Khamis, 2 Mei 2013

SABARLAH SAAT DIUJI

Kami berpelukan agak lama.  Dalam pelukan yang kemas itu dapat kurasakan pilunya hati seorang ibu menerima dugaan sedemikian.  Ucap katamu yang terputus-putus membuatkan aku turut sebak.  Bersabarlah sahabatku.  

Kau menceritakan detik-detik sebelum pemergiannya, anak sulung kesayangan.  Seorang abang yang disayangi adik-adik.  Abang yang menjadi contoh teladan.  Baru sahaja  memegang jawatan di tempat bertugasnya di ibu kota setelah menghabiskan pengajiannya di USM.  

Tatkala itu dalam sendumu yang berbaki, dengan mata merahmu yang membengkak, aku menekuni bicaramu penuh empati.  Engkau bercerita tentang kesangsian seorang adik yang melihat abangnya melakukan solat sunat yang agak lama.  Banyak rakaat yang dikerjakan.  Tidak seperti biasa.  Kau kisahkan tentang dirinya yang tidak henti berbicara denganmu sebelum melangkah kembali ke destinasi.  Kau menyambung bahawa anak bujangmu itu itu beria-ia memelukmu sebelum itu, 

Dan engkau mungkin seolah-olah telah merasakan sesuatu tatkala melihat pelbagai sikap agak berbeza dari kebiasaan yang ditunjukkannya.  Mungkin melalui luahan kata-kata atau kelakuan yang sedikit ganjil.  

Sedihnya tatkala dikhabarkan bahawa adik lelaki yang dijemput dari sekolah terpaksa dipapah sebaik-baik tiba di rumah.  Malah adik bongsu pula menangis hiba menerima berita tersebut.  Begitu rapatnya ikatan kekeluargaan mereka.  Betapa kasihnya adik-adik terhadap seorang abang.  Pemergiannya amat dirasai.

Kemalangan terjadi waktu pagi, manakala post mortem dilakukan waktu petang dan jenazah tiba di kediaman ayahbondanya waktu malam.  Aku tidak berkesempatan melihat jenazahnya.  Suamiku turut sama di tanah wakaf pada malam itu.  Kurangkumkan doa agar arwah dicucuri rahmat dan termasuk dalam golongan mereka yang beriman. Aku turut bermohon agar Allah memberi kekuatan dan ketabahan buat sahabatku itu. 
  


Sesungguhnya kita tidak memiliki apa-apa.  Semuanya hanya dipinjamkan kepada kita.  Sekiranya tiba masa Allah ingin mengambilnya semula, izinkanlah dengan rela hati.  Mudah-mudahan insan yang kita sayang itu ditemukan dengan kita semula di akhirat sana.  Sesungguhnya ini semua perancangan Allah.  

Sahabatku..... sabarlah saat diuji.  Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

Tiada ulasan: