
    Secebis kain selitkan sekali;
Jujur dan amanah jadi amalan,
    Khabar marhaen diambil peduli.

Madu tualang di pekan sehari,
    Tampak ketara sedikit likat;    
Bukan petualang yang kita cari,
    Perosak negara menindas masyarakat.

Intan permata seri menyimbah,
    Cetusan suara pandangan dirai;
Marilah kita sama berubah,
    Demi negara yang dicintai.

Di atas papan siang gelama,
    Pesan berpesan sambil ketawa;
Masa depan bina bersama,
    Dengan insan penuh berwibawa.

Isnin, 10 Oktober 2022

DURIAN OH DURIAN

 

    DURIAN merupakan raja segala buah. Ramai yang meminati buah ini. Namun pelbagai kepelikan seringkali kita dapati berkait dengan peminatnya. Ada yang suka makan mentah. Namun ada yang lebih berminat jika ianya dijadikan bubur atau kuah, yang enak sekali jika dimakan bersama pulut.

    Tidak kurang juga yang tidak makan durian mentah, tetapi makan pula gulai tempoyak. Ini berlaku kepada salah seorang kawan saya berbangsa Cina. Beliau suka sangat makan gulai tempoyak ketika kami sama-sama singgah makan tatkala berkursus suatu ketika dahulu. Kerapkali masakan itulah yang dipilihnya. 

    Terdapat dua tiga orang rakan yang lain pula tidak makan durian sedangkan di rumah ibu ayahnya di kelilingi pokok durian. Dahulu di situlah mereka membesar. Apa sahaja yang terkait dengan buah tersebut, memang mereka tidak berminat langsung. Hatta sambal tempoyak, dodol durian, lempuk atau apa sahaja yang berasaskan durian. Begitulah pelbagai ragamnya.

    Namun apa yang agak mendukacitakan ialah gelagat penjual durian yang tidak berlaku jujur semasa menjalankan urusan jual beli. Ada penjual yang sanggup menipu dengan menyatakan bahawa isi durian yang dijual dijamin 100 persen baik. Ditokok tambah lagi dengan penceritaan tentang modal dan untung yang diambil tidak seberapa. Dinyatakan juga susah payahnya meredah dusun dan pelbagai lagi. Manis mulutnya bercerita. 

    Amat malang apabila durian yang diagung-agungkan tadi didapati tidak menepati ciri-ciri tersebut, maka berbakul-bakul rungutan, sumpah seranah dan kesal tak sudah terbit dari hati pembeli. Itu bagi mereka yang kurang sabar dengan ujian sedemikian. Pernah juga berlaku kisah pembeli yang sanggup datang semula ke gerai untuk memulangkan buah-buah yang dibeli dengan menunjukkan hampir semua durian yang dibeli tidak boleh dimakan. 

    Ini berbeda pula dengan peniaga yang berlaku jujur. Mereka menyatakan tentang tidak pastinya dengan isi durian yang dijual. Kebiasaannya isi baik, tetapi cakapnya berlapik kerana hanya Allah sahaja yang tahu isi di dalam. Amat benarlah kata-katanya itu. Sanggup pula bersedekah dengan melebihkan satu atau dua biji buah lain pula. Ada yang meminta pelanggan datang semula untuk menukarkan buah sekiranya ada yang tidak elok. Betapa hebatnya akhlak penjual sedemikian.

    Semua perkara tersebut dapat kita saksikan apabila tibanya musim durian. Jadi berhati-hatilah. Jika kita mengamalkan sikap mulia semasa berjual beli, insya-Allah keberkatan ada di situ. 

Gambar hiasan 

Sabtu, 8 Oktober 2022

SALAM JUMAAT

     SEBAIK-BAIK tiba di hadapan pintu pagar, hatiku berbunga. Sedikit ruang yang terbuka memungkinkan kami menapak masuk. Tidak seperti sebelumnya, pagar bermangga. Kedengaran suara lelaki mengerang. Salam yang kami lafazkan tidak bersambut.

    Lantas aku segera menjengah di pintu pagar Kak Kiah, jiran sebelah yang sangat prihatin. Jawapan positif darinya memberi kebenaran kami untuk masuk ke rumah jirannya itu. Kebetulan pula dua orang lelaki yang cukup kukenali tiba pada waktu yang sama. Mereka melangkah masuk ke rumah seiring salam yang diberi. Tanpa melepaskan peluang, kami menyertai mereka.

