Ahad, 30 Mei 2021

KOMPILASI KAVER BUKU LEGASI ABAH 2021


kredit kepada pencipta video ini.



Tahniah semua!!!

Adik beradik kita terlalu ramai, di saat-saat akhir memeriahkan stadium.  Di padang itulah tempat kita berkumpul.  Sekiranya tidak tampil beraksi, kita menjadi tukang sorak di tepi padang.  Momen indah itu tak mungkin akan dilupakan.

Biarpun orang sibuk memperkatakan SOP, pelitup muka, 'hand senitizer'........  kita tidak gentar akan itu semua.  Mana mungkin kita akan disaman.  Sembang dekat-dekat pun tidak akan digertak. Sebab utamanya kenapa kita berani berhadapan dengan situasi sedemikian ialah kerana kita berada di maya!

Akulah salah seorang murid Puan Sri, rektor yang kami sayangi.  Barangkali usia yang mungkin tidak jauh bezanya, ataupun mungkin barangkali sebaya..... menyebabkan aku tidak tergamak memanggilnya 'Mak'.  

Banyak ilmu yang aku dapati sepanjang bergelar murid kepada tokoh ini.  Tambahan pula di belakang tabir terdapat insan-insan yang tidak lokek dengan perkongsian ilmu.  Kami ada Pengurus Projek dan guru-guru yang berpengalaman dalam menyampaikan kuliah mengikut kebolehan dan ilmu masing-masing.  

Terjebaknya aku dengan Universiti Inspirasi Kisah Hidup (UnIKH) mungkin telah dilorongkan Tuhan.  Rasanya bukannya 'mungkin'...... tapi telah diatur-Nya.  Setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan.  Alhamduillah.

Menjadi mahasiswa ataupun mahasiswi UnIKH ini memerlukan kekuatan, kesabaran, kerajinan, keyakinan yang tinggi dan penuh penelitian.  Sokongan daripada handai taulan yang dianggap adik-beradik cukup memberi keyakinan hingga kami sampai ke takah ini.  Begitu juga aku. 

Terkadang kekangan tugas menjadikan aku tenggelam seketika.  Ada waktunya ketinggalan jauh di belakang.  Dan aku terpaksa kembali mengejar sehabis daya.  Dua tugas yang perlu dipikul serentak, hingga kekadang terasa lelah.  Namun kekuatan adik-beradikku dalam LA6 menjadikan aku tetap bertahan.  

Terasa bagaikan satu ikatan batu bata yang saling menyokong antara satu sama lain.  Terima kasih semua, aku mengenali kalian tanpa bersemuka kecuali Fatihah Irdina Lyn.  Kami sama sedaerah.  Kepada yang lain, terima kasih juga kerana memberi respons yang positif di dalam group kita.  Yang sudi bertegur sapa di dalam group kita atau sesekali mengetuk pintu wasap, terima kasih ya.  Yang sekadar menjadi pembaca setia ataupun silent reader, teruskan.  Semuanya tetap dihargai.

Perjalanan yang panjang kita raikan bersama.  Mudah-mudahan penceritaan kisah abah atau ayah yang bakal terbit nanti menjadi pendorong ke arah pembentukan peribadi yang unggul dalam melahirkan 'ABAH' atau lelaki hebat di luar sana.



Jumaat, 28 Mei 2021

LEGASI ABAH

 ENTAHLAH secara tiba-tiba aku terjun ke dalam projek ini.  Mulanya sekadar seronok-seronok sahaja.  Namun akhirnya ia menjadi serius....


Bidang penulisan ini agak lama kutinggalkan.  Saat-saat aku aktif dulu tika berada di MPSI Tanjung Malim.  Tiga tahun di sana aku tidak melepaskan peluang berkarya. Di situlah aku mengasah bakat yang ada. Bakat dan minat yang bermula sejak aku di tingkatan empat. 

Tempoh tiga tahun di Ibu Kandung Suluh Budiman itu membawa kenangan manis buatku. Duduk di dalam geng ASASMU. Dan kini tiada seorang pun sahabat yang sama-sama menulis dan berkarya dulu kutemui.

Sejak mendirikan rumahtangga, aku makin membisu.  Memang tidak aktif berkarya sehinggalah tahun 2012, itulah saat aku mula berjinak-jinak dengan penulisan blog.  Namanya pun SESEKALI MENULIS. Memang tidak lajulah aku menulis...

Sehinggalah suatu ketika tiba-tiba aku bertekad mahu menyambung apa yang telah lama kutinggalkan. Timbul di saat 'Kluster Lekir' wujud di kala pandamik covid19 melanda.  Penangan tahun 2020. Aku bermula semula dengan penulisan secara berjemaah, sehinggalah terbit buku Antologi Puisi Guru.

