Sabtu, 8 Oktober 2022

SALAM JUMAAT

     SEBAIK-BAIK tiba di hadapan pintu pagar, hatiku berbunga. Sedikit ruang yang terbuka memungkinkan kami menapak masuk. Tidak seperti sebelumnya, pagar bermangga. Kedengaran suara lelaki mengerang. Salam yang kami lafazkan tidak bersambut.

    Lantas aku segera menjengah di pintu pagar Kak Kiah, jiran sebelah yang sangat prihatin. Jawapan positif darinya memberi kebenaran kami untuk masuk ke rumah jirannya itu. Kebetulan pula dua orang lelaki yang cukup kukenali tiba pada waktu yang sama. Mereka melangkah masuk ke rumah seiring salam yang diberi. Tanpa melepaskan peluang, kami menyertai mereka.

    Rupa-rupanya si isteri telah dimasukkan ke wad. Maka tinggallah beliau seorang diri. Deruan angin daripada kipas kaki yang diletakkan di bahagian kepala katil barangkali memberi suasana selesa kepadanya. Sedih melihat keadaan dirinya yang sangat uzur. Terlantar di katil. Namun daripada butir bicaranya yang rancak, sedarlah aku bahawa ingatannya masih kuat.



    Sempat lagi dia mengusik Pak Akob, hinggakan kami berdua turut tersenyum. Tidak berapa lama kemudian, anak menantunya pula tiba. Kelihatan tiga bungkusan lampin pakai buang dibawa masuk ke rumah. Mereka sebenarnya baru selesai menguruskan hal ibu. Si anak terpaksa mengambil cuti untuk semua itu. 

    Sedikit pencerahan disampaikan oleh menantunya kepada kami. Ruang waktu itu kami manfaatkan sebaik-baiknya. Permasalahan kejiranan yang kami perlu cakna. Keadaan di luar agak berangin. Tanda-tanda hujan akan turun. Kami sudahi kunjungan itu dengan sedikit sumbangan.

    Kelihatan di pintu pagar beberapa orang kenalan yang juga jiran telah sedia menanti. Hajat hendak menziarahi si isteri yang merupakan kawan baik terbantut sudahnya. Niat yang sama atas rasa prihatin menautkan kemesraan antara kami. Sama-sama bersurai dalam suasana rintik-rintik hujan.

    Walaupun hujan makin kasar, kami meneruskan misi kunjungan kedua. Hujan Jumaat yang membawa rahmat ke seluruh alam. Sebaik-baik tiba di destinasi, kami dijemput masuk. Suasana ceria tuan rumah yang menyambut kami serasa bagaikan tiada apa apa-apa yang berlaku, sedangkan kaki kanannya kelihatan berbalut kerana disahkan patah oleh doktor yang merawat.

   


    Mesra bicaranya berkisah tentang ujian yang menimpa. Sempat bercerita tentang rakan-rakan tempat dia berkhidmat sebelum ini. Walaupun baharu sebulan berpencen, kerja-kerja yang lakukan sama seperti biasa. Masih lagi aktif dengan khidmat masyarakat dan pertubuhan PERKIM yang bertahun-tahun disertainya. Harapan kami agar dia segera sembuh dan dapat menyambung usaha murninya selama ini. 

    Hujan lebat telah reda. Suasana cerah kembali. Salam Jumaat kami berakhir di sini.

Catatan : 7 Oktober 2022

1 ulasan:

cikgu ida berkata...

Encik Mustapa (pencen kerja hospital) yang kami ziarahi telah kembali ke rahmatullah. Mudah-mudahan Allah mengampuninya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.