    Rupa-rupanya si isteri telah dimasukkan ke wad. Maka tinggallah beliau seorang diri. Deruan angin daripada kipas kaki yang diletakkan di bahagian kepala katil barangkali memberi suasana selesa kepadanya. Sedih melihat keadaan dirinya yang sangat uzur. Terlantar di katil. Namun daripada butir bicaranya yang rancak, sedarlah aku bahawa ingatannya masih kuat.



    Sempat lagi dia mengusik Pak Akob, hinggakan kami berdua turut tersenyum. Tidak berapa lama kemudian, anak menantunya pula tiba. Kelihatan tiga bungkusan lampin pakai buang dibawa masuk ke rumah. Mereka sebenarnya baru selesai menguruskan hal ibu. Si anak terpaksa mengambil cuti untuk semua itu. 

    Sedikit pencerahan disampaikan oleh menantunya kepada kami. Ruang waktu itu kami manfaatkan sebaik-baiknya. Permasalahan kejiranan yang kami perlu cakna. Keadaan di luar agak berangin. Tanda-tanda hujan akan turun. Kami sudahi kunjungan itu dengan sedikit sumbangan.

    Kelihatan di pintu pagar beberapa orang kenalan yang juga jiran telah sedia menanti. Hajat hendak menziarahi si isteri yang merupakan kawan baik terbantut sudahnya. Niat yang sama atas rasa prihatin menautkan kemesraan antara kami. Sama-sama bersurai dalam suasana rintik-rintik hujan.

    Walaupun hujan makin kasar, kami meneruskan misi kunjungan kedua. Hujan Jumaat yang membawa rahmat ke seluruh alam. Sebaik-baik tiba di destinasi, kami dijemput masuk. Suasana ceria tuan rumah yang menyambut kami serasa bagaikan tiada apa apa-apa yang berlaku, sedangkan kaki kanannya kelihatan berbalut kerana disahkan patah oleh doktor yang merawat.

   


    Mesra bicaranya berkisah tentang ujian yang menimpa. Sempat bercerita tentang rakan-rakan tempat dia berkhidmat sebelum ini. Walaupun baharu sebulan berpencen, kerja-kerja yang lakukan sama seperti biasa. Masih lagi aktif dengan khidmat masyarakat dan pertubuhan PERKIM yang bertahun-tahun disertainya. Harapan kami agar dia segera sembuh dan dapat menyambung usaha murninya selama ini. 

    Hujan lebat telah reda. Suasana cerah kembali. Salam Jumaat kami berakhir di sini.

Catatan : 7 Oktober 2022

Khamis, 6 Oktober 2022

NYANYIAN PANTAI TIMUR

 


Antara PRU dan banjir...

    HATI sedikit galau. Beberapa hari kebelakangan ini hujan membasahi bumi. Walaupun di kawasan kami ini tidak menunjukkan tanda-tanda banjir akan terjadi, kenangan beberapa tahun yang lalu masih segar dalam ingatan. Segalanya mungkin!

    Banjir hujung tahun sinonim dengan kita. Hujan lebat yang turun bisa sahaja menenggelamkan kawasan rendah sekelip mata. Malah di bandar-bandar utama pun kejadian di luar jangkaan turut meresahkan. Sistem perparitan dan pembangunan yang rancak turut menjadi penyumbang terhadap berlakunya banjir.

    Pandangan pakar dan petugas di bahagian meteorologi perlu diambil kira dan diberi perhatian. Walaupun ia hanya ramalan atau jangkaan, sumbangan mereka cukup besar dalam menentukan tindakan yang bakal kita ambil. Lebih-lebih lagi ianya terkait dengan nyawa. 

    Bagi mereka yang pernah berhadapan dengan banjir, sudah pasti hati dijengah bimbang. Kita yang melihat pun penuh empati, apatah lagi mereka. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Maka kita sepatutnya mengambil daya usaha untuk bersedia menghadapi saat-saat genting yang bakal terjadi. 

