Khamis, 23 Mei 2013

ADUH KASIHAN.....

Hari ini dia berungut tentang begnya yang koyak.  Sebelum melangkah keluar dari kelasku, dia memeluk erat beg tersebut.  Kuperhatikan betul-betul beg itu. Kelihatan bahagian bawah atau tapak begnya ternganga. Bahagian tersebut dihalakannya ke atas.   Bahagian atas yang berzip dialihkannya pula ke bawah.  Alhamdulillah....... zipnya masih baik. Kelihatan wajahnya sedikit mencuka. Hatiku sedikit sebak. 

"Tak mengapalah.......  hari ni saja last sekolah.  Mungkin bila buka sekolah selepas cuti nanti mak belikan beg baru...." pujukku.  Dia hanya membisu.

Semalam aku menyuruhnya membuang bekas penselnya yang kelihatan terlalu 'uzur' ke dalam bakul sampah.  Aku berhasrat untuk menggantikannya dengan yang baru.  Tunggulah nanti!

Sejak aku mengenalinya di awal Januari lalu, dia hanya mengenal huruf dan suku kata KV sahaja.  Kuperhatikan dia mempunyai potensi untuk berjaya suatu hari nanti, berkat kesungguhannya mempelajari apa yang kuajar.  Anak ini memerlukan lebih perhatian dan bimbingan.  Kerja sekolah yang kuberi sering disiapkan dalam tempoh yang kuminta.  Cuma sesekali jika ada kerja yang tidak disiapkan, dia memberi alasan 'terlupa".  

Dia mudah dapat apa yang kuajar.  Namun anak-anak sebegini perlukan bimbingan di rumah juga.  Mengharapkan perhatian ibu ayah untuk membantunya di rumah.  Paling tidak pun ada abang atau kakak yang boleh diharapkan untuk membantu.  Tapi dia belajar sendiri di rumah.  Mengeja tanpa perhatian dan bimbingan sesiapa.  Tiada yang menyemaknya.  Gambar yang kulukiskan tidak diwarna kerana pensel warnanya sudah habis..... tidak berganti.  

Tidak adil kurasakan kalau aku terus memarahinya akibat 'terlupa'.  Tidak ada sesiapa yang mengingatkan tentang kerja rumahnya.  Malahan tiada sesiapa yang menyemak isi beg sekolahnya.  Dalam usia semuda itu anak-anak begini banyak menghabiskan masa dengan bermain.  Tambahan pula mereka agak terkebelakang daripada murid-murid lain di kelas masing-masing.  Sesungguhnya mereka amat-amat memerlukan perhatian.

Mengenangkan semua itu, simpatiku datang bertamu.  Alangkah baiknya permata hati sebegini, anugerah Allah ini, dan amanah Allah ini, dilayan sebaiknya.  Mereka mengharapkan sekelumit kasih dari insan bergelar 'guru' cuma tika hanya di sekolah!  Menagih sedikit sayang di tempatnya menambah ilmu.  Itu sahaja.  

InsyaAllah kita jumpa lagi bila sekolah dibuka nanti.  Salam untuk semua...... anda semua tetap dalam doa cikgu!  

Khamis, 16 Mei 2013

SELAMAT HARI GURU


Semalam terbaca status ini di facebook....... agak menarik.  Ditulis oleh Ustazah Siti Norbahyah.  

Dan kupanjangkan buat bacaan sesiapa yang singgah di blog ini.  


"Senyuman guru sentiasa manis SEMANIS KURMA,
Biarpun penat,tidak pernah mengadu pada ADUAN RAKYAT,
Guru pencetus kejayaan kerana gurulah MENTOR,
hingga ramai melahirkan IMAM MUDA,
senda guraumu menghiburkan walaupun bukan RAJA LAWAK,
kerenah para pelajar,guru hadapi mengikut MELODI,
guru berpesan,nak berjaya janganlah ponteng AL KULIYYAH.
SELAMAT HARI GURU."




Kami guru Malaysia 
berikrar dan berjanji
mendidik dan memimpin
putera puteri negara kita

Pada Seri Paduka
kami tumpahkan setia
rukun Islam kita
panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan 
kami tetap bersama
membantu membina
negara yang tercinta

Amanah yang diberi
kami tak persiakan                                                     
apa yang kami janji
insyaAllah kami tunaikan



SELAMAT HARI GURU

"Cikgu, kena bawa hadiah ke esok?" soal anak kecil itu.
"Tidak....." jawabku sepatah.
"Ye ke?" soalnya lagi inginkan kepastian,
"Emm........  ya.  Kalau nak bagi hadiah juga.... belajarlah sungguh-sungguh.  Itulah hadiah paling istimewa buat cikgu.  Tak kira cikgu mana sekalipun......" Anak kecil itu memandangku tanpa berkedip.

