Ahad, 17 September 2023

SEMARAK MERDEKA (10.09.2023 = 24 SAFAR 1445H)

 PENGALAMAN membantu menguruskan program mengingatkan semula akan tugas di alam pekerjaan yang lalu. Banyak yang perlu diuruskan dalam erti kata bekerja dalam kumpulan. Ada yang nampak kesungguhan, juga ada yang sebaliknya. Begitulah asam garam kehidupan. Hidup saling lengkap melengkapi. Susah payah sama dirasai walaupun terkadang timbul rasa tidak puas hati.

    Sentiasa berfikiran positif. Itu yang betul. Bagai 'nak kenduri besar lagaknya. Selagi hari berkenaan belum berlangsung, ada sahaja kerja-kerja yang perlu dibereskan. Hati digayut bimbang. Risau bagaimana sambutan dan penglibatan masyarakat setempat. Sebagai membantu melancarkan majlis, amanah yang diberikan dipandang serius. Khidmat terbaik perlu diberi mengikut kemampuan.

     Belajar sesuatu yang mungkin baru bagi kita. Permudahkan urusan orang lain dan rakan kerja, mudah-mudahan kejayaannya bakal dinikmati bersama. Pengalaman masa lalu sememangnya amat membantu. Alhamdulillah. Kerjasama yang diberikan oleh insan-insan yang ditemui, amat membanggakan. Segalanya Allah permudahkan. Kesungguhan mereka wajar dihargai.

    Kepada guru-guru serta anak-anak yang menyertai program kami, diucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Persembahan yang mantap dan menarik perhatian pengunjung pada hari berkenaan. Kepada yang menyertai pertandingan sama ada mewarna, gubahan buah-buahan, gerai tercantik dan futsal, kami ucapkan tahniah atas kejayaan. Tahniah juga kepada yang tidak berjaya, jika ada rezeki boleh mencuba pada masa akan datang.  Yang penting ialah keberanian dalam menyahut cabaran pertandingan.

    Keletah anak-anak tadika KEMAS pula begitu mencuit hati. Comel belaka dengan pakaian tradisional rakyat Malaysia. Kepada kaunselor Pn Hjh Fadzilah yang merupakan ahli majlis MPM Zon 9 Lekir, diucapkan tahniah atas kejayaan program ini. Terima kasih tuan OBJ yang merasmikan program ini. Tidak lupa juga kepada hakim atau juri yang dilantik bagi semua pertandingan yang dijalankan. 



     

Selasa, 12 September 2023

NO SMOKING

 SEMPAT berbual dengan seseorang mengenai rokok. Ingatanku mula menerawang kepada tugas yang disandang semasa bertugas dahulu. Menjadi guru Anti Dadah dan Rokok di bawah unit Hal Ehwal Murid.

    Kerap aku menyampaikan info berkaitan dadah dan rokok kepada anak didik yang dikasihi. Namun apa yang mereka suarakan dari tulus hati...ayah merokok. Kasihan mereka. Dalam dhaifnya kehidupan, rokok tetap menjadi keutamaan. 

    Tidak hairanlah setelah melangkah ke sekolah menengah, asap berkepul jelas kelihatan walaupun puntung rokoknya disembunyikan dari penglihatan. Murid yang sama itulah yang telah kami berikan pendedahan dan penerangan tentang bahayanya rokok dan dadah. Apakah kami yang bersalah?

    Dan aku masih teringat peristiwa yang berlaku sebulan yang lalu. Ketika mahu meninggalkan kedai makan, aku terpandang betapa cekapnya tangan itu meletakkan plastik bungkusan rokok yang baru dibukanya ke dalam pasu bunga berhampiran. 

    Tanpa segan silu beliau mengeluarkan sebatang rokok. Api dihidupkan, enaknya asap disedut kemudian dihembus keluar. Tidak rasa bersalahkah? Sedangkan di kedai makan itu terpampang poster larangan merokok. Mahu sahaja aku menegurnya. Tatkala aku mencuri pandang kepadanya...  kelihatan orangnya yang kuagak berusia lebih dari separuh abad. 

    Orang lain pun perlukan udara segar. Jangan sesuka hati mengotorkan udara yang sama-sama kita kongsi. Geram juga rasa hati dengan sikap 'tak sekolah' mereka. Sudah berbuih mulut cikgu menasihakan di sekolah. Sudah diperingatkan oleh pegawai kesihatan. Malah iklan tentang keburukan rokok telah ditampilkan pada kotak rokok tersebut. Ada perokok kisah?

    Memang letih bila mengenangkan sikap perokok. Pernah mereka memulakan merokok dengan ucapan 'Bismillah'? Atau pernah mereka matikan api dan masukkan puntung rokok ke dalam bakul sampah? Pernahkah kita nampak mereka hisap terus asap rokok dengan menutup mulut dan hidung mereka untuk mengelakkan asap bertebaran di udara? Apa mereka buat demi menjaga keselamatan orang di sekeliling?