    Bersyukurlah jika tempat kita tidak terkesan langsung dengan hujan yang berlama-lama. Bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan punca air seperti sungai dan parit, detik-detik cemas pasti menghantui bila musim hujan tiba. Dalam keadaan sedemikian, wajarlah kebajikan mereka diambil kira. Keutamaan perlu diberikan kepada permasalahan rakyat dalam kehadiran cuaca yang tidak menentu. 

    
    Tangguhkanlah dahulu hasrat untuk mengadakan PRU. Yang lebih utama, kita dahulukan. Susunlah keutamaan mengikut ranking. Mahukah kita menghadapi PRU dalam suasana banjir? Bayangkan jika perkara tersebut berlaku. Ia menampakkan betapa tidak caknanya para pemimpin dalam menangani situasi rakyat yang terhimpit dan tersepit.

    Jadilah pemimpin yang bijak, menjiwai dan menyelami ke dasar hati rakyat tidak kira siapa pun anda dan dalam parti manapun anda berada. RAKYAT MEMERHATI.

    
    

PERANAN KITA

 

    PERJALANAN hidup kita tidak sama dengan orang lain. Namun kita tetap menuju tempat yang sama. Dari tanah kita diciptakan, kepada tanah juga kita akan dikembalikan. Begitulah kehendak Allah.

    Jadi sebelum kita meninggalkan dunia fana ini, sama-samalah kita persiapkan bekalan untuk ke sana. Walaupun tugas dan peranan kita tidak sama, kita saling menyokong antara satu sama lain. Bak kata orang, tanpa nelayan bagaimana mungkin kita memperoleh ikan. Tanpa pak tani, macam mana pula kita memperoleh beras. Kalau tiada guru, bagaimana anak-anak nak belajar.

    Namun soalan itu boleh kita renung secara songsang.  Cuba kita tanyakan... tanpa murid bagaimana guru nak bertugas ataupun nak mengajar. Kalau tiada permintaan terhadap makanan ruji kita, pasti akan berlambaklah beras di pasaran. Begitu juga, jika ramai yang tidak minat makan ikan... bagaimana pula nasib nelayan.

    Oleh itu jangan menyalahkan mana-mana pihak. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Allah tidak pernah berlaku zalim terhadap hamba-Nya. Seseorang itu akan menuai apa yang dia usahakan, insya-Allah.  Cuma kita tdak tahu masanya cepat atau lambat, sama ada balasannya di dunia ataupun di akhirat. Itu janji Allah. Allah akan memberi balasan yang setimpal atas apa yang kita usahakan. Tetapi jangan lupa juga bahawa Allah akan membalas yang setimpal juga terhadap apa yang kita lakukan terhadap orang lain. Jadi, jangan berlaku zalim terhadap sesiapa hatta terhadap haiwan dan tumbuhan sekalipun.

    Maka sebagai insan yang percaya kepada perkara-perkara ghaib yang Allah telah ciptakan, teruskanlah usaha kita mengikut kebolehan dan kekuatan masing-masing. Carilah rezeki di samping menambahkan ilmu. Hidup jangan mengejar harta atau wang ringgit. Tetapi tanpa wang, bagaimana kita hendak meneruskan hidup ini? Justeru, berpada-padalah. Jangan kita dikaburi kemewahan hingga melupai siapa yang memberi rezeki. Dan ingatlah di dalam harta kita, ada yang perlu dikongsikan dengan orang lain. Di situ ada hak orang lain.


    Jangan pula hanya berserah dan menanti sahaja apa yang akan berlaku. Menyerah diri tanpa berusaha itu bukanlah yang diajarkan oleh agama kita. Sesusah manapun hidup kita, jangan hanya menanti dan menanti. Usah sekadar menadah tangan berdoa tanpa usaha. Amat malang sekiranya kita menggunakan jalan-jalan mudah untuk mengecap nikmat kejayaan, misalnya dengan cara mencuri, menindas atau rasuah. Jauhilah perkara-perkara tersebut.

    Kita tidak hidup di dunia ini secara sendirian. Jadi jangan sombong. Kita tetap memerlukan orang lain dalam meneruskan kehidupan. Cermin diri kita, mainkan peranan  kita mengikut kemampuan di samping terus berdoa kepada Allah SWT. Kejayaan yang dicapai dari setiap kekecewaan dan penderitaan mengandungi nikmat yang tinggi nilainya.