Kemudian diikuti pula dengan Memorabilia 2020. Seterusnya aku terjebak dengan Legasi Abah.  Ramai adik-beradikku di dalam pembikinan buku LA ini.  Bersama Legasi Abah 6 sahaja aku memiliki 33 adik-beradik.  Itu belum didarabkan dengan tim lain.  Oleh kerana semuanya ada 12 tim, bayangkanlah berapa ramainya kami yang duduk bersama di dalam Universiti Inspirasi Kisah Hidup ini.

Kami bercerita kisah abah, ayah, bapak, abi, walid, papa, apak dan yang seangkatan dengannya...... dengan cara tersendiri.  Menelusuri kehidupan suka duka bersama insan hebat.  Dan kami angkat 'dia' di bawah bimbingan rektor yang kami kasihi. 


Mudah-mudahan ukhuwah kami adik-beradik akan berpanjangan.  Walaupun kekangan tugas seringkali melanda, LA tetap dijenguk dan diintai selalu. Terima kasih puan admin dan sahabat, kekuatan dan kesungguhan kalian sering menyedarkan aku daripada lena.

Selasa, 25 Mei 2021

RINDU AKAN SUARA-SUARA ITU

 TADI aku PdPR lagi bersama anak-anak tahun dua itu.


Gembira sungguh hari ini kerana dapat bertemu di dalam group telegram.  Tajuk pula berkaitan Hari Raya.  Setelah lagu Suasana Hari Raya dendangan Anuar dan Elina berkumandang, aku mengemukakan soalan berkaitan makanan yang disebut di dalam lagu itu.

Pantas sungguh mereka memberikan jawapan bertulis.  Lajunya jemari kecil anak-anak itu menaip di muka telefon bimbit.  Soalanku bersambut. Jawapan sambung menyambung pula dengan anak-anak yang lain.  Terasa cerianya suasana walaupun di alam maya.

Hati mula terbayang akan keberadaan mereka di dalam kelas sebelum ini.  Anak didik kelas tahun 2 ini tidak ramai.  Kenal benar dengan gelagat mereka.  Setiap soalan yang dikemukakan, akan dijawab dengan pantas jika soalannya mudah.  Jika mencabar sedikit...... mulalah sunyi sepi tanpa jawapan.  Hendak jawab pun terasa takut...... takut salah.

Kekadang lain yang ditanya, lain pula jawapannya.  Itulah yang terjadi jika menjawab tanpa memahami betul-betul kehendak soalan.  Nama sahaja subjek Bahasa Melayu, murid-murid aku semuanya Melayu.  Namun bukanlah semudah ABC untuk mengajar dan membimbing mereka untuk menguasai kemahiran-kemahiran yang sedia ada.

Tulisan mesti kemas, bentuknya mesti betul.  Kalau huruf 'u' sudah seperti huruf 'o' memang banyaklah nanti bercalit pen merah di dalam buku mereka. Buku-buku pula berbeza.  Ada penulisan, pemahaman, tata bahasa dan tulisan.  Agaknya mula-mula pening juga ibu dan ayah melihat semua ini.  Satu subjek, tapi banyak cabangnya! 

Namun aku merasakan mereka beransur-ansur memahami keadaan ini kerana wujudnya PKP.  Aku berpeluang menjelaskan perbezaan tugasan anak-anak mengikut tajuk buku mereka. Sebarang pertanyaan kujawab dengan teliti lantaran ada yang kurang jelas dengan arahan yang diberi kepada anak-anak.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas komitmen ayah dan ibu yang sentiasa memberi tunjuk ajar di sisi. Merekalah pengganti cikgu tika aku tiada di sisi anak-anak ini.  Begitu juga dengan guru-guru lain.  Lebih hebat lagi, pada masa yang sama mereka menjadi talian hayat kepada anak-anak bagi semua subjek.

Mereka sama-sama membimbing, meminta penjelasan guru, menunjuk cara agar anak-anak memahami tugasan yang minta dibuat.  Kadang-kadang mereka jugalah menjadi jurukamera untuk mengambil gambar atau merakam video untuk dihantar kepada guru-guru.  Tahniah dari kami para guru.  Hebatnya ibu ayah di waktu PKP ini.  

Sesungguhnya ada hikmah di sebalik ujian yang Allah turunkan. Kepada semua ibu ayah anak-anak didik tahun 2 Dinamik khasnya, dan umumnya kepada semua ibu ayah di luar sana...... sekalung tahniah diungkapkan di atas kesabaran mendidik dan membimbing anak-anak.  Semoga Allah merahmati kita semua serta memelihara kita daripada covid 19 yang masih bertapak di bumi nyata ini.

Kepada sahabat warga guru khasnya SKGL dan amnya seluruh guru walau di mana anda berada, mudah-mudahan Allah menilai kemuliaan anda sebagai insan yang ikhlas mencurah bakti dan ilmu kepada anak-anak yang memerlukan.