Aku segera teringat sambutan hari guru di awal tahun 2000 lalu, di sekolah lamaku.  Bila rakanku didesak oleh anak muridnya tentang hadiah yang diingininya, dia segera menjawab, "Cikgu tak nak apa-apa.  Tapi kalau dah nak bagi jugak, cikgu hanya hendak pen merah sahaja...."   Dan ternyata hadiah yang dihajatinya dimakbulkan Allah.  Dia mendapat tiga puluh lebih batang pen merah!!!

Kepada anak-anak semua, cikgu hanya mengharapkan agar kamu semua belajar bersungguh-sungguh.  Cikgu tidak mengharapkan agar kamu semua mendapat straight A dalam peperiksaan.  Perkara tersebut bukanlah mudah, tapi tidak pula mustahil untuk digenggam.  Apa yang menjadi harapan cikgu ialah agar kamu semua menjadi manusia yang rajin menuntut ilmu.  Menjadi insan yang dihormati manusia dan disayangi Allah.  Orang berilmu dipandang mulia.  Ingatlah, kita bukan hanya ingin berjaya di dunia, malah di akhirat sana.  

Kepada semua yang bergelar guru, cikgu, ustaz, ustazah, teacher dan sesiapa sahaja yang mengajar mendidik dan membimbing...........  diucapkan SELAMAT HARI GURU.  



Isnin, 13 Mei 2013

PISANG ..............ISTIMEWANYA CIPTAAN ALLAH!





Pisang     

Perhatian :

Jangan sesekali menyimpan pisang dalam peti sejuk. 
Selepas baca info ini anda semua pasti akan pandang tinggi pada buah pisang.

Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi -  sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gantian.  Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan.  Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit.  Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia.  Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan seharian.

Tekanan:
Merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang.  Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protein yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mood dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.                                

PMS:
Lupakan pil-pil hospital - makan sahaja pisang.  Vitamin B6 tang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengambalikan mood anda.

Anemia :
Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tidak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan Darah Tinggi :
Buah tropikal unik uni mengandungi kadar potassium yang tinggi - garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa Minda :
Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi pisang untuk sarapan, rehat dan makan tengah hari.  Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert).

Penghadaman :
Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindkan usus kecil dan usus besar.

Keletihan :
Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu.  Pisang bertindak menyejukkan perut dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula daram darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas Jantung :
Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan.  Oleh itu, jika anda menghadapi pasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam Pagi :
Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Gigitan Nyamuk :
Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukn kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang.  Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.

Saraf :
Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenagkan sistem saraf anda.

Obesiti dan Tekanan Kerja :
Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek.  Berdasarkan 5,000 pesakit hospital,  kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi.  Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil.  Makanlah pisang.

Ulser :
Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan prgan dalaman kita.  Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan Suhu :
Ramai yang percaya bahawa dngen memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung.  Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool). 

Seasonal Affective Disorder (SAD) :
Penyakit ini merupakan semptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari.  Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaik pulih mood kita.

Ketagihan Rokok & Tembakau :
Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok.  Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaik pulih kesan nikotin terhadap tubuh.

Stress :
Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh.  Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun.  Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuansnek pisang yang tinggi potassium.

Strok :
Mengikut kajian di dalam buku 'The New England Journal of Medicine', mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!

Lain-lain Penyakit Kulit :
Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah.     

Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit.  Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protein, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain.  Ia juga kayan dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati.     

Jadi, mungkin inilah masa untuk  berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, "Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!"     

PS : Kesimpulannya, pisanglah adalah penyebab utama kenapa monyet-monyet di hutan
selalu sihat dan bahagia setiap masa dan ketika!  Satu lagi; ingin kilatkan kasut???  Ambil bahagian dalam kulit pisang, sapukan secara terus kepada kasut anda, kemudian kilatkan dengan kain kering.  Menakjubkan!     

Rujuk :
"Pakar Nutrisi Sihat "                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            



Sabtu, 11 Mei 2013

ISTIMEWANYA DIA

Alhamdulillah................. syukur padaMu Ya Allah.  Ramai yang kutemui hari ini.  Dalam kalangan mereka, salah seorangnya merupakan ibu kepada bekas anak muridku di sekolah lama dahulu.  Ibu itu juga memiliki seorang anak istimewa bekas murid tempat kumengajar sekarang. Dia menegurku terlebih dahulu.  Kami berbual mesra.

Riang bercerita tentang kisah anak istimewanya yang kini dalam usia remaja.  Aku masih mengingati wajah dan perilaku anak itu.  Mengenang saat di mana dia akan mengelilingi blok pendidikan khas beberapa kali tatkala waktu menghampiri jam 11.00 pagi sekiranya waris belum mengambilnya.  Meskipun tidak melihat muka jam ............. waktu cukup dikenalinya, seakan dirasainya, malah tepat kiraannya.  Itu istimewanya.  

Kiranya kelibat dirinya melewati pintu kelasku...... dapat kupastikan waktu itu ialah jam sebelas pagi.  Memang tidak salah!  Anak itu termasuk dalam golongan autisme.  Kekadang menyebut sesuatu perkataan itu berulang.  Sukar mengharap bertentang mata dengannya.  Dia akan segera melarikan pandangannya. Pertanyaan yang diaju padanya takkan bersambut.  

Istimewanya dia ialah aktiviti seni atau kerja tangan yang ditunjukkan.  Cukup tekun melakukan tugasan yang diberikan oleh gurunya.  Kemas dan rapi.  Gurunya cukup berbangga dengan hasil kerja tangannya.  Subhanallah..... 

Anak itu kini yang menjejak usia remaja masih sedemikian.  Betapa besar anugerah Allah itu.  Dan betapa murninya pengorbanan ayahbonda membesarkanmu dengan penuh ketabahan dan kesabaran.  Mudah-mudahan bahagia menantimu di sana.

Khamis, 2 Mei 2013

SABARLAH SAAT DIUJI

Kami berpelukan agak lama.  Dalam pelukan yang kemas itu dapat kurasakan pilunya hati seorang ibu menerima dugaan sedemikian.  Ucap katamu yang terputus-putus membuatkan aku turut sebak.  Bersabarlah sahabatku.  

Kau menceritakan detik-detik sebelum pemergiannya, anak sulung kesayangan.  Seorang abang yang disayangi adik-adik.  Abang yang menjadi contoh teladan.  Baru sahaja  memegang jawatan di tempat bertugasnya di ibu kota setelah menghabiskan pengajiannya di USM.  

Tatkala itu dalam sendumu yang berbaki, dengan mata merahmu yang membengkak, aku menekuni bicaramu penuh empati.  Engkau bercerita tentang kesangsian seorang adik yang melihat abangnya melakukan solat sunat yang agak lama.  Banyak rakaat yang dikerjakan.  Tidak seperti biasa.  Kau kisahkan tentang dirinya yang tidak henti berbicara denganmu sebelum melangkah kembali ke destinasi.  Kau menyambung bahawa anak bujangmu itu itu beria-ia memelukmu sebelum itu, 

Dan engkau mungkin seolah-olah telah merasakan sesuatu tatkala melihat pelbagai sikap agak berbeza dari kebiasaan yang ditunjukkannya.  Mungkin melalui luahan kata-kata atau kelakuan yang sedikit ganjil.  

Sedihnya tatkala dikhabarkan bahawa adik lelaki yang dijemput dari sekolah terpaksa dipapah sebaik-baik tiba di rumah.  Malah adik bongsu pula menangis hiba menerima berita tersebut.  Begitu rapatnya ikatan kekeluargaan mereka.  Betapa kasihnya adik-adik terhadap seorang abang.  Pemergiannya amat dirasai.

Kemalangan terjadi waktu pagi, manakala post mortem dilakukan waktu petang dan jenazah tiba di kediaman ayahbondanya waktu malam.  Aku tidak berkesempatan melihat jenazahnya.  Suamiku turut sama di tanah wakaf pada malam itu.  Kurangkumkan doa agar arwah dicucuri rahmat dan termasuk dalam golongan mereka yang beriman. Aku turut bermohon agar Allah memberi kekuatan dan ketabahan buat sahabatku itu. 
  


Sesungguhnya kita tidak memiliki apa-apa.  Semuanya hanya dipinjamkan kepada kita.  Sekiranya tiba masa Allah ingin mengambilnya semula, izinkanlah dengan rela hati.  Mudah-mudahan insan yang kita sayang itu ditemukan dengan kita semula di akhirat sana.  Sesungguhnya ini semua perancangan Allah.  

Sahabatku..... sabarlah saat diuji.  Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.