    Sanggup mereka memasukkan sesuatu ke dalam tubuh badan yang akhirnya memudaratkan diri mereka sendiri. Wang habis dengan membeli rokok.  Malahan penyakit pula datang dengan undangan terhormat si perokok. Allahuakbar!  Bertaubatlah dari merokok. Merokok membahayakan kesihatan. Entah berapa kali telah diingatkan oleh cikgu, pegawai kesihatan, iklan di papan tanda dan sesiapa sahaja yang ambil berat akan hal ini. Namun kedegilan mengatasi segalanya. 

    Belajarlah bertanggungjawab. Kasihan anak isteri. Mereka menjadi mangsa utama jika di dalam rumah si ayah merupakan perokok tegar. AWASI tindak tanduk anda. Kuatkan azam dan semangat untuk berhenti merokok.  

Sabtu, 9 September 2023

PESISIR PANTAI TANJUNG KEPAH


BERKESEMPATAN menelusuri tepian pantai Tanjung Kepah. Berhajat untuk melihat ombak menghempas pantai. Namun kali ini nampaknya air sedang surut. Selesai minum di warung berdekatan, kami meneruskan perjalanan. Tak sangka pula bertemu beberapa orang pelajar sekolah agama berhampiran semasa kami minum tadi. Sempatlah kami berbual mesra dengan mereka. 

    Suasana pagi amat menyegarkan. Mata asyik benar memerhati ke arah laut di sebelah kiri jalan. Di sebelah kanan pula ada beberapa orang kaki pancing tekun menunggu hasil tangkapan.  Kami kemudiannya melewati kawasan pepohon ru yang menarik perhatian. Tergerak hati untuk melihat dengan lebih dekat, maka kami membelok ke laluan bertar menghala ke tepi laut. Hajat hati untuk melihat dengan lebih jelas suasana tepi laut tersebut.

   Tiba-tiba mata tertancap pada lambaian seseorang. Kumpulan itu sedang berkelah nampaknya. Aku mengecam kereta yang diparkir di situ.  Sahlah bahawa mereka cukup kukenali! Tak sangka Allah mempertemukan kami di situ. Subhanallah. Mata melilau memandang sekitar. Terdapat beberapa buah kereta tidak jauh dari situ. Walaupun sudah lama tinggal di kawasan berdekatan, sekali pun belum pernah singgah di situ. Menarik tempatnya kalau dikomersialkan.

    Kami dipelawa untuk berkongsi rezeki. Walaupun baharu selesai sarapan, kami jamah juga sedikit makanan yang ada. Rezeki jangan ditolak. Orang jauh pula yang datang rehlah bersama keluarga mereka, sedangkan kami baru menyedari akan lokasi tersebut. Walhal tempat tinggal kami lebih dekat berbanding mereka. 

     
Pandangan turut tertumpu pada pengunjung yang datang. Dari kejauhan mereka telah bersiap sedia dengan bekas untuk mengisi hasil hidupan pantai berselut tersebut. Musim kerang menurut mereka, namun tidaklah sebesar mana. Hasil perbualan suami dengan beberapa orang penduduk setempat, kerang cukup besarnya untuk dikutip pada bulan Disember nanti. Namun begitu hasrat itu rasa-rasanya tidak kesampaian kerana ramai yang datang berjemaah tanpa menunggu masa yang sepatutnya. 
  

    Suatu ketika dahulu Tanjung Kepah mewah dengan hasil siputnya. Pelbagai jenis siput mendiami lokasi pantainya. Namun kini... semua itu telah menjauh. Yang tinggal hanya remis, lala, kerang. Gayam pun sudah lama tidak kelihatan. Akibat pencemaran dari sisa lepasan kolam udang berdekatan memungkinkan semua itu terjadi. Lepasan sisa kilang yang terletak tidak jauh dari situ juga sedikit sebanyak turut menyumbang ke arah perubahan yang nyata. Berhijrah ke manakah agaknya mereka?

    Suatu ketika dahulu kami pernah berkelah sambil mencari remis di pantainya. Bertahun-tahun aktiviti itu telah ditinggalkan. Kini jika sesekali singgah pun, sekadar mengambil angin sambil melihat-lihat warga kampung dan nelayan setempat meneruskan aktiviti masing-masing. Ada yang menjala ikan, mencari belangkas, mengutip kerang dan masih ada yang mencari remis. 

    Kerang pun tidak sempat membesar dengan jayanya. Benih-benihnya kini banyak yang menjadi hasil jualan dan pendapatan yang agak lumayan kepada nelayan. Sesekali pantai Tanjung Kepah ini menjadi tarikan peminat kerang yang entah dari mana datangnya. Tatkala itu berbondong-bondonglah mereka hadir. 

    Pokok bakau yang pernah dahulu ditanam di tepian, hanya tinggal bekasnya sahaja yang sesekali kelihatan bagai kawasan perkuburan tepi pantai. Usaha yang menemui kegagalan. Namun ada pihak pencinta alam akan meneruskan hasrat murni untuk mengawal ekosistem pantai ini dari terus menghilang begitu sahaja. Segala-galanya masih di dalam kajian dan perancangan. Mudah-mudahan ia membuahkan hasil yang positif